Wednesday, December 24, 2014

PAS Pahang aktif semula tabung Prihatin Rakyat

Berikutan bencana banjir melanda beberapa daerah di Pahang sejak tiga hari lalu, PAS Pahang melalui Lajnah Kebajikannya melancarkan tabung bantuan Prihatin Rakyat bagi membantu mangsa.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang Hassanuddin Salim berkata bantuan tersebut amat diperlukan bagi membantu mangsa-mangsa terlibat banjir yang sedang kritikal sekarang di daerah Lipis, Cameron Highland, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan terbaru Temerloh.

Katanya, paling teruk ialah di daerah Kuantan dengan anggaran lebih enam ribu terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan dan banyak kawasan masih terputus hubungan.

“Memandangkan hujan masih berterusan di sebelah hulu pada masa ini, dijangkakan semua daerah termasuk Temerloh (akan lebih teruk), Bera dan Rompin akan terlibat banjir.

“Ketika ini petugas-petugas PAS sedang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa dan kehidupan mangsa banjir yang sedang panik dan berdukacita. Paling tenat di Kuantan kerana kebanyakannya sudah ditimpa banjir kali kedua dalam tempoh seminggu ini.

“Bayangkan betapa sukarnya mereka, terutama menjelang beberapa hari lagi sesi persekolah baru dibuka. Jadi kepada sesiapa yang simpati dan prihatin hulurkanlah bantuan setakat mampu bagi meringankan beban mereka melalui Prihatin Rakyat,” rayunya.

Sementara itu satu sumber menyebut, paras air di Kuala Tahan diberitakan sudah mencecah paras pada banjir besar 1071 dulu.

Tabung mangsa banjir Prihatin Rakyat dibuka tahun lalu beroperasi di Darul Hikmah, Kerdau apabila hampir 50,000 orang terlibat dalam bencana tersebut dengan lebih 30,000 orang daripadanya dari daerah Kuantan.

Bagi sesiapa yang sudi menghulur sumbangan kepada mangsa banjir yang sedang menderita bolehlah memasukkan wang ke akaun: Prihatin Rakyat 5560 5720 3711 (Maybank Islamic).



Monday, December 22, 2014

102 pelajar miskin kini tersenyum buka sekolah tahun depan

Seramai 102 pelajar kurang berkemampuan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau mampu menguntum senyum apabila diraikan dengan sumbangan set lengkap persekolahan sempena penggal baru persekolahan 2015.

Daripada jumlah tersebut, 18 daripadanya dari bangsa Cina dan 10 India dalam kategori keluarga miskin yang diraikan dalam majlis ‘Kembali ke Sekolah 2015’ di Darul Hikmah, dekat sini kelmarin.

Penyelaras PAS Dun Kerdau Ustaz Kamal Ashaari yang menyampaikan sumbangan tersebut, berkata sumbangan yang diberikan meliputi beg, pakaian lengkap, kasut dan alat tulis dengan kos kira-kira RM100 ringgit bagi seorang penerima.

“Ini merupakan acara tahunan bagi Dun Kerdau sejak tiga tahun bagi golongan kurang berkemampuan ini. Alhamdulillah, selain bantuan sempena pembukaan sesi baru persekolahan ini ini kita juga membantu mereka pada setiap kali menjelang sambutan puasa dan menyambut hari raya.

“Begitu juga apabila mereka ditimpa musibah seperti banjir, kebakaran dan kemalangan. Biasanya Dun Kerdau tidak melupakan golongan ini,” ujarnya.

Turut hadir Pengarah Dun berkenaan Ahmad Mat Yaman serta ahli jawatankuasanya.

Dun Kerdau berada dalam Parlimen Kuala Krau dan mempunyai 13 unit peti undi (UPU).



~ Ustaz Kamal (kanan) menyampaikan beg berisi set lengkap ke sekolah kepada pelajar.

Friday, December 19, 2014

Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Ulamak meninggal dunia

MARAN: Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Abdul Manaf Othman, 70, kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 7 petang 15 Disember lalu dipercayai akibat serangan jantung.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Aris Feizul Ismail, arwah rebah sewaktu mengambil wuduk untuk bersembahyang Maghrib di rumahnya di Jengka 2, sebelum dikejarkan ke hospital Jengka.

Menurut Aris, beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital di pangkuan isteri serta anaknya.

“Arwah sempat membaca khutbah Jumaat lalu dan kelmarin masih mengimamkan solat di masjid itu,” kata Aris.

Arwah adalah imam masjid Jengka 2 dan merupakan ahli PAS yang aktif sejak tahun 1980-an dan memegang jawatan penting di peringkat PAS Kawasan.

Selain daripada itu beliau pernah beberapa penggal dilantik sebagai ahli jawatankuasa Dewan Ulamak Negeri Pahang dan dipilih menjawat Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Ulamak PAS Pusat pada sesi 2007-2009.

Beliau pernah tiga kali bertanding pilihan raya mewakili PAS iaitu di Dun Tajau dan Ulu Jempol.

Arwah juga merupakan pejuang peneroka Felda sezaman dengan (kesemuanya telah kembali ke rahmatullah) Pak Soh Sukarno, Abdul Malik Yusof dan Suhaimi Said.

Sementara itu Pengerusi Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit) Pahang, Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, antara jasa arwah yang terbesar ialah memperjuangkan geran hak milik peneroka Felda daripada geran secara berkelompok kepada individu.

Jenazah Ustaz Manaf disembahyangkan di surau miliknya Darul Quran, Jengka 2 sebelum disemadikan di tanah perkuburan berhampiran keesokan harinya.

Turut menziarahi, anggota-anggota Badan Perhubungan PAS Pahang serta sahabat dan keluarga.


~ Ustaz Manaf (kanan sekali) ketika diziarahi pemimpin PAS Maran baru-baru ini.

Thursday, November 20, 2014

Aktivis PAS rayu bantu anak gadis 23 tahun kanser

MARAN: “Saya tak pernah menduga anak bongsu kami yang dulunya begitu periang kini terlantar tidak bermaya.

“Dia telah menderita sejak tiga tahun lalu tetapi paling teruk sejak selepas hari raya Julai lalu,” kata aktivis PAS Abdul Rahim Awang Kenit, 66, dari Kampung Bukit Lada dekat sini.

Tambahnya, anak bongsu dari sembilan beradik itu, Jahirah berusia 23 tahun, disahkan menghidap sejenis kanser dengan ketumbuhan bersaiz besar di peha dan kepala oleh doktor Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (Hoshas).

Abdul Rahim menceritakan, pada peringkat awal, anaknya yang pada ketika itu bekerja di Kuantan, telah perasaan ada ketumbuhan di pehanya tetapi tidak menimbulkan rasa sakit dan dianggap normal memandangkan tubuh badan anaknya yang agak gempal.

Tiga tahun yang lalu ketumbuhan itu mulai membengkak dan memecah menyebabkan Jahirah hilang upaya berjalan dan susut berat badan secara mendadak.

Julai lalu, keadaan Jahirah makin tenat dan pernah ditemui terbaring di bilik mandi dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlaku pertumpahan darah dari ketumbuhannya.

Abdul Rahim berkatanya, ketika ketumbuhan itu membesar, mereka pernah bawa Jahirah ke sebuah hospital pakar di Kuantan, namun kos rawatan mencecah RM10,000 dikenakan sekiranya mahu menjalani rawatan pengimbasan bagi mengetahui penyakit tersebut.

“Saya hanyalah seorang penoreh getah. Disebabkan tidak mampu, kami hanya bawa ke Hoshas sebelum dirujuk ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

“Pihak hospital hanya maklumkan ia sejenis kanser, namun tiada rawatan lanjut atau sebarang pembedahan dicadangkan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, situasi itu menyebabkan dia sekeluarga agak panik tetapi buntu dan keadaan bertambah teruk. Tiada apa dapat dilakukan selain rawatan mencuci sementara tumor di kepala yang kadangkala membesar dan mengecut sehingga mengakibatkan penglihatan Jahirah semakin kabur.

“Kami hanya mampu berdoa kerana buntu berikutan tiada sebarang rawatan yang dicadangkan pihak hospital. Namun kami tidak pernah berputus asa.

“Saya belum lagi menerima sebarang bantuan dari pihak berkuasa tetapi amat memerlukan bagi menampung belanja lampin pakai buang dan kos berulang-alik ke hospital.

“Paling mendesak sekarang ialah memerlukan katil mudah alih seperti hospital (yang boleh dibaring dan didudukkan) kerana keadaannya terbaring begitu menyebabkannya selalu tersedak apabila minum dan makan,” katanya.

Turut menziarahi keluarga Abdul Rahim ialah Ahli Harian Negeri PAS Pahang yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Hasnan Haron dan Ketua Muslimat Azizah Khatib Mat.

Sementara itu Pengerusi Prihatin Rakyat PAS Pahang Hassanuddin Salim turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan derma kepada keluarga Abdul Rahim.

Bagi yang terlintas di hati untuk membantu insan ini bolehlah menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam Abdul Rahim, 06028024631391 atau untuk lebih lanjut menghubunginya di talian 0139004450.

CAPTION
Abdul Rahim (dua, kanan) menemani Hasnan dan Azizah yang menziarahi anaknya.





Husam akui tiada kaitan dengan Pasma

TEMERLOH: “Saya tidak terlibat dengan Pasma, tuduhan dalam media sosial hanya fitnah semata-mata”.

Demikian pengakuan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa ketika sesi soal jawab dalam program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS ke 60 peringkat negeri Pahang di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini baru-baru ini.

Sebelum itu beliau ditanya oleh seorang peserta sama ada beliau terlibat menubuhkan NGO berkenaan kerana ia mula ditubuhkan di sebuah perpustakaan didakwa milik beliau dan ada rakan-rakannya yang terlibat.

“Sebelum ini saya dituduh syiah kerana menamakannya Nur Zahrah iaitu nama kepada Saidatina Fatimah iaitu isteri kepada Ali.

“Perpustakaan tersebut milik orang lain dan perjumpaan menubuhkan Pasma adalah dengan izin pemilik berkenaan dan saya tidak terlibat,’ katanya.

Menurut Husam, fitnah tersebut samalah dengan apa yang dihadapinya berkaitan tuduhan mengupah seorang penulis membuat artikel memburukkan pemimpin.

