Friday, April 30, 2010

Dr M kata gitu... Pak Lah kata gini, duit rakyat habis


Mula-mula mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan kepada Brunei dua blok pengeluaran minyak luar pantai, sebelum bersara awal tahun lalu sehingga Malaysia kerugian dalam bentuk perolehan berjumlah AS$100 bilion (RM320 bilion)..

Kemudian Abdullah membalas balik, beliau telah menandatangani perjanjian persempadanan laut dan darat dengan Brunei pada Mac 2009 di mana pertindihan dua medan eksplorasi menjadi milik Brunei selepas ia diluluskan Kabinet Malaysia sebulan sebelum itu.

Siapa benar siapa salah? Belum pasti.... yang pasti rakyat negara inilah yang kerugian dan kehilangan wang.

Kita percaya kes ini mungkin untuk beberapa hari lagi akan meledak dalam media alternatif, namun pasti selepas itu seperti lazimnya isu yang melibatkan kerugian negara ini kemudiannya akan senyap dan berlalu begitu saja.

Akhirnya siapakah yang rugi?

Sebelum ini seorang wartawan Eropah telah menulis sebuah buku (yang diharamkan memasuki negara ini) telah menyiarkan beberapa fakta yang tidak pernah disangkal, bahawa Malaysia dalam tempoh masa 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir telah kehilangan ratusan juta atau menjangkau ribuan juta.

Dr Mahathir tidak menafikannya, sebaliknya mendakwa pada zaman Abdullah kehilangan wang lebih besar daripada itu lagi. Kedua-duanya tidak menyangkal.

Pernahkah dilakukan sebarang penyiasatan?

Akhirnya siapakah yang rugi?

Beginilah nasib rakyat Malaysia, yang kaya sumber negaranya namun hasilnya pupus dan dibazirkan begitu sahaja. Selain kroni, rakyat hidup kais pagi makan pagi atau sekurang-kurang dihimpit kos kehidupan yang tinggi. Sedangkan wang yang sepatutnya boleh melegakan mereka sedikit dicurahkan tak tahu hala tanpa keredhaan mereka.

Kita percaya, PM yang ada pada masa inipun tidak kurang borosnya, walaupun pastinya dengan pelbagai alasan.

Namun kesnya seperti kes kedua mantan PM tadi, berteriak dan bertengkaunglah, hasilnya pasti akan lenyap begitu saja bersama deruan angin yang berlalu. Cakap dan congkehlah apa saja, begitulah dan terus begitu.

Justeru itu, jika sayangkan negara, khazanah dan rakyatnya, kita mahu rakyat sedar bahawa, selagi BN memerintah negara ini hasil mahsul amanah rakyat akan digunakan sesuka hati pemimpin mereka, laksana harta faraid peninggalan ibu bapa mereka layaknya.

Lalu kita mahu rakyat segera membuat keputusan, bertindak dan seterusnya menggantikan pemerintahan yang ada ini, sekurang-kurangnya pada pilihan raya umum akan datang.

Itupun jika rakyat mahu dan sayangkan harta, isi bumi dan khazanah bumi milik mereka ini tidak lagi dipergunakan semahunya, di luar batas-batas amanah!










Hulu Selangor: Kalahkah PR?

Oleh MUJAHID YUSOF RAWA

Istilah kalah dan menang dalam proses demokrasi berpilihanraya tidaklah semudah yang diungkapkan. Walaupun kalah tetap kalah dan menang tetap menang namun apa yang lebih penting daripada itu ialah bagaimana seorang calon itu boleh menang dan bagaimana seorang calon itu boleh kalah.

Oleh kerana Malaysia mengamalkan demokrasi separuh masak maka satu analisa mestilah melihat kepada keseluruhan sistem yang mempengaruhi corak dan perilaku pengundi dalam menjalankan tugas mereka.

Sebelum itu kita harus akur, Pilihanraya Kecil (PRK) tidak mungkin sama dengan (Pilihanraya Umum) PRU dari sudut tumpuan dan mobilasasi jentera parti, kedua dalam PRK kerajaan mempunyai segala kemudahan untuk dieksploitasikan bagi tujuan memujuk pengundi sedangkan dalam PRU, jentera kerajaan bersifat ‘caretaker’ yang walaupun dinodai oleh BN tetapi tetap membataskan tahap ‘keselesaan’ yang boleh dinikmati.

Analisa pertama kepada kemenangan BN ialah bagaimana jentera kerajaan Pusat yang dikuasai BN digunakan habis-habisan untuk berkempen. Paling utama ialah kerahan kepada menteri-menteri untuk meluluskan atau isytihar meluluskan apa-apa projek di kawasan HS bagi membuktikan keprihatinan BN kepada masalah rakyat.

Kedua ialah proses pilihanraya dicemarii dengan liputan media yang berat sebelah menggambarkan parti lawan BN sebagai ‘haprak’ dan tidak berkualiti. Tanpa kekuatan moral para pengamal media perdana menulis apa sahaja yang mereka rasakan dapat menggambarkan keburukan parti lawan BN dan mereka langsung tidak memberi ruang untuk dijawab oleh pihak yang diserang.

Keadaan ini amatlah mendukacitakan kerana antara tuntutan proses demokrasi berpilihanraya ialah perlu ada ruang media yang bebas dan berkecuali dalam membuat liputan supaya media berperanan memantapkan hak kebebasan mendapat maklumat bukan sebaliknya.

Walaupun dalam tuntutan BERSIH tempoh hari perkara ini dibangkitkan namun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menjawab persoalan ini dengan mengatakan bahawa ianya di luar bidang mereka, walhal SPR boleh mengambil tindakan kepada pihak yang membuat liputan berat sebelah kerana menganggu proses pilihanraya yang mana SPRlah yang menjadi institusi utama dalam menjayakan proses ini.

Namun apakan daya SPR hanya ‘boneka’ kepada BN dan haknya terbatas kepada kehendak BN yang jika benar-benar SPR bebas dan berkecuali dalam segenap segi pasti keadaan ini akan merugikan BN.

Jikalau inilah makna proses pilihanraya di Malaysia yang keadaanya berat sebelah sudah tentu penguasaan mereka ke atas pengundi begitu besar sehingga menyebabkan Datuk Zaid calon PKR kemungkinan akan hilang deposit dan kalah dengan malunya namun jika dianalisa keadaan dan corak pengundian segala ‘sampah’ yang ‘dilonggokkan’ kepada pengundi tidak menjadi malah tidak berbaloi pulangannya. Buktinya Datuk Zaid mendapat 23,272 undi dan tewas dengan 1725 undi sahaja! Malah undi kepada Datuk Zaid berbanding sebelumnya yang diperolehi oleh Datuk Zainal iaitu 23,177 menunjukkan undi duluan tidak lari banyak.

Implikasi kepada keputusan ini amat besar kepada proses demokrasi di negara ini seolah-olah pihak kerajaan hari ini tidak peka bahawa taktik ini sudah kolot dan ketinggalan zaman, rakyat tidak lagi menjadi ‘mulut-mulut’ yang ‘ternganga’ menerima apa sahaja yang disuapkan kepad mereka secara paksa.

Bukankah masanya keputusan PRK yang kali ke sebelas ini menuntut kerajaan hari ini insaf dan bertaubat?

Analisa undi mengikut kaum pula menggambarkan sesuatu yang amat membimbangkan BN, bak ungkapan Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS, “Gembira dalam gelisah.”

Memang kegelisahan itu ada kewajarannya kerana PKR mempertahankan kerusinya daripada direbut oleh BN yang merupakan landasan perpaduan parti politik berbagai kaum berumur hampir 36 tahun dibandingkan PR yang hanya 2 tahun.

Pun demikian undi kaum Cina membuktikan penolakan mereka kepada gagasan BN kerana BN hanya mendapat 5,164 undi di kawasan padat Cina berbanding PR yang mendapat 7,194. Perbandingan dahulu menunjukkan Datuk Zaid mendapat 6 kali ganda sokongan iaitu 344 majoriti undi Cina berbanding 2,030 sekarang.

Bukankah ini isyarat yang mengerunkan BN. Sepatutnya BN yang berbangga dengan gagasan perpaduannya berjaya meraih sokongan orang Cina namun kemaraan PR sebagai parti yang lebih berwibawa memikul perpaduan ini merupakan cabaran terbesar BN untuk PRU ke 13 nanti. Kenyataan ini seolah menggambarkan BN dan konsep perpaduannya tidak lagi releven untuk rakyat Malaysia.

Peningkatan undi Cina sebagai kontranya membawa kebimbangan kepada PR terhadap undi Melayu yang gagal ditembusi Datuk Zaid. Kebanyakan Felda dan beberapa perkampongan Melayu seolah-olah menolak dan belum lagi yakin dengan kemampuan PR membawa aspirasi Melayu dan Islam.

Walaupun PAS bertungkus lumus di tempat dominon Melayu ini tetapi sentiment kuat pengharapan kepada Umno yang menjadi tonggak BN masih tebal. Walaupun demikian isyarat ini tidaklah sangat membimbangkan jika dibandingkan dengan undi Cina yang diperolehi kerana Datuk Zaid berjaya meningkatkan undinya di Kalumpang dan beberapa kampong Melayu yang lain. Bagi PAS trend ini iaitu Melayu masih tidak menyokong PR perlu diambil peringatan penting kerana dalam persaingan politik PR dan BN, PASlah yang akan berhadapan dengan majoriti Melayu dalam Pilihanraya yang akan datang.

Selagi PAS tidak berjaya membawa aspirasi Melayu dalam kerangka PR sebagai wahana masa depan politik negara selagi itulah corak pengundian kaum tidak akan berubah dan ini memberi kelebihan kepada Umno/BN untuk terus berkuasa dan keseimbangan kaum akan terbahagi kepada bukan Melayu sokong PR dan Melayu akan terus sokong Umno, keadaan ini tidak baik untuk masa depan politik negara dan kemungkinan Umno terdesak untuk menggunakan sentiment perkauman amatlah tinggi untuk meneruskan hegemoni Melayu supaya terus berkuasa.

Akhirnya undi rosak rendah berbanding dengan 2008 sekaligus menjawab peningkatan undi kepada BN kerana kemungkinan undi rosak yang tinggi dahulu dapat diselamatkan melalui P. Kamalanathan kali ini.

Begitu juga undi Pos 767 undi pergi ke BN manakala hanya 120 kepada PKR dan ini tidaklah mengejutkan kerana isu undi pos ini terus dipertikaikan ketelusannya oleh PR. Apa pun MIC mendapat sedikir oksijen untuk bernafas walaupun saya yakin hanya sementara.

Kemenangan ini tidak membayangkan masyarakat India kembali menyokong MIC tetapi yang pasti Umno terus mendominasi undi Melayu dan trend ini tidak baik untuk PR jika rancangannya untuk ke Putrajaya terus membara. Jadi kalah atau menang bukanlah isunya tetapi apa yang penting ialah pengajaran untuk memperkemaskan strategi untuk PRU ke 13. Tahniah kepada pengundi HS kerana membawa mesej besar kepada penulisan ini!

Takaful Dana Takwa kembali dengan 6 pelan baru

TEMERLOH: Program Pelan Takaful Tabaruk Khairat Kematian Dana Takwa–eTiQa anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang (BPPNP) dengan kerjasama syarikat Pakatan Amal kini disambung semula untuk sesi 2010.

Menurut kenyataan akhbar BPPNP yang ditandatangani Setiausaha Perhubungannya Roslan Zainal Al-Ahmadi, para peserta sesi 2009 dan seluruh rakyat Malaysia khasnya di negeri Pahang, kini boleh membuat pilihan untuk menyertai enam Pelan Takaful Khairat Individu yang ditawarkan bagi sesi 2010.

“Pelan baru yang ditawarkan telah mengambil kira kemampuan para peserta khasnya golongan berpendapatan rendah. Ini bertujuan membantu rakyat Malaysia membuat persediaan paling
minimum menghadapi risiko kematian”.

“Perlindungan ini amat perlu untuk manfaat diri
peserta sendiri melalui sedekah jariah mahupun untuk manfaat ahli keluarga yang ditinggalkan,” jelasnya.

Menurut Roslan, enam Pelan baru tersebut ialah Khairat Asas, Khairat Mulia, Khairat Sayang, Khairat Kasih, Khairat Prihatin dan Khairat Kifaalah.

