Monday, February 28, 2011

Pengarah SPR Pahang meninggal dunia

TEMERLOH: Pengarah Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) Pahang Datuk Ismail Mohd Yusoff meninggal dunia di Hospital Sultan Ahmad Shah di sini petang Isnin kerana serangan jantung.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Ismail, 57, yang dimasukkan ke hospital itu pada 7 pagi tadi, meninggal dunia pukul 3.15 petang ini.

Beliau berada di sini bagi melihat persiapan pilihan raya kecil Kerdau yang akan diadakan Ahad ini, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad dan calon PAS, Hassanuddin Salim.

"Pada saya Allahyarham seorang pegawai yang cukup dedikasi dengan memberi perhatian sangat rapi, dia telah berkhidmat dalam SPR selama 20 tahun dan akan bersara pada Julai ini.

"Beliau mula berkhidmat selaku Pengarah Pahang (SPR) bermula 1 Julai 2001 sebelum itu bertugas selaku Pengarah Melaka dan pernah menjadi Timbalan Pengarah Pahang," katanya kepada Bernama di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh di sini, hari ini.

Jenazah Ismail dibawa ke rumahnya di Felda Panching Timur, Kuantan dan akan dikebumikan petang ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak menyifatkan Allahyarham seorang yang minat bekerja.

Katanya, sepanjang beliau mengenali arwah, Allahyarham seorang yang suka membantu dan cukup dedikasi dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

"Saya tengok dia suka buat kerja kadang-kadang dia suka selesaikan permasalahan sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain," katanya.


-- BERNAMA


Ketua Pemuda PAS Pahang pertama meninggal dunia

TEMERLOH: Ketua Pemuda PAS Pahang yang pertama, Abdul Manaf Abdul Latif, 80, atau lebih dikenali dengan panggilan Pakde Manaf di kalangan sahabat, telah kembali ke rahmatullah jam 11 pagi tadi semasa tidur di rumah sewanya di Batu Satu.

Beliau dipercayai meninggal akibat serangan jantung.

Menurut Ketua Pemuda PAS cawangan kampung berkenaan, Jafri Ramli, seorang pegawai perubatan mengesahkan kematiannya setelah dipanggil ke rumahnya.

Tambah Jafri, beliau sebelum itu telah dipanggil oleh isteri Abdul Manaf yang mengsyaki sesuatu setelah Manaf tidak bangun.

Abdul Manaf yang merupakan bekas tentera, menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang yang pertama pada tahun 1963 sehingga tahun 1971.

Beliau yang berasal dari Kampung Sanggang, dekat sini pernah dianugerahkan sebagai tokoh veteran PAS Pahang dan semasa sihatnya tidak pernah ketinggalan menyertai kempen dalam banyak pilihan raya kecil seluruh negara.

Sejak tahun lalu kesihatannya dikatakan merosot dengan pelbagai penyakit termasuk komplikasi jantung, buah pinggang dan gout.

Beliau meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Ubudiah Batu Satu dan dikebumikan di tanah perkuburan Chengal, selepas Solat Asar.



Sunday, February 27, 2011

Umno bertahan dengan isu kelulusan calon

Sudah masuk hari kedua kempen, tetapi kem Umno masih berputar-putar mengenai status kelulusan calonnya, iaitu seorang bekas guru sekolah agama rakyat (SAR) yang dilantik sebagai penasihat agama Menteri Besar Pahang.

Akhbar melaporkan hari ini, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau Syed Ibrahim Syed Ahmad terpaksa memanggil sidang media bagi menunjukkan ijazah Bahasa Arab yang diperolehinya daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau dikatakan berbuat demikian kerana terpaksa menjawab tohmahan mengenai status pendidikannya selama ini.

Jawapannya sudah tentu dihalakan kepada PAS yang bertanding melawan BN dalam PRK Kerdau sekarang.

Namun pada saya, jika itu maksud atau tujuan yang disasarkan kepada PAS, itu silap. Kerana PAS sendiri tidak tahu menahu atau mengambil berat tentang kelulusan dimiliki calon BN itu.

Malah, tidak berminat pun.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pengarah PRK Kerdau bagi PAS menjelas melalui sidang media semalam, tiada satupun kenyataan yang dikeluarkan dari mana-mana pemimpin PAS mengenai isu kelulusan calon Umno sehingga kini.

“PAS kesal kerana dituduh menyebarkan fitnah kepada calon BN Syed Ibrahim yang dikatakan gagal menamatkan pengajian di Mesir (Universiti Al-Azhar).

"Sedangkan isu ini tidak pernah keluar daripada mana-mana pimpinan PAS. Ia dicetuskan oleh blogger yang tiada kena mengena dengan PAS. Bagi PAS, kami menafikan sekeras-keras tuduhan isu ini ditimbulkan oleh PAS,” katanya

Menurut Tuan Ibrahim, asal isu calon BN dikatakan gagal menamatkan pengajian, langsung tiada sebarang kenyataan beliau beli sijil hanya keluar daripada kenyataan MB Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

"Kini pelbagai kenyataan dikait dengan beli sijil. Begitulah 'peralihan' dari isu asal gagal menamatkan pengajian kepada isu yang dikemukakan oleh pimpinan mereka (beli sijil),” selar Tuan Ibrahim.

Untuk PAS, katanya, soal calon BN lulus atau gagal itu bukanlah isu, namun pengundi berhak mengetahui keadaan sebenar.

“Mereka berhak tahu, walaupun ribuan calon sahkan lulus di al-Azhar, pergi pun tidak,” ujarnya.

Sementara itu, ada yang berpendapat bahawa isu kelulusan Syed Ibrahim dibangkitkan oleh kalangan Umno sendiri. Seperti yang disebut sesetengah sumber, ia ada kemungkinan disebarkan oleh pihak yang mewakili individu yang gagal dinamakan sebagai calon Umno yang mewakili BN dalam PRK Kerdau, yang tidak berpuas hati!

Begitu juga dengan status subjek Bahasa Melayu peperiksaan SPMnya.



Saturday, February 26, 2011

Kerdau janjikan pertembungan sengit: PR - BN

TEMERLOH: Bandar ini bakal menyaksikan satu 'pertempuran' sengit melibatkan dua kelompok dalam politik orang Melayu.

PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dan Umno yang betanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau memulakan kempen secara agresif pada hari pertama sebaik sahaja proses penamaan calon berakhir.

Tinjauan mendapati, jentera kedua-dua parti mula dilihat bergerak menjalankan kempen termasuk menemui pengundi dari rumah ke rumah, mengadakan program di bilik-bilik gerakan dan mengedarkan risalah.

Calon kedua-dua belah pihak pula dilihat sudha mula menemui orang ramai.
Kempen dijangka akan lebih menarik menjelang malam. Di Pihak PAS, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan melancarkan Buku Jingga yang mengandungi janji dan tawaran PR sekiranya memerintah negara dalam satu ceramah besar-besaran di markas besar PAS Kerdau.

Sementara Umno turut mengatur majlis bersama Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob pula sudah beberapa hari 'berkubu' di kawasan Orang Asli Paya Sendayan dan Telok Sentang.
Kedua-dua parti dilihat memberi tumpuan utama di Kerdau berbanding satu lagi PRK, di Merlimau. Malah, Ini oleh seorang pegawai risikan polis ketika ditemui pagi tadi, mengesahkan media dan agensi tersebut turut memberi perhatian lebih daripada Merlimau.Ini dapat dilihat daripada kontinjen polis yang diletakkan dalam kuantiti luar biasa besarnya.
Dalam perarakan mengiringi calon ke pusat penamaan pagi tadi, sebahagiam besar pimpinan utama BN berada di Kerdau bersama Muhyiddin sementara PAS diketuai oleh presidennya sendiri, Abdul Hadi.

Friday, February 25, 2011

Berhimpun dibelakang Plaza Temerloh esok untuk perarakan calon

TEMERLOH: Semua ahli dan penyokong Pakatan Rakyat yang berhasrat untuk mengiringi calon PAS ke majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.28 Kerdau besok (26 Februari , diminta berhimpun di tapak parkir belakang Plaza Temerloh berhampiran Balai Bomba Temerloh.

Menurut Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Bin Zainal Al-Ahmadi, program akan bermula seawal jam 5 pagi dengan Munajat Perdana di kawasan berkenaan dan diikuti dengan Solat Subuh berjamaah.

Pada jam 7.30 pagi perarakan akan mula bergerak dari tapak berhimpun melalui bandar lama Temerloh ke Jalan Semantan, melalui hadapan Arked Mara dan berakhir di kawasan parkir di belakang CIMB Bank.

Katanya, proses penamaan calon akan bermula pada jam 9 pagi di Dewan Tun Razak, Temerloh dan dijangka berakhir kira-kira jam 12.00 tengah hari

“Semua pimpinan dan peserta perarakan dinasihatkan datang awal untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Jalan utama bandar Temerloh iaitu Jalan Ahmad Shah akan ditutup seawal jam 6.00 pagi bermula di hadapan Maybank.

“Bagi peserta yang menyertai munajat perdana disarankan membawa tikar dan sejadah serta siap berwuduk. Pastikan anda tidak membawa alat bunyian dan peralatan yang boleh diklasifikasikan sebagai senjata berbahaya,” ujarnya dalam kenyataan media.




Umno mula sebar risalah fitnah

Umno mula edar risalah fitnah

TEMERLOH: Hasrat rakyat tempatan yang mahu melihat kempen bersih dalam PRK Kerdau mungkin berkubur kerana awal-awal lagi pihak Umno/BN telah menerbit dan menyebarkan risalah fitnah yang berupa hasutan.

Risalah yang dipaparkan kononnya diterbitkan oleh Pakatan Rakyat itu bertajuk ‘Kalau Program 100 Hari Pakatan Rakyat Dilaksanakan’ telah diedarkan oleh pihak tertentu di sekitar peti undi di Dun Kerdau dan termasuk di masjid-masjid hari ini.

Risalah yang mengandungi lapan halaman itu merupakan satu tuduhan dan tohmahan bagi menjawab satu persatu isu Tawaran 100 Hari janji Pakatan Rakyat jika diberi peluang menerajui negara.

Semua janji Pakatan yang terkandung dalam ‘Buku Jingga’ di jawap satu persatu secara ‘bodoh’ melalui ilustrasi kartun.

Menurut Pengarah UPU Desa Murni, Hassan Omar, yang merupakan antara yang terawal menerima risalah berkenaan, berkata ada kemungkinan ia diedarkan oleh jentera Umno dari luar.

