Wednesday, August 14, 2013

Tiga kes jenayah senjata api di Pahang

KUANTAN: Negeri Pahang mencatatkan kes ketiga jenayah bersenjata api dalam tempoh sebulan apabila seorang wanita nyaris terkena tembakan penyamun dalam kejadian awal pagi semalam (Selasa) di Jalan Haji Ahmad di sini.

Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff dalam kejadian 4 pagi itu, Ruzelawati Basri, 35, ibu tunggal empat anak, baru sahaja keluar dari rumahnya di Taman Mirama di sini secara berseorangan memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.

Katanya selepas mengisi minyak di sebuah stesen, mangsa memberhentikan kenderaannya di hadapan sebuah restoran di Jalan Haji Ahmad dan membuat panggilan telefon kepada bekas suaminya di Putrajaya sebelum didatangi sebuah kereta berwarna biru gelap dan seorang lelaki kemudian keluar dari kenderaan itu.

Beliau berkata menurut mangsa, lelaki tersebut memegang sepucuk pistol dan mengetuk cermin kereta dan mengarahkannya membuka pintu serta keluar dari keretanya.

"Mangsa yang terkejut terus memecut kenderaannya dan terdengar bunyi cermin keretanya pecah tetapi tidak mendengar bunyi seperti letupan," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Mohd Jasmani berkata mangsa yang beralamat di Precint 9, Putrajaya dan menjalankan perniagaan kedai cermin mata di Kuantan itu terus memecut kenderaannya dan berhenti berhampiran sebuah restoran di Jalan Haji Ahmad yang jaraknya 200 meter dari tempat kejadian setelah mendapati lelaki itu tidak mengejarnya.

"Siasatan awal polis mendapati satu das tembakan dilepaskan di cermin pemandu dan dipercayai hinggap di rangka kiri pintu hadapan MPV tersebut dan motif kejadian dipercayai cubaan menyamun," katanya.

Beliau berkata dalam kejadian tersebut mangsa mengalami luka kecil di bahagian mata kanan dipercayai akibat serpihan kaca dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini.

Pada 30 Julai lalu di Taman Rimba Mentakab, rumah dan kereta milik seorang ahli perniagaan telah dilepaskan dengan beberapa das tembakan. Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.

Pada 26 Julai pula, seorang pemandu lori dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh cedera di lengan selepas ditembak ketika dalam perjalanan ke Jerantut.

Seminggu sebelum itu, sebuah kedai emas kerugian RM3.2 juta di Mentakab apabila dirompak enam lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

Seluruh negara ketika ini sedang kebingungan menghadapi siri jenayah bersenjata api akhir-akhir ini sehingga lebih 20 orang telah terbunuh sejak kejadian 12 April tahun ini.

Sementara itu akhbar The Star dalam tinjauannya di ibu negara melaporkan, jenayah bersenjata api telah menyebabkan kebanyakan kedai makan, stesen minyak dan klinik 24 jam telah menutup operasi perniagaan lebih awal.

No comments:

Post a Comment