Bagi lima pelan awal, umur pencarum mestilah antara 18 hingga 65, manakala bagi Khairat Kifaalah (Warga Emas) berusia antara 66 hingga 80 tahuun.

Bagi Khairat Asas sumbangan tahunannya RM15 .00, Khairat Mulia (RM20) Khairat Sayang (RM25) Khairat Kasih (RM30), Khairat Prihatin (RM35) dan Khairat Kifaalah (RM30).

Sementara manfaat perlindungan urus jenazah Khairat Asas RM500, dan kematian pula RM500. Bagi Khairat Mulia (RM500 – RM1,200), Khairat Sayang (RM500 - RM2,200), Khairat Kasih (RM500 - RM3,000) Khairat Prihatin, (RM500 - RM4,000) dan Khairat Kifaalah (Warga Emas) caruman tahunannya dan bayaran urus jenazah sebanyak RM400.

Tambah Roslan, orang ramai yang berminat boleh menyertai program tersebut melalui agen yang dilantik di semua
Kawasan parlimen di negeri Pahang atau menghubungi 09-296 5143 untuk mendapatkan
maklumat.

Menurutnya, maklumat juga boleh diperoleh di laman web http://www.paspahang.org/v3/.

“BPPNP merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang terdiri daripada ahli PAS dan pelbagai lapisan rakyat Malaysia yang telah menyertai program tersebut sepanjang tahun
2009”.

“Sepanjang tempoh tersebut lebih 17 ribu peserta telah menyertainya dan lebih 200 keluarga peserta telah menerima manfaat perlindungan khairat kematian. Jumlah perlindungan yang telah dibayar oleh syarikat takaful berkenaan pula melebihi RM1.2 juta,” ujarnya.


Orang Asli tuntut pewartaan tanah rizab

TEMERLOH: Kelewatan Kerajaan Negeri Pahang mewartakan rizab Orang Asli didakwa menyebabkan pelbagai kerumitan dan pertelingkahan terus menerus antara agensi kerajaan dengan entiti itu di negeri ini hingga berlanjutan ke mahkamah.

Sehingga kini kes-kes mahkamah melibatkan perbalahan antara Orang Asli dengan pihak kerajaan berkaitan isu tanah difahamkan berlaku di seluruh daerah negeri ini.


Terbaru, sekumpulan Orang Asli dari Kuala Krau, Temerloh melahirkan rasa kecewa apabila pejabat Renjer Hutan Mentakab telah menghantar surat larangan menceroboh atau meneroka hutan simpan yang mereka anggap selama ini kawasan mereka.

Dalam sidang media yang diadakan di pejabat PAS Pahang baru, mereka mendakwa surat larangan menceroboh atau meneroka Hutan Simpan Krau oleh Pegawai Hutan Daerah Temerloh itu telah dihantar Kepada Ketua Batin Kampung Penderas, Nun bin Jak pada 12 April lalu.

Antara lain surat tersebut menegaskan pihak Jabatan Hutan akan mengambil tindakan tegas iaitu mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984 yang antara lain melarang pendudukan atau menjalankan aktiviti dalam kawasan hutan simpanan kekal.

Seksyen itu menyebut seseorang penceroboh apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali. Amaran tersebut amat merisaukan mereka.

Sedangkan bagi Orang Asli suku Jahut di situ, menurut jurucakap kumpulan mereka, Shafie Deris, telah menganggap kawasan tersebut merupakan tempat mencari makan dengan berburu, mengusahakan pertanian dan kawasan rayau masyarakat mereka sejak turun temurun lagi.

“Kehidupan orang Asli amat berkait rapat dengan hutan kerana itu tempat cari makan. Mereka tidak mencuri, kita nak beritahu, kita cabar Jabatan Hutan ambil tindakan kepada tauke-tauke besar yang mencuri kayu balak. Kenapa tauke-tauke besar tidak dikenakan tindakan?”.

“Kenapa Orang Asli yang dijadikan mangsa? Kita harap Jabatan Hutan jangan jadi alat untuk tindas rakyat miskin. Yang berlaku kawasan bersebelahan yang bergeran ditebang balak oleh orang tertentu, kenapa tiada apa-apa tindakan?”.

“Inilah masalahnya bila kawasan Orang Asli tidak diwartakan. Tapi bukan salah kami bila tidak dirizabkan. Kenapa susah sangat... Selangor dan Perak dah diwartakan rizab Orang Asli,” tegasnya penuh emosi.

Menurut Shafie, kelemahan kerajaan negeri ialah melengah-lengahkan pewartaan rizab Orang Asli sedangkan pada setiap kali mesyuarat Batin-Batin pihak kerajaan sering kali berjanji berbuat demikian.

Turut hadir dalam siding media berkenaan ialah Timbalan Pengerusi Biro Hal Ehwal Orang Asal Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang, Yusri Ahon

“Seelok-eloknya kerajaan negeri segera wartakan tanah rizab Orang Asli, dan selepas tempoh tersebut baru-barulah dilot-lotkan sebagaimana yang dinikmati oleh warganegara yang lain. Kita percaya ini saja jalan yang boleh menyelesaikan pertikaian antara kita yang sudah berlanjutan lama ini.”

“Apa yang nak dikhuatirkan sebab dasar pemberimilikan tanah kepada Orang Asli termaktub dalam Seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965. Juga boleh dirujuk Tanah Rizab Orang Asli di bawah Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954 (Akta 134). Jadi kelemahan yang ada sekarang jelas kelembapan pihak kerajaan, “ katanya.

Di Malaysia hanya di daerah Temerloh yang mempunyai petempatan Masyarakat Jahut dan Kuala Krau adalah lokasi utamanya.

Petempatan masyarakat Orang Asli suku Jahut Kuala Krau terletak di Kampung Terboi, Kampung Pian, Kampung Galung, Kampung Lubuk Wong, Kampung Pasu, Kampung Penderas, Kampung Paya Mendoi dan Kampung Seboi.

Perkampungan tersebut terletak di Lembah Sungai Krau, bersebelahan Hutan Simpan Krau yang meliputi kawasan berbukit bukau. Lembah Krau terletak di bahagian tengah Semenanjung Malaysia. Puncak tertinggi adalah Gunung Benom iaitu 2,108 meter dari aras laut yang terletak di bahagian Barat Laut.

Sementara itu Yusri Ahon yang turut berucap, berkata perjuangan Orang Asli menuntut tanah adalah menuntut hak mereka sendiri.

“Nasib kami kaum Orang Asli ialah kaum yang termiskin di Negara ini. Kaum lain boleh mengatakan mereka susah, tetapi kesusahan mereka tidak serupa dengan kesusahan kami. Kebanyakan orang kami belum mempunyai keperluan asas termasuk tanah”.

“Tidak ada seinci pun bumi Pahang ini dimiliki oleh Orang Asli. Kaum-kaum lain yang miskin kadang-kadang masih memiliki seekar dua tanah kampong kalau pun tidak ada tanah kebun. Tetapi Orang Asli tidak. Tanah yang kami duduk tidak ada geran, kebun yang kami buat, bukan milik kami. Kami dikatakan mempunyai tanah rezab itu tidak diwartakan”.

“Hari demi hari, kami hanya menengok sahaja hutan-hutan disekeliling kami ditebang, dan dijadikan ladang atau estet oleh FELDA, FELCRA dan estet-estet swasta. Kayu balak dari hutan-hutan sekeliling kami ditebang menjadi balak, tapi yang kami dapat hanyalah habuk-habuk dan debu-debu”.

Menurut Yusri, kaumnya mahukan tanah untuk kampung kami, tanah ladang dan penghidupan kami. Justeru mereka mahu hutan-hutan sekeliling mereka dikekalkan untuk meneruskan cara dan budaya hidup kami.

“Kami mahukan agar Rezab Orang Asli bukan sahaja dikekalkan sekadar pada nama, tapi mestilah diwartakan dan tidak boleh diceroboh,” ujarnya.


Gambar:
Wakil Orang Asli bergambar bersama peguam dan pimpinan PAS




Thursday, April 29, 2010

Kes Amirul: Hishamuddin, Musa patut letak jawatan

Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan panel khas dan jaminan Ketua Polis Negara (KPN) bagi menyiasat kes remaja 15 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak Polis jam 2 pagi Isnin lalu, masih belum meredakan keresahan rakyat negara ini.

Ini disebabkan rakyat masih sangsi dengan penyiasatan polis terhadap polis. Kesangsian tersebut tidak dapat dielakkan kerana pernah berlaku dulu apabila Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibelasah oleh Ketua KPN Tan Sri Rahim Noor.

Kejadian di lokap pada tahun 1998 itu kemudian diserahkan kepada penyiasatan polis. Malangnya, polis tidak dapat jumpa polis yang membelasah Anwar sehinggalah ditubuhkan suruhanjaya bebas. Suruhan tersebutlah yang dapat menemui pembelasah Anwar, iaitu KPN sendiri.

Kini kes yang sama berulang, adakah mahu diserahkan polis juga yang menyiasat salah laku polis? Inilah sebenarnya yang menyebabkan keraguan awam dan langkah terbaik ialah turut menubuhkan suruhanjaya bebas.

Cadangan Penasihat DAP Lim Kit Siang bahawa KPN Tan Sri Musa Hasan dan KP Selangor Datuk Khalid Abu Bakar mesti meletak jawatan kerana cuai, betul.

Malah jika perlu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein juga selayaknya meletakkan demi menggambarkan integriti dan tanggungjawab. Ini tidak asing, dan sebenarnya inilah yang menjadi amalan di negara-negara maju.

Dalam kes Amirulrasyid, beliau meninggal dunia akibat terkena tembakan polis setelah remaja itu dikatakan cuba melarikan diri selepas terserempak kenderaan polis peronda (MPV).

Rakannya, yang turut sama dalam kereta yang dipandu Amirulrasyid, bagaimanapun berjaya melarikan diri setelah kenderaan mereka terbabas.

Sebelum ini, kes Norizan Salleh, 30, dilaporkan mendakwa ditembak lima kali di bahagian dada dan tangan di sebuah lebuh raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Segambut.

Dilaporkan akibat serangan tersebut, Norizan mendakwa beliau cedera parah dan terlantar di hospital lebih dua minggu bawah pengawasan polis.

Beliau juga dilaporkan mendakwa terpaksa menanggung kos rawatan perubatan berjumlah hampir RM20,000.


Wednesday, April 28, 2010

Rasuah berleluasa, undi BN hanya naik 5 % di Felda

Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, rasuah secara terang-terangan telah dilakukan oleh jentera Umno/BN di empat kawasan Felda dalam Hulu Selangor terutama pada malam akhir sebelum mengundi.

Bagaimanapun menurut Mazlan, hasil yang diperolehi calon BN tidak sepadan dengan usaha habis-habisan mereka kerana penurunan undi Pakatan Rakyat (PR) hanya sekitar lima peratus di kawasan Felda dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor berbanding Pilihan Raya Umum (2008).

Jelasnya, ini bermakna meskipun ditekan dan disogok, menunjukkan masyarakat peneroka Felda sudah cerdik dan berani berubah.

Ini berbeza dengan penurunan undi sehingga 12 peratus di kawasan perkampungan Melayu pinggir bandar di Dewan Undangan Negeri (Dun) Batang Kali dan Kuala Kubu Baharu yang menunjukkan entiti ini lebih mudah dimanipulasi Umno berbanding peneroka Felda.

“Berdasarkan laporan yang saya terima, pada malam terakhir jentera BN telah mengagihkan wang tunai secara besar-besaran dan seorang peneroka mendapat antara RM200 ke RM2,000. Ini berlaku di Felda Suharto, Gedangsa, Sungai Tengi dan Sungai Buaya”.

“Sebelum itu rasuah terang-terangan telah dimulakan oleh Perdana Menteri semasa memberi wang sebanyak RM1 ribu di Felda Sungai Buaya dan akan melangsaikan baki RM49,000 lagi selepas BN menang”.

“Itu rasuahlah namanya, kenapa tak beri RM50,000 terus di luar musim PRK bagi menangani masalah peneroka yang ditipu? Kenapa Tak bayar juga kepada peneroka-peneroka Felda Cahaya Baru yang juga menghadapi masalah yang sama?,” soal Mazlan.