“Semua itu tidak benar. Walhal penulis berkenaan selama empat tahun menyerang saya, sehinggalah dalam satu majlis alumni penulis berkenaan duduk dekat saya. Dan hanya kerana itu saya dituduh mengupah penulis berkenaan memburukkan pemimpin,” tegasnya.

Husam sebelum itu menyampaikan kertas kerja kedua yang memperincikan tajuk ‘Terus Beristiqamah’ ucapan dasar presiden pada muktamar PAS yang lalu.

Beliau mengaitkan istiqamah dalam parti mestilah bersatu dan tidak menerima hasutan luar seperti melaga-lagakan ulamah dan profesional dalam PAS.

“Perlu diperbetulkan balik hubungan sesama dalam PAS dan kena sedar dengan permainan musuh. Jangan perbesarkan isu-isu dalaman parti terutama dalam media sosial.

“Pelaku kesalahan dalam jamaah perlu diambil tindakan supaya virus itu tidak merebak menjangkiti orang lain, “ katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya dihadamkan kembali buku yang ditulis oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Awang mengenai syarat-syarat kemenangan gerakan Islam.

Caption
Husam






Friday, October 31, 2014

Siapa pemilik facebook Azamuddin Azim / Khaiz Hafiz?

Siapa pemilik facebook Azamuddin Azim / Khaiz Hafiz?

Azamuddin Azim (dipercayai nama palsu), adalah merupakan pemegang akaun facebook yang begitu lantang menghentam Ahli Parlimen Temerloh Ustaz Nasrudin Hassan, PAS Kawasan dan anggota Sekteratariat Parlimen Temerloh sejak selepas PRU 13 yang lalu.

Beliau dipercayai mengambil kesempatan berikutan terdapat sedikit percanggahan pendapat antara PAS Kawasan dengan segelintir pendokong PAS di Dun Kuala Semantan.

Setelah dua kali membuat fitnah menerusi media sosial itu iaitu mengada-adakan cerita tidak benar bagi memburukkan reputasi Ahli Parlimen Temerloh, semalam sekretariat parlimennya membuat laporan polis pemegang akaun nama samaran facebook tersebut.

Laporan dibuat oleh timbalan pengerusi sekretariat Hassanuddin Salim yang turut dilibatkan dalam fitnah tersebut iaitu kononnya Ustaz Nasruddin Hassan akan memberikan tiket percuma dan pengangkutan ke akhir bola sepak Piala Malaysia di Bukit Jalil Sabtu ini.

Antara lain Hassanuddin menyebutkan, pemilik akaun berkenaan pada 29 Oktober telah meletakkan iklan fitnah berkenaan melalui facebook dalam satu grup (Temerloh) dan turut dipaparkan ialah nombor telefon bimbit peribadinya untuk dihubungi.

“Akibatnya, sejak semalam saya dihujani panggilan telefon, mesej dan whatsapp yang tidak putus-putus dari sekitar daerah ini dan luar yang bertanya dan mahukan tiket percuma berkenaan.

“Fitnah ini bukanlah kali pertama disiarkan individu berkenaan. Pada 25 Jun lalu juga pemilik akaun tersebut telah menggunakan kaedah yang sama mengiklankan kononnya Ahli Parlimen Temerloh akan mengagihkan benih ikan sangkar dan turut memaparkan nombor telefon saya.

“Tetapi hari ini saya dapati pemilik akaun Azamuddin Azim itu telah menukar namanya kepada Khaiz Hafiz.dan saya percaya pertukaran itu dibuat apabila kami turut menyiarkan akan membuat laporan polis petang ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan ibu pejabat polis daerah di sini.

Tambahnya, demi melindungi diri dan kepentingan beliau meminta bahagian jenayah komersial polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemilik akaun berkenaan.

Sementara itu Nasruddin yang turut hadir menyokong penuh laporan polis tersebut kerana tidak mahu fitnah terhadap beliau dan PAS berleluasa berdasarkan posting-posting individu berkenaan sebelum ini.

“Kalau perkara ini benar kita akan maklumkan. Masalahnya kita tidak ada kuota tiket perlawanan antara Pahang menentang JDT itu. Dalam kes ini saya percaya individu berkenaan berniat jahat serta bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai ahli parlimen.

“Benda yang tiada diada-adakan. Bila orang hubungi Hassanuddin tiket itu tidak ada, apabila tak dapat jadi orang akan marah (kerana menipu). Jadi saya kira itu satu strategi yang sangat jahat,” tegasnya.

Katanya, selepas ini akan dibuat laporan SKMM dan apabila sudah dikenal pasti nanti, jika pemfitnah itu tidak tampil memohon maaf, pihaknya akan mengambil tindakan saman.


~ Nasrudin, Hassanuddin bergambar ramai di hadapan balai polis Temerloh selepas membuat laporan polis.

Wednesday, October 15, 2014

Penduduk marah padang jadi stor barang

Penduduk-penduduk Taman Rimba, Mentakab kesal dengan pihak Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang tergamak meluluskan projek pembinaan stor barangan di atas padang permainan yang sedang digunakan penduduk.

Tanah lot bernombor 2958 itu , diberikan kelulusan projek oleh MPT 10/2/3277(BB025/2014) berdasarkan yang tertera pada papan tanda.

Taman Rimba ini telah wujud sejak tahun 1975 lagi dan kini mempunyai lebih 1,000 buah. Selama ini di situlah tempat penduduk beriadah dan bersukan.

Lazimnya jam 6 pagi penduduk akan berlatih Taichi manakala di sebelah petang pula pemuda-pemuda akan bermain bola Keranjang di situ.

Namun pada 14 Oktober lalu kira-kira jam 9 pagi pihak kontraktor telah memacak papan tanda dan memulakan korekan tanah. Selepas itu mereka berhenti apabila penduduk datang bertanyakan tujuan mereka berbuat demikian.

Adun Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang turut bergegas ke lokasi berkenaan berkata, sepatutnya Ahli Majlis Kawasan , penghulu atau pihak berkuasa tempatan mesti tahu dan faham bahawa di situ merupakan tempat kemudahan Awam (Taman Permainan). Ianya tidak boleh di hapuskan atau di musnahkan bergitu sahaja tanpa tapak pengantiannya.

“Jumlah penduduk ramai, jadi mana tempat lain yang akan mereka gunakan?

“Sekiranya tanah tersebut milik persendirian, maka pihak MPT mestilah memikirkan jalan keluar dan penyelesaiannya,” katanya.


Friday, October 3, 2014

Bersyukur Atau Protes: SAMM Jawab Kenyataan Menteri

Kenyataan Media
3 Oktober 2014


1. Kenyataan Menteri KPDNKK, YB Datuk Hassan Malek yang meminta rakyat bersyukur dengan kenaikan harga bahan bakar dilihat begitu menghiris perasaan rakyat. Sama ada Menteri ini tidak sengaja mengeluarkan kenyataan itu atau sememangnya tidak mempunyai tahap pemikiran seorang pemimpin.

2. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melihat pihak kerajaan tidak mempunyai alasan yang releven untuk kenaikan harga bahan bakar yang menjadi kunci kenaikan kos sara hidup. Ketika ini harga minyak pasaran dunia merundum ke aras paling rendah dalam tempoh 3 tahun. Mengapa kerajaan tergamak menaikkan harga minyak domestik?

3. Kata-kata untuk menjimatkan perbelanjaan negara, pembangunan luar bandar, menaiktaraf sistem pengangkutan awam, menambah kadar BR1M dan sebagainya hanyalah satu penyedap halwa telinga sahaja.

4. Imbas kembali, zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu kenaikan harga bahan bakar mencecah 78 sen seliter, yang ketika itu harga minyak global mencanak tinggi. Maka lebihan pendapatan dari kenaikan itu kononnya digunapakai untuk menaik-taraf pengangkutan awam. Apa hasilnya? Hanya lambakan bas-bas Rapid yang tersadai menjadi besi buruk kerana urustadbir yang penuh ketirisan.

5. September 2013, Perdana Menteri YAB Dato' Seri Najib Razak umum kenaikan harga bahan bakar RON95 dan Diesel untuk menjimatkan perbelanjaan negara. Sama juga alasannya ketika ini. Namun, siapakah yang boros dan tidak amanah dalam mengurus perbelanjaan? Rakyat atau Kerajaan? Banyak kelompongan dalam pengurusan perbendaharaan negara yang tidak diatasi sehingga kini.

6. Alasan menteri kononnya kenaikan harga bahan bakar kali ini didorong oleh langkah untuk mencegah penyeludupan. SAMM melihat sepatutnya pihak kerajaan pertingkat operasi di pintu sempadan untuk mencegah penyeludupan. Bukan menghukum rakyat di atas kebocoran sempadan. Semua lorong-lorong tikus laluan penyeludup perlu dipantau rapi yang melibatkan pelbagai agensi. Atau apakah agensi-agensi terbabit di pintu sempadan telah gagal sama sekali sehingga Kerajaan Persekutuan terpaksa mengambil langkah menaikkan harga bahan bakar?

7. Sekali lagi, Kerajaan Persekutuan menggunakan hujah kononnya harga bahan bakar kita antara yang termurah. SAMM berpandangan tidak patut jika ingin dibandingkan dengan negara "net importer" lain kerana hakikatnya kita adalah negara "net exporter" petroleum. Rakyat juga sering dimomokkan dengan ungkapan sumber minyak negara semakin habis sedangkan penemuan-penemuan telaga minyak baru sering sahaja dirahsiakan daripada pengetahuan khalayak umum.

8. Adalah tidak adil juga jika kita membandingkan harga bahan bakar di antara negara kita dan negara jiran dengan menggunakan matawang kita. Umum mengetahui bagaimana nilai matawang kita yang semakin rendah berbanding matawang negara jiran. Tambahan lagi, kita juga harus melihat Pendapatan Per Kapita negara tersebut berbanding dengan kita. Dengan kuasa beli mereka yang besar walaupun harga minyak mereka tinggi, ia tidak akan mengganggu keadaan taraf hidup rakyat mereka.

Apa pun hujahnya, kenaikan harga bahan bakar ini menunjukkan kegagalan dahsyat Perdana Menteri dan Kabinetnya dalam menjaga amanah menguruskan perbendaharaan negara. Lantas, mengambil jalan mudah menaikkan harga bahan bakar bagi membendung defisit yang semakin membesar.

