Thursday, September 19, 2013

'Bakar Obama' Menifestasi Bantah Kehadiran Obama dan Menolak Perjanjian TPPA

Kenyataan Umum
19 Sept 2013

Pelancaran Jelajah #BantahObama #TolakTPPA di Taman Melati, Wangsa Maju malam semalam menjadi satu permulaan mobilisasi besar 'menyambut' kehadiran Presiden Amerika pada 11 Oktober ini di KLCC.

Majlis yang dianjurkan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama SMM dan NGO Bantah TPPA dipanaskan dengan aksi 'bakar Obama' sebagai satu amaran penting simbolik penolakkan terhadap perjanjian penuh kerahsiaan TPPA dan juga kehadiran Obama ke Kuala Lumpur. Dalam aksi berkenaan, satu replika Obama dan bendera Amerika telah dibakar hingga rentung di depan ratusan hadirin.

Barack Obama dijadualkan ke Kuala Lumpur pada bulan depan untuk menjadi saksi tandatangan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian TPPA, namun tekanan yang hebat dari rakyat dan pelbagai NGO telah menyebabkan kerajaan Malaysia menangguhkan tandatangan metrai perjanjian tersebut.

Turut memeriahkan majlis pelancaran adalah termasuk YB Tian Chua, YB Dato Tan, YB Dr Hatta Ramli, che'GuBard, Hishamuddin Rais, Adam Adli dan Safwan Anang manakala wakil NGO pula antaranya Syed Ibrahim (IKRAM), Azlan Awang (Blindspot), Sivarajan (JERIT).

Jelajah #BantahObama #TolakTPPA akan merentasi seluruh negara merangkumi 13 lokasi dari setiap negeri. Hari ini, jelajah siri kedua akan menyusul ke utara tanahair di Bayan Baru, Pulau Pinang bertempat di Tapak bekas Astaka Bukit Gedung bermula jam 8.30 malam, sebelum ke Kangar dan Alor Setar pada hari berikutnya.

Semoga jelajah ini berjaya menyedarkan lebih ramai golongan masyarakat bahawa negara ini sebenarnya sedang dijual oleh pemerintah melalui skim Perjanjian TPPA, dan semua harus bersatu tanpa mengira warna NGO dan fahaman politik - memastikan 'samseng antarabangsa' tidak menjejakkan kaki ke bumi Malaysia bersama jerangkap samarnya.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Monday, September 9, 2013

Dua YDP kekal, dua berubah dalam pemilihan

Mesyuarat Agung PAS empat kawasan di Pahang pada Sabtu dan Ahad menyaksikan dua Yang Dipertua (YDP) Kawasan kekal iaitu Temerloh dan Bera manakala PAS Kawasan Rompin dan Maran mendapat YDP yang baru.

Di Temerloh tiga jawatan tertinggi dipertandingkan dengan YDP selama dua penggal Md. Jusoh Darus, mengalahkan bekas YDP Abdul Rahim Abdul Latif.

Dalam mesyuarat yang dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang Ustaz Idris Ahmad itu, menyaksikan jawatan TYDP pula dimenangi Hassanuddin Salim mengalahkan Syed Hamid Syed Mohamad.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan Syed Hamid, merupakan NYDP Kawasan pada sesi lalu. Sementara bagi Naib yang baru dimenangi Hassan Omar, mengalahkan Abdul Majid Hasan.

Mesyuarat berlangsung di Darul Amin, Sungai Gau
Di Bera, penyandang Sulaiman Mohamad dan Musaniff Abdul Rahman masing-masing kekal bagi jawatan YDP dan TYDP tanpa bertanding. Manakala Abdul Hasim Ahmad dipilih selepas mengalahkan Idris Singah.

Mesyuarat dirasmikan oleh Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena di Darul Ikhwan, Mengkarak.

Di Rompin TYDP sesi lalu Mazlan Mohamad Yasin mengalahkan penyandang Shukri Ahmad bagi jawatan YDP. TYDP pula dimenangi muka baru iaitu Wan Khalid manakala Hanafiah kekal sebagai NYDP.

Mesyuarat dirasmikan oleh Ahli Majlis Syura Ulamak Ustaz Zaharudin Abdul Rahman dan berlangsung di Markas PAS Keratong 10.