Beliau berucap demikian dalam majlis dialog dengan peneroka di Felda Jengka 23, dekat sini baru-baru ini.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, malahan undi yang diperolehi BN dalam Dun Hulu Bernam yang melibatkan kawasan Felda hanya meningkat 400 undi dari PRU 2008. Undi diperolehi Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad ialah 40.56 peratus manakala bagi Datuk Zaid Ibrahim dalam PRK baru-baru ini ialah 35.67 peratus.

“Bayangkan dengan rasuah yang terang-terangan dan man to man marking oleh Umno pun peneroka masih berani memilih calon Pakatan, ini bermakna usaha jentera PAS memberi tumpuan di kawasan Felda berbaloi, ” katanya.

Dalam pada itu Mazlan berkata pihaknya sedang mengumpul bukti dan saksi rasuah yang dilakukan Umno bagi membantu petisyen yang dibuat oleh Zaid Ibrahim.


Mazlan (tengah) sedang berucap dalam majlis dialog

Pendapatan Pahang bertambah, tapi sikit – MB

KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob pada Selasa (27 April) telah menafikan dakwaan Syed Hamid Syed Mohamed (PAS-Kuala Semantan) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang bahawa pendapatan kerajaan negeri tidak meningkat.

Adnan Yang menjawab soalan bertulis Syed Hamid, sebaliknya berkata, pendapatan kerajaan negeri meningkat dari tahun ke tahun walaupun hanya dalam jumlah yang kecil.


Tambah Adnan, hasil pendapatan negeri Pahang pada tahun lepas adalah sebanyak RM492.1 juta berbanding pada tahun sebelumnya iaitu RM481.8 juta manakala hasil pada 2007 adalah RM441 juta.

Beliau bagaimanapun mengakui bajet negeri Pahang sejak 10 tahun lepas adalah defisit.

"Ini ternyata sejak 10 tahun lepas kerajaan negeri terus mengamalkan bajet defisit dengan tidak mengurangkan peruntukan pembangunan khususnya pembagunan demi kepentingan rakyat," katanya ketika menjawab.

Adnan berkata kerajaan negeri boleh melaksanakan bajet berimbang tetapi dengan mengurangkan peruntukan untuk pembangunan.

Menurutnya, pihaknya juga sanggup menanggung kesusahan dengan mengurangkan peruntukan mengurus dan perbelanjaan keraian bagi memastikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat tidak terabai.

Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pahang yang ke 12 berjalan pada minggu kedua di Wisma Sri Pahang, di sini.

Sementara itu, Adnan berkata sejumlah 155 kertas siasatan dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang berhubung kes salahguna kuasa atau rasuah sejak tiga tahun lalu di negeri ini.

Beliau berkata kertas siasatan yang dibuka pada tahun lepas adalah 27, tahun 2008 sebanyak 59 manakala pada 2007 sebanyak 69.

"Jumlah tangkapan oleh SPRM bagi tiga tahun berkenaan adalah 50 orang iaitu 21 orang pada tahun lepas diikuti 17 orang pada tahun 2008 dan 12 orang pada tahun sebelumnya," katanya ketika menjawab soalan Chang Hong Seong (BN-Teruntum).

Menurutnya, jumlah kes yang dituduh oleh SPRM Pahang di mahkamah bagi tiga tahun tersebut pula sebanyak 23 kes iaitu 11 kes pada 2009, tujuh kes pada 2008 dan lima kes pada 2007.

Monday, April 26, 2010

Bridget Welsh: Tiada pemenang dalam PRK Hulu Selangor

Tiada pemenang dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, malah ia belum cukup untuk dilihat sebagai referendum terhadap Perdana Menteri Najib Razak sungguhpun Barisan Nasional menawan semula kawasan pengundian ini. Demikianlah pandangan pengkaji politik, Bridget Welsh semasa mengulas keputusan PRK Hulu Selangor.

Bridget Welsh yang juga Profesor Madya di Singapore Management University berkata, walaupun BN memenangi PRK ini, namun ia satu kemenangan yang "kurang cantik", khususnya apabila Najib menongkah arus tradisional dan turun sendiri ke padang untuk menarik undi dengan menabur gula.

"Sememangnya, anda boleh mengatakan menang tu menang-lah," kata Bridget Welsh. Pada awal PRK Hulu Selangor, Bridget Welsh menganggap ia sebagai satu referendum terhadap prestasi Najib dalam menguruskan ekonomi negara kita. Namun, setelah mengamati kempen untuk PRK ini, beliau menganggap ia "belum cukup untuk dilihat sebagai referendum".

Calon MIC-BN P.Kamalanathan menewaskan calon PKR-PR Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi. PRK yang mencatat kadar pengundian 75.87% ini mempunyai 731 undi rosak. 【Baca: Akhirnya, Zaid Ibrahim tewas!】

Pakatan Rakyat perlu muhasabah

Selain itu, Bridget Welsh berpendapat bahawa Pakatan Rakyat harus mengambil iktibar dari PRK ini. Menurut Bridget, PR harus berkempen dalam satu pasukan, malah dalam PRK ini, PR lebih berada pada kedudukan "mengawal" (defend), dan agak perlahan langkahnya pada peringkat permulaan. Beliau menjangkakan keadaan mungkin memihak kepada PR seandainya tempoh berkempen dipanjangkan.

Pada pandangan Bridget, sungguhpun strategi BN untuk menyerang secara peribadi terhadap Zaid (gambar kanan) dan menabur gula kelihatan berkesan, namun taktik ini telah menjadikan kemenangan ini tercalit. Beliau menganggap Zaid Ibrahim seorang calon yang baik dan berwawasan, tetapi lemah dalam strategi kempennya.

"Saya merasakan tiada pemenang yang sebenarnya dalam PRK ini. Malah pengundi Hulu Selangor juga bukan pemenang yang sebenar. Walau bagaimanapun, saya masih dalam pengamatan," katanya.

Pada 24 April, PM Najib menjanjikan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada SRJK (c) Rasa, pembinaan 200 unit rumah kos rendah di Hulu Bernam dan peruntukan RM25 ribu kepada dua pertubuhan Cina di Hulu Bernam, seandainya BN menang.

Pada 23 April, Najib mengumumkan pembayaran pampasan tanah atas pembelian tanah sebanyak RM 50 ribu kepada 100 orang bekas peneroka FELDA Sungai Buaya, yang membawa kepada jumlah RM5 juta. Setiap daripada mereka memperolehi RM1000 pada peringkat awal, dan ini merupakan hasil penantian 15 tahun oleh mereka.

Selain itu, Najib mengumumkan pembinaan susur masuk dan keluar Sungai Buaya di Lebuhraya Utara-Selatan yang bernilai RM85 juta, yang bakal dimulakan pada tahun depan dan dijangka akan disiapkan dalam tempoh dua tahun.

PRK Ijok?

Apa yang menarik, PRK Hulu Selangor agak menyerupai PRK Ijok pada tahun 2007 dalam banyak perkara. PM ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi turun ke kawasan pengundian tiga hari sebelum mengundi, apabila keadaan agak mencemaskan buat pihak BN. Apa yang berbeza, bekas PM Mahathir Mohamad tidak dibawa bersama. Namun, kempen BN yang diketuai Najib pada ketika itu juga mengerahkan jentera kerajaan sepenuhnya.

Dalam kedua-dua PRK ini, budaya rasuah, ugutan, samseng bermaharajalela. Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak memperlihatkan "keberkecualiannya", apabila masalah senarai daftar pengundi, pertukaran pusat mengundi masih berlaku.

Jika dilihat kejadian keganasan yang berlaku, PRK Hulu Selangor mungkin gagal menandingi PRK Ijok, kerana calon PKR ketika itu, Khalid Ibrahim dibaling dengan air botol semasa berkempen. Malah pada hari penamaan calon, Naib Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Khairy Jamaluddin (gambar kanan) mengetuai penyokong BN untuk bertelagah dengan PR. Poster "Sedia Gempur" kelihatan di mana-mana, malah berlakunya perang membaling air botol dan pertembungan fizikal.

Kedua-dua PRK ini memperlihatkan kecenderungan pengundi Cina untuk menyokong PKR. Walaupun PKR tidak menang di Pekan Ijok, kawasan pengundi Cina majoriti, namun PRK hanya tewas nipis, memperlihatkan pola pengundi Cina yang menyebelahi PKR.

Ahli Parlimen Temerloh derhaka?

Cerita Ahli Parlimen Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah ‘derhaka’ kepada dua ibu bapanya muncul lagi. Kali ini cerita tersebut muncul daripada seorang yang mendakwa ‘berpangkat’ bapa saudara kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu.

Cerita itu bermula apabila orang tua berkenaan baru-baru ini bertemu penulis dan bertanyakan tentang potensi Parlimen Temerloh pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.


Bila menyebut tentang Saifuddin beliau lalu bercerita tentang kisah ahli MKT Umno itu yang dikatakan bersifat tidak hiraukan keluarganya, termasuk jarang menziarahi ayahnya semasa terlantar sakit.

Ayahnya Ustaz Abdullah Tahir, 78,telah meninggal dunia pada 31 Mac lalu dan disemadikan di rumah salah seorang adiknya di Rawang dan semadikan di sana.

Namun ketika keluarga Saifuddin mengadakan kenduri di rumah ibu bapanya di Taman Seri Semantan, Temerloh kira-kira tiga bulan lalu, Saifuddin dikatakan tidak pulang menyebabkan adik beradiknya merasa amat kecewa. Terutama ketika itu ayahnya, seorang pesara guru, sedang terlantar kesakitan.

Orang tua tadi bercerita, yang bercerita tentang ‘kederhakaan’ Saifuddin itu bukan orang lain, tetapi adik beliau sendiri iaitu Datuk Najmuddin, seorang bersatatus CEO. Saifuddin dikatakan jarang menjenguk orang tuanya meskipun ayahnya dikatakan telah terlantar kesakitan selama lima tahun.

Sebenarnya cerita Saifuddin yang jarang melawat keluarga telah lama menjadi ‘rahsia umum’ di Temerloh, sehinggakan dianggap biasa sahaja oleh jiran-jiran dan sanak saudara bekas Pengerusi Majlis Belia Malaysia itu.

Namun sebelum PRU 12 yang lalu di mana bertanding buat pertama kali, dikatakan balik ke rumah dan berjaya ‘memohon restu’ bersalam dengan ayahnya yang sedang sakit, dirakamkan wartawan akhbar Sinar Harian Temerloh. Selepas itu, kisah ‘si-tenggang’ Saifuddin tenggelam timbul.

Namun akhir-akhir ini cerita tersebut dibangkitkan kembali. Kenapa? Wallahua’lam.

Cerita bersifat terlalu peribadi itu mungkin tidak sepatutnya dibangkitkan, namun sebagai pengundi di parlimen ini, penulis juga mempunyai seorang ahli parlimen yang baik!



Sunday, April 25, 2010

Rahsia cincin pernikahan sarung di jari manis

Oleh ANGELIA

Mungkin banyak di antara kita yang tidak mengetahui alasan mengapa cincin pernikahan selalu diletakkan disarungkan pada jari manis, pada hal masih banyak jari-jari yang lain. Rupanya asal mula hal ini berasal dari falsafah Cina kuno. Caranya, mereka akan merekatkan kedua tangannya seperti gambar disamping dan melakukan langkah-langkah di bawah ini:


~ Pertemukan kedua telapak tangan lalu pasang-pasangkan jari-jari yang sama.

~ Tekuk jari tengah.

~ Sekarang cuba buka jempol, kemudian tutup kembali. Pasti bisa kan? Jempol ini mewakili orangtua kita. Pasangan jempol yang bisa dibuka menggambarkan orang tua kita yang akan meninggalkan kita suatu hari nanti.

~ Selanjutnya cuba buka pasangan jari telunjukmu, kemudian tutup kembali. Jari telunjuk ini mewakili kakak adik kita. Mereka cepat lambat akan meninggalkan kita, juga saat mereka memiliki keluarga sendiri.

~ Sekarang buka pasangan kelingking dan kemudian tutup kembali. Pasti boleh bukan? Pasangan jari ini mewakili anak-anak kita yang nantinya pun akan meninggalkan kita saat mereka dewasa dan berkeluarga.