Untuk kesekian kalinya, rakyat Malaysia harus membayar harga yang mahal diatas siri kelemahan dan kegagalan Perdana Menteri dan kabinetnya mengurustadbir negara. Maka rakyat harus protes, bukan bersyukur membabi-buta.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Badan Penyelidik SAMM
Solidariti Anak Muda Malaysia

Wednesday, September 24, 2014

Adun Mentakab turun padang

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji meneruskan rutinnya bertemu rakyat di kawasannya.

Kelmarin bermula pada jam 9 pagi beliau telah duduk bersarapan dengan penduduk Kampung Mambang Berulang, Sungai Dingin, Bukit Chermin dan Gantuk sambil mendengar pelbagai permasalahan yang ditimbulkan oleh mereka.

Pada jam 12 tengahari pula menerima aduan dari seorang penduduk yang memohon baiki atap bocor. Juga minta pengesahan borang, bantuan JKM dan penerangan insuran bencana alam.

Manakala pada 9 malam pula menziarahi kematian emak kepada Encik Khoo Lai Choon yang beralamat di no 6, Taman KSM, Mentakab.




Thursday, September 18, 2014

Rumah pembantu Adun Semantan terbakar, cucu rentung

Rumah pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Ahmad Zubir Omar terbakar pada petang Isnin lalu dan mengorbankan cucunya.

Menurut Zubir dalam tragedi jam enam petang itu, cucunya Mohd Hakimi Mohd Redzuan, 12, yang berkelainan upaya (OKU), terperangkap dalam api marak sehingga rentung 85 peratus daripada seluruh badannya.

“Saya kebetulan berada di Kuantan ketika kejadian atas satu urusan dan bergegas pulang. Cucu saya bersama isteri, tetapi dia tinggal berseorangan dalam rumah pada masa itu dan isteri saya berada di belakang rumah.

“Api terlalu cepat marak dan menjilat keseluruhan rumah papan dalam tempoh yang singkat. Bomba yang tiba 10 minit kemudian hanya berjaya menghalang kebakaran rumah batu sebelah bawah.

“Cucu saya gagal diselamatkan dan ditemui bomba berada berhampiran pintu masuk rumah,” katanya ketika ditemui selepas Solat jenazah di Masjid Kampung Bukit Kelulut pagi tadi.

Zubir pesara sebuah syarikat telekomunikasi, ialah bekas Setiausaha PAS Kawasan Temerloh dan juga bekas Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Kuala Semantan.
Sementara itu Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad ketika ditemui di tempat yang sama, merayu orang ramai agar menyalurkan bantuan kewangan semampu mungkin bagi pembantunya dapat membaiki rumah yang tinggal sebagai tempat berlindung.

Katanya, kebanyakan barangannya musnah dan beliau terpaksa memulakan hidup baru tetapi yang mustahak pada masa ini ialah membaiki kediamannya.

Bagi sesiapa yang berhajat untuk membantu bolehlah memasukkan wang ke akaun Ahmad Zubir 10605800021811 (RHB) atau menelefon beliau di talian 0108074199.






Monday, September 15, 2014

GST Untuk Petrol dan Diesel: Bila Kerajaan Mahu Umum?

Jaminan Kerajaan Barisan Nasional kononnya perlaksanaan Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan menyebabkan kenaikan melampau harga barang bakal menjadi satu mitos moden. Ia berikutan kegagalan kerajaan mengumumkan petrol dan diesel termasuk dalam senarai pengecualian GST.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah membuat jangkaan awal bahawa GST menyebabkan kenaikan harga barang tidak mampu dikawal. Rakyat adalah mangsa kerana bukan sahaja tidak bersedia, malah tidak mengetahui betapa perbelanjaan mereka akan berganda khususnya selepas April 2015.

Apabila komoditi petrol dan diesel dikenakan cukai GST, kenaikan hampir 15sen seliter ini akan menjadi satu 'chain reaction' kenaikan harga barang yang merosakkan kuasa membeli rakyat Malaysia.

Lebih malang ketika rakyat dikenakan GST, pelancong yang hadir ke negara ini dibenarkan 'refund' semula cukai GST yang dikenakan (setelah berbelanja hingga ke suatu angka) tetapi apakah akan ada mekanisma yang membolehkan pihak tertentu seperti penggunaan petrol/diesel kenderaan syarikat/perdagangan 'refund' GST? Ramai rakyat yang tidak tahu mengenai perkara ini, kerajaan wajar umum semua perkara GST.

Perlaksanaan GST versi Malaysia dilihat penuh dengan helah tersembunyi tidak seperti perlaksanaan GST negara barat yang telus dan pulangan perkhidmatan kerajaan yang cemerlang. Contohnya, kerajaan telah umum tiada GST untuk bayaran tol namun setiap kali pengisian semula kad pra-bayar Touch n Go akan dikenakan GST. Dalam masa sama, kerajaan secara berperingkat memperkenal tol tanpa laluan tunai yang memaksa pengguna memiliki kad pra-bayar (Touch n Go).

SAMM juga menggesa pihak kerajaan mengumumkan senarai 85 barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai sebelum pembentangan bajet 2015. Senarai tersebut harus menjadi pengetahuan dan perbincangan umum sebelum ia digazetkan.

Bagi SAMM, rakyat selama ini bisa sahaja membayar apa jua cukai yang berpatutan, tetapi harus tidak rela ditipu atas nama cukai GST.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, September 12, 2014

Hentikan terus projek ikan sturgeon - PAS Pahang

TEMERLOH: PAS Pahang mendesak Kerajaan Negeri Pahang menangguh atau menghentikan segera projek penternakan ikan sturgeon di Kuala Tahan, Jerantut sehingga diselesaikan pelbagai persoalan.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang Andansura Rabu dalam sidang medianya hari ini, berkata pelaksanaan projek yang diusahakan oleh Felda Global Venture Holding (FGV) bersama sebuah syarikat dari Korea Selatan itu tidak melalui prosedur yang sepatutnya iaitu proses penilaian impak alam sekitar (PDE).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah berkata, PAS bimbang projek tersebut bakal menyebabkan kemusnahan alam sekitar, ekosistem serta flora dan fauna di kawasan yang telahpun diwartakan sebagai Taman Negara dan Pusat Biodiversiti Negara itu.

“Bayangkan kedudukan tapak projek terlalu hampir dengan kawasan sensitif yang diwartakan sebagai Taman Negara iaitu pusat pelancongan utama negara. Jarak lokasi projek hanya kira-kira 40 meter daripada Sungai Tembeling

“Apa yang dibimbangkan ialah sisa buangan sama ada dalam bentuk pepejal ataupun cairan termasuk bakteria bawaan penyakit terlepas ke Sungai Tembeling iaitu sumber utama bekalan air bagi penduduk setempat,” ujarnya.

Menurut Andansura, sudah tentu ianya akan menyebabkan pencemaran kualiti air sungai sehingga menjejaskan kesihatan dan sumber ekonomi penduduk pesisir Sungai Tembeling.

Menurut laporan, kerja-kerja penebangan balak sedang berjalan di kawasan Sungai Tabung seluas 50 ekar selain daripada pembinaan jalan sementara ke tapak projek. Difahamkan, ia satu projek di bawah ECER.

Sebelum ini, projek berisiko ini turut mendapat bantahan Sahabat Alam (SAM), Persatuan Pencinta Alam (MNS) dan Persatuan Operator Pelancongan Taman Negara Pahang.

Andansura berkata, ikan sturgeon yang berasal dari luar negara itu telah dilarang dibawa masuk mengikut Akta Perikanan kerana habitatnya memakan ikan-ikan lain. Kebimbangan penduduk ialah jika ikan tersebut terlepas ke Sungai Tembeling dan Sungai Pahang.

“Kita juga khuatir, untuk membolehkan projek ini dilaksanakan maka kegiatan penebangan hutan kawasan tadahan. Ini akan menyebabkan proses hakisan tanah yang teruk, runtuhan dan banjir lumpur sehingga menyebabkan kemusnahan.

“Oleh yang demikian PAS Pahang merasakan wajar projek ini dihentikan kerana kesan kerosakan kepada alam sekitar yang akhirnya gagal dikawal.

“Akhirnya projek ini tidak memulangkan keuntungan hasil ekonomi kepada kerajaan negeri dan tidak meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat.

Sementara itu pengerusi badan bertindak projek berkenaan Mohd Zakhwan Ahmad Badardin yang turut bersama dalam sidang media, berkata penduduk di Kuala Tahan pernah memohon tanah di kawasan projek untuk aktiviti pertanian. Namun tidak diluluskan oleh pejabat tanah atas alasan pemeliharaan alam sekitar.

“Tetapi kenapa dianugerahkan kepada FGV?,” soalnya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Pahang Yohanis Ahmad, berkata FGVH sepatutnya mengkaji balik projek berkenaan kerana tidak menampakkan keuntungan dan lari daripada matlamat asal.

“Warga Felda terdapat banyak masalah seperti masalah duit raya peneroka yang dinafikan, perumahan generasi kedua Felda dan geran peneroka yang masih belum dapat. FGVH sepatutnya menumpukan penyelesaian masalah tersebut daripada melabur dalam projek berisiko yang belum tentu mendapatkan keuntungan itu,” katanya.

CAPTION
Andansura (tengah) bersama (dari kiri) Syed Abdul Rahman, Zakhwan, Yohanis dan Youslydi menunjukkan poster ‘Yes to Kelah, no tu Sturgeon’


Pembocor soalan adalah penjenayah akademik

TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) hari ini mengecam keras tindakan pihak tidak bertanggungjawab sehingga bocornya kertas soalan subjek Sains dan terbaru Bahasa Inggeris.

Dalam kenyataan medianya Ketua Pemuda PAS Pahang Nazri Ahmad berkata, perbuatan dilakukan pihak tersebut sangat tidak wajar boleh dianggap sebagai jenayah akademik kerana secara tidak disedari boleh merosakkan masa depan bangsa sendiri.

“Saya mengambil maklum berita yang menjadi viral di laman-laman sosial pada petang ini mengenai penangguhan peperiksaan UPSR bagi subjek Sains kertas 018, 028, 038. Peperiksaan yang mengikut jadual berlangsung pada 11 September 2014 akan ditunda kepada 30 September 2014.