“Saya nampak provokasi dan fitnah yang berlaku dalam PRK Tenang, Galas dan yang sebelumnya cuba dibawa ke sini oleh mereka menyebabkan penduduk tempatan merasa kurang selesa.

“Kita menyeru jentera propaganda Umno berhenti daripada melakukan kerja terdesak itu kerana ia tidak menguntungkan orang Melayu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Shahril Azman akan membuat laporan polis di IPD Temerloh petang ini berkaitan risalah fitnah terbabit.



Calon PAS mahu kempen berhemah, tolak provokasi

TEMERLOH: Calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Kerdau, Hassanuddin Salim, meminta petugas PAS berkempen secara berhemah, pendekatan mesra rakyat dan mengelakkan sebarang provokasi supaya PRK berjalan dalam suasana harmoni.

Malah, Ketua Penerangan PAS Pahang itu menyeru seluruh pengundi di dalam Dun Kerdau supaya menjalankan tanggungjawab berpilihan raya dengan semangat kasih sayang.

“Apa gunanya kita bermusuh, selepas pilihan raya semua petugas akan kembali ke tempat masing-masing dan tinggallah kita penduduk Kerdau ini seperti sedia kala. Jadi apa gunanya kita bermasam muka, sedangkan kita akan terus hidup bersama lama lagi selepas pilihan raya.

“Oleh yang demikian, kami daripada PAS menegaskan bahawa tidak ada sebarang provokasi dalam kempen kami, dan jika wujud sebarang ketegangan atau kempen mengutuk peribadi, itu bukan daripada pihak kami,” ujarnya ketika berucap selepas diumumkan calon PAS mewakili Pakatan Rakyat di pekarangan Kompleks PAS Kerdau, dekat sini, malam tadi.

Hassanuddin diumumkan sebagai calon PAS oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 10.45 malam dalam majlis yang diadakan di tapak Kompleks PAS Kerdau.

Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS dan PKR, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden dan AJK PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamad Sabu.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh, Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.
Hassanuddin dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh pernah bertanding di Dun Kerdau pada pilihan raya umum lalu.

Berkelulusan Diploma Ukur dari UiTM, Shah Alam mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak. Mempuyai ramai saudara mara dan kerabat di Desa Murni, Lipat Kajang, Teluk Sentang dan di sepanjang Sungai Pahang (dalam Dun Kerdau).

Menurut profil calon yang diedarkan bilik operasi induk PRK N 28 Kerdau, Hassanuddin berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas.

Beliau yang mempunyai pengalaman dalam industri dan ukur selama 15 tahun juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

GAMBAR:
Hassanuddin (berdiri, kanan) bersama Anwar dalam satu program di Mentakab baru-baru ini.




Thursday, February 24, 2011

Syed Ibrahim bakal jadi daun 'Karapole' Umno

Oleh ARIS FAIZUL

Seperti yang dijangka, Umno akhirnya mengistiharkan Syed Ibrahim Syed Ahmad 44 Pegawai Khas Menteri Besar Pahang yang mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar sebagai calon BN di PRK Kerdau.Sebuah blog Umno menyifatkan pemilihan itu sebagai, hadiah paling berharga bagi penduduk Kerdau.

Ini bukanlah kali pertama Umno meletakkan calon lulusan agama untuk menentang calon PAS.Tahun 2004 paling ramai tokoh tokoh agama di turunkan sebagai calon BN untuk menentang tokoh tokoh PAS terutama yang menang pilihanraya 1999.

Tetapi apakah ianya benar benar menjadi hadiah paling berharga kepada rakyat atau sebaliknya? Selepas mereka menang dalam pilihanraya 2004,apakah kedai kedai judi,nombor ekor di tutup di Pahang?Pastinya tidak.

Apa yang pasti mereka masuk ke dewan undangan negeri hanya sekadar untuk 'mengangguk' kepala kepada apa saja yang hendak dibuat kerajaan negeri.Masjid masjid selepas 2004 semakin lesu daripada program agama kerana ahlijawatankuasa masjid yang dipilih oleh ahli jemaah telah digugurkan dan diganti dengan AJK Umno cawangan yang 'penyegan' nak imarahkan rumah Allah.

Kalaulah tokoh tokoh agama Umno ini dianggap sebagai hadiah paling berharga kepada rakyat, tentu saja masjid masjid semakin makmur dengan pengajian agama yang dikendali sendiri oleh YB di kalangan ustaz ustaz Umno ini.Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

ADUN Luit daripada BN, seorang bekas Kadhi lebih memilih karaoke bersama rakyat daripada mengimarahkan masjid bersama pengundinya itu. Tiada apa yang menarik dibuat oleh tokoh tokoh agama ini untuk memartabatkan Islam di negeri Pahang.

Pada PRU ke 12 tahun 2008 ADUN ADUN dari kalangan ustaz Umno ini telah dibakul sampahkan. Maka jadilah mereka daun 'karapole' @ daun kari yang dicari merata ceruk untuk menyedapkan gulai, tapi bila gulai dah siap,daun karapole dibuang ke bakul sampah . Itulah nasib yang akan menimpa ustaz Umno termasuk Syed Ibrahim calon Umno di PRK Kerdau yang juga bakal menjadi daun 'karapole'.Tugas beliau hanyalah untuk mengalahkan calon PAS. Kalaulah beliau berangan nak bawa suara Islam ke Dewan Undangan Negeri,maka beliau telah tersilap memilih bahtera.



Wednesday, February 23, 2011

Kalau sokong PAS kena potong anu, tak boleh makan kerbau pendek – MCA

Harakahdaily TEMERLOH: Naib Presiden PKR Datuk Chua Jui Meng mendedahkan ketika beliau berada dalam MCA telah berkali-kali menakut-nakutkan orang Cina supaya jangan menyokong PAS.

Katanya, antara lain beliau mengatakan jika PAS memerintah orang Cina akan dipotong ‘anu’ dan tidak boleh lagi makan ‘kerbau pendek’.

Bagaimanapun, bekas Menteri Kesihatan itu yang berceramah di Tapak Kompleks PAS Pahang di Kerdau kelmarin, mengaku kini beliau bertaubat dan tidak mahu lagi mengulangi penipuan yang sama.

“Saya masa dalam MCA berkempen memberitahu orang Cina jangan sokong PAS, sebab PAS nak bina negara Islam. Kalau negara Islam nanti anu orang Cina kena potong, tak boleh makan kerbau pendek.

“Itulah penipuan kami kepada orang Cina dan saya percaya ia berlanjutan hingga sekarang. Tapi hari ni saya nak minta maaf... saya taubat,” katanya sambil disambut dengan sorakan lebih 12,000 orang yang hadir.

Tambah bekas Naib Presiden MCA itu, beliau mendapati orang Cina pada masa ini tidak boleh ditipu atau tidak ditakut-takutkan lagi kepada PAS dan ini dibuktikan dengan sokongan majoriti entiti tersebut kepada PAS sejak pilihan raya umum (PRU) 2008 yang lalu.

Turut berceramah pada malam tersebut ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PKR Tian Chua dan beberapa orang lagi.

Chua selanjutnya menceritakan bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak jatuh kerana mengaut kekayaan melampau dengan keluarga beliau mempunyai kekayaan lebih RM270 bilion.

Tambahnya, sedangkan sejumlah besar rakyat hidup melarat dan dibelenggu kemiskinan sehinggalah mereka bangun memberontak.

“Saya nak beritahu apa bezanya dengan Malaysia, 11 juta penduduk di negara ini berpendapatan di bawah RM1,500 iaitu berstatus miskin jika dibandingkan dengan kos hidup. Dan 8 juta daripada mereka adalah orang Melayu.

“Satu perkara lagi yang mempunyai persamaan Malaysia dengan negara-negara Arab yang menghadapi kebangkitan rakyat itu ialah rasuah. Semasa saya mulai memasuki parlimen tiga dekad yang lalu kedudukan indeks rasuah Malaysia sekitar nombor 20.

“Tetapi ketika Perdana Menteri sekarang mengambil alih pemerintahan sudah berada di kedudukan ke 57,” katanya.

Jelasnya, beliau percaya jika rakyat dalam keadaan tertekan mereka akan bertindak untuk mendapatkan keadilan.

Tuesday, February 22, 2011

Nik Aziz, Mohd sabu di Kerdau 24 Februari umum calon PAS

TEMERLOH: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahli Jawatankuasa Kuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu antara pimpinan yang akan hadir pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS bagi pilihanraya kecil Dun Kerdau yang akan diadakan pada 24 Februari ini.

Majlis pengisytiharan calon tersebut akan dilakukan di Tapak Kompleks PAS Pahang, Darul Hikmah, Kerdau bermula jam 9 malam.

Setiausaha Penerangan PAS Pahang, Hashim Abdullah dalam kenyataannya berkata, pihak penganjur menjemput orang ramai terutamanya dari kalangan penyokong Pakatan Rakyat hadir bagi memeriahkan suasana.

Selain dari dua tokoh popular PAS tersebut, malam pengisytiharan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat itu akan turut dihadiri pimpinan PR Pusat dan negeri.
Sementara itu dua ekor lembu akan dikorbankan untuk jamuan orang ramai pada hari tersebut bagi tujuan mengumpul dan pilihan raya.

Dalam pada itu, petang tadi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Penasihat Agama Menteri Besar Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44 tahun, sebagai calon BN bagi PRK Kerdau 6 Mac ini.

Pemilihan anak Kuala Tekal, Kuala Krau yang berkelulusan dari Universiti Al-Azhar itu diumumkan oleh di Dataran Sri Ketumbit, Kerdau, petang tadi.

Muhyiddin ketika mengumumkan calon BN itu, berkata Umno meletakkan Syed Ibrahim itu kerana percaya beliau mampu mempertahankan kerusi yang dimenangi BN pada pilihan raya umum (PRU) 2008 yang lalu.


Monday, February 21, 2011

PAS mampu buat kejutan di Kerdau

Harakahdaily

Bagi sesetengah aktivis PAS di Pahang, pilihan raya kecil (di negeri itu) bagi mereka lebih baik tiada daripada ada.

Selepas beberapa pilihan raya kecil silih berganti dan berpindah dari satu negeri ke satu negeri yang lain sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, sesetengah aktivis PAS dari negeri itu kalau ditanya bila pula di Pahang, jawapan mereka boleh dikatakan hampir sama: "Harap-harap jangan ada Yang Berhormat Pahang meninggal dunia."