~ Akhirnya, cuba buka pasangan jari manismu. Susah pastinya. Pasangan jari ini mewakili pasangan hidup kita yang akan terus menemani sepanjang hidup kita.

Saturday, April 24, 2010

Mamak India mulai bersuara tentang hak

BENTONG: Walaupun masyarakat India Muslim merupakan kaum minoriti iaitu 2.6 peratus kepada jumlah keseluruhan penduduk negara ini, tetapi sumbangan mereka terhadap pembangunan negara tidak boleh dinafikan.

Namun begitu, dalam arus pembangunan serba mencabar pada waktu ini, masyarakat India Muslim masih mencari-cari haluan dan menuntut hak mereka untuk mendapat pembelaan sewajarnya.

Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Syed Ibrahim Kader berkata, terdapat pelbagai masalah masih membelenggu masalah India Muslim termasuk pendidikan, keperluan sosial dan kebajikan, pembangunan ekonomi dan status warganegara.

Menurutnya, dari segi pendidikan, masyarakat India Muslim masih tidak mempunyai kuota khusus terutama dalam kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) mahupun pinjaman pendidikan dari pelbagai agensi.

“Pada masa kini, banyak pelajar India Muslim seakan-akan terpinggir kerana ada agensi pendidikan yang enggan memberikan pinjaman kerana berhubung kait dengan status kewarganegaraan.

“Dalam hal ini, pelajar yang mempunyai potensi untuk berjaya tidak dapat membangunkan diri dan ia memberikan kerugian bukan sahaja kepada masyarakat India Muslim tetapi juga negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Bersama Presiden Kimma Kebangsaan anjuran Bersama Kimma Lurah Bilut dan Badan Perhubungan Kimma Negeri bertempat di Felda Lurah Bilut dekat sini.



Langsung dari Hulu Selangor 2

Harapan PR menang di Hulu Selangor semakin cerah

Oleh SUHAIMI SAID

Sasaran PR untuk mencapai peratusan undi di kalangan pengundi-pengundi India, Cina, Melayu dan Orang Asal sudah tercapai, dan petugas-petugas kini hanya perlu untuk mempertahankan pencapaian itu, atau menaikkan lagi peratusan itu sehingga hari mengundi, maka, sudah semacam ada kepastian bahawa Hulu Selangor akan diwakili oleh Datuk Zaid Ibrahim didalam PRK kali ini.

Pengundi-pengundi UMNO jelas keciwa dengan keputusan BN meletakkan calon dari MIC. Bahkan mereka mempertikaikan keputusan pimpinan UMNO dan BN itu sebagai perbuatan yang membelakangkan kepentingan UMNO.

Bagi mereka, MIC jauh lebih cerdik dan bijak dari UMNO menyusun strategi politik. Dengan BN meletakkan calon dari MIC yang bukan Palanivel, MIC memperolehi dua faedah. Faedah pertama, MIC memperolehi tambahan seorang Senator dan dapat pula meletakkan calon.

Ahli-ahli UMNO Hulu Selangor yang tidak berpuas hati akan mengajar pimpinan UMNO, mereka mahu calon MIC ini kalah agar mereka dapat mempastikan bahawa didalam Pilihanraya akan datang UMNO boleh meletakkan calonnya mewaakili Barisan Nasional, dan jika MIC ini menang, maka tidak mungkin kawasan Hulu Selangor ini akan dipertandingi oleh UMNO untuk mewakili BN.

Didalam kerja-kerja saya dari rumah ke rumah khususnya rumah-rumah orang UMNO, hampir sekata mereka berkata bahawa mereka adalah UMNO tegar dan mereka tidak rela mereka diwakili oleh MIC. Alasan mereka agak racialistik dan kata-kata mereka tak perlu saya turunkan disini, tetapi mesejnya adalah jelas bahawa mereka tidak mahu calon MIC ini menang.

Trend ini melanda keseluruhan kawasan Orang Melayu, dan trend inilah yang akan memenangkan Datuk Zaid Ibrahim yang mewakili Pakatan Rakyat.

Ribut landa Felda Suharto

Jam 4.00 petang 21.4.10 hujan ribut melanda Felda Suharto. Banyak pokok-pokok yang tumbang. Poster-poster, banner dan bendera dari kedua parti habis ditiup angin. Dan hujan hingga ke malam. Program kami rumah ke rumah di waktu petang dibatalkan. Dialog kami dengan peneroka juga terpaksa dibatalkan. Pokok nangka yang tumbang menghempap khemah kami dan merosakkan PA system kami. Mujur juga kami ada 5 PA system, rosak satu ada 4 lagi.

Waktu malamnya, bermula 9.30 malam, kami ada ceramah di Felda Sg Tengi, di Felda Sg Tengi Selatan, di Felda Suharto dan di Felda Gedangsa.

Diantara penceramah-penceramah kami adalah YB Tian Chua, Prof. Shahril, YB Nurul Izzah, Peguam Wan Rohimi, YB Dr Zulkifli Ahmad, Datuk Fauzi Abdul Rahman, dan lain-lain penceramah.

Insya Allah, trend sokongan ini mulai dirasakan bahawa peneroka-peneroka Felda dan Generasi Kedua di keempat-empat rancangan Felda ini menyaksikan perubahan. Kalau dulu BN menang besar dari pengundi-pengundi peneroka dan generasi kedua tetapi kali ini keadaan sudah berubah. Kemungkinan juga BN masih boleh menang, tapi dengan majoriti yang tipis di kawasan Felda ini.

Apa yang diperlukan oleh PR di kawasan Felda dan Ulu Bernam ini bukanlah untuk menang, tapi untuk mengurangkan majoriti BN, dan dengan itu sudah cukup untuk memenangkan PR untuk kerusi Parlimen Hulu Selangor memandangkan kedudukan PR kini sudah mengatasi BN di dua kawasan DUN yang lain.

Perubahan nyata juga turut dirasakan di kawasan Orang Asal. Kalau dalam Pilihanraya Umum 2008 lalu, PR hanya mendapat undi yang sangat kecil di perkampongan orang Asal, tetapi kedudukan kini sudah hampir memihak kepada PR. Undi Cina dan India memihak kepada PR dengan 70%-30%. Maka undi di Rancangan-Rancangan Felda Hulu Selangor ini hanya perlu bertahan dengan undi pada tahun 2008, tetapi trend yang ada menunjukkan bahawa dengan kempen berterusan oleh Biro Felda PKR Pusat dan Negeri-Negeri undi di rancangan Felda bukan sahaja boleh bertahan dengan undi 2008 bahkan boleh mengatasinya untuk PR.

Pagi ini saya cukup sibuk untuk mengaturkan pertemuan-pertemuan besar di ke empat-empat rancangan Felda ini termasuk mengaturkan lawatan Dato Seri Wan Azizah dan ceramah umum Dato Seri Anwar Ibrahim.

Lawan tetap lawan, Insya Allah, PR akan menang dan Datu Zaid akan dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor.

Friday, April 23, 2010

Kerajaan Pahang ditegur lembab lulus tanah rakyat

MARAN: Satu usul berkaitan isu tanah yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung PAS kawasan Maran 17 April lalu di Lanting, Chenor wajar diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa kerana merupakan permasalahan menyeluruh penduduk negeri ini.

Usul yang dibawa oleh Ahli Jawatankuasa Kawasan Haji Mohd Nor Keria itu berbunyi: “Mendesak Kerajaan Negeri Pahang meluluskan permohonan tanah kepada rakyat luar bandar dalam masa tiga tahun.”


Mohd Nor ketika berucap membawa usul tersebut turut memberi contoh satu permohonan secara berkelompok yang diusahakan 200 penduduk Kampung Batu 13, di Hulu Gumbai, Chenor sejak daripada tahun 1970-an sehingga kini masih belum diluluskan. Tetapi dijanjikan dengan penyelesaian pada tiap-tiap kali pilihan raya.

Tambah Mohd Nor, dialog dengan Timbalan Menteri Besar yang juga Adun Chenor Datuk Tan Aminuddin Ishak sudah diadakan pada 2005 yang memberi jaminan masalah tanah tersebut akan diluluskan. Hasil daripada dialog tersebut penduduk telah membuat permohonan rasmi dan membayar RM300 bagi setiap lot iaitu seluas tiga ekar seorang.

Pada 2006 diadakan pula dialog dengan Felcra, juga tidak berhasil. Akhirnya pada 2007 penduduk menyerahkan memorandum kepada Pegawai Daerah Maran, namun keputusannya tetap belum ada.

“Kita membawa usul ini untuk kepentingan rakyat kerana tanah tersebut sudah dijayakan sejak sekian lama tetapi belum dapat geran. Apa maknanya menyebut slogan rakyat diutamakan, jika wujud birokrasi melampau atau mungkin pertimbangan politik sehingga terlalu lambat untuk meluluskannya.”

“Sepatutnya kerajaan kena sedar bahawa di situlah tempat orang kampung memperoleh pendapatan. Kita hairan, jika sekiranya pihak kerajaan mempercepatkan proses kelulusan, kerajaan juga yang dapat menambah hasil melalui premium dan cukai tanah,” hujahnya.

Apa yang disuarakan oleh Mohd Nor itu merupakan fenomena dan dilema biasa rakyat negeri ini. Cerita tentang pemohon tanah terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga memakan tempoh dua atau tiga generasi bukan lagi cerita baru. Bahkan acap kali didedahkan oleh media tempatan.

Pahang, meskipun merupakan negeri terluas di Semenanjung dan banyak tanah terbiar, namun isu pemilikan atau kelulusan permohonan tanah masih merupakan isu besar. Bayangkan, ada kes rakyat telah meneroka dan memajukan tanah sekian lama sehingga 30 ke 40 tahun, tiada penyelesaian dibuat atau permohonan ditolak tanpa alasan dan sebagainya.

Rata-rata membuat bandingan, apabila melibatkan tauke-tauke besar sama ada dalam bidang pertanian, pembalakan, perumahan dan industri, dikatakan begitu pantas pula mendapat kelulusan. Satu lagi apabila musim pilihan raya tiba, banyak kes-kes permohonan tanah yang sekian lama tertunggak dan terbengkalai dengan tiba-tiba dapat diselesaikan dan tokoh-tokoh tertentu berlumba-lumba menyerahkan surat hak milik tanah.

Semua ini sudah menjadi rungutan ramai terutama bagi pemohon yang bukan tauke besar dan tidak mengenali tokoh politik. Justeru semua ini memerlukan perubahan dalam sistem dan mungkin sikap pegawai terlibat sendiri agar permasalahan yang berpanjangan selama setengah abad dapat dirungkai sesuai dengan usia kemerdekaan negara.

Bekas pegawai di pejabat tanah Syed Ali Badaruddin meletakkan birokrasi sebagai antara punca kelewatan kelulusan tanah. Menurutnya, prosedur biasa yang terpaksa dilalui ialah mula-mula kena beli pelan, lepas itu kena isi borang, lepas itu akuan surat sumpah. Apabila permohonan tidak berlapis, bukan rizab dan bukan pula kawasan bakal dimajukan kerajan barulah Jawatankuasa Penyelesaian Tanah Daerah (JKPD) yang lazimnya dipengerusikan oleh Pegawai Daerah menyokong dan seterusnya dimajukan ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.

“Dari situ PTG akan membawa ke mesyuarat Exco dan jika diluluskan permohonan akan dihantar semula ke PTG untuk pengesahan (endorsement). Dari situ akan diturunkan ke pejabat tanah daerah untuk dikutip premium”.

“Prosedur seumpama itu biasanya memakan masa sehingga 12 tahun untuk lulus. Beliau meletakkan birokrasi sebagai punca berlaku kelewatan dalam sesuatu kelulusan pemohonan tanah iaitu terpaksa melepasi tidak kurang “20 meja” untuk diluluskan”.

Tambah beliau, proses kelulusan boleh dipercepatkan jika pihak berkuasa negeri menggunapakai Seksyen 12 Kanun Tanah Negara iaitu pihak berkuasa negeri menurunkan kuasa kepada wakilnya.

“Setakat ini permohonan tanah hanya diluluskan Menteri Besar melalui mesyuarat bersama Exconya. Sebenarnya proses kelulusan boleh dipercepatkan jika Seksyen 12 digunapakai iaitu mewakilkan kepada pegawai tertentu jika pertimbangan hanya atas alasan dan sebab-sebab teknikal”.