“Hari ini pula menteri berkaitan mengumumkan peperiksaan semula subjek Bahasa Inggeris. Bagi saya atas nilai integriti dan amanah, bolehlah di katakan mereka ini melakukan jenayah akademik yang boleh merosakkan masa depan bangsa.

“Tindakan dan ketamakan mereka telah meruntuhkan nilai-nilai murni seperti bertawakkal, berusaha, gigih serta tekun yang sentiasa di tanam oleh warga pendidik tanpa jemu kepada pelajar sebagai perisai jati diri yang utuh,” ujarnya.

Serentak dengan itu DPPNP menyokong tindakan Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia menangguhkan kertas Sains pada peperiksaan ini bagi memberi masa untuk peperiksaan semula serta menjamin keadilan yang sewajarnya bagi semua calon UPSR.

“Dalam masa yang sama juga kami menggesa agar tindakan yang sewajarnya diambil ke atas mereka yang telah mencalarkan sejarah serta nama baik sistem peperiksaan di Malaysia,” tambahnya.

Nazri turut memetik ayat al-Quran dari surah An-Nisa' ayat 58 ytang menegaskan “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat.”

~ Nazri (kiri sekali) dalam sidang media.

Tuesday, September 9, 2014

Adun Mentakab tambun sendiri lopak bahaya

TEMERLOH: Setelah lebih seminggu aduan dibuat oleh penduduk kepada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) berkaitan lopak besar di hadapan Sekolah Cina Bandar Mentakab tidak diindahkan, akhirnya wakil rakyatnya sendiri yang turun menambun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, beliau menyelesaikannya bersama sukarelawan bagi mengelakkan sesuatu yang bahaya berlaku terutama kepada pelajar sekolah berdekatan.

Ceritanya kepada media, semalam semasa dalam perjalanan pulang daripada program mengagihkan kuih bulan beliau telah meninjau keadaan lopak besar dimaksudkan yang telah diadukan penduduknya kepadanya.

“Kemudian berhenti satu lori satu tan di depan saya dan memberitahu dia mahu menambun lubang tersebut. Saya bertanya pada pemandu lori tersebut adakah beliau kontraktor yang di lantik untuk buat kerja itu?

“Pemandu lori itu memperkenalkan diri beliau sebagai Wai, rupanya seorang sukarelawan, beliau buat Kerja amal ini kerana telah ramai penunggang motor jatuh dalam lopak tersebut,” katanya.

Zulpuri berkata, oleh kerana keprihatinan pemandu lori tersebut menyentuh perasannya, lalu beliau turut sama membantu demi untuk keselamatan orang awam dan pelajar-pelajar sekolah yang menggunakan jalan berkenaan.

Tambahnya, banyak lagi jalan yang berlopak dan membentuk lubang besar di jalan raya sekitar Mentakab berikutan hujan sejak akhir-akhir ini.


~ Zulpuri membantu sukarelawan menambun lopak atas jalan


Usah Berdalih Lagi, Hentikan Segera Bantuan Ekonomi dan Perdagangan Malaysia-Israel

Selesai sahaja sidang media aksi #PagarMiTi298 “Hentikan Perdagangan Malaysia dengan Israel” yang dikelola oleh SAMM dan sekutu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tampil memberikan penjelasan separa masak dalam isu ini.

Sehubungan itu, SAMM sekali lagi tampil meminta Menteri MITI untuk menjawab penjelasan yang telah beliau berikan tersebut :

Produk yang dihantar ke Palestin melalui Israel


Dunia mengetahui bahawa serangan rejim Zionis terhadap Gaza Humanitarian Aid Flotilla – Mavi Marmara pada 31 Mei 2010 sehingga menyebabkan Perdana Menteri Turki ketika itu Tayyip Erdogan telah menghalau keluar kedutaan Israel daripada Turki. Malah, 6 hari lepas, regim Zionis Israel telah pun melancarkan serangan udara menggunakan pesawat F-16 terhadap rombongan misi kemanusiaan Venezuela ke Gaza.

Bagaimana Menteri MITI boleh membuat kesimpulan bahawa regim Israel ini begitu suci dan murah hati mereka untuk melepaskan bantuan kemanusiaan masuk dengan mudah ke Palestin ataupun produk-produk yang boleh membantu urusan pembangunan ekonomi di wilayah Palestin? Jika regim Zionis ini begitu mulia hatinya tidak perlu warga Palestin bermurah hati untuk menggali terowong-terowong tikus bagi tujuan menyeludup masuk bekalan makanan, pakaian dan gas ke wilayah mereka.

SAMM telah mendedahkan isu perdagangan Malaysia dengan Israel ini semenjak tahun 2010 lagi. MITI sering membisu dalam isu ini dan mengelak untuk menjawap. Dalam Perbahasan Belanjawan 2012, YB Er Teck Hwa, Ahli Parlimen Kawasan Bakri telah membawakan isu ini dan Menteri MITI hanya memberikan jawapan bahawa perhubungan Malaysia dan lsrael adalah melalui rangkaian bekalan antarabangsa (international supply chain).

Namun, apabila SAMM terus membongkarkan dokumen demi dokumen, Menteri berubah nada dan menyatakan bahawa perdagangan ini adalah untuk menyelamatkan Palestin. Mengapa Menteri sering berdolak dalik? Apakah yang sedang dipertahankan oleh MITI dan keseluruhan Kabinet? Adakah MITI sedang mempertahankan kepentingan regim Zionis ataupun Ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat-Syarikat yang mempunyai hubungan perdagangan dengan Israel?

SAMM dengan ini mendesak Kementerian untuk menjelaskan apakah jenis produk, syarikat yang terlibat dan nilai dagangan yang dihantar ke Palestin. Adakah Malaysia mempunyai pengesahan bahawa Pelabuhan di Ashdod, Israel itu digunakan sebagai transit sebelum produk-produk ini dihantar masuk ke Palestin.

Menteri tidak harus sekadar memberikan jawapan rambang sebaliknya mesti diiringi dengan fakta-fakta sahih. Dimanakah bukti-bukti produk-produk ini diterima oleh Syarikat-Syarikat atau perusahaan-perusahaan milik rakyat Palestin atau beralamat di wilayah Palestin?

Jika tidak, Menteri sekali lagi seperti kebiasaan terus kekal berbohong dan memanipulasi fakta untuk berselindung dan menyelamatkan diri semata-mata. Adakah Menteri juga merelakan setiap daripada rakyat Malaysia menjadi penyumbang kepada kematian rakyat Palestin selama ini?

Hubungan Eksport Israel ke Malaysia dan Penglibatan Syarikat Tempatan Dengan Syarikat Berpengkalan di Israel

Dalam isu hubungan perdagangan ini, SAMM tidak sekadar menyebut mengenai produk tempatan yang dieksport ke Israel tetapi juga melibatkan statistik eksport Israel ke Malaysia. Produk-produk yang dikeluarkan di Israel atau Made In Israel dan kita membantu untuk membelinya melalui syarikat-syarikat MNC.

Adakah MITI juga ingin mengatakan bahawa produk-produk ini berasal atau Country of Origin adalah dari Palestin yang hanya menggunakan pelabuhan-pelabuhan di sekitar Ashdod atau Haifa, Israel? Sejak bila Palestin mempunyai kilang-kilang industri membuat material-material atau komponen produk?

Menteri tidak sepatutnya mengecilkan skop seolah-olah hanya barang-barang bantuan kemanusiaan ke Palestin sahaja yang kita hantar selama ini. Kelemahan dan sikap sering menunduk kepada konglomerat asing oleh Pemerintah ini dalam menghalang produk “Made In Israel” masuk ke negara ini adalah sangat dangkal dan tidak boleh diterima.

Apakah Malaysia tidak lagi mempunyai kedaulatan sehingga mudah mengikut telunjuk pelabur asing? Mengapa Pemerintah tidak mempunyai keberanian seperti Turki, Chile, dan kebanyakkan negara Kesatuan Eropah yang begitu tegas menghalang perdagangan dengan Israel? Seperti mana ketegasan dan keberanian kita mengikut telunjuk Amerika Syarikat semasa menghentikan dagangan minyak dengan Iran pada tahun 2012 dahulu.

Keadaan ini samalah juga dengan sikap kita yang mengagungkan dan menyanjung tinggi Henry Gurney sehingga kini walaupun Henry Gurney ini merupakan watak belakang tabir yang mewujudkan negara Israel dan merampas tanah dan hak warga Palestin sebagai manusia yang bebas dan merdeka di dunia ini.

Bagaimana pula dengan syarikat perkapalan Zim yang bebas keluar masuk ke pelabuhan-pelabuhan kita, Syarikat AMDOCS yang digunapakai oleh ASTRO, APCO Worldwide yang menjadi penasihat Kerajaan dan lain-lain, apakah semua syarikat ini tidak berdaftar dan mempunyai lesen perniagaan. Siapakah pula yang memberikan syarikat-syarikat yang berlatarbelakangkan Zionis Israel ini diberikan lesen perniagaan di Malaysia?

Syarikat-syarikat yang diasaskan atau berpengkalan di Israel ini sudah pasti akan membawa balik setiap sen keuntungannya ke Israel. Tidak mungkin Mak Timah di Ulu Choh, Ah Seng di Kuala Kurau, Maniam di Telok Kemang dan jutaan lagi rakyat Malaysia akan menerima laba keuntungan syarikat ini apatah pula rakyat Palestin yang telah lebih 60 tahun menjadi mangsa penghapusan etnik regim zalim Zionis Israel ini.

Alasan bahawa syarikat-syarikat ini didagangkan di New York Stock Exchange (NYSE) juga hanya satu alasan untuk mengaburi pandangan khalayak dan mengelakkan sentimen kempen Boycott, Divestment and Sanction (BDS) yang banyak dilakukan di negara-negara luar terutamanya dalam Kesatuan Eropah.

Penutup


Melihat kepada respons yang diberikan Menteri adalah merupakan satu cubaan untuk membela diri dengan penjelasan serba kemungkinan tanpa ada sebarang hujah-hujah atau statistik-statistik atau fakta-fakta iringan yang lebih konkrit untuk mewajarkan penjelasan beliau.