Di Maran, TYDP sebelum ini Hasnan Haron mengalahkan Ustaz Ramli Abdul Rahman bagi mengisi jawatan YDP yang dikosongkan oleh Tuan Guru Mohd Baqi Othman. Bagaimanapun Ramli dipilih sebagai TYDP. Manakala Ustaz Khairul Azmi Ismail Al-Hafiz dipilih sebagai NYDP.

Mesyuarat dijalankan di Dewan Felda Jengka 4, dirasmikan Mahfuz Omar.

Sehingga kini, lima PAS Kawasan di Pahang telah bermesyuarat termasuk Lipis pada minggu lalu. Semua kawasan dijangka selesai bermesyuarat penghujung bulan ini.

CAPTION
Ustaz Zaharudin menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Rompin

Sunday, September 8, 2013

Kakitangan awam tak setuju Presiden Cuepas sokong minyak naik

Kakitangan awam terkejut dengan tindakan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman yang menyokong tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen baru-baru ini.

Bagi beberapa kakitangan awam yang ditemui, tindakan menaikkan harga minyak akan tetap memberi kesan ketara kepada kenaikan kos hidup berpanjangan walaupun cuba ditutup dengan kenaikan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

Menurut mereka, selain daripada kenaikan harga barang pasti akan menyusahkan ialah akan meningkat pula kos tambang kenderaan dan harga rumah ekoran kenaikan harga minyak.

Omar dalam satu kenyaataannya di Seremban yang disiarkan akhbar, berkata Cuepacs menyokong tindakan kerajaan yang menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen, sekiranya memberi faedah kepada rakyat untuk masa hadapan seperti BRIM.

Katanya, beliau menyokong kenaikan minyak sekiranya kerajaan mengambil langkah memberi manfaat kepada rakyat dalam bentuk lain, seperti pemberian BRIM yang berganda iaitu daripada RM500 kepada RM1,000 juga bantuan lain kepada rakyat.

Omar berpendapat kerajaan mengurangkan subsidi minyak dengan peruntukan itu dikembalikan semula kepada rakyat, tidak kira dalam apa jua bentuk.

Seorang guru Mohamed Abdul Rahman mempersoalkan rasional di sebalik sokongan Presiden Ceupacs itu sedangkan ia jelas tidak menguntungkan pekerja-pekerja perkhidmatan awam.

Katanya, ramai dalam kalangan pekerja perkhidmatan awam yang tidak mendapat BRIM yang hanya diberikan setahun sekali sedangkan harga barang keperluan dikatakan boleh naik setiap hari tambahan selepas diumumkan kenaikan harga minyak ini.

“Sepatutnya sesebuah kesatuan untuk menjaga kebajikan ahli-ahli kesatuan… disebabkan minyak naik, maka barang harian yang lain pun turut sama naik... jadi fikir-fikirkanlah apabila mengeluarkan kenyataan.

“Lebih baik Omar menumpukan desakan-desakan kakitangan awam selama ini seperti kenaikan gaji, bonus, tuntutan perjalanan… sekarang ini sesuatu claim pun nak kena tunggu 5 ke 6 bulan baru dapat,” ujarnya.

Tambahnya, paling menakutkan kakitangan awam sepertinya ialah kenaikan harga rumah yang sememangnya sudah sedia mahal, seperti diumumkan di akhbar semalam.

Kelmarin Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Datuk Seri Michael Yam Kong Choy kenaikan harga rumah sekurang-kurangnya 10% dalam masa terdekat berikutan kenaikan 20 sen harga petrol RON95 dan diesel.

Bagi Mohd Bazli Dzulkafli pula, walaupun beliau ahli Cuepacs, tetapi tidak bersetuju dengan presidennya yang menyokong kenaikan harga minyak.

“Saya amat terkejut dengan kenaikan mendadak seperti ini tambahan lagi apabila diberitahu rasionalnya untuk menyelamatkan ekonomi negara. Sedangkan pengumuman rasmi kerajaan mengatakan ekonomi berada dalam keadaan amat baik dan mampu melaksanakan semua aku janji pilihan raya BN.

“Seingat saya kerajaan pernah memberi jaminan akan mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat terlebih dulu sebelum diumum,” katanya.

Tambahnya, apa yang diperhatikan kenaikan yang diumum Perdana Menteri dua hari lalu amat ganjil sehinggakan menteri yang bertanggungjawab sendiri menafikannya pada peringkat awal.