Hal ehwal tanah terletak sepenuhnya di bawah bidangkuasa negeri. Pengurusan yang cekap sudah tentu dapat melipatgandakan hasil negeri. Jika terlalu lambat hanya kerana karenah birokrasi, bagaimana kerajaan mahu memenuhi keperluan rakyat dan desakan pembangunan setempat.

Mungkin tidak semua pemohon tahu tentang status tanah dan di mana tanah yang boleh dimohon. Oleh yang demikian dirasakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sepatutnya bertindak proaktif iaitu memohon dulu tapak tanah untuk penempatan dan kemudiannya diagih-agihkan kepada rakyat yang memerlukan.

Mungkin idea ini terlalu ideal, tetapi tidak salah dipraktikkan demi memenuhi slogan ‘rakyat didahulukan’.

Barangkali tidak ramai yang sedar bahawa tanah mempunyai kaitan dengan kemiskinan dan kepentingan nilai sebidang tanah dapat diukur daripada kenyataan seorang ahli ekonomi Peru Hernando De Soto iaitu “Lambang kemiskinan seseorang ialah apabila tidak memiliki tanah dan begitu jugalah dengan ukuran kepada sesebuah masyarakat”.

Pengamalan peraturan tanah di negara ini diambil daripada sistem Torrens, Australia. Bagi peguam Ahmad Nizam Hamid, tanggungjawab kerajaan sepatutnya memudahkan proses pemilikan tanah kepada rakyat khususnya yang masih belum memiliki tanah.

“Dalam sistem sekarang terlalu banyak karenah birokrasi yang terpaksa ditempuh sehingga menjadi lembab. Antaranya tiada akses kepada kemudahan dan di peringkat bawah pula pemberian tanah kadangkala berdasarkan kepentingan politik menyebabkan berlaku ketidakadilan,” jelasnya.

Caption:
Haji Mohd Nor sedang berucap




Kisah “Tuan Muda” gamatkan Pahang

Minggu lalu negeri Pahang dikejut dan digamatkan dengan isu seorang pelajar pintar menyamar sebagai “Tuan Muda” iaitu mengaku anak angkat kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Bukan setakat menyamar, remaja berusia 17 tahun berasal dari Bera itu juga berjaya memperdaya seorang Exco kerajaan negeri Pahang dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kecil sehingga keduanya mengiringinya melawat Kem PLKN Cahaya Gemilang, Cherating, Kuantan.


Isu ini menarik kerana perkara seumpama ini tidak pernah terjadi sebelum ini. Justeru pada pandangan umum, pelajar berkenaan bukan sahaja pintar bahkan berani. Siapa yang berani mengaku anak raja jika dia bukan seorang berani?

Ceritanya bermula apabila remaja yang mendapat keputusan 9 A dalam peperiksaan SPM 2009 itu menghantar surat rasmi palsu atas nama Tengku Puan Pahang ke Kem PLKN Cahaya Gemilang memaklumkan beliau mengadakan lawatan ke kem berkenaan.

Berikutan surat berkenaan, Ketua Pengarah JLKN sendiri datang ke Pahang mengiringi beliau yang memakai baju PLKN dengan tertera nama "Tuan Muda" dan dia juga menjalankan satu acara pengurniaan pingat kepada peserta-peserta PLKN. Remaja berkenaan turut melakukan lawatan ke rumah Orang Kelainan Upaya (OKU) berhampiran Kem PLKN Kampung Hijrah yang turut dihadiri seorang ahli Exco kerajaan negeri Pahang.

Rahsia bekas pelajar Sekolah Menengah Bandar 32, Bera itu terbongkar apabila kawannya yang kebetulan turut menjalani latihan di kem PLKN tersebut telah mendedahkan identiti sebenar remaja berkenaan.

Sementara itu Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar juga mengakui baginda tidak mengenali remaja berkenaan. Tetapi berkata, remaja itu pernah menulis surat kepada baginda kira-kira sebulan lalu, mengatakan bahawa dia adalah anak angkat baginda dan bertemu semasa Tengku Puan Pahang melawat mangsa banjir tetapi baginda mengabaikan surat tersebut kerana tidak mengenalinya.

Polis menahan remaja berkenaan ketika berada di rumah keluarga angkatnya di Pekan dan disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan setelah menerima aduan daripada Istana Pahang yang dianggap mencemarkan institusi berkenaan.

Kes seperti ini ada yang menganggapnya sebagai melucukan. Namun persoalan yang timbul di kalangan orang ramai ialah bagaimana Exco sendiri boleh tertipu. Sedangkan kepala surat yang digunakan remaja itu bukannya kepala surat istana sebaliknya menggunakan lambang Kerajaan Negeri (gading bersilang).

Kepada setengah pihak ini timbul kerana kelemahan protokol sendiri. Tengku Puan Pahang sendiri mempertikaikan apa yang berlaku dan berpendapat prosedur yang betul ialah apabila menerima surat sedemikian JLKN sepatutnya terlebih dahulu merujuk kepada istana.

Komander di kem PLKN berkenaan dikatakan telahpun dipecat di atas kelemahan pusat itu.

Namun cara penyelesaian yang dilakukan oleh Tengku Abdullah amat terpuji kerana tidak memanjangkan polemik dengan meminta remaja berkenaan memohon maaf, berbuat akujanji dan mendapatkan rawatan kaunseling.

Pelajar tersebut juga dikatakan ditawarkan menyambung pelajaran di sebuah pusat matrikulasi.

Caption:
Gambar “Tuan Muda” yang sempat dirakam


Peneroka Sungai Buaya toreh getah tumbuh di paya untuk sara hidup

Oleh MAZLAN ALIMAN

Semenjak daripada 2008 yang lalu, saya telah berulang alik di beberapa Felda di parlimen Hulu selangor ini. Saya pernah bawa TV3 ke Felda sungai buaya untuk menyaksikan sendiri nasib yang dialami oleh 393 peneroka apabila kawasan mereka kononnya nak dimajukan untuk menjadi Bandar Baru Sungai Buaya

Maka penerokanya dijanjikan untuk mendapat (pampasan) keluasan tanah 8 hektar yang dijual dengan harga lebih kurang 1.2 juta. Seluruh Malaysia tahu, apa yang telah dirasai, derita, tangisan, air mata penduduk-penduduk di Felda Sungai Buaya.

Sampai hari ini, mereka yang bertanggungjawab menipu dan menindas peneroka Felda Sungai Buaya masih belum membayar pampasan kepada penduduk sungai buaya, bakinya masih ada lagi 853,000 ringgit setiap seorang. Daripada RM1.2 juta dan mereka telah menanti lebih kurang 15 tahun lamanya.

Felda sungai buaya dibuka pada tahun 60-an. Sekarang ini, yang masih hidup hanya sekitar lebih kurang 45 orang sahaja. Yang lain-lain telah meninggal dunia.

Saya masih ingat dalam satu majlis dialog di Sungai Buaya apabila seorang makcik tua berumur hampir 80 tahun dalam keadaan berjalan menggigil memegang tangan saya, dia kata, “anak, makcik ingat kerajaan ni betul. Nak ambil tanah, nak majukan felda di tempat ini. Penerokanya dijanjikan nak jadi jutawan, tetapi umur makcik dah hampir 80 tahun,” dia kata.

“sama ada makcik boleh hidup lagi atau tidak untuk menerima baki pampasan 850,000 lagi yang dijanjikan.” Makcik ni bagitahu saya dan saya jadi sebak apabila dia memaklumkan kepada saya pendapatan tak ada.

Saya tanya makcik ni, bagaimana makcik nak menyara hidup? Dia mengatakan apabila pokok getah dia tak ada, tanah dia diambil oleh kerajaan, maka dia kata, anak pokok getah hidup di dalam paya. Anak pokok itu hidup dan makcik menoreh di atas anak pokok tersebut 8 tahun kemudian.

Maknanya, pokok getah yang hidup tu, atas paya tu la yang ditoreh dan saya tanya berapa dapat? Sebulan dia kata paling banyak pun RM100. 100 ringgit nak bayar bil eletrik, bil air, telefon dan sebagainya. Dan kalau ada masa pergilah ke Felda Sungai Buaya, boleh tengok sendiri peninggalan-peninggalan kerajaan BN, rumah-rumah yang daif, apabila berlakunya penipuan kepada peneroka yang dijanjikan untuk menjadi jutawan segera.

Dan nasib peneroka Felda Sungai Buaya hampir sama dengan Felda Cahaya Baru di Johor yang berlaku di zaman (Tan Sri) Muhyiddin Yassin sebagai menteri besar Johor. Kalau (peneroka) di Sungai Buaya dijanjikan RM1.2 juta, (peneroka)di Felda Cahaya Baru dijanjikan RM1.3 juta.

Saya hairan, bagaimana Muhyiddin Yassin datang ke Sungai Buaya menjanjikan, dia umum dalam ucapannya dia kata, kerajaan pusat akan menangani isu Felda Sungai Buaya. Muhyiddin tak perlu berlagak untuk menjadi ‘Santa Claus’ tak perlu berlagak nak menjanjikan yang indah-indah kepada penduduk Sungai Buaya, sedangkan dia sendiri terlibat apa yang telah berlaku kepada peneroka Felda Cahaya baru ketika dia menjadi menteri besar Johor
Kalau peneroka (Felda) Sungai Buaya 15 tahun (dizalimi), peneroka di Felda Cahaya Baru, tuan-tuan, zaman dia jadi MB, hampir 17 tahun, daripada 1.3 juta, penerokanya hanya baru dapat RM120,000 sahaja. Dan nasibnya sama, sama merempat peneroka Felda Cahaya Baru dengan peneroka di Felda Sungai Buaya.

(Dengan) kuasa Allah, bila kami Persatuan Anak Felda nak buat himpunan warga Felda Kebangsaan Kali ke Dua, kali pertama kami buat di Felda Bandar Jengka, Pahang. 4 November 2007. di bawah kerajaan BN, Tok Guru Haji Hadi antara yang datang. Dirasmikan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu adalah Setiausaha Agung PKR.

Kami mesyuarat daripada bulan Disember yang lalu, bincang nak buat sambutan yang serupa kali kedua. Kami nak pilih negeri pakatan rakyat. Bincang punya bincang nak buat di Selangor. Dan satu-satunya kawasan yang ada Felda ialah Hulu Selangor. Maka kita bersetujukan kami pilih tarikh 24, 25 april untuk menyambut sambutan himpunan warga Felda kebangsaan kali ke dua.

Serangan peribadi ke atas Zaid Ibrahim: Perancangan sebenar untuk mengenakan PM

Oleh AHMAD NIZAM HAMID

Saya kira tidak pernah didalam mana-mana Pilihan Raya-baik PRU mahupun PRK-serangan terhadap peribadi calon dilakukan secara terang-terangan.Jika selama ini,walaupun ulah sebegini sering terjadi yakni serangan memburuk-burukkan calon lawan berlaku yang bersifat peribadi,namun skalanya tidaklah secara terang-terangan tetapi lebih bersifat 'bisik-bisik' atau berupa surat layang.

Manakala PRK Parlimen Hulu Selangor (PRK HS) yang sedang berjalan rancak hari ini memperlihatkan wajah atau citra UMNO/BN yang begitu memualkan;nampaknya serangan yang bersifat peribadi atas isu akhlak dan moral dihalalkan oleh pemimpin UMNO tanpa had.

Panglima-panglima UMNO seperti Khir Toyo,Ali Rustam,Muhyidin Yassin dan yang lainnya seolah-olah dirasuk palung mendendangkan isu akhlak atau moral Zaid Ibrahim dengan pelbagai tuduhan-kaki botol,womaniser,kaki judi dan pelbagai lagi-secara terang-terangan,tanpa segan-silu.Demi sebuah kemenangan mungkin, maka UMNO/BN sanggup 'stoop too low' tanpa menghiraukan etika dan adab (bukankah salah satu rukun di dalam Rukunegara ialah "kesopanan dan kesusilaan?).

Media perdana,baik bercetak mahupun televisyen memaparkan isu akhlak Zaid Ibrahim tanpa taranya.Kesemua ini guna untuk mengolah persetujuan rakyat/pengundi bahawa calon KEADILAN punya akhlak yang jelek dan menjijikkan.Sasaran utama mereka ialah para pengundi Melayu Muslim yang merupakan pengundi majoriti disitu.