Beberapa perkara yang sering SAMM bangkitkan dalam isu perdagangan dengan Israel ini masih tidak dapat dijawab dengan tuntas oleh Kementerian. Menteri MITI sekadar memberikan jawapan umpama melepaskan batuk di tangga untuk mewajarkan tindakan Kabinet pada tahun 1996 yang telah memberikan kelulusan untuk perdagangan dengan Israel.

Ini hanyalah satu cubaan untuk meredakan kemarahan rakyat Malaysia yang tidak pernah bersetuju dengan sebarang bentuk keganasan terhadap manusia sejagat. Tetapi malangnya sifat munafiq itu tidak mampu disorok lagi.

Ayuh kita bersama Solidariti buat Warga Palestin dengan turun beramai-ramai dalam aksi #PagarMiTi298 : Malaysia STOP Arming Israel pada 29 Ogos 2014 di hadapan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Jalan Duta, Kuala Lumpur bermula dengan solat jumaat di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Inilah harinya untuk rakyat Malaysia bangkit menyatakan kepedulian kita terhadap kemanusiaan di Gaza yang mendapat perhatian antarabangsa.

sekian,


Ahmad Anwar Asyraf

Penyelaras SAMM Kebangsaan



Wednesday, September 3, 2014

Tak patut Adun Semambu dilarang sambut merdeka - Tuan Ibrahim

KUANTAN: PAS Pahang melahirkan rasa dukacita dengan larangan Kerajaan Negeri Pahang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu Lee Chean Chung daripada menghadiri perarakan hari kemerdekaan.

Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan tersebut tidak langsung menggambarkan sifat patriotisme dalam saat-saat negara menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ke 57.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS mengulas isu Adun DAP itu yang dilarang menyertai sambutan Hari Merdeka peringkat negeri Pahang melalui panggilan telefon oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu daripada PKR Lee Chean Chung dibatalkan ekoran penggantungannya daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) selama dua sesi.

Tuan Ibrahim berkata, sebenarnya isu penggantungan dewan bukan bermakna wakil rakyat tersebut tidak boleh hadir semua program.

“Bila dah digantung dia dilarang menghadiri sidang dewan kita fahamlah sebab itu hak dewan. Tapi apa hak untuk membatalkan Adun berkenaan menyertai perarakan sambutan kemerdekaan.

“Sepatutnya perkara itu tidak berlaku. dan bagi PAS di saat-saat menyambut kemerdekaan yang sering diuar-uarkan supaya mengenepikan nilai-nilai politik kepartian, kita bersama membangunkan negara ternyata ternyata gagal diterjemahkan oleh pemimpin kerajaan negeri ini.

“Sebab dia tetap ahli yang berhormat, dia masih dibayar elaun, dia masih ada hak sebagai Adun. Di luar dewan rakyat masih menganggapnya sebagai wakil rakyat dan rakyat di kawasannya masih datang menemuinya dan meminta pertolongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Hari Keluarga Badan Perhubungan dan Amilin PAS Pahang di sebuah resort pinggir Laut China Selatan di sini.

Tuan Ibrahim berkata, sepatutnya pemimpin kerajaan meminta maaf kepada beliau demi maruah kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan sehingga dilarang menyertai sambutan merdeka yang sepatutnya diraikan oleh semua.

Sementara itu, kira-kira 200 orang menyertai hari keluarga sempena cuti hari merdeka 31 Ogos dan 1 September baru-baru ini. Mereka terdiri daripada anggota Badan Perhubungan (BPPNP) diketuai Pesuruhjaya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kedua-dua timbalan Ustaz Yusof Embong dan Md Jusoh Darus hadir bersama keluarga masing-masing. Turut menyertai, petugas-petugas sepenuh masa dengan PAS seluruh negeri ini.

Tuan Ibrahim dalam ucapan penutup berkata program yang diadakan berjaya menjalin dan mengeratkan ukhuwah sesama peserta.

"Saya cadangkan hari keluarga seperti ini dimasukkan dalam kalender tahunan PAS Pahang kerana berjaya mengeratkan ukhuwah tanpa mengira kedudukan masing-masing dalam parti dan silaturahim sesama keluarga.

"Dengan program kekeluargaan seperti ini insyaallah dapat meningkatkan lagi ruh perjuangan buat bekalan masa hadapan," katanya sebelum bergegas ke Kuala Lumpur untuk menyertai satu program anjuran PAS Pusat.

~ Andansura menyerahkan potret Tuan Ibrahim yang dilukis oleh seorang ahli PAS Indera Mahkota.

Perbandingan JMF dan PPS Adalah Dangkal Dan Tidak Tepat

Johore Military Forces (JMF) atau Askar Timbalan Setia ditubuhkan pada tahun 1886 sebagai memenuhi syarat Perjanjian Setia 1885 antara Kerajaan Johor dan Kerajaan Great Britain. JMF ini juga terlindung di bawah Enakmen No 13 Negeri Johor - Johore Military Forces Enactment 1915.

Walaupun terdapat usaha Kerajaan Persekutuan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Johore Military Forces (Disbandment and Repeal) 1994 namun ia tidak berjaya melepasi bacaan kedua di Dewan Rakyat.

Tun Salleh Abbas, Ketua Hakim Negara ketika itu telah menasihatkan pihak Istana Bukit Serene bahawa JMF ini telah diwujudkan lebih dahulu daripada Rejimen Askar Melayu DiRaja dan penubuhan serta pengekalan JMF ini adalah sebahagian hak dan keistimewaan Istana dan Negeri Johor.

Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai legitimasi dan hak untuk membatalkan keistimewaan hak tersebut tanpa persetujuan Sultan Johor. Pandangan Tun Salleh telah disokong oleh Neil Lawson yang menjadi Penasihat Perundangan semasa perbincangan menuntut kemerdekaan.

Maka, untuk membandingkan JMF dan PPS adalah tidak tepat. Tidak sewajarnya JMF yang mempunyai legitimasi undang-undang dan sejarah ini dimanipulasi dalam sengketa politik domestik.

Sehubungan itu, SAMM Johor memperingatkan semua pemain politik tempatan, dalam kita berpolitik, kita juga harus mempunyai etika dan moral. Fakta yang dibentangkan perlu mempunyai asas dan perbandingan juga haruslah berlandaskan Apple to an Apple bukannya Apple to an Orange.

"Johore Untuk Rakyat Johore"

Ahmad Anwar Asyraf

Tuesday, August 5, 2014

Rasional lancar sambutan merdeka di Temerloh

Tindakan PAS Pusat memilih daerah Temerloh sebagai tapak pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2014 pada 15 dan 16 Ogos ini, adalah tepat dan patut dipuji.

Ini disebabkan daerah ini menyimpan khazanah sejarah perjuangan sebenar orang Melayu menentang penjajah Inggeris. Namun disebabkan siri perjuangan kepahlawanan Melayu itu terpendam dan tertimbus selama ini, tidak banyak lagi sejarah yang diketahui khususnya oleh generasi muda.

Justeru itu, usaha murni PAS Pusat ‘menyalakan obor’ sambutan di bumi pahlawan ini diharap dapat merakam kembali sejarah perjuangan panjang menentang penjajah dan seterusnya menuntut kemerdekaan itu secara lebih tepat dan adil.

Prof. Madya Dr Mohamed Salleh Lamry dari UKM dalam bukunya ‘Temerloh Dalam Kancah Perjuangan Kemerdekaan’ menyebut, walaupun di negara ini ada beberapa tempat yang boleh disebut sebagai pusat gerakan nasionalis kiri , seperti Padang Rengas (Perak), Jenderam (Selangor), dan Muar (Johor), tetapi Temerloh merupakan tempat yang lebih penting dan lebih istimewa berbanding dengan tempat-tempat yang lain.

Beliau turut memetik tulisan Suriani Abdullah (isteri Abdullah CD) “Temerloh adalah buaian revolusi. Di sinilah lahirnya pasukan pahlawan, bintang harapan kaum tani. Di sinilah berkembang dan mendewasanya pasukan Rejimen Ke-10 dan dari sinilah juga ia berjaya melancarkan pertempuran-pertempuran yang bertubi-tubi terhadap musuh (penjajah) serta telah memberikan sumbangan-sumbangan yang besar lagi penting kepada usaha kemerdekaan dan usaha pembebasan nasional tanah air kita”.

Salleh menulis, terdapat tiga gerakan menentang penjajah di Temerloh dan apa yang menariknya ketiga-tiga gerakan itu disokong penuh oleh majoriti penduduk tempatan. Lebih hebat lagi, kesemua gerakan tersebut disertai oleh sukarelawan dari luar baik dari serata ceruk negeri Pahang hinggalah seluruh pelosok tanah air berhijrah ke Temerloh menyertai perjuangan menentang penjajah ini.

Gerakan pertama dicetuskan oleh Dato’ Bahaman selepas campur tangan penjajah Inggeris dan meletakkan wakil residennya di Pahang sekitar tahun 1887. Gerakan penentangan oleh Bahaman dari Lanchang itu begitu kuat dan semangat perjuangannya telah menjadi inspirasi dan merebak meluas hampir ke seluruh negeri Pahang.

Meskipun gerakan penentangan itu berakhir dengan kegagalan, tetapi gerakan itu telah memberi ilham, semangat dan dorongan kepada generasi anak Pahang yang berikutnya untuk meneruskan perjuangan antipenjajah dan seterusnya menuntut kemerdekaan.

Gerakan kedua muncul pada zaman perjuangan kemerdekaan pula, khususnya pada zaman sebelum darurat (1945-1948) di Temerloh oleh nasionalis kiri atau radikal yang kuat dan mendapat dukungan yang menyeluruh daripada penduduk kawasan itu.

Pada waktu itu persatuan orang Melayu negeri-negeri (yang akhirnya menubuhkan Umno) masih meneriakkan “hidup Melayu” dan menentang Malayan Union. Penduduk Temerloh telahpu melaungkan kalimah “merdeka” melalui Kesatuan Melayu Muda yang diasas dan dipimpin oleh dua orang anak watan Temerloh iaitu Ibrahim Yaacob dan Ishak Mohamad.

Di Temerloh juga begitu subur dengan perjuangan merdeka melalui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh Kamarulzaman Teh, Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Se-Malaya (BATAS) dan Pembantu Indonesia Merdeka (PIM). Selepas diharamkan mereka menyertai PETA.