Dalam pada itu Mohd Rizuan Kamaruddin berkata, ada baiknya sekiranya Omar mendapatkan terlebih dahulu pendapat kakitangan sebelum secara semberono menyokong.

“Eloknya Datuk Omar menyenaraikan senarai kebaikan yang diperolehi oleh rakyat ekoran kenaikan minyak seperti pandangannya itu. Sebagai presiden sebuah Kesatuan yang mempunyai kredibiliti yang tinggi, beliau seharusnya bercakap dengan fakta yang tepat dan kukuh.

“Ada kemungkinan kenaikan harga minyak akan dijadikan alasan untuk minta kenaikan gaji, tetapi rakyat tidak makan gaji atau tidak kerja dengan kerajaan bagaimana pula?“ soalnya.

Katanya, kenaikan harga minyak sehingga menyusahkan rakyat boleh menyebabkan penyakit sosial seperti peningkatan kes jenayah, kadar kemiskinan dan bermacam-macam hal lagi boleh berlaku akibat beban hidup rakyat jika sudah tidak tertanggung.

Wednesday, September 4, 2013

Minyak naik: ‘Pengundi Umno’ paling teruk terjejas

Di sebalik alasan kerajaan menaikkan harga minyak untuk mengukuhkan ekonomi negara dan merasionalkan subsidi, pada hakikatnya ia adalah beban yang dihempab ke kepala rakyat yang berpendapatan rendah.

Ini disebabkan akibat kenaikan harga minyak RON95 dan diesel 20 sen seliter yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkuatkuasa tengah malam tadi, sudah pasti akan mendorong melambungnya harga barangan yang telah sedia tinggi dalam tempoh terdekat.

Ini tidak dapat dielakkan kerana minyak merupakan kos asas kepada pengangkutan semua barangan.

Pekebun kecil Ahmad Mat Yaman, berkata golongan rakyat yang bergantung hidup dengan pertanian sepertinya akan paling banyak menerima kesan kerana
sudah pasti sewa lori untuk mengangkut buah sawit dan getah akan naik.

“Apabila kos asas itu naik, upah tenaga kerja juga akan naik, sewa jentera berat akan naik dan ini tidak dapat dielakkan kerana itu sajalah pilihan yang ada.

“Pada ketika ini pula harga sawit dan getah jatuh merundum. Kos kehidupan kami akan meningkat pula selepas ini akibat kenaikan harga barang akan menanti,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya menyedari bahawa golongan petani yang berada di luar bandar dan Tanah Rancangan Felda yang akan terjejas teruk selepas ini merupakan kumpulan besar yang menyumbang kepada kemenangan BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Bagi Shaharuddin Salleh, kenaikan harga barang hampir pasti tidak dapat dielakkan berdasarkan pengalaman lalu sebaik sahaja kenaikan harga minyak, walaupun pihak kerajaan cuba mengawal.

“Dengan harga barang yang sememangnya sudah sedia tinggi, sudah tentu akan menjejaskan perbelanjaan harian rakyat sekali gus meningkatkan kos hidup.

“Saya masih ingat dalam Manisfesto BN pada PRU yang lalu berjanji untuk turunkan harga kereta. Setelah empat bulan, bukan saja harga kereta tak turun harga minyak pula yang naik”, katanya.

Tambahnya lagi, bagi syarikat-syarikat bas dan pemandu teksi juga akan mengalami kekurangan pendapatan jika tambang kekal dengan harga sedangkan untuk sebarang kenaikan perlukan kelulusan kerajaan.

Dalam pada itu, Nizam Hamid berkata beliau hairan bagaimana harga minyak dinaikkan sedangakan harga minyak dunia turun pada ketika ini.

“Harga minyak dunia jatuh, jadi tidak ada justifikasi menaikkan harga minyak jika didasarkan kepad harga minyak dunia. Jadi saya percaya kenaikkan harga minyak disebabkan merudumnya nilai Ringgit Malaysia yang membimbangkan kebelakangan ini.

“Nilai wang kita yang merudum ini antaranya disebabkan salah urus ekonomi, ketidakcekapan dan hutang yang tinggi. Jadi istilah rasionalisasi yang digunakan Perdana Menteri tidak lebih sekadar retorik untuk mengelabui mata rakyat sekaligus menjustifikasi tindakan. Hakikatnya salah urus ekonomilah penyebab utama,” jelasnya.