Beberapa faktor dipercayai menjadi sebab timbulnya kebimbangan seperti itu dalam kalangan aktivis PAS Pahang.

Salah satunya ekoran kecemerlangan Barisan Nasional (BN) negeri itu dalam pilihan raya umum lalu iaitu ketika di negeri-negeri lain, BN dikejutkan dengan pencapaian luar biasa parti-parti pembangkang yang kini bersatu dalam Pakatan Rakyat.

Selain itu, kewujudan tanah-tanah rancangan Felda yang begitu banyak di Pahang, sosio-budaya masyarakat khususnya masyarakat Melayu tradisonal negeri itu dan prestasi PR Pahang yang dikatakan kurang memberangsangkan turut menjadi faktor tambahan mengapa ada kalangan aktivis PAS Pahang tidak gembira jika berlaku pilihan raya kecil di negeri mereka.

Bagaimanapun bagi aktivis-aktivis tersebut, PRK tidak boleh lagi menjadi mimpi ngeri atau iguan buruk kepada mereka. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun menetapkan 6 Mac ini sebagai tarikh membuang undi manakala 26 Febuari sebagai hari penamaan calon bagi pilihan raya Kerdau - sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang terletak dalam Parlimen Kuala Krau, Pahang.

Kerusi Dun Kerdau kosong ekoran Adunnya, Datuk Zaharuddin Abu Kasim, 63, meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang 12 Februari lalu akibat serangan jantung selepas terjatuh dalam bilik air di rumahnya.

Malangnya, ketika ada kebimbangan aktivis PAS Pahang jika berlakunya pilihan raya kecil di negeri mereka, PAS negeri itu bukan sahaja perlu berhadapan dengan “sekadar pilihan raya kecil” tetapi satu yang dilihat sangat penting khususnya kepada PAS dan juga PR.

Kerdau ditakdirkan ketika graf prestasi BN dalam pilihan raya kecil berada dalam situasi menaik setelah mencatatkan kejayaan demi kejayaan dalam beberapa pilihan raya terakhir sebelum ini.

Kurang sebulan lalu, BN baru sahaja meraikan kemenangan mereka di Tenang, Johor dengan majoriti yang lebih besar menewaskan calon PAS.

Situasi yang sama turut dihadapi oleh PAS Melaka yang bakal berhadapan dengan satu lagi PRK di Dun Melimau pada tarikh yang sama.

Justeru, sama ada bersedia atau tidak, Kerdau dan Merlimau boleh dikatakan menjadi benteng terakhir kepada PAS untuk menyekat momentum BN atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti dengan jumlah yang besar untuk dijadikan mesej politik kepada rakyat Malaysia sebelum pilihan raya umum akan datang.

Dalam menghadapi situasi ini, Kerdau sebenarnya mempunyai potensi sangat baik kepada PAS untuk melaksanakan misi tersebut berbanding Merlimau yang dikatakan lebih sukar untuk PAS membuat kejutan dalam tempoh dua minggu sahaja lagi.

Dun Kerdau wujud hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR pada tahun 2003.

Jika sebelum ini Kerdau dalam Parlimen Temerloh, kini di bawah Parlimen Kuala Krau. Istimewanya Dun Kerdau ialah kerana kawasannya meliputi kedua-dua belah tebing Sungai Pahang.

Di sebelah pekan Kerdau kawasan mengundi menjajar sejauh kira-kira 15 kilometer bermula dari Desa Murni hingga ke Kuala Tekal. Sementara di seberang sebelah lagi Sungai Pahang, kawasannya menganjur dari Kampung Badok hingga ke Rumpun Makmur di seberang pekan Kuala Krau.

Walaupun timbul kebimbangan dalam kalangan aktivis PAS ekoran senario politik di Pahang, Kerdau sebenarnya menyediakan medan terbaik kepada PAS untuk memberi tentangan paling sengit kepada BN dalam Dun yang mereka kuasai dan negeri yang dikatakan antara kubu kuat mereka.

Daerah itu sendiri menyediakan banyak kelebihan kepada PAS yang hanya perlu dilihat lebih halus dari pelbagai aspek untuk digarap dengan baik seterusnya dijadikan bahan kempen pilihan raya, ia termasuklah aspek geografi, sejarah dan sentimen masyarakatnya.

Kisah stesen keretapi Kerdau, bangunan usang pekan Kerdau dan perkembangan mutakhir kampung-kampung tradisi serta penduduknya dalam daerah itu sebenarnya langsung tidak memberi kelebihan kepada BN sebagai parti yang memerintah selama lebih 50 tahun.

Manakala isu-isu tempatan yang dikatakan paling signifikan dalam sebuah pilihan raya kecil berbanding isu-isu bersifat nasional atau antarabangsa juga tidak kurang banyaknya di Kerdau.

Beberapa projek gagal di Gunung Senyum yang terletak dalam Dun Kerdau seperti 100 ekar tanaman nangka madu, projek ayam kampung dan ladang durian misalnya cukup kuat untuk dimanfaatkan memujuk pengundi supaya mengangkat calon daripada PR pula sebagai wakil rakyat mereka.

Begitu juga dengan masalah harian penduduk yang sudah berlarutan sehingga melampaui belasan tahun. Masalah air, rumah terbengkalai dan jalan rosak sentiasa menjadi perbualan dari masa ke semasa penduduk kawasan ini.

Selain itu, tiga kawasan Felda dan sebuah Fecra yang terdapat dalam Dun Kerdau tidak lagi dilihat sebagai benteng kebal BN khususnya dalam mendapatkan undi orang Melayu yang mendominasi 90 peratus pengundi daerah itu.

Lebih dari itu, kewujudan penempatan masyarakat peneroka ini sewajarnya menjadi kelebihan besar kepada PAS yang selama ini mengangkat isu Felda sebagai agenda penting dalam perjuangan parti.

Melalui Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah serta Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang diterajui salah seorang pimpinan pusat PAS tentulah tidak sukar kepada PAS dan PR menyusun isu demi isu sepanjang tempoh 10 hari yang diberikan oleh SPR.

Tambahan pula, Pahang merupakan antara kawasan Felda yang menjadi tumpuan Anak selama badan itu ditubuhkan.

Difahamkan, kebangkitan masyarakat Felda yang diuruskan oleh Anak dalam menuntut hak-hak mereka lebih ketara di Pahang berbanding negeri lain - selain sebahagian besar aktivis anak sendiri merupakan kalangan peneroka ataupun anak-anak peneroka di Pahang.

Justeru, BN yang akan diwakili Umno sudah pasti tidak mampu duduk dengan selesa sehingga 6 Mac depan dengan pelbagai beban isu yang perlu dijawab mereka dan PAS pula mampu membuat kejutan sekiranya dapat mengunakan semaksimanya segala sumber dan jentera yang mereka ada bersama sekutunya, PKR dan DAP.

Sementara itu, dalam tinjauan awal Harakahdaily, Pekan Kerdau sudah mula sibuk dengan petugas-petugas parti yang melaksanakan kerja-kerja awal pilihan raya. Pekan Kerdau dan kawasan-kawasan sekitarnya sudah mula bergentayangan dengan petugas-petugas parti yang bertanding.

Bilik-bilik hotel yang berhampiran (bandar Temerloh dan Mentakab) sudah penuh tempahannya sementara warung-warung makan sudah mula luar biasa larisnya.

Penyokong-penyokong parti bertanding dijangka akan berkunjung ke sini lebih ramai lagi dalam masa terdekat ini kerana lokasinya hanya sekitar 5 kilometer daripada susur keluar Tol Temerloh, melalui Lebuhraya Pantai Timur.

Kali terakhir berlaku pilihan raya kecil di situ ialah pada tahun 2000, ketika itu pekan Kerdau termasuk dalam Dun Sanggang yang kematian Adunnya Datuk Abdullah Kia.

Kerdau mempunyai jumlah pengundi seramai 9,082 orang berdasarkan buku daftar pengundi terbaru SPR. Daripada jumlah tersebut terdapat 8,182 orang pengundi Melayu (90.09 peratus), Cina 466 orang (5.13 peratus), India 166 (1.82 peratus) dan Orang Asli 268 (2.95 peratus).

Terdapat 13 Unit Pusat Mengundi di Kerdau meliputi kawasan pinggir bandar, kampung tradisional Melayu, estet, pekan lama serta tiga Tanah Rancangan Felda iaitu Jengka 22, Jengka 23 dan Jengka 25.

Pada pilihan raya umum 2008 BN menang dengan majoriti 1,615 undi. Zaharuddin yang pertama kali bertanding sebagai calon BN mendapat 4,135 undi berbanding calon PAS Hasanuddin Salim yang memperoleh 2,520 undi.

Walau bagaimanapun keputusan tersebut dilihat satu kejayaan buat PAS kerana merendahkan undi BN sebanyak 950 undi daripada majoriti 2,565 undi yang diperolehi BN pada 2004.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30982:pas-mampu-buat-kejutan-di-kerdau&catid=96:fokus-khas&Itemid=134



Syed Ibrahim dah berkempen?

TEMERLOH: Calon fovourite BN PRK Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad dilaporkan semalam (Ahad) sudah mula berkempen iaitu dalam majlis anjuran Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Pahang.

Pegawai Khas Agama Menteri Besar Pahang itu mewakili Datuk Seri Adnan Yaakob berucap dan menyampaikan sumbangan komputer riba kepada wakil cawangan-cawangan PBTM.

Program bermula 8.30 pagi hingga petang itu diadakan di Dewan Tun Razak, Temerloh dan dirasmikan oleh Presiden PBTM Datuk Muhammad Abdul Ghani.

Syed Ibrahim yang berucap mewakili Adnan itu dikatakan sempat ‘berkempen’ secara isyarat kepada bekas-bekas tentera itu. Sementara Adnan pula dikatakan berkempen ke Kampung Orang Asli Paya Sendayan, (dalam Dun Kerdau) pada masa yang sama.

Seorang peserta yang ditemui berkata, ini isyarat jelas bahawa Syed Ibrahim akan menjadi calon BN PRK Kerdau.

Sementara itu, Syed Ibrahim sendiri yakin beliau akan dipilih sebagai calon dan telah membuka blog mengenai beliau di laman: http://prkkerdau.blogspot.com/2011/02/siapakah-tuan-syed-ibrahim-bin-syed.html

Dalam pada itu, Syed Ibrahim ketika di Mesir dikatakan pernah mengikuti usrah PMRAM (pertubuhan pro-PAS) tetapi ketika balik ke sini terpaksa bekerja tidak seperti lulusan lain kerana, kata satu sumber Bahasa Malaysia SPMnya tidak kredit. Akhirnya diambil oleh Adnan bekerja.