Kesemua ahli persatuan-persatuan tersebut pernah bergabung dan berarak di sekeliling bandar Temerloh dengan melalungkan “merdeka! Merdeka!”.

Akhirnya setelah Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada bulan Jun 1948, orang Melayu di Temerloh dan pejuang-pejuang dari luar secara beramai-ramai telah menyertai perjuangan bersenjata iaitu Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (TPRM).

Namun begitu Temerloh hari ini hanya dikenali sebagai ‘Titik tengah Semenanjung’ saja manakala pihak berkuasa pula hanya meletakkan ‘Temerloh bandar ikan patin’. Sementara khazanah sejarah dan keistimewaan perjuangan penduduknya tidak ditonjolkan langsung.

Oleh yang demikian, usaha PAS Pusat memulakan pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2014 ini diharap dapat menggali dan mencanai kembali khazanah sejarah yang sengaja dipendamkan.



Sunday, August 3, 2014

Isu MB Selangor: Pendirian PAS Pahang berdiri teguh di belakang Presiden

TEMERLOH: PAS Pahang mengambil pendirian berdiri teguh bersama Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan menyokong penuh kenyataan beliau berhubung isu usaha menukar Menteri Besar Selangor sedia ada dengan calon lain.

Serentak dengan itu, PAS Pahang mahu supaya Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang akan bermesyuarat pada 10 Ogos 2014 ini, mengambil pendirian padu dalam menyatakan sokongan dan berdiri teguh bersama Presiden.

Dalam sidang media di pejabat perhubungan PAS di sini yang diketuai Timbalan Pesuruhjaya Md Jusoh Darus, beliau berkata sebagai sebuah bahtera kita mesti menuruti arahan dan kehendak nahkhoda agar perjalanan parti akan sampai ke destinasi sebagaimana amanat daripada Mursyidul Am.

“Kami percaya YB Presiden dan AJK Pusat akan memastikan keputusan yang diambil nanti bukan sahaja untuk menyelesaikan isu berbangkit malah juga untuk terus mengukuhkan Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Abdul Hadi sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim didapati tidak melakukan sebarang pecah amanah atau khianat kepada rakyat sehingga perlu ditukar di tengah-tengah khidmat cemerlangnya memacu Selangor maju, sebagaimana dikehendaki oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan Abdul Hadi itu disokong oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mempertegaskan bahawa Abdul Hadi adalah nakhoda kepada PAS.

Dalam sidang media yang sama Md Jusoh berkata PAS Pahang menggesa supaya pemimpin dan ahli-ahli PAS berserta penyokong PR di semua peringkat supaya bersabar dan memberi peluang kepada kepimpinan PAS untuk membuat keputusan yang terbaik demi keutuhan perjuangan PR.

Turut hadir Bendahari PAS Pahang Musaniff Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri Hasenan Haron dan AJK Perhubungan Abdul Majid Hasan, Yohanis Ahmad dan Abdul Rahman Malik.

Ditanya mengenai perdebatan hebat di media berhubung kebocoran satu perbincangan melalui aplikasi whatsapp, Md Jusoh berkata mungkin ada pembocor di kalangan orang dalam tetapi dengan teknologi maklumat sekarang kenyataan tersebut mungkin ‘dihijack’ (ceroboh) oleh musuh.

“Bagaimanapun jika benar-benar ada orang dalam yang sengaja membocorkan maklumat rahsia, PAS Pahang minta disiasat dan diambil tindakan,” tegasnya.

CAPTION
Md Jusoh (tiga, kiri) bersama AJK Perhubungan menyatakan sokongan kepada YB Presiden.




Friday, July 25, 2014

Bekas pemain bola sepak kebangsaan 15 tahun hampir lumpuh

JERANTUT: PAS Kawasan ini merayu mana-mana pasukan bola sepak dan orang ramai agar tampil membantu bekas penyerang lincah kebangsaan pada era 1990-an Abdul Jalil Manan, 43, yang kini menderita hampir lumpuh akibat penyakit saraf.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Jerantut, Yohanis Ahmad, Jalil yang juga bekas pemain bola sepak negeri Kedah dan skuad belia Pahang itu sudah hampir 15 tahun menderita dan hanya bergerak di atas kerusi roda.

Tambahnya, apa yang menyedihkan, Jalil pada masa ini hanya mengharap bantuan bulanan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menampung keperluan ubat-ubatan dan selainnya hanya bergantung kepada ayahnya, Manan Awang, 60-an yang bekerja sebagai mandur ladang.

“Beliau juga ada menerima wang zakat sebanyak RM200 setahun sekali namun bantuan sebanyak itu sudah tentu tidak mencukupi dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang dan ubat-ubatan yang mesti diambilnya.

“Sebab itu kita minta seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil membantu kerana Jalil selama ini tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya berbanding jasa dan pengorbanan beliau yang besar dalam pembangunan bolasepak negara,” katanya.

Yohanis berkata demikian ketika menziarah sambil menyerahkan sumbangan wang kepada Jalil yang tinggal bersama bapanya di Kampung Lubuk Payung, Tembeling Tengah dekat sini.

Jalil yang tidak pernah berkahwin, merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan tinggal bersama ayahnya sejak ditimpa penyakit berkenaan.

Sementara itu Jalil ketika ditanya pada zaman kegemilangannya, pernah bergandingan dengan bintang bola sepak kebangsaan Azman Adnan selain pernah bersama pemain Azizul Kamaluddin dalam skuad Pahang.

Beliau juga pernah beraksi membantu pasukan remaja negara di kejohanan Piala Belia di Korea Selatan pada 1988 dan pernah beraksi dengan skuad utama Kedah selama lima tahun sebelum terpaksa menggantung but akibat penyakit tersebut.

Katanya lagi, sejak ditimpa penyakit berkenaan beliau tidak putus asa berubat sama ada secara moden mahupun tradisional, namun hingga kini keadaannya masih tidak berubah dan masih terpaksa berulang alik ke hospital setiap bulan untuk fisioterapi.

“Itu pun jika saya ada duit, kalau tidak, duduk di rumah dan menahan sakit. Saya pun tidak mahu menyusahkan keluarga yang banyak membantu selama ini.

“Sebab itu jika adalah ihsan dan bantuan bulanan alangkah baiknya untuk menampung kos perubatan sekarang kerana bantuan bulanan JKM terlalu kecil dan tidak mencukupi dan saya memerlukan tambahan bantuan,” katanya sayu.

Mengenai keadaan penyakit yang dihidapinya sekarang, Jalil berkata beliau tidak mampu berdiri kerana keadaan pinggangnya yang sudah semakin lembik menyebabkan dia hanya mampu duduk di atas kerusi roda sahaja.

GAMBAR
Jalil (kiri) menerima sumbangan wang daripada Yohanis.

Tiga tahun tarawikh, solat raya tanpa masjid

Masuk bulan Ramadan ini, sudah tiga tahun penduduk Felda Gugusan Sungai Koyan, Lipis dan kampung tradisi sekitarnya bersolat tarawih, solat Eidulfitri dan aktiviti ibadat lain tanpa masjid.

Ini disebabkan Masjid Muhajirin yang selama ini menjadi tempat penduduk serta musafir menjalankan aktiviti keagamaan, telah diruntuhkan oleh kontraktor yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu tiga hari sebelum bulan Ramadan tiga tahun lalu.

Mengikut perancangan asal, sebuah masjid baru bernilai RM4.5 juta yang boleh memuatkan 2,000 orang akan dibina bagi menggantikan masjid yang runtuh itu. Malangnya pembinaannya terbengkalai dan sehingga kini belum mencapai 40 peratus siap.

Sebagai alternatif, penduduk terpaksa mengerjakan solat di bangunan Dewan Orang Ramai di situ. Tetapi dikatakan mempunyai masalah besar kerana ketiadaan ruang terutama apabila generasi kedua Felda pulang beramai-ramai untuk menunaikan sembahyang raya.

Bagi Timbalan Pengerusi Masjid Muhajirin, Wan Mahadir Wan Mahmud berkata, pihak berkuasa tersilap meruntuhkan masjid berkenaan tiga tahun lalu kerana ia terletak 50 kaki jarak daripada masjid baru yang terbengkalai sekarang.

“Sepatutnya Masjid Muhajirin tidak dirobohkan sebab masjid baru bukan di tapak itu. Lagipun ia bukanlah uzur. Jika masjid baru siap pun masjid lama tetap boleh digunakan sebagai kelas fardu ain, pusat dakwah dan aktiviti lain.

“Sekarang sudah menjadi kerumitan pula kepada penduduk kerana nak sembahyang di masjid lama dah diruntuhkan masjid baru pula entahkan bila siapnya,” keluhnya.

Wan Mahadir turut membayangkan masjid yang baru mungkin tergendala lagi berikutan tersiar di akhbar baru-baru ini pemilik bergelar Datuk syarikat yang membina masjid terbengkalai itu sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas umat Islam setempat membuat laporan berkaitan projek berkenaan, hujung tahun lalu.

Katanya, Masjid Muhajirin dibina pada tahun 1974 bagi menampung penduduk Felda dan sekitarnya. Namun istimewanya masjid berkenaan ialah menjadi mercu tanda penduduk Sungai Koyan kerana menjadi tempat persinggahan pelancong apabila ke Cameron Highlands melalui Sungai Koyan.

"Ia juga menjadi transit musafir dan pelancong yang berulang alik ke Cameron Highlands dari Lembah Klang, Pahang dan Kelantan antara laluan alternatif paling dekat ke destinasi tanah tinggi berkenaan," ujarnya.

Peruntukan membina masjid baru diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat penempatan Orang Asli Pos Betau beberapa tahun dahulu.

Berdasarkan papan notis yang dahulu, kerja pembinaan bermula pada Jun 2012 dan sepatutnya siap pada September tahun lepas. Dalam pada itu Wan Mahadir berkata, sudah ada anak-anak peneroka yang pulang beraya mengeluh, “dulu elok-elok ada masjid dirobohkan sekarang dah masuk tiga tahun solat raya di dewan badminton. Ini menyebabkan menimbulkan rasa tidak selesa.