Pun begitu,propaganda hitam seperti ini bukanlah perkara baru.Jika ditelusuri sejarah akan dapat kita fahami bagaimana propaganda yang bersifat serangan peribadi ini di lakukan;Dato Bahaman,Mat Kilau,Imam Perang Rasu,Dato Maharajalela,Si Putum,Tok Janggut,Abdul Rahman Limbung (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi pejuang di labelkan sebagai PENDERHAKA kepada Sultan.

Malah penjajah (dan anak murid penjajah) akan memberikan alasan yang begitu sepele untuk mengolah persetujuan ramai bahawa faktor para Pahlawan bangsa ini bangkit berjuang diatas alasan yang bersifat peribadi yang begitu menjelekkan.Kerana itulah kita diberitahu alasan perjuangan Pahlawan bangsa ini kerana mahu memelihara hamba atau kerana tidak lagi boleh mengutip cukai dan 1001 tuduhan.

Tidak pernah mereka (dimaksudkan dengan para sejarawan barat dan anak muridnya yang masih ada hingga kini) para Pahlawan bangsa ini dikatakan berjuang untuk kemerdekaan dan menghalau penjajah.Maka atas kalimat PENDERHAKA kepada Sultan,propaganda penjajah berhasil mengolah persetujuan rakyat ketika itu untuk tidak berpihak kepada Dato Bahaman dan yang lainnya.

Sewaktu Perang Dingin khususnya di era Darurat (dari sudut perundangan Malaysia tidak pernah sehingga ke hari ini diistiharkan bebas dari Darurat) propaganda tentang kejahatan Komunis di uar-uarkan.Cukup dengan tuduhan tanpa asas bahawa seseorang itu merupakan agen komunis atau penyokong komunis atau simpatisan atau berjuang diatas idealogi komunis atau di tuduh komunis memungkinkan kebebasan dan hak asasi individu tersebut tercabut dan dihalalkan untuk dikurung tanpa bicara di Kamunting atau tempat tahanan yang lain baik di Malaysia mahupun Singapura.

Lihat sahaja pengalaman Dr.Syed Husin Ali yang dicatatkan di dalam bukunya,Two Faces/Dua Wajah atau kisah Pak Said Zahari pengalaman beliau di Singapura. Kedua-duanya di tahan di bawah ISA yang zalim itu antaranya atas tuduhan komunis.Rakyat yang saban waktu di cuci otak dengan propaganda buruk tentang komunisisme (tanpa tahu atau faham apa itu komunisme) menerima segala yang dinyatakan oleh kerajaan seadanya.Ertinya di kurun waktu tersebut akibat propaganda sedemikian rupa maka fikrah rakyat sudah diolah bahawa sesungguhnya ada justifikasi diatas penahanan inidividu diatas kalimat komunis.

Pengalaman yang sama dialami oleh DSAI sewaktu beliau dilanyak tanpa ampun oleh media dan alat kerajaan seawal bulan September 1998 (dan berterusan hingga ke hari ini);propaganda sengit yang menyerang peribadi DSAI di buat sebegitu rupa guna untuk mengolah persetujuan rakyat yang sekali gus untuk menghalalkan fitnah terhadap beliau.Malangnya,kali ini propaganda jelek UMNO/BN tersasar,rakyat tidak mempercayai segala tuduhan dan fitnah keji itu.Propaganda jelek keatas DSAI akhirnya memakan diri UMNO/BN sendiri apabila rakyat bangun dan membuat pilihan.

Kali ini sasaran mereka ialah Dato Zaid Ibrahim.UMNO tahu Zaid Ibrahim punya tampang dan kaliber dan ini meresahkan mereka.Kerana takut berdepan sebagai anak jantan,berdebat soal prinsip dengan bijaksana maka UMNO mengambil pendekatan yang benar-benar tidak beretika dan beradab dengan menyerang peribadi serta mempersoalkan akhlak Zaid Ibrahim.

Tentunya yang menjadi lelucon ialah pemimpin UMNO yang membantai Zaid Ibrahim itu bukan pula yang berakhlak mulia! Malah tidak keterlaluan jika dikatakan mereka juga punya isu moral yang di persoalkan.Pun begitu mereka ini-Khir Toyo,Ali Rustam dan yang lainnya-mempamerkan muka tebal mereka seolah-olah mereka punya akhlak par excellence dan maksum.Saya tidak punya perkataan yang lebih lunak selain dari hipokrit!

Pada masa yang sama,saya cenderung menilai permainan propaganda jelek ini dari sudut perebutan kuasa dalaman UMNO.Najib dan Muhyidin Yasin dilihat bukanlah gandingan yang punya chemistry;malah didalam banyak perkara Muhyidin dilihat menjarakkan dirinya daripada Najib.Sudah menjadi rahsia umum Muhyidin khabarnya sedang menyusun kekuatan beliau untuk mengambilalih tampuk kekuasaan daripada Najib.

Saya beranggapan Muhyidin Yassin tidak naif apabila memberikan lampu hijau kepada jentera UMNO/BN membangkitkan isu akhlak Zaid Ibrahim.Tentunya beliau mendapat nasihat serta pandangan menyeluruh dari pakar perang saraf UMNO/BN sebelum beliau memilih opsyen untuk menyerang peribadi Zaid Ibrahim.Dan tentunya Muhyidin menyedari bahawa sebarang serangan peribadi khususnya isu akhlak akan ada serangan balas atau repercussion daripada Pakatan Rakyat.

Dan inilah yang terjadi-apa yang diharapkan oleh Muhyidin menjadi-serangan balas daripada jentera PR tentunya membabitkan persoalan moral beberapa pemimpin UMNO khususnya batang tubuh Perdana Menteri/Presiden UMNO,Dato Seri Najib Razak.Najib Razak yang sudah sekian lama sememangnya dilihat sebagai pemimpin utama UMNO yang punya banyak baggage dan jerangkung di dalam almari.

Sekadar menyebut beberapa contoh,daripada isu Altantuya yang tidak kunjung padam malah kembali dihangatkan gara-gara perang saraf Muhyidin hinggalah kepada skandal pembelian pesawat pejuang,kapal selam dan yang lainnya.Malah turut dikaitkan dengan isteri beliau Rosmah Mansor.Pengakuan PI Bala khabarnya diterjermahkan ke bahasa Melayu untuk diedarkan.Lihat juga siri serangan balas melalui foto-foto dan tulisan-tulisan yang mengaitkan Najib dengan pelbagai persoalan akhlaknya.

Sepupu Najib,Hishamudin turut menjadi 'mangsa' propaganda hitam akibat dari ulah Muhyidin ini.Betapa foto-foto lama (menurut Hishamudin sendiri sudah lebih 8 tahun berlegar di dunia maya) yang tentunya menimbulkan persoalan tentang moral beliau dimuat turunkan daripada internet.Begitulah sedikit sebanyak gambaran yang boleh diberikan.

Saya menyebut Muhyidin tentunya tidak naif apabila memberikan lampu hijau kempen memburuk-burukkan Zaid Ibrahim dihalalkan.Dan Muhyidin punya wewenang untuk menghalang serangan peribadi dari dilakukan tetapi beliau tidak mengambil pilihan itu.Beliau tidak naif kerana pastinya mengetahui atau sekurang-kurangnya dapat meramalkan tentunya akan ada serangan balas yang akan disasarkan kearah batang tubuh PM ketimbang lain-lain pemimpin UMNO/BN.


Propaganda yang baik ialah yang tidak ada tindakbalas yang merugikan!


Pada hemat saya,walau apa pun keputusan PRK Hulu Selangor,yang benar-benar kalah ialah Najib Razak dan pemimpin UMNO lainnya.Buat pertama kali,saya kira,'free for all' berhubungkait dengan isu akhlak PM dan pemimpin BN lainnya diperkatakan secara terbuka dan tentunya aliran informasi yang 'counter' propaganda UMNO itu menyebabkan ada makcik FELDA yang selama ini tidak mengetahui mengenai 'kebejatan' moral pemimpin UMNO mula mempersoalkan integriti dan akhlak PM dan pemimpin UMNO/BN lainnya.

Tahniah kepada Muhyidin Yassin diatas inisiatif itu.

Thursday, April 22, 2010

Sukan Pasti Kuala Krau tarik perhatian pelbagai pihak

Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Kuala Krau mencipta sejarah apabila berjaya menjayakan sukan tahunannya bertempat di Padang Awam Jengka 11, Bandar Jengka.

Sukan yang bermula jam 8.30 pagi dan berakhir 12.30 tengahari dengan upacara penutup disempurnakan dengan bacaan doa oleh Ust Mohd Azri Shamsul.


Banyak pertandingan yang melibatkan pelajar 4 , 5 dan 6 tahun. Tidak ketinggalan acara untuk ibubapa. Kehadiran ibu bapa diluar jangkaan menyerikan lagi sukan Pasti kali ini.

Apa yang menarik sukan tersebut berjaya melangkaui sentimen politik apabila semua pihak melibatkan pengurusan Felda, pimpinan daripada pelbagai parti politik dan orang awam hadir memeriahkan suasana.

Shafie Md. Esa selaku Pengerusi Sukan Pasti Kawasan Kuala Krau mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama pihak pengurusan Felda Jengka 11, para penyumbangan serta individu yang terlibat menjayakan Sukan Pasti tahun ini.

~ Petikan dari Media Guai

Umno dalam sejarah kegiatan judi, arak

Bukit Tinggi Resort Berhad

Bukit Tinggi Resort Berhad merupakan syarikat yang dimiliki oleh Tan Sri Vincent Tan yang dikenali rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Bukit Tinggi yang mula beroperasi sejak tahun..adalah merupakan ilham Dr. Mahathir seperti yang pernah dijelaskan oleh pengurus Besar Bukit Tinggi, Teh Ming Wah dalam satu wawancara dengan The New Paper Singapura tidak lama dulu.


Operasi judi melalui mesin slot di Bukit Tinggi mula dijalankan apabila Kementerian Kewangan yang diketuai oleh Dr. Mahathir sebagai Menteri 1 dan Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis sebagai Menteri 2 meluluskan lessen judi mesin slot berkenaan.

Ini menjadikan Menteri yang datangnnya dari Umno memberikan kelulusan lessen judi.

Menambah jelaskan lagi penglibatan Umno di dalam kegiatan judi di Bukit Tinggi ialah apabila terbongkar pegangan saham Pengerusi Perhubungan Umno Wi;ayah Persekutuan yang juga Setiausaha Kerja Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor di dalam syarikat berkenaan.

Ini menjadikan adanya pemimpin Umno yang punya pengangan langsung di dalam syarikat yang menjalankan aktiviti perjudian tersebut.

Sekalipun Tengku Adnan menyatakan bahawa beliau telah menjual saham Bukit Tinggi dua tahun lalu, hakikatnya, laporan tahunan PASDEC Holdings Berhad, satu lagi syarikat yang memiliki saham Bukit Tinggi kepada Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) masih menyatakan pegangan Tengku Adnan.

Begitu juga halnya dengan PASDEC, sebuah anak syarikat kerajaan negeri Pahang yang diketuai oleh Menteri Besarnya Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Pahang.

Walaupun PASDEC telah menjual saham Bukit Tinggi tetapi ia hanya dilakukan pada 27 Mei 2003 yang lalu setelah pendedahan dibuat oleh Seruan Keadilan dan bercanggah dengan kenyataan Adnan bahawa PASDEC telah menjual saham tersebut dua tahun lalu.

Berdasarkan senario ini apa yang dapat disimpulkan penglibatan Umno baik melalui kuasa menteri, pegangan saham menteri dan pegangan saham syarikat kerajaan negeri amat jelas sekali.
Sebab itu tidak salah jika ada yang berpandangan Umno amat berkait rapat dengan aktiviti judi di negara ini.

Umno tiada hak bicara soal agama dan moral

Penglibatan Tengku Adnan Tengku Adnan Tengku Mansor di dalam pemilikan saham syarikat perjudian menghapuskan hak Umno untuk berbicara tentang pendaulatan agama dan moral.