PAS Pahang senarai tiga nama, Nik Aziz Umum 24 Februari

TEMERLOH: PAS Pahang sudah menyenarai pendek tiga nama sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau 6 Mac ini untuk dibawa ke mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat hari ini.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, calon yang sebenar akan diumumkan oleh Mursyidul Am PAS akan mengumumkan calon sebenar pada 24 Februari ini.

“Mesyuarat PAS Pahang semalam sudah memutuskan tiga nama untuk dibawa ke mesyuarat PAS Pusat hari ini. Pada 24 haribulan nanti Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat akan mengisytiharkan calon PAS di tapak kompleks PAS Pahang di Kerdau,” katanya.

Mengenai strategi bagi memenangi PRK Kerdau, Tuan Ibrahim berkata jentera PAS akan turun ke segenap peti undi termasuk kawasan Felda bagi menyampaikan penerangan.

“Strategi kita ialah untuk mencapai kemenangan dan kita optimis melalui survey yang dibuat baru-baru ini. Kita akan janji-janji BN yang gagal dilaksanakan sedangkan ia terus menjadi rungutan rakyat di kawasan berkenaan,” katanya.

PRK Kerdau diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim 12 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008 beliau yang pertama kali bertanding sebagai calon BN menang mengalahkan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi. mendapat 4,135 undi yang memperoleh 2,520 undi.

Bagaimanapun keputusan tersebut bermakna PAS berjaya merendahkan undi majoriti BN sebanyak 950 undi kerana pada PRU 2004 BN menewaskan PAS dengan majoriti 2,565 undi.

Menurut buku daftar pengundi terbaru SPR, Kerdau mempunyai jumlah pengundi seramai 9,082 orang. Daripada jumlah tersebut terdapat 8,182 orang pengundi Melayu (90.09%), Cina 466 orang (5.13%), India 166 (1.82%) dan Orang Asli 268 (2.95%).

Terdapat 13 Unit Pusat Mengundi meliputi kawasan pinggir bandar, kampung tradisional Melayu, estet, pekan lama serta tiga Tanah Rancangan Felda iaitu Jengka 22, Jengka 23 dan Jengka 25.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim memberitahu, PRK serentak melibatkan Kerdau dan Merlimau (yang juga ditandingi PAS), tidak menjejaskan persiapan jentera kerana di peringkat PAS Pusat sudah mengagihkan tugasan kepada negeri-negeri.

“Pada peringkat ini PAS juga bersedia menghadapi sesiapa sahaja calon daripada BN termasuk tokoh agama.

“Malah ini mungkin memberi kelebihan kepada kita kerana tokoh agama dalam BN ternyata gagal berperanan sehingga negara hampir terjerumus ke kancah porak peranda serta rakan kongsi Umno dalam BN boleh persenda hukum Islam tanpa ditegur oleh ulamak Umno,” ujarnya.



Saturday, February 19, 2011

PRK serentak, petugas digesa siap sedia

Ekoran pilihan raya kecil (PRK) serentak bagi Dun Kerdau dan Dun Merlimau yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semua petugas digesa bersedia dan melipatkangandakan usaha.

PRK di kedua Dun berkenaan diadakan pada 6 Mac dan penamaan calon pada 26 Februari ini.

Serentak dengan itu, Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Dun Kerdau Ahmad Mat Yaman mahu jentera pilihan raya yang bertugas bersiapsiaga bagi merampas kerusi berkenaan daripada BN yang diwakili Umno.

Menurut buku daftar pengundi terbaru SPR, Kerdau mempunyai jumlah pengundi seramai 9,082 orang. Daripada jumlah tersebut terdapat 8,182 orang pengundi Melayu (90.09%), Cina 466 orang (5.13%), India 166 (1.82%) dan Orang Asli 268 (2.95%).

Terdapat 13 Unit Pusat Mengundi meliputi kawasan pinggir bandar, kampung tradisional Melayu, estet, pekan lama serta tiga Tanah Rancangan Felda iaitu Jengka 22, Jengka 23 dan Jengka 25.

Berdasarkan komposisi pengundi, di atas kertas Umno yang mewakili BN yakin boleh menang pada PRK kali ini. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12, 2008 BN menang dengan majoriti 1,615 undi. Zaharuddin yang pertama kali bertanding sebagai calon BN mendapat 4,135 undi berbanding calon PAS Hasanuddin Salim yang memperoleh 2,520 undi.

Bagaimanapun PAS berjaya merendahkan undi diperolehi BN sebanyak 950 undi kerana majoriti BN menewaskan PAS pada PRU 2004 ialah 2,565 undi. Jika ‘trend’ peningkatan undi ini berterusan, ini bermakna PAS juga berpeluang membuat kejutan.


Friday, February 18, 2011

Rayuan infaq PAS Pahang untuk PRK Kerdau

Assalamu’alaikum. Sumbangan infaq tuan/puan amat diperlukan bagi membantu PAS Pahang menghadapi PRK Dun Kerdau dalam masa terdekat. Infaq terus ke akaun Perhubungan PAS Pahang: BIMB 06028010000076. MBB 556057201847. Makluman infaq, SMS ke 0139008480.

~ Setiausaha Perhubungan PAS Pahang



PR Pahang gesa kerajaan sediakan pelan proaktif naik taraf jalan

NAIK TARAF JALAN LIPIS KE GUA MUSANG: KERAJAAN PERLU SEDIAKAN PELAN PROAKTIF UNTUK PERKEMBANGAN EKONOMI PENDUDUK TEMPATAN


Pakatan Rakyat Negeri Pahang (PR Pahang) menggesa pihak kerajaan menyediakan pelan proaktif yang praktikal bagi memastikan para peniaga di sepanjang laluan Projek Menaik Taraf Jalan Laluan 8 Dari Kg Relong ke Gua Musang tidak terjejas sumber ekonomi mereka ekoran projek tersebut.

PR Pahang menerima sungutan dan aduan penduduk terutamanya di Pekan Merapoh dan Kampung Teluk Gunung yang bimbang kemungkinan punca pendapatan mereka yang membuka perniagaan di sepanjang jalan raya sedia ada akan terjejas teruk. Kebimbangan ini kerana di bawah projek tersebut, laluan sedia ada didakwa dilencongkan sepenuhnya bermula daripada jambatan Sungai Tanum berhampiran Felda Chegar Perah hingga ke sempadan Pahang – Kelantan di Kg Mentara. Lencongan tersebut merupakan laluan baru sepenuhnya yang tidak lagi melalui Perkampungan Felda Chegar Perah, Perkampungan Felcra Sungai Temau, Kampung Kubang Rusa, Kampung Teluk Gunung dan Pekan Merapoh.

Antara premis perniagaan yang bakal terjejas teruk ialah Stesen Minyak Caltex dan beberapa pusat Rawat dan Rehat (R & R) di Merapoh. Difahamkan stesen minyak tersebut baru sekitar setahun lebih beroperasi dan dimiliki oleh sebuah koperasi tempatan.

PR Pahang menggesa kerajaan negeri Pahang serta semua agensi kerajaan Persekutuan yang terbabit menyediakan pelan tindakan proaktif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi kampung-kampung tersebut di samping merangka program alternatif segera untuk membantu para peniaga yang terkesan langsung daripada projek berkenaan.

PR Pahang juga menggesa Kerajaan Persekutuan menimbang kembali pelaksanaan Projek Lebuh Raya Laluan Tengah Utama (Central Spine Highway) berkapasiti empat lorong dari Seremban – Simpang Pelangai – Kuala Krai yang tidak diluluskan kerajaan pada pertengahan tahun 2010.

PR Pahang menggesa projek lebuh raya tersebut diluluskan dan dilaksanakan secara berperingkat serta berhemah dengan memastikan kelestarian alam sekitar dan khazanah hutan, dan lebih penting ianya bebas tol. Lebuh raya ini jika dilaksanakan bukan sahaja melancarkan kesesakan melampau trafik di musim perayaan malah mampu merangsang pembangunan kawasan Pahang Barat yang selama ini seakan terpinggir daripada pembangunan.

Rakyat Kelantan dan Pahang Barat boleh membantu supaya projek ini menjadi realiti dengan menyertai kempen berkaitan di laman komuniti Facebook “Central Spine Expressway.”

UBAH SEKARANG, SELAMATKAN MALAYSIA

ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang

Merangkap Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Pahang


Thursday, February 17, 2011

Enam tokoh PAS di muka depan Sinar Harian

Mencipta rekod. Akhbar Sinar Harian edisi Pahang hari ini di muka hadapannya memuatkan enam gambar tokoh PAS sekali gus, sehingga mencuri perhatian banyak pihak kerana belum pernah terjadi sepanjang kewujudan akhbar berkenaan.

Pada head-line akhbar berkenaan tertera gambar tiga orang ‘calon’ PRK Kerdau yang menjadi spekulasi editor akhbar itu dengan tajuk ‘PAS pertaruh tiga tokoh berkaliber’ iaitu Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda Pusat Nasruddin Hassan dan Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanuddin Salim.

Meskipun prediksi akhbar berkenaan tidak semuanya betul berdasarkan senarai pendek calon yang dihantar PAS Pahang kepada Pusat, namun ianya tetap menarik perhatian dan menimbulkan pelbagai rumors.

Manakala pada sebelah tepi muka depan akhbar, di atasnya ialah gambar Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang meminta Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali tidak bercakap melampaui kuasanya iaitu mengenai isu-isu sensitif seperti pembahagian kerusi antara komponen PR secara terbuka melalui media.

Gambar di tengah ialah calon PAS PRK Dun Tenang tempoh hari, Cikgu Normala yang berkaitan isu sijil cuti sakit suaminya yang menjadi agenda kempen jentera Umno daripada menteri, pegawai kerajaan hinggalah kepada blogger pihak tersebut.

Paling bawah ialah gambar Setiausaha Perhubungan PAS Pahang Roslan Zainal yang mengulas mengenai pertambahan pengundi yang amat menakjubkan di Pahang, terutama di Parlimen Pekan iaitu kerusi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Barangkali antara sebab larisnya akhbar Sinar Harian ialah sikap pengurusannya yang boleh memberi sedikit ruang kepada pihak lain selain daripada Umno.

Ini berbanding dengan akhbar propaganda Umno, Utusan Malaysia, yang dikatakan 'return'nya semakin banyak di kedai-kedai pengedar setiap hari.



