Monday, August 26, 2013

Kes Altantuya boleh burukkan Malaysia di mata dunia

TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap pembebasan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada pertuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu oleh Mahkamah Rayuan semalam sebagai episod malang dalam sejarah perundangan negara.

Ketua DPPM Ustaz Nasrudin Hassan berkata, ini berikutan kes jenayah berprofil tinggi itu menjadi perhatian antarabangsa dan boleh menjadi bahan ketawa akibat kecacatan kes dan menimbulkan tanya.

Katanya, serentak dengan itu DPPM melalui Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi (Juham) akan terus memantau kes ini termasuk menggalakkan keluarga si mati sendiri membawa kes pembunuhan tersebut ke mahkamah.

“Ada dua kesan selepas keputusan kes ini iaitu pertama imej buruk terhadap Malaysia pada kaca mata antarabangsa kerana melibatkan warga Monggolia dan ada kaitan dengan Peranchis.

“Kedua, andaian masyarakat iaitu jika jenayah berprofil tinggipun tertuduh yang sudah sabit kesalahan boleh dilepaskan hakim kerana penyiasatan dan pendakwaan banyak kecacatan, maka tidak mustahil jenayah akan terus berleluasa kerana penjenayah tak takut lagi,” katanya.

Tambahnya andaian yang sedang diperkatakan secara sinis oleh warga siber pada ketika ini ialah ‘Altantuya masuk ke dalam hutan dan meletupkan dirinya sendiri dengan bom C4’ kerana tiada pembunuhnya dan tidak dapat dijejak orang yang mengarahkan pembunuhan tersebut.

Ahli Parlimen Temerloh itu berkata demikian ketika ditemui di rumah terbuka ‘Eidulfitri Pusat Komuniti Parlimen Temerloh di sini kelmarin.

Kira-kira 8,000 penduduk daripada pelbagai bangsa hadir memeriahkan majlis anjuran PAS tersebut.

Semalam tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan mereka terhadap pensabitan dan hukuman.

Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusannya, berkata berlaku penyalaharahan yang serius oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam mensabitkan mereka termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri serta kegagalan untuk mengemukakan diari balai polis yang menyatakan Azilah berada di Bukit Aman pada masa berkenaan.

Altantuya telah dibunuh di hutan Puncak Alam, Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Pada April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md Yassin telah mensabitkan Azilah dan Sirul daripada pertuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu. Manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan itu.

Nasrudin berkata, sebelum ini kes semua petisyen pilihan raya yang ditolak mentah-mentah oleh mahkamah hanya kerana masalah teknikal, turut memburukkan institusi kehakiman negara di mata rakyat.

“Rakyat membawa kes (petisyen) sebesar itu untuk perbicaraan dan mendapatkan keadilan malangnya kes sebesar itu hanya ditolak oleh kesilapan teknikal, jadi sudah tentulah membuatkan rakyat tidak puas hati,” ujarnya.

CAPTION

1.Nasrudin sedang melayan warga OKU yang berkunjung ke rumah terbuka ‘Eidulfitri Parlimen Temerloh.


Friday, August 16, 2013

Lelaki belasah isteri dalam lif serah diri di Kuantan

KUANTAN: Seorang lelaki yang membelasah isterinya di dalam lif di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam yang tersebar melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Isnin lepas, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan petang semalam.

Suspek, seorang penjawat awam berusia 36 tahun yang difahamkan bertugas di Jerantut menyerah diri pada pukul 4.45 petang. Beliau akan dibawa ke Pulau Pinang, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah kepada agensi berita Bernama.

Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan polis percaya dengan penahanan lelaki itu, ia dapat menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh terdekat.

Kes tersebut menjadi perhatian seluruh negara apabila rakaman CCTV yang dimuat naik dan disebarkan secara meluas dalam laman Facebook dan YouTube. Rakaman menunjukkan suspek menumbuk isterinya sehingga kepalanya terhantuk, memijak cermin mata isterinya yang terjatuh, menampar dan menendang mangsa beberapa kali.

Insiden malang itu berlaku di hadapan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun.





Wednesday, August 14, 2013

Tiga kes jenayah senjata api di Pahang

KUANTAN: Negeri Pahang mencatatkan kes ketiga jenayah bersenjata api dalam tempoh sebulan apabila seorang wanita nyaris terkena tembakan penyamun dalam kejadian awal pagi semalam (Selasa) di Jalan Haji Ahmad di sini.

Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff dalam kejadian 4 pagi itu, Ruzelawati Basri, 35, ibu tunggal empat anak, baru sahaja keluar dari rumahnya di Taman Mirama di sini secara berseorangan memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.

Katanya selepas mengisi minyak di sebuah stesen, mangsa memberhentikan kenderaannya di hadapan sebuah restoran di Jalan Haji Ahmad dan membuat panggilan telefon kepada bekas suaminya di Putrajaya sebelum didatangi sebuah kereta berwarna biru gelap dan seorang lelaki kemudian keluar dari kenderaan itu.

Beliau berkata menurut mangsa, lelaki tersebut memegang sepucuk pistol dan mengetuk cermin kereta dan mengarahkannya membuka pintu serta keluar dari keretanya.