Selaku Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan dan Setiausaha Kerja Umno Malaysia, Tengku Adnan adalah lambang pemimpin Umno dan sekaligus menjadi lambang perjuangan parti berkenaan.
Sebagai tonggak parti dan selaku pemimpin, penglibatan Tengku Adnan memberikan tafsiran bahawa Umno tidak punya halangan sekiranya pemimpin parti itu turut terlibat di dalam menganjurkan syarikat perjudian.

Umno tidak boleh menyatakan bahawa pegangan saham syarikat judi oleh Tengku Adnan tidak punya kaitan dengan parti itu kerana sebelum melantik pemimpin apakah Umno tidak memriksa latarbelakang seseorang.

Dalam hal Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya umpamanya, Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad dipecat kerana tidak mengisytiharkan status muflisnya dan pemimpin kerajaan baik menteri mahupun pemimpin Umno menuntut tindakan tegas diambil.

Malah Kudus diibaratkan menjejaskan nama baik MPAJ.

Hal sama sepatutnya terpakai dalam isu Tengku Adnan. Apakah Umno tidak memeriksa latarbelakang seseorang itu sebelum dilantik menjadi Pengerusi Perhubungan Negeri dan Setiausaha Kerja.

Bagaimana Umno yang mendakwa dalam fasal tujuan penubuhannya untuk mengembang dan mempertahankan kesucian Islam boleh membiarkan seorang pemimpin dilantik sekalipun diketahui memiliki saham syarikat perjudian.

Penglibatan Tengku Adnan dalam sayarikat judi bukanlah sesuatu yang baru seperti pemilikan saham dalam Bukit Tinggi Resort Berhad yang memperolehi lessen judi mesin slot tetapi jauh sebelum itu sehingga kini beliau masih memegang saham dalam Berjaya Group Berhad yang memiliki Sports Toto Malaysia.

Mana mungkin Umno boleh berbicara soal mendaulatkan Islam jika pemimpinnya sendiri terlibat dengan syarikat yang menganjurkan perjudian.

Apa mungkin Umno berbicara soal membela nasib bangsa jika pemimpinnya mendapat keuntungan daripada syarikat judi yang terbukti membawa lebih banyak kerosakan kepada masyarakat.
Bagaimana mungkin Umno boleh berbicara soal membela negara jika pemimpinnnya sendiri terlibat dengan menganjurkan perjudian yang prinsip penjudi ialah sanggup menggadai apa sahaja asalkan mendapat keuntungan.

Dengan sebab itu, Umno sudah hilang hak dan kewibawaan untuk berbicara soal membela agama, banga dan negara.

Bagaimana Umno hendak menjustifikasikan mereka mempertahankan kod kedaulatan agama dan moral jika pada masa yang sama pemimpinnya begelumang dengan kegiatan tersebut.

Malah dalam kes Tengku Adnan, penglibatan beliau di dalam syarikat perjudian sejak sekian lama menimbulkan keraguan melampaui soal integriti dan kewibawaan.

Sebagai contoh dalam konteks Umno Wilayah Persekutuan yang diketahui punya sumber dana yang melimpah dan mewah, apakah tidak mungkin dana berkenaan datangnya daripada kantong aktiviti perjudian melalui pegangan saham Pengerusi Umno Wilayah.

Dana itu pula ada yang disalurkan melalui program kebajikan yag sering digunakan oleh Umno sebagai sogokan dan ugutan kepada rakyat miskin. Apakah rakyat miskin diberikan bantuan melalui hasil wang perjudian.

Sebab itu aktiviti judi lebih membawa kepada keburukkan dan Umno membiarkan keburukkan ini dikendalikan oleh pemimpinnya.

Sehubungan itu sudah tiba masanya ahli-ahli Umno Wilayah khususnya dan rakyat amnya mempersoalkan mengenai dana yang dibawa oleh tokoh seperti ini.

Umno dan Sports Toto

Sports Toto Malaysia diasaskan pada tahun 1969 dengan nama asal syarikat berkenaan ialah Unilite Electrical Industries Berhad. Setelah itu pada tahun 1987 ia ditukar nama kepada Far East Asset Berhad dan dalam penstrukturan semula pada tahun 1992, ia diambil alih oleh Berjaya dan dikenali sebagai Berjaya Sports Toto Berhad.
Sehingga kini Sports Toto mempunyai 681 kedai judi di seluruh negara dan mempunyai dua syarikat perjudian di luar negara iaitu Philippines Berjaya Toto dan pada tahun 1997 membantu kerajaan Ghana menyusun kegiatan loteri di negara berkenaan.

Syarikat ini adalah merupakan anak syarikat milik penuh Berjaya Group Berhad yang dimiliki oleh Tan Sri Vincent Tan, kroni yang rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Berdasarkan carian yang dibuat Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah yang juga Setiausaha Kerja Umno Malaysia, Tengku Adnan Tengku Mansor masih memegang saham di dalam Berjaya Group Berhad yang memiliki Sports Toto.

Pegangan Tengku Adnan sebanyak 3.5 juta saham dibuat melalui Cimsec Nominees.

Ini menjadikan Tengku Adnan `mewakili Umno di dalam syarikat perjudian Sports Toto melalui pegangan saham Berjaya Group Berhad.

Selain itu, Sports Toto Malaysia juga mempunyai dua pengarah yang merupakan bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia yang kebetulan orang Melayu dan beragama Islam. Mereka ialah Tan Sri Jaafar Abdul dan Mohamed Saleh Gomu.

Selain dua bekas pegawai kanan polis tersebut, antara muka Melayu yang menjadi pengarah syarikat di bawah kumpulan Berjaya yang turut memiliki saham dalam Sports Toto Malaysia ialah Datuk Annuar Zaini dan Datuk Sulaiman Mohd Noor yang menjadi pengarah Berjaya Group Berhad yang memiliki 292,336,584 saham di dalam Sports Toto.

Manakala dua lagi pengarah Melayu iaitu Datuk Adnan Shuaib dan Arsam Damis masing-masing menjadi pengarah Berjaya Land Berhad yang memiliki 284,644,046 saham di dalam Sports Toto.

Daripada carta ini jelas Umno punya `wakil dalam syarikat judi dan bekas polis turut `melindungi kegiatan judi berkenaan.

Umno dan Genting

Genting Berhad yang merupakan pengendali kasino terbesar di Asia Tenggara diasaskan pada 30 Julai 1968.

Tiga tahun selepas ditubuhkan iaitu pada 28 Disember 1971, Genting Highlands Hotel Sdn. Bhd telah disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan pada tahun 1978 dikenali sebagai Genting Highlands Hotel Berhad.

Setelah itu namanya dikenali sebagai Genting Berhad dan menjadi pusat perjudian terbesar di rantau ini.

Di bawah bendera Genting, dua syarikat utamanya ialah Resort World Berhad dan Genting Berhad.
Penglibatan Umno dalam syarikat perjudian ini telah berlangsung dan warisannya masih kekal sehingga ke hari ini.

Umno melalui bekas Pengerusinya, Tan Sri Noah Omar yang kini dikendalikan oleh Yayasan Noah memiliki 602,318,000 saham di dalam Resorts World Berhad yang mengendalikan perniagaan judi dalam dan luar negara termasuk di atas kapal peranginan.

Manakala sebanyak 3,334,600 saham Genting Berhad dipegang oleh Yayasan Noah yang mana syarikat berkenanaan merupakan syarikat pegangan ekuiti perniagaan judi dan kasino.

Yayasan Noah kini diwarisi oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang kedua-duanya adalah cucu kepada Tan Sri Noah.
Selain itu beberapa tokoh Melayu turut menjadi pengarah Resort World Berhad dan Genting Berhad.

Antaranya ialah bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Amin Osman dan bekas pegawai bank, Datuk Paduka Nik Hashim Yusof yang menjadi Pengarah Genting Berhad.

Manakala bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Wan Sidek Wan Abdul Rahman dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Alwi Jantan merupakan Pengarah Resorts World Berhad.

Ini memperlihatkan penglibatan Umno dalam aktiviti perjudian sudah bertaut sejak dulu lagi malah kini diwarisi oleh generasi kepimpinan muda dalam Umno.

Umno dan Magnum 4D

Magnum 4D Berhad sebelum ini dikenali sebagai Leisure Management Berhad. Ia kadang kala lebih popular di kalangan kaki ekor sebagai tempat pelaburan.

Magnum 4D mempunyai lapan wilayah Magnum 4D Sdn Bhd iaitu Magnum 4D Selangor, Perak, Penang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pantai Timur dan Malaysia Timur. Semua Magnum 4D wilayah ini menjadi anak syarikat Magnum 4D Berhad.

Syarikat ini mempunyai kepentingan tidak langsung Menteri Kewangan Diperbadankan. Ini berikutan pegangan saham Menteri Kewangan Diperbadankan melalui dua syarikat yang memegang saham di dalam magnum 4D.

Pertamanya ialah Multipurpose Berhad yang menyaksikan pegangan 7,723,285 saham oleh Menteri Kewangan Diperbadankan di dalam syarikat itu dan Multipurpose pula memiliki 461,473,178 saham di dalam Magnum dan 60,502,000 saham dalam 4D.

Ini menjadikan menteri Kewangan Diperbadankan mempunyai pegangan tidak langsung melalui Multipurpose di dalam `pusat pelaburan mingguan tersebut.

Keduanya, Menteri Kewangan Diperbadankan mempunyai saham di dalam Kamunting Corporation Berhad iaitu sebanyak 3,055,069 saham. Manakala Kamunting yang pengerusinya ialah bekas Exco Pemuda Umno, Datuk Haji Mohamed Al-Amin Majid memiliki 1,900,000 saham di dalam 4D.

Ini menjadikan lingkaran pegangan tidak langsung Menteri Kewangan Diperbadankan di dalam sayarikat judi dibuat melalui pegangan dua syarikat.

Menyentuh mengenai Magnum 4D Berhad, nama yag tidak boleh dipisahkan ialah Tan Sri Khir Johari yang merupakan pengarah syarikat itu. Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Umno memiliki 40,843 saham di dalam Magnum dan 6,666 saham di dalam 4D.

Lebih memeranjatkan bekas Peguam Negara yang kini Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) turut memiliki saham dalam 4D dengan pegangan sebanyak 1,666,666 saham.

Di samping itu Nor Anita Abu Talib dipercayai anak Abu Talib turut memiliki saham syarikat perjudian berkenaan iaitu sebanyak 680,334 saham.
Lingkaran dan putaran pemilikan saham syarikat perjudian ini menjadikan pemerintah Umno sebagai penggalak kepada aktiviti `pelaburan mingguan bursa empat nombor ekor atau singkatnya BENE.

~ Dari Umno reform

Umno & arak bagaikan monyet dengan pisang


Oleh ARIS FEZUL ISMAIL

Oleh kerana yang bertanding menentang BN di Hulu Selangor itu ialah Zaid Ibrahim yang lama di dalam kelambu Umno dan tahu di mana kurap dan kudisnya parti rasuah itu, maka segala muncung senjata jentera BN dihalakan ke arahnya.Semuanya nak dilondehkan.

Segala kurap lamanya nak ditunjukkan kepada rakyat,walhal yang tinggal hanyalah parut parut yang sudah sembuh. Kurap dan kudisnya ditinggalkan di dalam Umno tidak dibawa keluar ke tempat yang bersih yang dipilihnya sekarang.

Zaid sekarang bukan Zaid Umno BN,tapi Zaid Pakatan Rakyat yang berkawan dengan Tok Guru dan orang orang bersih. Loyanya tekak melihat gelagat pemimpin BN bercakap soal arak yang dikait dengan si Zaid. Terlupa mereka,Umno dan Arak bagaikan monyet dengan pisang. Mana pernah monyet berpantang tak mahu makan pisang! Kalaulah monyet dah tak mahu makan pisang, mungkinlah matahari akan terbit sebelah barat!Dah dekat nak kiamat!

Saksikanlah gambar gambar yang membayangkan akrabnya Umno dengan Arak.

NOTA EDITOR:
Terlanjur Umno sudah mendedahkan keaiban orang Islam lain, ada baiknya kita berbicara sedikit tentang "Yayasan Noah". Apa itu Yayasan Noah? Yayasan Noah ialah sebuah badan yang ditubuhkan oleh Tan Sri Noah Omar iaitu datuk kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang merupakan syarikat pegangan ekuiti perniagaan judi dan kasino.

