Wednesday, August 16, 2017

PAS mungkin turut tanding di Mentakab

TEMERLOH :– PAS Pahang kemungkinan besar akan meletakkan calon bagi kerusi Dun Mentakab selepas melihat potensi untuk menang semakin positif bagi kawasan tersebut.

Ini selepas perkembangan terbaru apabila bekas Adun Mentakab dari MCA Datuk Chuah Boon Seong mengumumkan akan bertanding bagi kerusi Bebas kelmarin kerana merasakan masih ramai rakyat yang memerlukan khidmatnya.

Ini sekaligus bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila DAP yang menyandang kerusi Mentakab akan ditentang BN, Bebas dan terbaru kemungkinan PAS.

Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar berkata, PAS sebenarnya sedang menilai untuk bertanding di beberapa kerusi baharu di negeri ini termasuk Mentakab dan perkembangan terbaru itu menyaksikan PAS semakin positif untuk meletakkan calon di Mentakab yang kini disandang DAP.

Menurutnya, PAS sudah lama membuat kajian kebolehan untuk menang di Dun Mentakab, dengan perkembangan terbaru apabila Boon Seong mengumumkan bertanding bebas sudah tentu ia semakin positif untuk PAS.

"Dengan perkembangan baharu ini, PAS akan membuat keputusan dalam masa terdekat untuk bertanding di kerusi itu.

"Ini juga bersandarkan desakan daripada akar umbi dan penyokong Pas yang mahukan PAS bertanding di kerusi tersebut," katanya dihubungi semalam.

Rosli.berkata, sekiranya PAS bertanding di Mentakab, calon yang sesuai sudah dikenalpasti bahkan bukan di Mentakab sahaja malah di seluruh Pahang Pas sudah ada calon.

Beliau berkata, calon-calon yang dalam pertimbangan sudah ada malah berlebih dan perlu disaring semula.

Menurutnya, buat pertama kali dalam sejarah juga PAS Pahang akan meletakkan calon dari Dewan Himpunan Penyokong PAS dan calon sudah dinilai samada dari India atau Cina.

"Kita juga ada sekurang-kurangnya dua calon dari Muslimat yang akan diletakkan sebagai calon di kawasan tertentu yang juga dalam pertimbangan kita.

"Pas Pahang kali ini bertanding lebih 30 kerusi Dun berbanding hanya 21 pada PRU lepas manakala bagi kerusi parlimen sebanyak 10 kerusi akan diletakkan calon," katanya.

Sementara itu Rosli berkata, PAS Pahang akan melancarkan jentera PRU di seluruh Pahang pada September ini.

Kelmarin bekas Adun Mentakab Datuk Chuah Boon Seong mengumumkan akan keluar MCA dalam masa terdekat untuk bertanding atas tiket Bebas kerana masih ramai rakyat memerlukan khidmatnya.

Boon Seong turut mengakui masalah kepimpinan MCA Temerloh antara faktor beliau bertanding pada PRU akan datang.



Tuesday, August 15, 2017

ANTARA CITA-CITA DAN ANGAN-ANGAN 'PAS TERAJU PAHANG' - siri 2


Cita-cita adalah sesuatu yang berada dilubuk hati lalu diiringi dengan usaha, tawakkal dan sentiasa berdoa kepada Allah swt agar matlamat perjuangan yang dicitakan akan mencapai kejayaan. Yakin dengan datangnya nusrah dari Allah swt setelah berusaha semampu apa yang boleh dilakukan.

PAS adalah parti yang tak pernah jemu berjuang, Istiqamah dengan prinsipnya, usaha dakwahnya tak pernah berhenti. Ia menjadi baja yang menyuburkan akar perjuangannya, kerana itulah pohonnya sentiasa menghulurkan ranting dan daun-daun yang semakin rendang, kian ramai yang berteduh dibawahnya.

Inilah perjalanan sebuah cita-cita Islam, sifatnya sangat menuntut kepada keyakinan, yakin dengan janji Allah dan yakin dengan kebenarannya, yakin dengan masa depan perjuangannya, yakin bahawa Allah pasti memberikan kemenangan samada didunia atau akhirat ataupun kedua-duanya sekali.