Bonda Mat sabu meninggal

Bonda AJK PAS Pusat, Hj Muhamad Sabu, kembali ke rahmatullah malam tadi akibat sakit tua.

Menurut SMS yang diterima, ibunda beliau yang berusia 91 tahun dimasukkan ke sebuah hospital Pulau Pinang sejak sebulan lalu.

Mesej tersebut yang disahkan oleh seorang rakan baik Pengerusi mobilisasi Demokrasi PAS Pusat itu, berkata jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan di tanah perkuburan kampungnya di Guar Petai, Pulau Pinang.

Selamatkan Pahang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Muhamad Sabu dan berharap beliau bersabar di atas dugaan ini.

Dari Allah kita datang, kepadaNYA jualah kita kembali.

Al-Fatihah...

Wednesday, February 16, 2011

Pembantu MB, pembantu TPM antara calon BN PRK Kerdau

Umno Bahagian Kuala Krau dikatakan sudahpun bermesyuarat dan menghantar beberapa nama bagi diteliti pimpinan parti tersebut dalam usaha mempertahankan kerusi BN dalam PRK Kerdau.

Meskipun nama tersebut belum diisytiharkan, akhbar Sinar Harian hari ini yang memetik daripada Ketua Umno Bahagian itu Datuk Ismail said, telah menyenaraikan beberapa nama yang bolehlah dikira ‘muktamad’.

Antaranya ialah Syed Ibrahim Syed Ahmad, Rodzuan Zaaba, Norahan Abu Bakar, Abdul Razak Ahmad, Mohd Arhan Salahuddin, Datuk Redzwan Harun dan Norhasmimi Abdul Ghani. Syed Ibrahim merupakan Pegawai Agama Menteri Besar Pahang dan juga Naib Ketua UMNO Bahagian. Beliau dikatakan ‘the top’ malah hari ini ada sahabat memberitahu Datuk Seri Adnan, Ketua Bahagian dan ketua-ketua Jabatan membuat pertemuan tertutup di bangunan Yayasan Pahang, Kuantan.

Rodzuan Zaaba ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, Norahan (Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian), Abdul Razak (Setiausaha UMNO Bahagian), Mohd Arhan Pembantu Tan Sri Muhyiddin Yassin), sementara Redzwan ialah bekas Adun Kerdau (2000 – 2008) dan Norhasmimi pula Ketua Puteri Kuala Krau.

Namun begitu seorang lagi calon yang tidak disenarai tetapi dikatakan ‘ghairah’ untuk bertanding ialah Guru Besar Sekolah Teluk Sentang Hasan Mohd Amin. Beliau yang merupakan AJK Umno Bahagian Kuala Krau dan Ketua Cawangan Umno Kerdau dikatakan mempunyai ramai saudara mara di Dun tersebut.

Seorang lagi yang disebut-sebut ialah bekas pemain bola sepak Pahang dari Lipat Kajang. Beliau kini seorang usahawan tani.

Begitu pun, setakat ini Syed Ibrahim yang berasal dari Kampung Tekal (termasuk dalam Dun Kerdau) dikatakan calon pilihan Adnan. Namun mungkin ada yang memeranjatkan jika Muhyiddin mahukan Mohd Arhan atau namanya di Kerdau “Cenni”. Beliau ialah anak bekas Adun Kerdau Salahuddin yang kini sudah menyeberang kepada PAS.

Dikatakan golongan muda “meminati” beliau.

Ada yang berkata Abdul Razak dan Datuk Redzwan merupakan ‘orang’ Datuk Ismail. Sementara yang lain itu dikatakan sekadar disenaraikan mengikut hairaki parti dan mungkin masa ini bukan giliran mereka.

Oleh kerana Kerdau sehingga artikel ini ditulis ‘kerusi selamat’ BN, nampaknya calon-calon yang tersenarai semakin rancak berpolitik dan lobi melobi bagi menarik perhatian pemimpin Pusat. Politiking juga nampaknya agak sengit mirip PRK yang sebenar!

Bagi PAS pula, seperti biasa ‘tolak menolak’ berlaku kepada yang tersenarai. Tetapi nampaknya untuk menyerahkan kerusi secara percuma, pantang sekali.

Pada masa lain saya akan cuba menganalisis calon dan peluang PAS di PRK Kerdau pula.




Anwar Ibrahim di Mentakab, Kerdau Ahad ini

TEMERLOH: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri majlis jamuan makan malam dan berceramah di sini 20 Februari ini bagi.

Menurut Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid jamuan makan malam bagi mengutip dana pilihan raya itu akan diadakan di Dewan Taman Rimba, Mentakab bermula jam 7.30 malam.

“Selain Anwar pimpinan lain yang dijangka hadir ialah (Menteri Besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Tian Chua, Datuk Chua Jui Meng dan Leong Ngah Ngah.

“Bagi tujuan mengumpul dana PKR menyediakan kupon-kupon berharga RM40 dan meja-meja VVIP yang berharga RM2,000 dan RM1,000,” katanya kepada media di pejabatnya di sini.

Ahmad Nizam yang juga Ketua Cabang PKR Temerloh berkata, selepas majlis tersebut Anwar dan semua pimpinan dijadualkan berceramah di tapak kompleks PAS Pahang, Kerdau.

“Di Kerdau Anwar dan yang lain akan memberi taklimat isu semasa dan pilihan raya. Walau bagaimanapun program ini tidak ada kena mengena dengan kempen awal untuk pilihan raya kecil (PRK) Kerdau kerana telah dirancang sejak Januari lalu,” tegasnya.

Mengenai PRK Kerdau, Ahmad Nizam berjanji PKR Pahang akan memberikan komitmen 100 peratus dengan mengerahkan seluruh kekuatan bagi mempastikan kemenangan calon PAS.



Ahmad Nizam (dua, kanan) dalam sidang media di pejabatnya



Monday, February 14, 2011

Peningkatan pengundi melampau di Pekan

Harakahdaily

TEMERLOH, 14 Feb:
PAS Pahang menyifatkan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 yang sedang dipamerkan pada masa ini mengalami pertambahan bilangan pengundi yang menakjubkan terutama di Parlimen Pekan.

Setiausaha Perhubungan PAS Pahang Roslan Zainal berkata, untuk suku tahun keempat sahaja terdapat pertambahan sebanyak 26,000 pengundi iaitu hanya dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu.

Sedangkan katanya, untuk tempoh tiga penggal (9 bulan) sebelum itu jumlah pertambahan pengundi hanya sekitar 29,000 sahaja.

“Bagi PAS Pahang ini amat menakjubkan kerana bagi tiga bulan terakhir sahaja hampir menyamai pendaftaran sembilan bulan,” katanya.

Menurut Roslan, paling menghairankan ialah pertambahan lebih 6,000 pengundi baru dalam masa tiga bulan itu di Parlimen Pekan yang diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Setelah disemak kita dapati pengundi-pengundi di pos-pos Orang Asli naik mendadak terutama di Parlimen Pekan dan Cameron Highlands. Selain itu kita dapati ramai pemilih-pemilih yang beralamat negeri Kedah terdapat di Pekan.

“Bagi PAS Pahang ini amat mencurigakan. Ini ditambah lagi dengan proses semakan dan bantahan dianjakkan sehingga hampir dua minggu, sedangkan keadaan seperti ini tidak pernah terjadi,” katanya.

Kata Roslan, PAS Pahang berpendapat senario ini mungkin satu agenda bagi mengekalkan Najib di Pekan setelah merasa kurang selamat.

Tambahnya, jika ini benar ia hanya mengulangi proses penambahan pengundi pada 2003 di mana semasa persempadanan semula kawasan pilihan raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebahagian kawasan Parlimen Paya Besar dibawa ke Pekan dengan melibatkan dua buah kem tentera.

“Oleh yang demikian PAS pahang berpendapat sistem daftar pemilih SPR yang ada ini sudah lapok dan patut diganti setelah 53 tahun merdeka.

“Kerajaan pernah mendakwa mykad negara ini antara yang tercanggih di dunia jadi sepatutnya SPR boleh bekerjasama sengan Jabatan Pendaftaran Negara bagi membuat pandaftaran secara automatik apabila setiap warganegara berusia 21 tahun,” katanya.

Roslan juga turut menggesa sistem undi pos sekarang dihapuskan kerajaan jika benar dakwaan mereka bahawa negara ini selamat.


(Gambar hiasan)



Saturday, February 12, 2011

Adun Kerdau meninggal, PRK ke 16

TEMERLOH: Sah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kasim, 64, meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh petang tadi.

Berita tersebut disahkan oleh beberapa orang dan disiarkan dalam berita sebuah stesen televisyen malam ini.

Keadaan ini membuatkan negara mungkin terpaksa menghadapi satu lagi pilihan raya kecil (PRK) iaitu ke 17 selepas Merlimau 6 Mac ini.

Sebelum ini, Zaharuddin beliau yang merupakan anggota skuad "James Bond Malaysia" telah banyak kali berulang-alik ke hospital termasuk tiga kali dimasukkan ke ICU. Keadaan ini menyebabkan banyak spekulasi PRK.

Bagaimanapun pada tahun lalu beliau mendirikan rumah tangga dengan seorang guru kemas daripada Jengka 23.

Pada PRU 2008 Zaharuddin yang pertama kali bertanding sebagai calon BN menggantikan Datuk Redzuan Harun, mengalahkan calon PAS Hasanuddin Salim (Ketua Penerangan PAS Pahang) dengan majoriti 1,615 undi. Zaharuddin mendapat 8,451 undi berbanding Hasanuddin (6,789).

N. 28 Kerdau terletak dalam Parlimen Kuala Krau di mana YDP Kawasannya ialah Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.




Mari doakan Ustaz Ismail Kamus sihat

Saya menyeru kepada semua pencinta Islam dan ilmu agar mendoakan kesejahteraan dan kesihatan pendakwah terkenal, Ustaz Datuk Ismail Kamus, 62, yang kini berada dalam kondisi yang tidak sihat.

Menurut sumber yang amat boleh dipercayai, bekas Adun PAS Gombak Setia itu kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Gleneagles Intan Medical Centre, Ampang, Kuala Lumpur.

Beliau dimasukkan ke situ akibat tekanan darah tinggi melampau (250), jantung bengkak serta kegagalan buah pinggang. Beliau juga dipercayai telah menghadapi diabetis sejak lama.

Sementara keadaannya dikatakan sudah stabil dan beliau telah sedar.