Memang yayasan tersebut ada menyumbang, tapi asalnya duit draipada mana?

Jadi jentera gerak saraf Umno kena sedar, sebelum bercerita tentang arak dan judi, ingatlah sedikit bahawa pemimpin kamu yang di atas itu selama ini hidup dan ebrgelumang dengan maksiat itu.

Cermin diri sedikit sebelum mengata orang lain.

Wednesday, April 21, 2010

Lompat parti tidak bermaruah, carilah jalan kosong kerusi

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menyampaikan ucapan penangguhan semasa Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Krau, minggu lalu (10 April) di Darul Hikmah, Kerdau, Temerloh telah menarik perhatian ramai apabila melontarkan dua idea berkaitan proses demokrasi di Malaysia.

Pertama, Pesuruhjaya PAS Pahang itu menggesa agar pihak kerajaan mengkaji untuk menghapuskan Pilihan Raya Kecil (PRK) demi faktor ekonomi dan kewangan, keselamatan dan tekanan kepada petugas dan penduduk serta bagi membendung aktiviti rasuah dan janji palsu. Sebaliknya jika berlaku kekosongan atau kematian wajar diisi oleh parti yang menang dengan wakil lain.

Kedua, Tuan Ibrahim mencadangkan digubal peraturan supaya kerusi yang disandang oleh wakil rakyat yang melompat parti secara automatik dikosongkan dan parti yang menang menggantikannya dengan wakil lain.

Idea Tuan Ibrahim yang pertama itu amat menarik di atas hujah-hujah yang diberikannya, tetapi mungkin perlu diperbahaskan lagi dengan lebih mendalam pada medium yang lebih besar. Namun ideanya yang kedua berkaitan wakil rakyat “katak”, itu wajar diberi perhatian segera dan mendesak.

Lontaran idea ini menjadi signifikan kerana fenomena melompat parti kini menjadi kritikal dan sudah semacam trend apabila berlaku sesuatu yang tidak memuaskan hati individu berkaitan. Terbaru Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang, Tan Wei Shu meninggalkan PKR. Sebelum ini segugus wakil rakyat yang bermasalah (individu) juga berbuat demikian seperti wakil Bayan Baru, Bagan Serai, Nibong Tebal, Lunas dan Pelabuhan Klang.

Tahun lalu, tiga wakil rakyat yang melompat di Perak telah menyebabkan jatuhnya sebuah kerajaan yang dipilih rakyat.

Berbalik kepada idea Tuan Ibrahim, beliau berhujah, puluhan ribu yang mengundi, tetapi bila wakil rakyat melompat boleh menyebabkan jatuh sebuah kerajaan sedangkan pengundi yang memilih untuk sebuah kerajaan demi kesejahteraan mereka, tidak memperoleh apa-apa.

“Pengundi yang pilih nak menangkan calon, bila dia melompat boleh jatuh sebuah kerajaan. Ini berlaku kepada Kerajaan Pakatan Perak tahun lalu dan Terengganu pada satu masa dulu akibat wakil rakyat melompat. Pengundi yang memenangkan wakil rakyat itu tiada kuasa apa-apa, ini tidak adil”.

“Apabila dibenarkan melompat parti ini, wakil-wakil rakyat sangat terdedah kepada rasuah terutama daripada pemerintah. Ketika PAS hanya memiliki majoriti satu kerusi di Kelantan pada PRU sebelum ini, tawaran rasuah kepada Adun-Adun PAS sangat banyak”.

“Jadi dalam sistem negara kita yang banyak rasuah ini, lompat parti sesuka hati oleh wakil rakyat amat menyusahkan rakyat,” ujarnya.

Barangkali sesiapa sahaja yang waras amat bersetuju dengan Tuan Ibrahim kerana ia satu penghinaan kepada rakyat dan pengundi. Dalam sistem demokrasi berpilihan raya rakyat memiliki hak individu ‘satu undi satu suara’ bagi menentukan pemerintahan. Tatkala wakil rakyat yang menang dengan meraih undi belasan, malah puluhan ribu undi rakyat tiba-tiba berpaling, ini secara jelas tidak menghormati kuasa rakyat.

Secara jelasnya, wakil rakyat yang melompat itu akhirnya menjadi individu yang “sangat berkuasa” sehingga membelakangkan amanah dan mandat puluhan ribu rakyat yang mengundi tadi. Ini sudah tentu tidak adil, khianat dan pencabulan secara terang-terangan.

Apa yang dikhuatirkan, suatu hari rakyat akan fed-up dengan politik dan dan pilihan raya, sehingga mungkin akan mengambil ‘jalan lain’ untuk menukar penguasa.

Selain daripada itu, tindakan wakil rakyat yang bersifat kepentingan individu itu sudah tentu amat menyusahkan kerajaan, sama ada daripada BN mahupun Pakatan Rakyat kerana perancangan dan pembangunan yang diatur selama ini melibatkan tempat masing-masing tergugat.

Bahayanya jika dibiarkan berterusan fenomena ini, ialah amat terdedah kepada merebaknya budaya rasuah. Akhirnya kerusi yang dimenangi melalui undi rakyat boleh menjadi ‘demand’ dan ‘bargain’ hanya atas kepentingan individu tadi.

Sepatah kata Datuk Husam Musa dalam ceramahnya di Pahang sedikit masa lalu, “... jika dulu Umno dan BN merasuah rakyat untuk berkuasa, sekarang mereka boleh merasuah wakil rakyat untuk merampas kuasa,” katanya. Ini yang amat kita gerunkan.

Dengan demikian bagi mengelakkan keadaan lebih parah, langkah pencegahan amatlah perlu. Pilihannya tidak banyak, iaitu sama ada membiarkan budaya lompat parti berterusan tanpa kawalan dan berlakunya akibat-akibat yang disebutkan di atas tadi, atau bertindak sesuatu lalu mencegah sebelum membarah.

Justeru lontaran idea Tuan Ibrahim dirasakan benar-benar relevan, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Nasib umat Islam Patani tanpa perhatian dunia

“Apa yang berlaku di Palestin sebenarnya berlaku di Patani. Sebenarnya tiada bezanya antara nasib umat Islam di kedua wilayah ini, cuma nasib rakyat Patani tidak mendapat perhatian masyarakat antarabangsa”.

“Bangsa kami dizalimi, hak dirampas, para pemuda dihalang mendapatkan pendidikan dan dikenakan tuduhan pengganas, berlaku transmigrasi dengan pemindahan beramai-ramai bangsa Siam ke kawasan penduduk Melayu-Islam. Asimilasi kaum juga berlaku dengan usaha menghilangkan budaya melalui perlembagaan”.

“Terdapat usaha yang kuat daripada pihak kerajaan sendiri bagi menghilangkan identiti Melayu-Islam termasuk memaksa penggunaan bahasa Siam dan melarang kami bertutur bahasa ibunda kami daripada sekolah rendah hingga ke universiti. Sehingga kini di kalangan generasi muda, tidak sampai 30 peratus sahaja yang boleh bercakap Melayu”.

Demikian diluahkan pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Selatan Thai, Ahmad Shah Masood, 25, ketika berceramah dalam program ‘Santai Anak Muda’ di di Lanai Lestari, Gantok, Temerloh baru-baru ini.

Beliau bersama rakan-rakannya Ismail Yusof, Ali Muhammad dan Arif Abdullah dalam road-show bagi menyedarkan masyarakat luar terutamanya Malaysia tentang nasib masyarakat Patani di wilayah bergolak selatan Thailand.

Ahmad Shah memilih Pahang sebagai destinasi pertama kerana menurutnya terdapat pertalian persaudaraan kerana pernah seorang kerabat di raja Patani berkahwin dengan anak raja Pahang.

“Setiap hari berlaku pembunuhan dan perempuan-perempuan dirogol. Ada kisah seorang gadis bernama Norhayati dirogol beramai-ramai oleh tentera Siam kemudian dibunuh. Bila ibu dia lihat, pihak tentera menangkapnya dan diselimutkan lalu dicucuh dengan api, tetapi nasib ibu itu baik dan tidak mati. Daripada situlah dipecahkan cerita kezaliman dan kebuasan pihak tentera,” katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Menurut Ahmad Shah, dendam zaman berzaman Siam terhadap masyarakat Melayu-Islam Patani bermula sejak penjajahan Bangkok 1786.

Sebelum itu, orang Melayu Patani mempunyai sebuah kerajaan yang besar dan kuat di Tanah Melayu. Selepas penjajahan dan pertelagahan dengan Siam dalam tempoh yang panjang akhirnya termeterai Anglo-Siam Treaty atau Perjanjian Bangkok pada tahun 1909 dengan membahagikan Patani kepada 7 bahagian. Sejak itu pemerintahan Kesultanan Melayu terhapus.

Beberapa orang pejuang Patani seperti Tengku Mahmud Mahyudin dan Haji Sulung berusaha mendapatkan kemerdekaan Patani atau berusaha membawa wilayah tersebut masuk ke Malaysia yang merdeka. Namun kedua-duanya dibunuh oleh tentera Siam pada tahun 1954.

Menurut Ahmad Shah, selepas kematian kedua-dua pemimpin tersebut perjuangan masyarakat Melayu Patani tidak lagi dipimpin pemimpin besar disebabkan wujud banyak kumpulan pejuang-pejuang kecil. Itupun kebanyakannya dibunuh, ditangkap atau dihilangkan terus tanpa diketahui nasib mereka.

Sejak 2004, tekanan kerajaan Thailand terhadap orang Melayu Patani makin hebat iaitu dengan memberi kuasa kepada tentera, polis dan pegawai kerajaan untuk melakukan kezaliman. Mereka juga ditambat dengan undang-undang tanpa bicara Emergency Degree, Marshall Law dan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Beberapa peristiwa menyayat hati umat Islam Patani ialah tragedi Masjid Krisek 28 April 2004 yang mengorbankan 108 orang Islam, peristiwa berdarah Tak Bai pada 24 Oktober 2004 yang meragut 78 nyawa dan pembunuhan 19 ahli jamaah di Masjid Al-Furqan daerah Cha-Airong, Narathiwat ketika menunaikan sembahyang Isyak pada 8 Jun 2009.

Dendam kesumat dan rasa curiga bangsa Siam terhadap umat Islam Patani tidak pernah padam dan pembunuhan berlaku hampir setiap hari. Sejak 2004 sehingga kini sudah lebih 4,000 yang menemui ajal.

“Namun semua itu tidak pernah menggentarkan hati kami dan perjuangan rakyat Patani tidak pernah berhenti. Jika dulu lelaki yang banyak ditangkap, kini perempuan pula yang terpaksa bangun berdemonstrasi. Kami yang masih belajar ini pula terpaksa berada di barisan hadapan,” jelas Ahmad Shah.

Ahmad Shah berkata, beliau bersama tiga sahabatnya pernah beberapa kali dipenjara dan didera oleh pihak berkuasa Thailand. Mereka juga melihat sendiri pihak tentera menyiksa orang kampung di depan mata mereka.

Pada peringkat ini, Ahmad Shah bersama kumpulannya sedaya upaya mengusahakan hubungan antarabangsa termasuk menemui duta dalam negara Asean, supaya mereka sedar penderitaan umat Islam Patani sama seperti nasib bangsa Moro, Rohingya, Palestin dan Bosnia.

“Kami mahu dunia sedar bahawa kami bangsa yang dilarang bertutur bahasa sendiri. Kami bangsa yang dihalang mengamalkan budaya kami sendiri. Kami bangsa yang disekat daripada menjalankan aktiviti agama kami. Kami mahu dunia sedar ada satu bangsa sudah makin memupus jika tidak diberi perhatian”.

“Kami berikrar tidak akan berhenti berjuang bagi menuntut keadilan dan kedamaian bangsa kami. Kami yakin kejayaan akan datang juga tetapi mengakui terpaksa menempuh pelbagai cabaran. Jadi kami harapkan sekurang-kurangnya secebis doa daripada rakan-rakan seIslam di sini,” katanya penuh bersemangat.



Gambar: Ahmad Shah (dua dari kiri) bersama rakan-rakannya menyanyikan lagu ‘Mengangkat Bendera Revolusi’ dalam program Santai Anak Muda di Lanai Lestari, Gantok, Temerloh.