Pernah bersembang dengan Allahyarham Ustaz Jamahir Idris mantan Pesuruhjaya PAS Pahang tahun 70an, beliau bercerita di zamannya ketika beliau berceramah di Kuala Lipis, dengan perjalanan yang jauh, berceramah didalam kebun getah, lampu gasolin, pembesar suara menggunakan bateri dan yang hadir hanyalah tiga orang.

Namun beliau dan seangkatan dengannya tidak pernah luntur semangat perjuangannya, tidak pernah jemu menyebarkan dakwah, tiada henti memberikan kefahaman terhadap perjuangan PAS. Malah terus istiqamah sehingga beliau meninggal beberapa tahun lalu, kini kami menikmati manisan buahan tanamannya. PAS kini tidak lagi asing seperti dahulu, bendera PAS berkibar dimana sahaja pelusuk tanah air termasuk di Sabah dan Sarawak.

Titik peluh perjuangan mereka yang membasahi bumi, menyuburkan perjuangan PAS termasuk di Negeri Pahang, Istiqamahnya para amilin terdahulu menyuburkan perjuangan hari ini, Istiqamahnya para amilin kini, InsyaAllah akan membuahkan hasil kepada pejuangan dimasa mendatang. Inilah keyakinan kami. Kami meniti jalan perjuangan ini dengan penuh keyakinan bahawa "Istiqamah Pasti Akan Menang".

URAJ


Monday, August 14, 2017

Sungai Cemperah, Lipis tercemar


KUALA LIPIS: PAS Lipis menggesa pihak berkaitan menangani masalah pencemaran dari aliran air larut resap (leachate) di pusat pembuangan sampah di Kampung Tempoyang.

Timbalan Yang Dipertua PAS Lipis, Roslan Zainal berkata, aliran leachate mengalir ke longkang besar dan seterusnya ke Sungai Cemperah dan akhirnya masuk ke Sungai Lipis.

Menurutnya, aliran leachate yang tidak dirawat tersebut berkemungkinan berpunca daripada kerosakan loji rawatan pusat tersebut yang tidak dibaiki atau dibiarkan tanpa penyelenggaraan yang betul.

“Ini menyebabkan berlakunya pencemaran di Sungai Cemperah dan Sungai Lipis selain gangguan ekosistem sungai.

“Air sungai yang tercemar juga mengakibatkan bacaan nephelometic (NTU) menjadi tinggi serta menyebabkan loji air ditutup kerana kekeruhan air mentah daripada sungai,” katanya di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan PAS negeri berkata, terdapat juga longgokan sampah di Sungai Cemperah yang mengalir di hadapan pintu masuk ke pusat pembuangan sampah tersebut.

Tambahnya, sampah tersebut sewajarnya dipungut dan dilupuskan dengan betul oleh pihak berkaitan.
“Kami berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera menangani masalah tersebut dan memastikan pihak operator pusat pembuangan sampah berkenaan mematuhi prosedur standard yang ditetapkan.

“Ini bagi memastikan pencemaran tidak lagi berlaku sekali gus dapat menjadikan alam sekitar bersih dan sihat,” katanya.



Saturday, August 12, 2017

Antara cita-cita dan angan-angan PAS teraju Pahang

Siri 1.

Bila PAS kata PAS akan bertanding melebihi 30 kerusi DUN dan melebihi 10 kerusi Parlimen di Pahang bermacam pandangan yang diberikan, ada yang menyokong tidak kurang juga yang sinis. Yang sokong kata "InsyaAllah satu masa PAS pasti menang" yang sinis kata "tinggi angan-angan PAS". Yang sokong kita jadikan pendorong semangat, yang sinis hanya seumpama menggaru gatal, walaupun gatal itu tidak kita sukai tapi menggarunya sesuatu yang melazatkan.


Semasa Rasulullah saw menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dihadiahkan kepadanya sepasang gelang "Kisra bin Hurmuz", Maharaja Parsi, ketika itu Rasulullah saw hanyalah bersama Abu Bakar As Siddiq, menjadi insan pelarian yang tiada kuasa dan kekuatan namun akhirnya lengan Suraqah bin Malik disarungkan dengan gelang kebesaran kerajaan Parsi tersebut pada zaman Sayyidina Umar Al Khattab.

