Sunday, August 3, 2014

Isu MB Selangor: Pendirian PAS Pahang berdiri teguh di belakang Presiden

TEMERLOH: PAS Pahang mengambil pendirian berdiri teguh bersama Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan menyokong penuh kenyataan beliau berhubung isu usaha menukar Menteri Besar Selangor sedia ada dengan calon lain.

Serentak dengan itu, PAS Pahang mahu supaya Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang akan bermesyuarat pada 10 Ogos 2014 ini, mengambil pendirian padu dalam menyatakan sokongan dan berdiri teguh bersama Presiden.

Dalam sidang media di pejabat perhubungan PAS di sini yang diketuai Timbalan Pesuruhjaya Md Jusoh Darus, beliau berkata sebagai sebuah bahtera kita mesti menuruti arahan dan kehendak nahkhoda agar perjalanan parti akan sampai ke destinasi sebagaimana amanat daripada Mursyidul Am.

“Kami percaya YB Presiden dan AJK Pusat akan memastikan keputusan yang diambil nanti bukan sahaja untuk menyelesaikan isu berbangkit malah juga untuk terus mengukuhkan Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Abdul Hadi sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim didapati tidak melakukan sebarang pecah amanah atau khianat kepada rakyat sehingga perlu ditukar di tengah-tengah khidmat cemerlangnya memacu Selangor maju, sebagaimana dikehendaki oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan Abdul Hadi itu disokong oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mempertegaskan bahawa Abdul Hadi adalah nakhoda kepada PAS.

Dalam sidang media yang sama Md Jusoh berkata PAS Pahang menggesa supaya pemimpin dan ahli-ahli PAS berserta penyokong PR di semua peringkat supaya bersabar dan memberi peluang kepada kepimpinan PAS untuk membuat keputusan yang terbaik demi keutuhan perjuangan PR.

Turut hadir Bendahari PAS Pahang Musaniff Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri Hasenan Haron dan AJK Perhubungan Abdul Majid Hasan, Yohanis Ahmad dan Abdul Rahman Malik.

Ditanya mengenai perdebatan hebat di media berhubung kebocoran satu perbincangan melalui aplikasi whatsapp, Md Jusoh berkata mungkin ada pembocor di kalangan orang dalam tetapi dengan teknologi maklumat sekarang kenyataan tersebut mungkin ‘dihijack’ (ceroboh) oleh musuh.

“Bagaimanapun jika benar-benar ada orang dalam yang sengaja membocorkan maklumat rahsia, PAS Pahang minta disiasat dan diambil tindakan,” tegasnya.

CAPTION
Md Jusoh (tiga, kiri) bersama AJK Perhubungan menyatakan sokongan kepada YB Presiden.




No comments:

Post a Comment