Wednesday, July 23, 2014

Taufan landa 300 rumah sekitar Mentakab

Hampir 300 buah rumah sekitar Mentakab dan Dun Lanchang melibatkan Kg Batu Kapor, Gajah Mati, Taman Saga, rumah pangsa, Tanjung Kerayung dan lain-lain semalam dilanda malapetaka taufan puting beliung sehingga rosak teruk.
Kejadian berlaku sekitar jam 5,30 ke 6 petang semalam ketika kebanyakan suri rumah mulai membuat persediaan untuk berbuka puasa.

Menurut saksi keadaan amat menakutkan pada ketika bencana bercampur belas kasihan terhadap mangsa.

Apatah lagi tragedi berlaku kurang seminggu menjelang umat Islam menyambut lebaran.
Serentak dengan itu Prihatin Rakyat di bawah Lajnah Kebajikan PAS Pahang mengambil inisiatif melancarkan derma kepada yang menaruh sekelumit rasa simpati bagi merawat sedikit keluh kesah dan gundah gulana mangsa.

Yakinlah, derma yang tuan-tuan hulurkan akan mendapat rahmat dan balasan ratusan kali ganda apatah lagi di 10 terakhir Ramadan dan menjelang turunnya Lailatul Qadar yang dinanti2kan semua pada masa ini.

Bagi sesiapa percaya dengan janji 'jual-beli' dengan Allah, bolehlah menghulur sumbangan kepada mangsa yang sedang menderita melalui akaun: Prihatin Rakyat 5560 5720 3711 (Maybank Islamic).

Ada baiknya maklumkan sumbangan anda kepada 09 2965143.

Saturday, July 19, 2014

Nisa' Temerloh anjur dapur jalanan

Berdasarkan kejayaan ‘dapur jalanan’ oleh NGO di ibu negara bagi menyantuni gelandangan dan golongan kurang kemampuan, Nisa’ Temerloh hari ini turun dengan konsep dan kesedaran yang sama.

Dengan diketuai Aziahanim Abdul Aziz bersama barisan jawatankuasanya, mereka turun memasak kuih-kuih raya di tapak pasar Ramadan bagi mendekati mereka yang kurang bernasib baik untuk menyampaikan sedikit sumbangan membantu mereka merasai kehangatan menyambut hari raya ini.

“Petugas Nisa’ turun seawal jam 8 pagi tadi bertungkus-lumus memasak kuih-muih raya di kedai Baisudin Ramli dan mula diedarkan kepada yang kurang bernasib baik pada sebelah petang di pasar Ramadan ini.

“Selain kuih raya, Nisa’ juga turut menyumbangkan barangan keperluan seperti beras, gula, tepung, susu dan sebagainya bagi mereka turut merasai kehangatan sambutan raya seperti orang lain,” jelasnya ketika ditemui di sini.

Katanya, mereka mensasarkan golongan kurang berkemampuan tersebut di Dun Kuala Semantan, Mentakab dan Lanchang dalam Parlimen Temerloh.

Menurut Aziahanim, program kebajikan akan sentiasa menjadi keutamaan Nisa’ bagi mendekati masyarakat meskipun matlamat utama Nisa' adalah untuk mendekati golongan muda atau remaja kerana mahu memenuhi slogan negara berkebajikan dan rahmat untuk semua.

"Dengan inisiatif ini juga dapat mengeratkan hubungan silatulrahim serta dapat membantu serba sedikit persediaan menyambut hari raya," katanya.

Aziahanim berkata, Nisa’ Temerloh mempunyai banyak lagi program kemasyarakatan yang dirancang justeru bagi mereka yang sudi menghulurkan sumbangan bolehlah memasukkan wang ke akaun NGO tersebut melalui Bank Islam: 06019010077686.

CAPTION
Nisa’ Temerloh sedang bertungkus-lumus menyiapkan kuih raya untuk diedarkan di pasar Ramadan.

Monday, July 14, 2014

Gaza: SAMM kutuk hipokrasi kerajaan BN

Malaysia Terus Perkukuh Ekonomi Israel, SAMM Gesa Kerajaan Terus Terang

Pada Februari 2012 lalu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) pernah mendedahkan hubungan kerjasama Malaysia-Israel khususnya dalam soal perdagangan minyak sawit. Beberapa dokumen bukti telah didedahkan kepada umum melalui pelbagai media.

Pendedahan demi pendedahan telah dibuat, malah SAMM juga sebelum itu mendedahkan bagaimana komponen buatan Israel telah dihantar ke negara ini untuk dipasang menjadi barangan 'Made in Malaysia', kerana pasaran untuk barangan 'made in Israel' adalah sangat terhad.

SAMM juga telah memunculkan jadual kapal perdagangan di antara pelabuhan terkemuka tanahair dan juga pelabuhan di Israel, selain itu didedahkan juga bagaimana sebuah syarikat berkaitan zionis diberi peranan dalam kerajaan termasuk di bawah Kementerian Dalam Negeri dan juga di dalam sebuah syarikat kewangan di bawah adik Najib Razak. Semua ini didedahkan oleh SAMM sejak sekian lama dengan fakta dan bukti.

Kemuncaknya adalah isu minyak sawit yang dihantar ke Israel untuk perkukuh ekonomi di sana. Perkara ini membawa kepada pengakuan menteri bertanggungjawab Mukhriz Mahathir yang menulis di laman twitternya berbunyi;

"@MukhrizMahathir: Benar kerana minyak sawit yg diexport ke Palestin terpaksa dihantar melalui pelabuhan Ashdod, Israel."

Persoalan lanjutan yang tidak pernah dijawab ialah, sedangkan kapal bantuan kemanusiaan yang membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan pun pernah diserang oleh regim zionis - bagaimana zionis ini boleh membenarkan pelabuhan mereka digunakan bagi pihak Pelestine untuk minyak kelapa sawit?

Faktanya, pada bulan Mei 2010 menyaksikan tentera marin Israel telah menyerang kapal bantuan kemanusiaan Mavi Marmala yang mengorbankan 15 sukarelawan. Pada Mei 2011, kapal bantuan kemanusiaan MV Spirit of Rachel Corrie ditembak sebaik sahaja memasuki zon keselamatan Palestin.

Dengan fakta di atas, adalah amat meragukan jika Israel begitu baik hati membenarkan pelabuhan Ashdod dan Haifa diguna sebagai transit minyak sawit ke Pelestin. Melainkan ini satu pembohongan besar Umno terhadap rakyat Malaysia, betapa sebenarnya minyak sawit tersebut adalah untuk kegunaan negara Israel.

Malah hari ini, ketika Gaza dihujani letupan bom dan rakyat Pelestin terbunuh setiap hari sepanjang Ramadhan, Malaysia telah meneruskan perdagangan dengan Israel, khususnya membekalkan keperluan asas seperti minyak masak kelapa sawit.

Disertakan juga kepilan sebuah keratan dari dokumen yang menunjukkan negara ini menjadikan ekonomi Israel terus berkembang pesat, di saat anak Pelestin mati bergelimpangan.

Tidak ada apa lagi yang boleh diharapkan, SAMM hanya menuntut supaya kerajaan berterus terang kepada rakyat bahawa negara ini sebenarnya pro-Israel dari dulu, kini dan selamanya selagi Umno memerintah. Masalah palestin tidak akan selesai selagi kerajaan Islam munafik terus wujud seperti Malaysia.

SAMM seluruh negara juga dengan ini sebulat suara mengutuk perbuatan hipokrasi kerajaan Umno Barisan Nasional, zionis glokal.

Sekian

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, July 11, 2014

Prihatin Gaza: Yayasan lancar tabung derma

Berikutan serangan menggila rejim Zionis Israel membunuh umat Islam di Gaza, Yayasan Amal Malaysia melalui cawangannya di seluruh Malaysia telah melancarkan tabung bantuan.

Ketua Setiausaha Yayasan Amal Malaysia Nasrun Amir Abdullah berkata, sumbangan tersebut adalah untuk membeli keperluan makanan dan ubatan bagi membantu umat Islam di Gaza.

“Serangan Yahudi setakat ini telah mengorbankan 53 nyawa orang Islam dan ratusan yang lain tercedera termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua.
“Maka bersempena Ramadhan yang mulia ini marilah bersama-sama membantu saudara kita yang tertindas untuk meneruskan perjuangan mereka,” katanya.

Nasrun yang juga Pengerusi Yayasan Amal cawangan Pahang berkata, bagi penduduk negeri ini bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 5560 1100 9756.


Sejak dinihari Isnin lalu, Israel telah melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Palestin dan menyebabkan lebih 53 syahid termasuk wanita dan kanak-kanak.

Ramai mendakwa, tentera rejim Zionis telah menggunakan senjata pemusnah yang dilarang pihak antarabangsa.

Tuesday, July 8, 2014

Ramadan: Apa khabarnya Muslim Uighur?

KENALI SIAPA UYGHUR.. DAN KENALI KERAJAAN KOMUNIS CHINA

1. Ramai yang telah berkongsi kisah masyarakat uyghur di Xinjiang yang dilarang berpuasa oleh kerajaan China. Ramai yang beremosi dengan menzahirkan perasan marah, sedih, geram dan berbagai-bagai lagi.

2. Tapi hakikatnya tidak ramai yang mengetahui siapa sebenarnya Uyghur? Kalau tuan puan jumpa Uyghur di depan mata mahukah tuan puan tolong mereka?Kalau kami sedang lindungi mereka daripada kezaliman kerajaan China mahukah tuan puan bantu kami membantu mereka dari dizalimi?

3. Isu Uyghur bukan isu baru. Bukan baru tahun ini mereka dilarang berpuasa, tetapi telah berpuluh tahun, dan bukan hanya larangan berpuasa tetapi juga larangan-larangan ibadah yang lain seperti larangan memakai hijab bagi wanita, larangan bersolat dan berbagai-bagai lagi.

4. Tahukah tuan puan bahawa sebenarnya kaum Uyghur itu bukanlah etnik Cina? dan Xinjiang itu sebenarnya bukanlah sebahagian daripada China?

5. Hakikatnya bangsa Uyghur itu ialah satu bangsa tersendiri dan istimewa tiada kaitan keturunan dengan bangsa Cina. Rupa paras mereka tiada langsung rupa paras orang Cina. Rupa mereka hampir kepada rupa orang Turki dan mereka berbahasa bahasa Turki bukannya berbahasa Cina.