Ustaz Ismail yang terkenal ketika era ‘Forum Perdana’ dulu, dilahirkan pada 2 Dis 1948 di Kg. Batang Rening, Hulu Selangor. Mendapat pendidikan awal di Sek. Arab Batang Kali selama enam tahun sebelum ke Maahad Hisyamuddin, Kelang. Disana beliau sempat berguru dengan seorang ulama yang tersohor al-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhari. Selepas menamatkan pengajian di sana, beliau melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang dan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dan beliau memdapat Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada tahun 1976.

Ustaz Ismail Kamus pernah menimba pengalaman sebagai guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selain bertugas selama 15 tahun di Jabatan Islam Wilayah Persekutuan(JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai pakar rujuk Bahagian Hal Ehwal Islam(BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Pada PRU 1999 Ustaz Ismail Kamus memenangi kerusi DUN Gombak Setia. Kini beliau berkhidmat sebagai perunding motivasi dan pendakwah bebas di samping menjadi penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia. Beliau juga giat membawa umat Islam Malaysia ke Tanah Suci Makkah.

Pada Ogos 2009 dulu, pernah tersebar SMS mengatakan Datuk Ismail Kamus yang ketika itu berada di Mekah, mengerjakan umrah.

Sesungguhnya dunia dakwah dan perjuangan Islam masih amat memerlukan kehadiran beliau. Marilah kita berdoa ke hadrat Ilahi moga-moga beliau segera pulih daripada sebarang kesakitan.

Amin....



Friday, February 11, 2011

Bapa kesal ramai tercicir anugerah pelajar cemerlang

TEMERLOH: Seorang bapa pelajar cemerlang PMR 2010 kesal dengan cara pengendalian anugerah pelajar cemerlang Yayasan Pahang kerana tidak melalui sekolah sehingga ramai pelajar tercicir nama walaupun mereka layak.

Arshad Arbain, 52, berkata majlis pengagihan wang tunai oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin di Dewan Sri Mentakab itu hanya dihebahkan melalui SMS sesama pelajar menyebabkan sebahagian besar mereka yang layak tidak hadir walaupun nama mereka ada dalam senarai.

Lebih teruk lagi, tambahnya, majlis tersebut seolah-olah telah menjadi majlis anjuran Umno berikutan kain pemidang yang terpapar lambang parti berkenaan.

“Sepatutnya majlis anugerah pelajar cemerlang UPSR dan PMR 2010 Parlimen Temerloh itu melibatkan 750 pelajar tetapi oleh kerana pemberian wang tunai itu tidak melalui sekolah menyebabkan ramai pelajar cemerlang PMR tidak hadir walaupun nama mereka ada dalam senarai.

“Anak saya sendiri hanya mendapat maklumat melalui SMS daripada rakan-rakannya yang hadir. Tetapi apabila anak saya bergegas ke sana dia dapati hanya 7 pelajar daripada Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah yang hadir daripada 29 orang pelajar cemerlang PMR yang sepatutnya dapat,” jelasnya ketika ditemui di kediamannya.

Tambah Arshad, apabila beliau bertanya penganjur bagaimana dengan wang RM150 bagi pelajar yang tidak hadir, beliau diberitahu wang tersebut akan disalurkan melalui sekolah masing-masing.

Namun begitu, menurut Arshad, sehingga ke hari ini pihak sekolah yang dihubunginya tidak tahu menahu tentang pemberian wang berkenaan.

Ahad lalu Sharkar menyampaikan sumbangan wang tunai pada majlis anugerah pelajar yang mandapat 5 A bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta 8 A dan 9 A bagi pelajar yang mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 di Parlimen Temerloh.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh.

“Walaupun hadiah wang tunai itu tidak seberapa tetapi kesan psikologinya besar bagi pelajar yang layak dapat. Jadi kenapa majlis rasmi seperti ini tidak dimaklumkan melalui sekolah supaya pelajar yang layak tidak ketinggalan.

“Serentak dengan itu juga saya menyeru pihak Yayasan Pahang menyiasat di mana letaknya baki wang yang sepatutnya diperolehi pelajar layak yang tidak hadir pada majlis berkenaan kerana mereka belum menerimanya,” tegasnya.


GAMBAR:

Sharkar selaku Ketua Bahagian Umno Temerloh menghulurkan wang Yayasan Pahang kepada pelajar cemerlang sambil menjeling jurufoto. Melihat sambil sedikit tersenyum ialah timbalannya Saifuddin. – Gambar daripada UtusanOnline






Tuan Ibrahim Pengarah PRK Merlimau

Lajnah Politik PAS Pusat melantik Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, Melaka 6 Mac depan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, akan mengadakan mesyuarat pertama jentera PAS bagi PRK berkenaan akan diadakan di Merlimau esok.

Pilihan raya ini merupakan PRK ke 16 sejak pilihan raya umum (PRU) Mac 2008 dan dijangka PRK terakhir sebelum penggal tiga tahun tamat Mac ini.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) telah memutuskan calon PAS yang akan membawa cabaran bagi merampas kerusi BN itu.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan selepas mengalami serangan jantung pada 20 Januari lalu.

Dalam pilihan raya umum 2008 itu, Mohamad Hidhir mengalahkan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154, iaitu pengurangan hampir 3,000 undi berbanding pencapaian BN sebelumnya.

Bagi PRK Merlimau, terdapat 10,679 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 10,643 pengundi biasa dan 36 pengundi pos.

Daripada jumlah tersebut,seramai 64.69% pengundi adalah berbangsa Melayu,21.11% Cina,14.16% India dan baki 0.04% pengundi lain-lain kaum.


Thursday, February 10, 2011

Jengka: Bandar terbesar Melayu yang perlu daerah sendiri

Lazimnya sesebuah bandar dikaitkan dengan Cina kerana tradisi komuniti bangsa tersebut mengusahakan perniagaan.

Berdasarkan ukuran itu, di sinilah terletaknya keistimewaan Bandar Pusat Jengka, Pahang kerana ia sebuah bandar baru yang dikuasai oleh masyarakat Melayu 100 peratus.

Dengan nama rasminya Bandar Tun Razak Jengka, ia terletak di tengah-tengah gugusan tanah rancangan Felda yang terbesar di Malaysia yang dulunya dikenali sebagai Jengka Tiga Segi kerana meliputi tiga daerah iaitu Maran, Temerloh dan Jerantut.

Bandar tersebut pada mulanya merupakan sebuah penempatan pekerja-pekerja Kilang Syarikat Jengka Sdn Bhd. (SJSB) anak syarikat kerajaan Pahang sekitar tahun 1969. Namun beransur-ansur menjadi penting sebagi pusat perniagaan bagi menampung keperluan puluhan ribu warga peneroka pada ketika itu.

‘Bandar Felda’ ini terletak di bawah pentadbiran Daerah Maran tetapi berada di bawah Parlimen Kuala Krau.

Bermula pada tahun 1983 pembangunan Bandar Jengka telah diurustadbir oleh sebuah agensi kerajaan pusat iaitu Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ). Pada ketika itulah Bandar Jengka membangun dengan pesat menyamai sebuah daerah. Di situlah terletaknya Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang iaitu universiti pertama di negeri ini. Terdapat dua buah kolej, empat buah sekolah menengah, tiga buah sekolah rendah dan maahad tahfiz.

Kemudahan lain ialah hospital Jengka, Masjid Sultan Ahmad Shah, lima buah bank perdagangan, Tabung Haji serta agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Agama Islam, balai polis, bomba, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya dan pejabat Bekalan Air Pahang.

Namun setelah LKWJ dibubarkan pada Oktober 2000, Bandar Jengka yang diserahkan kepada Majlis Daerah Maran (MDM) kelihatan tidak terurus dan sudah tentu memberikan imej negatif kepada bandar Melayu terbesar ini di mata umum. Semak samun di kebanyakan tempat, longkang yang tersumbat dan dipenuhi semak, bangunan rumah pangsa yang menakutkan serta perumahan terbengkalai semua itu menyakitkan mata dan tidak menggambarkan ia bandar Felda, sebuah agensi yang kaya.

Jengka dihuni 300 ribu penduduk

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan berkenaan (1999 – 2004) telah acap kali mendesak kerajaan agar Jengka yang kini dihuni penduduk hampir 300,000 diwujudkan daerahnya sendiri bagi menjaga kebajikan penghuninya.

“Dengan penduduk yang menjangkau 300,000 dan hasilnya yang tinggi kita mahu Jengka ini menjadi satu daerah baru bagi menjana ekonomi penduduk dan supaya perkhidmatan perbandaran dapat ditumpukan secara berkesan.”

“Pada masa ini bandar dan tanah rancangan dengan hampir seratus peratus penduduk Melayu itu berada dalam kawasan Majlis Daerah Maran. Namun rata-rata merungut kerana perkhidmatan perbandarannya seperti pembersihan sampah, semak samun dan longkang jauh daripada memuaskan,” katanya.



Sebenarnya kedudukan strategik Bandar Jengka sememangnya layak dinaikkan taraf menjadi daerah sendiri kerana terdapat dua buah bandar kecil berhampirannya iaitu pekan Sungai Jerik dan Pekan Kuala Krau. Lagipun selama ini penduduk persekitaran sememangnya berurusan di Bandar Jengka yang sudah lengkap dengan pra-sarana dan keperluan sebuah daerah.

Dengan siapnya jambatan baru Kuala Krau merentasi Sungai Pahang, Bandar Jengka menjadi semakin penting.

Sementara itu bekas jurutera Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) Musaniff Abdul Rahman, yang menetap di Bandar Jengka berkata kawasan berkenaan memang layak dinaiktaraf sebagai sebuah daerah kerana penduduk dan hasil yang diperolehi sudha mencukupi.

“Dulu ada LKWJ yang mentadbir dan membangunkan ekonomi orang Melayu di wilayah ini. Ketika itu keadaan tidak seperti sekarang. Namun setelah agensi Persekutuan tersebut dibubarkan pada Oktober 2000, suasana sudah banyak berbeza dan seakan-akan Bandar Jengka terpinggir . Inilah kesan penutupan LKWJ”.

“Satu lagi kalau kita tengok jalan-jalan utama yang menghala ke Bandar Jengka semuanya sempit kerana dibina pada tahun 60-an sedangkan penggunaannya sibuk sehingga hampir setiap hari berlaku kemalangan. Jika wujud sebuah daerah baru akan ada peruntukan daripada kerajaan”, katanya.



Jalan-jalan utama Jengka menjadi semakin sibuk apabila tiba musim perayaan dan cuti umum kerana kebanyakan generasi kedua Felda yang berjaya pulang dari ibu kota dan bandar-bandar besar seluruh negara.