Rasulullah saw juga telah menyebut "Kota Konstantinopel pasti akan jatuh di tangan Islam" di saat awal Islam di Madinah, pastinya pada ketika itu kekuatan yang ada tidak mampu untuk meruntuhkan Kota Konstantinopel, namun akhirnya selepas 800 tahun Kota Konstantinopel berjaya ditakluk Islam oleh tentera pimpinan Sultan Muhammad Al Fateh.

Sejak tahun 1951 PAS berjuang tanpa henti. PAS menitip setiap hasil dari kesabaran perjuangannya, dari zaman calon PAS ramai yang hilang deposit sehinggalah ketika ini dan InsyaAllah hinggalah kezaman parti lain akan kehilangan deposit apabila bertanding menentang PAS. Mungkin kejayaan PAS ketika ini dianggap oleh musuh sebagai angan-angan dimasa lalu.

PAS telah berusaha melebarkan kekuatan dan sokongan, bukan sahaja di Semenanjung malahan di Sabah dan Sarawak. Seluruh negara ada jentera dan cawangan PAS. PAS sentiasa berusaha mengumpulkan kekuatan jentera untuk mencapai cita-cita menawan Putrajaya, sesuatu yang berharga tukarannya juga berharga. PAS bukan Mat Jenin yang tahunya berteori, hanya memegang sebiji kelapa angannya memiliki Istana.

Perjuangan PAS disertai dengan ‘Raja' pengharapan, pengharapan itu sepenuhnya kepada Allah swt kerana Dialah Rabb yang memberikan kemenangan. Kemenangan itu terhasil dengan pertolonganNya. Pertolongan itu pula terhasil dengan kesungguhan dan keikhlasan dalam perjuangan, dan keikhlasan itu hanyalah apabila seorang itu berjuang kerana agamaNya.

Cita-cita tidak semestinya tercapai dalam masa yang dekat dan tidak mestinya juga dalam masa yang jauh kerana semuanya berada didalam ilmu Allah swt. Yang menjadi kewajipan ialah kita mesti menanam cita-cita dan berusaha kearah mencapai cita-cita itu. Cita-cita PAS adalah cita-cita Islam. Jika ada yang masih belum setuju, InsyaAllah PAS akan terus berdakwah dan berjuang sehingga mereka bersetuju.

Bersambung.
URAJ



Saturday, August 5, 2017

Lot tapak rumah, pulih tanah terbiar tawaran PAS Pahang

Dua daripada 12 tawaran PAS Pahang kepada rakyat yang diumumkan oleh pimpinan PAS dalam satu majlis di Kuantan baru-baru ini, menunjukkan PAS serius untuk memerintah Pahang selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14 jika diberi mandat.

Malah bukan sahaja serius, tetapi juga bersedia menjadi kerajaan berkebajikan dan mesra rakyat. Sekali gus tidak terjebak dengan politik adu-domba dan sekadar laungan retorik semata-mata.

Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam majlis minum petang bersama wartawan mengakui “PAS bersedia memerintah Pahang”.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu pula dalam majlis berkenaan menyebut komitmen PAS ialah ‘Mengagihkan tanah lot rumah berukuran 30 x 50 kaki persegi kepada rakyat yang layak’.

Tawaran kedua ialah ‘Membangunkan semula tanah-tanah terbiar untuk kegunaan belia-belia Pahang dan Felda’.

Seperti disedari umum, masalah tanah dan penempatan merupakan isu kritikal yang sebahagiannya gagal ditangani oleh kerajaan yang ada.

Bayangkan sebuah keluarga yang pada asalnya berada di atas seekar tanah, apabila berkembang biak kepada generasi kedua dan ketiga tapak untuk membina kediaman sudah begitu sempit dan kesukaran ini ditambah lagi dengan nilai hartanah yang melambung di pasaran. Ini sudah tentu memeritkan bagi anggota keluarga yang agak kurang bernasib baik.