"Mangsa yang terkejut terus memecut kenderaannya dan terdengar bunyi cermin keretanya pecah tetapi tidak mendengar bunyi seperti letupan," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Mohd Jasmani berkata mangsa yang beralamat di Precint 9, Putrajaya dan menjalankan perniagaan kedai cermin mata di Kuantan itu terus memecut kenderaannya dan berhenti berhampiran sebuah restoran di Jalan Haji Ahmad yang jaraknya 200 meter dari tempat kejadian setelah mendapati lelaki itu tidak mengejarnya.

"Siasatan awal polis mendapati satu das tembakan dilepaskan di cermin pemandu dan dipercayai hinggap di rangka kiri pintu hadapan MPV tersebut dan motif kejadian dipercayai cubaan menyamun," katanya.

Beliau berkata dalam kejadian tersebut mangsa mengalami luka kecil di bahagian mata kanan dipercayai akibat serpihan kaca dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini.

Pada 30 Julai lalu di Taman Rimba Mentakab, rumah dan kereta milik seorang ahli perniagaan telah dilepaskan dengan beberapa das tembakan. Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.

Pada 26 Julai pula, seorang pemandu lori dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh cedera di lengan selepas ditembak ketika dalam perjalanan ke Jerantut.

Seminggu sebelum itu, sebuah kedai emas kerugian RM3.2 juta di Mentakab apabila dirompak enam lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

Seluruh negara ketika ini sedang kebingungan menghadapi siri jenayah bersenjata api akhir-akhir ini sehingga lebih 20 orang telah terbunuh sejak kejadian 12 April tahun ini.

Sementara itu akhbar The Star dalam tinjauannya di ibu negara melaporkan, jenayah bersenjata api telah menyebabkan kebanyakan kedai makan, stesen minyak dan klinik 24 jam telah menutup operasi perniagaan lebih awal.

Senjata Api : Pemutihan, Kelemahan Kawalan Pintu Sempadan, Rasuah atau Penyelewengan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim menyarankan satu gerakan pemutihan dilancarkan bagi mengesan jumlah sebenar senjata api dimiliki orang awam.

Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar - SAMM Muar secara dasarnya menyambut baik cadangan daripada Ahli Parlimen Muar ini namun kami ingin meminta sedikit pencerahan dari YB Datuk Razali Ibrahim, apakah prosedur pemutihan yang akan digunapakai?

Malahan, cadangan untuk mengisytiharkan jumlah sebenar senjata berlesen dalam negara seharusnya tidak memerlukan sebuah rancangan pemutihan kerana sudah pasti sesiapa yang ingin memiliki senjata api di negara ini perlu memohon lesen daripada PDRM seperti yang disyaratkan di dalam Akta Senjata 1960. Sudah pastilah PDRM ataupun KDN mempunyai pengkalan data berapa jumlah senjata api yang telah dilesenkan kepada rakyat Malaysia. Atau adakah cadangan YB Datuk Razali ini terhasil kerana ketiadaan pengkalan data statistik senjata api berlesen selama ini?

Persoalan utama adalah bagaimana boleh berlaku kebanjiran senjata api tanpa lesen seperti sekarang ini? Adakah semua pembunuh-pembunuh atau perompak-perompak bersenjata api ini mempunyai lesen senjata api? SAMM Muar tidak dapat melihat kewajaran di situ. Maka, SAMM Muar berpandangan senjata api ini diseludup masuk ke dalam negara. Soalnya, bagaimana ia boleh membolosi pintu sempadan negara dengan mudah?

SAMM Muar juga melihat isu kebanjiran senjata api dalam negara ketika ini adalah kerana kelemahan pintu sempadan negara dalam mengekang gejala penyeludupan. Baik dadah, pendatang tanpa izin, barang-barang makanan terkawal mahupun senjata api begitu mudah tembus ke dalam dan luar negara. Pengawalan pintu sempadan negara tidak boleh dipandang enteng.

Tambah merungsingkan, kenyataan YB Datuk Razali Ibrahim bahawa kebanjiran senjata api ini mempunyai kaitan dengan kegiatan rasuah dan penyelewengan telah membuktikan bahawa kegagalan Kerajaan Pemerintah, Perdana Menteri, SPRM dan KDN dalam memerangi gejala rasuah dan. penyelewengan hingga melarat kepada membahayakan keselamatan dan nyawa rakyat.

Sebagai seorang pemimpin muda dalam Kerajaan Pemerintah, adalah diharapkan agar YB Datuk Razali Ibrahim berani menegur persoalan kegiatan rasuah dan penyelewengan seperti yang didakwa beliau itu agar keharmonian dan keselamatan negara tidak digadaikan oleh sebuah pemerintahan yang lemah dalam memerangi gejala ini. Bukan sekadar retorik di dalam media tetapi tindakan affirmatif oleh beliau dalam memastikan rasuah dan penyelewengan yang memudaratkan negara ini dapat dihapuskan.

Ahmad Anwar Asyraf
SAMM Kebangsaan