Seorang generasi kedua Felda, Aris Fezul Ismail, 39, berkata kerajaan perlu memberi peluang kepada Jengka dinaiktaraf sebagai daerahnya sendiri bagi memberi peluang kepada penduduk setempat.

“Oleh kerana Jengka ini bandar Melayu, sepatutnya pihak kerajaan bersikap kreatif dan proaktif membina pra-sarana secukupnya. Apatah ia kawasan Felda yang dikenali sebagai agensi yang kaya. Dengan kedudukan strategik, sepatutnya di sini boleh dibina Muzium Felda bagi mendedahkan golongan muda mengenali sejarah perit jerih perjuangan para peneroka membuka tanah sehingga menjadi estet terbesar di dunia”.

Jengka berpotensi jadi tarikan pelancong



“Bandar ini juga boleh dijadikan tarikan pelancong ke negeri ini. Kerana kawasan sekitar memiliki produk pelancongan berkualiti. Semua ini hanya boleh dicapai jika dinaiktaraf sebagais ebuah daerah baru”, ujar Aris.

Tidak jauh dari Bandar jengka terdapat tempat-tempat destinasi menarik kunjungan ramai. Antaranya ialah Gunung Senyum, Gunung Jebak Puyuh, Bukit Nyamuk, dan Gua Kota Gelanggi yang kaya dengan khazanah alam flora dan fauna. Kawasan rekreasi utama yang terkenal pula ialah Air Terjun Teladas, Lubuk Yu dan Lubuk Jid.

“Semua destinasi tarikan pelancong itu terbahagi kepada daerah Temerloh, Maran dan Jerantut. Jika diwujudkan daerah baru Jengka saya rasa pengurusannya lebih praktikal,” tambah Aris.

Seorang penduduk Bandar Jengka, Engku Nor Zaman Engku Mohamed, 40, berpendapat sejak bandar tersebut berada di bawah MDM, persoalan kebersihan dan pemandangan sering menjadi rungutan.

“Dulu, pihak Majlis Daerah Maran ada membuat pemotongan rumput secara berjadual pada setiap bulan. Malangnya sekarang tiada lagi. Rumput serta lalang di kiri kanan jalan melebihi ketinggian orang dewasa kerana tidak dipotong. Bayangkanlah kami penduduk di sini yang menggunakan jalan di persekitaran kawasan perumahan terpaksa lebih berwaspada setiap kali hendak keluar masuk simpang”.

”Selain kemalangan, semak samun juga boleh mendatangkan risiko dan bahaya serangan binatang bisa terutama kepada kanak-kanak. Perkara ini telah kami adukan kepada pihak Majlis Daerah Maran tetapi sampai sekarang keadaan masih lagi tidak berubah.”
Engku Nor Zaman memberi contoh rumah pangsa di Rantau Perintis, di bandar ini yang dilitupi semak samun. Begitu juga dengan banyak longkang yang tersumbat sehinggakan bila hujan, acap kali berlaku limpahan air ke jalan raya. Justeru beliau berpendapat Jengka perlu memiliki majlis daerahnya sendiri.

“Ada kemungkinan tidak cukup peruntukan kewangan. Justeru itu saya mencadangkan diwujudkan Majlis Bandaran sendiri bagi Bandar Jengka kerana pada fikiran saya hasil yang ada sudah mencukupi” , ujarnya.


GAMBAR:
1. Tuan Ibrahim
2. Musaniff
3. Aris Fezul
4. Engku Norzaman
5. Beginilah keadaan sebuah rumah pangsa di Bandar Jengka yang terbiar


Artikel disiarkan dengan ihsan Akhbar KABAR






Wednesday, February 9, 2011

Aktivis PAS sakit perlu sumbangan

TEMERLOH: Aktivis PAS, Abdul Manaf Mohamad, 71, terdampar akibat menderita sakit saraf dan buah pinggang sejak tiga tahun lalu di rumahnya di Kampung Desa Murni Songsang, dekat sini.

Menurut anaknya, Salina, 24, bapanya yang merupakan bekas AJK Cawangan PAS Kampung Tan Sri Yahya, lumpuh sejak tiga tahun lalu dan kini terpaksa berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Ayah saya kini terpaksa berulang-alik ke Hospital Universiti Kebangsan Malaysia (HUKM) dan juga rawatan haemodialisis di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh bagi mendapatkan rawatan.

“Sebelum ini ayah merupakan pemandu bas, tapi sekarang tidak boleh bekerja lagi sedangkan masih punya tiga orang anak dalam tanggungan,” katanya ketika di temui semasa lawatan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Dr Hamzah Jaafar ke rumahnya baru-baru ini.

Dalam lawatan tersebut Dr Hamzah turut menyampaikan sumbangan bagi pihak PAS Pahang. Turut hadir ialah Pengarah PAS Dun Mentakab Norazmi Abdul Majid.

Sementara itu, Salina turut merayu orang ramai yang sudi menghulurkan sumbangan bagi belanja membeli lampin dewasa dan ubat-ubatan kepada ayahnya, bolehlah memasukkan wang ke akaunnya di Maybank: 156057389591 atas namanya.

Beliau boleh dihubungi di talian: 0199873584.

GAMBAR
Dr Hamzah (kanan) sedang menghulurkan sumbangan wang kepada Abdul Manaf. Di sebelah beliau ialah Norazmi



Tuesday, February 8, 2011

Mangsa kekerasan polis kali pertama sertai demonstrasi

Harakahdaily

TEMERLOH: Pengalaman dipukul, digari dan disumbat ke dalam lokap oleh polis tidak mudah dilupakan oleh seorang anggota Unit Amal yang menyertai himpunan membantah sokongan Amerika terhadap pemerintahan Hosni Mubarak di Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Lebih-lebih lagi insiden buruk itu berlaku pada kali pertama beliau menyertai perhimpunan dan bertugas sebagai Unit Amal.

Sebelum ini, Hafizuddin Kamaruddin, 26, yang baru menyertai Unit Amal dari Kawasan Temerloh itu beranggapan pasukan polis mesra dan berhemah dengan orang ramai sebagaimana slogan digunakan pihak berkuasa itu.

“Namun apa yang saya alami sendiri Jumaat lalu tidak menggambarkan sedemikian,” katanya ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Hafizuddin ialah salah seorang daripada tujuh peserta himpunan menyerahkan memorandum di kedutaan Amerika Syarikat yang telah diberkas polis selepas perhimpunan tersebut.

Menceritakan detik itu, beliau pada sebelah paginya pada hari tersebut bersama 20 orang Pemuda PAS Temerloh memakai seragam Unit Amal pergi ke Kuala Lumpur dengan tujuan untuk berkawal dan mengawal ketegangan tanpa sedikit pun terlintas untuk melakukan sebarang kekerasan.

Katanya, polis cuba menghalang perarakan daripada masjid lagi tetapi dengan kekentalan semangat Amal mereka bergerak dalam satu rantaian berjaya melepasi hadangan polis untuk ke kedutaan Amerika.

“Pada masa perhimpunan dan menyerahkan memorandum semuanya berjalan lancar tanpa gangguan. Tetapi semasa sudah bersurai dan mula beredar pulang ada polis berpakaian biasa dan berseragam polis tiba-tiba menyemburkan sejenis asap pedih. Termasuk yang menjadi sasaran ialah muslimat.

“Ia berlaku 100 meter daripada bangunan kedutaan Amerika. Saya berada di barisan belakang ketika itu dan bersama rakan-rakan lain terpaksa menerpa menghulurkan air mineral kepada muslimat yang sedang kepedihan mata dan panik.

“Kemudian polis sembur lagi kali kedua yang membuatkan orang ramai menjadi marah. Bila saya cuba menyelamatkan muslimat tiba-tiba lima ke enam orang polis pakai seragam serang saya. Saya kena tumbuk, disepak, terajang dan dipukul dengan cota sehingga bengkak di kepala, luka di bibir dan cedera di siku, katanya.

Menceritakan pengalamannya, Hafizuddin berkata, beliau kemudiannya ditahan di dalam sebuah trak polis bersama enam lagi yang ditangkap.

“Satu jam setengah kami berada dalam Black Maria, kira-kira jam 6 petang kami dihantar ke lokap Balai Polis Dang Wangi untuk diambil kenyataan,” tambahnya.

Kata Hafizuddin, selepas sembahyang Maghrib berjamaah dalam lokap barulah mereka diambil biodata peribadi. Tetapi apabila pegawai polis bertanya tentang demonstrasi mereka memilih untuk berdiam diri kerana banyak soalan-soalan provokasi yang ditanyakan.

Selepas itu mereka disoal siasat pula oleh pegawai penyiasat bernama Inspektor Lydia.

“Semasa disoal siasat kami disuruh duduk bersila atas lantai sedangkan dia duduk di atas kerusi, terasa betapa hinanya kami sedangkan kami tidak lakukan apa-apa jenayah. Masa itu kami desak untuk jumpa peguam tapi tidak dibenarkan. Dah lama barulah kami ditemukan dengan lima orang peguam.

“Kira-kira jam 11 malam kami diberitahu dapat jaminan mulut dan boleh balik.”

Jelas Hafizuddin, kenangan pahit dan pedih yang dialaminya tidak akan dilupakannya sepanjang hayat kerana sebelum ini mati-mati beliau beranggapan mesra rakyat dan bersifat pelindung.

“Kenapa apabila berhadapan dengan rakyat tiba-tiba mereka melakukan kekerasan? Sedangkan kami bukannya membawa senjata malah kami memang dah mula bersurai.

“Lagipun kami turun ke Kuala Lumpur kerana sensitif dengan pergolakan yang berlaku di kalangan negara umat Islam. Jadi kenapa sanggup perlakukan kekerasan terhadap kami?”, soalnya.


Monday, February 7, 2011

Analisis awal peluang PAS di Merlimau


Kali terakhir Pilihanraya Kecil menjengah ke bumi Hang Tuah adalah pada tahun 2007 dalam Pilihanraya Kecil Dun Machap yang menyaksikan calon MCA,Lai Meng Chong menang besar ke atas calon DAP,Liou Chen Kuang dengan majoriti 4081 undi.Dan akhir bulan ini,setelah hampir empat tahun bumi Melaka sunyi daripada Pilihanraya Kecil,satu lagi siri pilihanraya kecil menjengah bumi Melaka,yang menyaksikan pilihanraya kecil ke 15 dalam era pasca tsunami 2008.