Jadi di situlah relevannya tawaran PAS di mana sekiranya PAS diberi mandat mentadbir kerajaan negeri Pahang maka perhatian difokuskan kepada menyelesaikan permasalahan utama ini iaitu keperluan tapak rumah kepada rakyat khususnya golongan muda. yang tidak berumah dan bertanah.

Tawaran kedua pula ialah berkait dengan pemilikan tanah dan kerjaya.

Sebagai negeri yang paling luas di semenanjung, Pahang memiliki banjaran tanah tinggi, hutan tropika, hingga ke jajaran sungai dan lembah yang subur.

Menurut perangkaan tahun 2014, Pahang memiliki 34,293.27 hektar atau hampir lapan puluh lima ribu ekar tanah terbiar di seluruh negeri ini. Walhal muka buminya begitu subur untuk aktiviti pertanian.

Selama ini kita melihat kerajaan yang ada gagal memertabatkan pertanian sebagai sumber utama. Malahan Malaysia sendiri membelanjakan RM92 juta sehari untuk mengimport makanan berasaskan pertanian, tahun lalu. Dan angka ini menjangkau RM27.93 bilion dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Ini sudah tentu amat memeranjatkan dan membuktikan kebergantungan negara kepada hasil makanan import. Secara langsung membuktikan betapa lemahnya pengurusan negara. Bayangkan jika berlaku krisis makanan dunia sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada rakyat.

Bayangkan pula jika berlaku kenaikan harga sumber makanan ini di pasaran dunia. Tidak dapat tidak situasi ini akan lebih memeritkan rakyat.

Sementara itu Jabatan Tenaga Buruh pula menganggarkan terdapat kira-kira 400,000 belia yang menganggur ketika ini.

Justeru jika dapat dioptimumkan penggunaan tanah dan mencapai produktiviti hasil pertanian yang tinggi dan berdaya maju, pembangunan tanah-tanah terbiar tadi semestinya dapat menyelesaikan banyak masalah.

Jadi tawaran PAS yang komited untuk membangunkan tanah terbiar ini sudah tentu dapat menangani masalah belia-belia negeri ini khusus kepada yang tidak bertanah. Kedua, dapat mengurangkan masalah pengangguran. Dan ketiga, berupaya meningkatkan hasil pemakanan berasaskan pertanian komersil.

Hasil daripada itu juga berpotensi menjana ekonomi setempat sekali gus membuka peluang kepada belia-belia di negeri ini termasuk di tanah rancangan Felda mengkomersilkan hasil tanaman mereka ke peringkat dalam dan luar negara.





Thursday, August 3, 2017

Pelajar Maahad Tahfiz Istiqamah naib johan

Meskipun baru tahun pertama beroperasi, Maahad Tahfiz Al Istiqamah Sungai Gau sudah mula menunjukkan ketrampilannya di peringkat kebangsaan khususnya pantai timur.

Baru-baru ini pelajar tahun satu tahfiz di bawah kendalian Dewan Pemuda PAS Pahang itu, Muhammad Aqasya bin Zulkefle, berjaya menjadi naib johan dalam Majlis Tilawah Dan Hafazan Al Quran TNB Peringkat Zon Timur 2017/1438.

Beliau mewakili negeri Pahang dan berjaya meraih markah 80% dalam pertandingan yang diadakan di Kuantan itu.

Dalam pertandingan tersebut negeri Kelantan menjadi johan dengan 83% markah sementara Terengganu ketiga dengan 70% markah.

Sementara itu mudir Maahad Tahfiz Al Istiqamah Ustaz Zarimi Al-hafiz mengucap tahniah kepada adik Muhammad Aqasya di atas kejayaan memperolehi kedudukan tersebut.

“Juga buat kedua ibu bapanya atas sokongan yg terbaik dan tidak lupa buat semua warga Tahfiz Al Istiqamah atas sokongan dan doa.

“Semoga dengan kejayaan ini dapat memberi inspirasi dan motivasi buat ibu bapa dan semua pelajar serta warga Tahfiz Al Istiqamah dan didoakan agar lebih berjaya di masa hadapan.

“Menjadi motivasi kepada pihak pentadbir tahfiz ini dalam menjayakan tema Membentuk Generasi Hamalatul Quran Rabbani”.