6. Tetapi kenapa pula Xinjiang dan China? Sebenarnya nama asal Xinjiang ialah Turkistan Timur. Turkistan bermaksud tanah orang-orang Turki. Orang Turki mereka berasal daripada sini iaitu Turkistan. Sehingga ke hari ini mereka masih berkongsi bahasa yang sama, agama yang sama dan budaya yang sama , selain wajah mereka juga hampir sama.

7. Turkistan adalah sebuah wilayah Islam, penduduknya ialah bangsa Uyghur beragama Islam, dan beramal dengan Islam. Turkistan telah dijajah oleh China sejak sekian lama. Namun tahun 1955 Parti Komunis China telah secara rasmi menukar nama Turkistan Timur kepada Xinjiang (bermaksud the "new territory" iaitu wilayah baru). Hakikatnya Turkistan itu berbeza dengan China, mereka punya bahasa sendiri, budaya sendiri, malah mereka mempunyai perlembagaan negara sendiri dan bendera sendiri. bendera mereka berwarna biru sama seperti Turki yang berbendera merah.

8. Mulai tahun itu IDENTITI ISLAM dihilangkan. Nama negara Turkistan Timur ditukar kepada Xinjiang, manakala nama penduduk turut ditukar (cth Salahuddin kepada Shalayiding).

9. Mulai tahun itu juga penindasan demi penindasan dialami mereka. .Identiti Islam dilarang ditonjolkan seperti dilarang menyimpan janggut bagi lelaki, dilarang memakai tudung bagi perempuan, Ajaran Islam tidak dibenarkan diamalkan di sesetangah tempat seperti dilarang solat, dilarang berpuasa, semua itu dilarang dan diharamkan.

10. Kaum Uyghur turut ditangkap tanpa sebab, dipenjarakan, diseksa, dan dibunuh. selain kaum wanita pula dirogol.

11. Rekod kerajaan China terhadap Uyghur ini paling buruk sekali berbanding rekod layanan tentera Israel terhadap penduduk Palestin.

12. Nasib penduduk Uyghur pula lebih malang berbanding penduduk Palestin. Palestin hanya tinggal Gaza yang sekangkang kera, sedangkan Uygur sudah tidak bernegara. Turkistan pula sudah hilang dari peta dunia.

13. Kerana itu Orang Uyghur ini diibaratkan sebagai Palestin di Asia. hakikatnya lebih teruk dari Palestin.

14. Selain daripada penindasan demi penindasan, pembersihan etnik juga sedang dilakukan. Kaum Han dimasukkan beramai-ramai ke dalam Xinjiang bagi mengurangkan majoriti kaum Uyghur selain membunuh kaum Uyghur.

15. Zalimnya kerajaan komunis China ini lebih Zalim daripada kaum Zionis. Bezanya kezaliman Komunis China terhadap Uyghur tidak diketahui pihak antarabangsa kerana polisi tertutup kerajaan komunis China dengan menyekat access media seperti facebook, Youtube dan internet.

16. Malah mengikut rekod hak asasi manusia di peringkat antarabangsa juga menunjukkan bahawa kezaliman kerajaan komunis China berada di tempat pertama diikuti oleh Zionis Israel, kemudian Amerika Syarikat.

17. Maka adalah menjadi tanggungjawab umat Islam seluruh dunia mendedahkan situasi sebenar masyarakat Uyghur yang ditindas, diseksa, dirogol dan dibunuh di sebuah negara mereka yang dirompak Komunis bernama Xinjiang.

18. Oleh itu, di bulan yang mulia ini perbanyakkan doa-doa kita bagi seluruh umat agar Allah memelihara mereka dan memberikan keamanan buat mereka selain memberikan ketabahan dan kekuatan kepada mereka menghadapi tekanan, cabaran dan rintangan dri[truncated by WhatsApp]

Article: Chinese Uyghurs defy Ramadan ban - Chinese Uyghurs defy Ramadan ban

http://www.aljazeera.com/

Monday, July 7, 2014

Nasrudin cadang tambah baik berbuka puasa di Padang MPK

KUANTAN: Salah satu daya tarikan di tengah bandar ini ialah ‘majlis berbuka puasa terbuka’ di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK 1) iaitu bersebelahan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dekat sini.

Saban tahun pada bulan Ramadan, di padang itu dibanjiri orang ramai untuk berbuka puasa di mana sesiapa sahaja boleh hadir sambil bersantai dengan membawa juadah sendiri atau membelinya dari bazar Ramadan yang terletak di hadapannya.

Majlis terbuka itu lazimnya meriah dengan kehadiran penduduk tempatan, musafir atau pelancong dan diserikan pula dengan tazkirah khas oleh penceramah undangan sebelum berbuka puasa.

Bagi Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Nasrudin Hassan, penganjuran berbuka puasa secara santai itu sangat inovatif apatah lagi lokasinya pula sangat berhampiran masjid. Dengan itu memudahkan pengunjung segera menunaikan Solat Maghrib berjamaah selepas berbuka puasa.

Tambahnya lagi, dengan berbuka di situ pengunjung-pengunjung bazar Ramadan tidak lagi kalut untuk pulang kerana biasanya kenderaan dan trafik di bandar itu pada sebelah petang berlaku kesesakan luar biasa.

Di samping memuji usaha oleh penganjur, Ahli Parlimen Temerloh itu yang telah tiga kali berbuka di situ mengharap dilakukan penambahbaikan oleh semua khasnya pengunjung ke lokasi berbuka puasa itu.

“Pertama bagi muslimat, tutuplah aurat sebagaimana yang diajar oleh syariat. Sebagaimana anda patuh kepada syariat untuk berpuasa maka saya percaya anda juga boleh patuh syariat untuk menutup aurat. Sebab saya saksikan sepanjang berada di situ, terlalu ramai muslimah yang hadir berbuka puasa tetapi tidak menutup aurat.

“Kedua, jangan abaikan solat. Khasnya solat maghrib sedang jarak lokasi berbuka puasa dengan masjid bukanlah jauh dan menyulitkan. Saya saksikan terlalu ramai yang tidak solat dan ramai juga yang melengahkan solat sehingga hampir habis waktu maghrib. Saya ulangi, sebagaimana anda patuh syariat untuk berpuasa maka saya juga percaya bahawa anda mampu patuh syariat untuk solat sedang solat adalah tiang agama. Apalah ertinya puasa anda tanpa solat.

“Ketiga, elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan pula berpegangan tangan lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Ini fenomena yang sangat mendukacitakan. Majlis berbuka puasa beramai-ramai ini bukanlah pesta keraian yang melalaikan serta mengundang murka Allah Swt,” tulisnya melalui whatsapp.

Tegasnya, betapa muslimin dan muslimat sanggup mematuhi syariat untuk berpuasa justeru beliau sangat percaya bahawa mereka juga sanggup mematuhi syariat untuk tidak bergaul bebas dan berpegangan tangan dengan bukan mahram.

“Marilah kita usahakan Ramadan edisi ini iaitu Edisi 1435 Hijriah sebagai Ramadhan terbaik buat diri kita berbanding sebelumnya. Kita bina jiwa yang bertaqwa melalui Madrasah Ramadhan ini.”


CAPTION
Nasrudin bersama puteranya merasai kemeriahan berbuka puasa di padang MPK 1 Kuantan.

Saturday, July 5, 2014

Kompleks Al-Makmur dijangka siap Mac depan, derma diperlukan

Kerja-kerja pembinaan Kompleks Al-Makmur kain mencapai matlamat penyempurnaan fasa satu iaitu ‘ground work’, apabila kerja konkrit pad footing dijangka dapat disiapkan pada Selasa minggu hadapan.

Bendahari PAS Pahang yang juga pengarah projek berkenaan Musaniff Abdul Rahman berkata, selepas ini kerja-kerja akan ditumpukan kepada konkrit tiang tunggul (stumb), ground beam dan lantai.

Katanya, kompleks yang terletak di Kerdau sebagai pusat pentadbiran, tarbiyah dan dewan berhimpun PAS Pahang, dijangka akan siap sepenuhnya mengikut waktu yang dijadualkan iaitu pada Mac 2015.

Projek pembinaan itu terbahagi kepada dua fasa iaitu mengandungi dewan dan bangunan pentadbiran. Pada masa ini kerja-kerja ditumpukan kepada pembinaan dewan dua tingkat bernilai RM5 juta berukuran 108 kaki darab 208 kaki yang apabila siap mampu menempatkan 2,000 orang pada satu-satu masa.

“Kerja-kerja sedang dilaksanakan oleh kontraktor iaitu Rangkai Makmur Enterprise, yang dipilih secara tender terbuka akan menyiapkan kerja-kerja tanah (ground work) dan tapak sehingga aras lantai terlebih dulu yang bernilai RM500 ribu dan dijangkakan siap Julai ini.

“Selepas itu akan disambung pula kerja-kerja memasang kerangka struktur besi bangunan dewan utama yang menelan belanja RM1.5 juta dan dijangka siap September tahun ini juga.

“Kemudiannya kerja-kerja akhir menyiapkan bangunan dengan anggaran kos RM2 juta. Akhirnya akan disempurnakan dengan kerja-kerja pendawaian elektrik, pendingin hawa dan bekalan air (MNE) dengan tambahan kos RM1 juta lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi tapak pembinaan.

Idea pembinaan Kompleks Al-Makmur dicetuskan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kira-kira dua tahun lalu memandangkan kebanyakan PAS negeri-negeri lain sudah memiliki kompleks sendiri sehingga boleh diadakan Muktamar Agung Tahunan.
“Kebetulan PAS Pahang mempunyai tanah yang diwakafkan ahli seluas 8 ekar yang berkedudukan amat strategik berhampiran jalan besar Temerloh-Jerantut dan hanya lima minit perjalanan keluar dari Tol Temerloh Lebuh Raya Pantai Timur.
“Walau bagaimanapun, PAS Pahang masih amat memerlukan sumbangan dan infak daripada semua pihak bagi menjayakan cita-cita besar ini,” rayunya.

Bagi sesiapa yang sudi menghulur derma di samping mendapat pahala sedekah jariah, bolehlah memasukkan wang sumbangan ke akaun Maybank Islamik 5560 5750 4469 atas nama Pembangunan Komples Al Makmur.

Sebarang kemusykilan boleh hubungi pejabat PAS Pahang 09 2965143.


Musaniff sedang meninjau kerja-kerja konkrit tapak Kompleks Al-Makmur.