Pilihanraya Kecil N27 Merlimau kali ini mungkin bakal menjadi antara pertembungan yang menarik antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.Barisan Nasional sememangnya telah hampir pasti meletakkan calon Umno di Merlimau manakala Pakatan Rakyat pula masih dalam peringkat perbincangan untuk memilih sama ada meletakkan calon Pas ataupun PKR di Dun Merlimau.

Antara sebab mengapa Pilihanraya Kecil Dun Merlimau dianggap penting dan menarik adalah kerana Melaka adalah satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang tidak mempunyai wakil pembangkang Melayu (Pas mahupun PKR).Hal ini kerana Pas dan PKR telah berjaya meletakkan dua wakil Melayu di Johor,dua di Pahang,dua di Perlis,,lapan di Terengganu dan tiga di Negeri Sembilan.Untuk membaca artikel penuh Harakahdaily mengenai Pas Melaka,pembaca boleh membaca artikel tersebut di sini.

Untuk rekod,Pas telah bertanding di 13 kerusi Dun,lapan DAP dan tujuh untuk PKR.Kecuali DAP,Pas dan PKR masing-masing gagal memenangi sebarang kerusi dalam Pilihanraya Umum 12 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka.Walaubagaimanapun,DAP telah berjaya memenangi lima daripada lapan kerusi yang ditandingi iaitu Dun Bachang,Ayer Keroh,Kesidang,Kota Laksamana dan Bandar Hilir.Malah,DAP juga berjaya menawan kembali kerusi Parlimen Kota Melaka yang terlepas ke tangan MCA pada tahun 2004. Untuk rekod,Kota Melaka adalah antara kubu kuat DAP di Melaka yang diwakili oleh Lim Guan Eng sebelum beliau dipenjarakan dan tidak bertanding dalam Pilihanraya Umum 1999.Pengganti Lim,Kerk Kim Hock berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada tahun 1999 sebelum terlepas ke tangan calon MCA, Wong Nai Chee dalam Pilihanraya Umum 2004.

Dalam pilihanraya umum lalu,calon Pas yang mendapat undi tertinggi di Melaka adalah di N17 Bukit Baru dalam Parlimen Bukit Katil di mana calon Pas,Bakrin bin Sidek telah berjaya mendapat 4936 undi,hampir mencecah 5000 undi.Calon Melayu PKR yang mendapat undi tertinggi di Melaka pula adalah calon bagi Dun Paya Rumput dalam Parlimen Tangga Batu,Taha bin Ahmad yang memperoleh undi sebanyak 5687 undi. Calon Pas yang paling berjaya merapatkan jurang majoriti antara Pas-Umno adalah calon Pas bagi Durian Tunggal dalam Parlimen Tangga Batu,Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Melaka,yang tewas dengan majoriti 1476 undi.Bagi calon Melayu PKR pula,calon yang berjaya mendapat majoriti terkecil adalah calon PKR bagi Dun Rim dalam Parlimen Jasin,Azmi bin Khamis yang hanya tewas dengan majoriti 1637 undi.

MENELITI UNDI DI DUN MERLIMAU

Dalam Pilihanraya Umum ke 12,N27 Merlimau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Umno,Allahyarham Mohamad Hidhir Abu Hassan dan calon Pas,Mejar Bersara Haji Jasme bin Tompang.

Berikut adalah keputusan penuh Pilihanraya Umum N27 Merlimau pada tahun 2008:


Pergerakan Undi Semangat 46/Pas/PKR (1995-2008)

N27 Merlimau mula diwujudkan hasil pertambahan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Melaka pada tahun 1994.Sebelum itu,Dun Merlimau terletak di bawah Dun Sungai Rambai.Ketika mula diwujudkan,Dun Merlimau memegang kod Dewan Undangan Negeri N23.

Setelah diwujudkan hampir 17 tahun yang lalu,Pilihanraya Umum pertama di Dun Merlimau adalah dalam Pilihanraya Umum 1995,yang menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Semangat 46 dan Umno. Kemudiannya,dalam Pilihanraya Umum 1999,Dun Merlimau mula ditandingi oleh calon Pas,Mejar(B) Jasme Tompang sebelum diberikan laluan kepada calon PKR,S.Jayathas dalam PRU 11.

Di bawah diperturunkan pergerakan undi calon pembangkang sepanjang empat penggal di Dun Merlimau:


Oleh itu,pilihanraya kecil N27 Merlimau nanti pastinya menarik untuk diperhatikan samada Pas ataupun PKR mampu untuk menambahkan undi,mampu merampas Dun Merlimau ataupun berlaku penyusutan ketara seperti yang berlaku dalam Pilihanraya Kecil Dun Tenang baru-baru ini.

Demografi Kependudukan di Merlimau

Dalam Pilihanraya Umum 2008,seramai 10 471 orang pengundi berdaftar layak mengundi di Dun Merlimau. Daripada jumlah tersebut,seramai 64.69% pengundi adalah berbangsa Melayu,21.11% Cina,14.16% India dan baki 0.04% pengundi lain-lain kaum.

Secara geografinya pula,Merlimau adalah sebuah pekan kecil dalam Daerah Jasin,bersempadan dengan daerah Muar di Johor.Dun N27 Merlimau mempunyai tujuh buah daerah mengundi iaitu Ayer Merbau, Chinchin,Jasin Lalang,Ladang Merlimau,Merlimau Pasir,Permatang Serai dan Pengkalan Samak.

Secara umumnya,Merlimau adalah sebuah perkampungan tradisional Melayu,yang bercampur dengan pekan kecil dan ladang.Kaum Cina kebanyakannya tinggal di pekan,Melayu di kampung dan India di Ladang, sesuatu yang tidak banyak berubah hasil peninggalan penjajah British.Merlimau kini mula dibangunkan sebagai antara pusat pendidikan tinggi di Melaka dengan kewujudan Politeknik Merlimau dan Kolej Komuniti Jasin.

PAS ATAU PKR DI MERLIMAU?

Secara umumnya,Merlimau adalah kerusi untuk Pas.Itu adalah persetujuan yang telah dibuat dalam Pilihanraya Umum ke 12. Malah,apabila terbentuknya Pakatan Rakyat ,persetujuan dibuat bagi mengekalkan status quo parti di kawasan tandingan mereka sama seperti dalam Pilihanraya Umum yang lalu.

Oleh itu,melalui hujah ini maka telah ternyata bahawa Pas lebih layak berbanding PKR di Merlimau.Jika dilihat kepada asas yang wujud di Merlimau,ternyata Pas Merlimau lebih tersusun berbanding PKR dan Merlimau juga adalah antara kerusi berpotensi Pas di Melaka.

Tindakan PKR Melaka yang cuba menawarkan Ketua AMK,Shamsul Iskandar Md Akin sebagai calon di Dun Merlimau adalah jelas melanggar prinsip musyawarah dan tolak ansur yang telah dibuat.Jika Pas dalam Pilihanraya Umum ke 12 mampu memberi ruang kepada Shamsul untuk bertanding di Dungun,sepatutnya Shamsul dan PKR berterima kasih kepada perkara tersebut.

Walaupun meletakkan PKR adalah satu strategi yang tidak berapa kena di Dungun,tetapi atas dasar persahabatan,Pas rela memberikan peluang kepada Shamsul di Dungun,walaupun orang-orang Dungun sendiri langsung tidak pernah mengenali Shamsul sebelum ini berbanding Cikgu Faris Musa di Parlimen Kemaman.

Justeru,penulis berharap agar Shamsul bersabar jikapun ingin bertanding di Melaka.Kerusi Dun Paya Rumput ataupun Dun Rim mungkin lebih selamat buat Shamsul sebagai antara orang kuat Pakatan Rakyat di Melaka.

Apapun,janganlah terlalu bertelagah soal calon.Nanti dibimbangi belum melawan sudahpun tewas.



http://pencacai-semalaysia.blogspot.com/2011/02/analisis-mencongak-peluang-pas-di-dun.html?utm_source=BP_recent


Friday, February 4, 2011

Cerita sebenar daripada peserta demo

Saya menerima SMS yang mendakwa seorang peserta himpunan membantah sokongan Amerika terhadap pemerintahan Hosni Mubarak di Kuala Lumpur hari ini yang menceritakan detik-detik yang membawa kepada kekecohan. Berdasarkan pemerhatian saya, suasana kecoh itu sengaja diwujudkan melalui provokasi.

Di bawah ini saya perturunkan SMS berkenaan.

“Masa perhimpunan ok, takda gangguan. Masa nak balik, polis dengan FRU dah sekat dekat jejantas Tabung Haji. Keadaan jadi kecoh bila polis cawangan khas (SB) tarik kolar baju seorang anggota Amal. Orang pun tolong dia.

“Orang ramai berkumpul kat luar TH, masa itu Muhamad Sabu dan Salehuddin Ayub ada. Tiba-tiba dua trak water canon FRU bergerak perlahan ke arah bangunan TH dengan barisan anggota polis seragam dan SB. Mereka beri amaran bersurai tapi orang tak peduli. Masa itu orang dah ramai balik, yang tinggal dalam seseratus dua. Selepas amaran, water canon sembur ke arah orang ramai. Peniaga air dan makanan kat depan bangunan TH pun kena termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Polis sembur dengan gas dan dua orang kena tangkap masa kecoh itu kerana jalan sempit dan polis sekat pula. Yang kesian ada bapa yang dukung anak kecil, nasib baik orang ramai lindungi dia masa semburan polis itu. Polis suruh kami turunkan sepanduk kutuk Hosni Mubarak tetapi tak dipedulikan.

“Masa itu polis berseragam dan SB terus serbu dan menangkap orang ramai yang masih berada di depan bangunan TH. Ada yang lari masuk dalam bangunan, itupun polis kejar. Ada polis yang masuk ikut pintu belakang TH. Di dalam bangunan, saya nampak betul seorang kena pukul oleh dua atau tiga orang, kemudian kena gari oleh polis sedangkan mereka tak buat apa-apa, itu yang saya kesian.

“Dalam hati saya tertanya-tanya, polis ni berkhidmat untuk sapa? Hosni Mubarak atau rakyat Malaysia?

"Bayangkan kat tingkat bawah bangunan TH ada dewan tempat keluarga menunggu rombongan pengantin. Mereka tunggu di luar dewan. Itupun kena tengking polis dan suruh mereka balik. Saya lihat takut budak kecil perempuan tu. Kat situ ada makcik, budak kecik dan mereka yang tak sepatutnya diherdik."



Gambar-gambar dari: wrlr.blogspot.com