Friday, February 25, 2011

Calon PAS mahu kempen berhemah, tolak provokasi

TEMERLOH: Calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Kerdau, Hassanuddin Salim, meminta petugas PAS berkempen secara berhemah, pendekatan mesra rakyat dan mengelakkan sebarang provokasi supaya PRK berjalan dalam suasana harmoni.

Malah, Ketua Penerangan PAS Pahang itu menyeru seluruh pengundi di dalam Dun Kerdau supaya menjalankan tanggungjawab berpilihan raya dengan semangat kasih sayang.

“Apa gunanya kita bermusuh, selepas pilihan raya semua petugas akan kembali ke tempat masing-masing dan tinggallah kita penduduk Kerdau ini seperti sedia kala. Jadi apa gunanya kita bermasam muka, sedangkan kita akan terus hidup bersama lama lagi selepas pilihan raya.

“Oleh yang demikian, kami daripada PAS menegaskan bahawa tidak ada sebarang provokasi dalam kempen kami, dan jika wujud sebarang ketegangan atau kempen mengutuk peribadi, itu bukan daripada pihak kami,” ujarnya ketika berucap selepas diumumkan calon PAS mewakili Pakatan Rakyat di pekarangan Kompleks PAS Kerdau, dekat sini, malam tadi.

Hassanuddin diumumkan sebagai calon PAS oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 10.45 malam dalam majlis yang diadakan di tapak Kompleks PAS Kerdau.

Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS dan PKR, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden dan AJK PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamad Sabu.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh, Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.
Hassanuddin dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh pernah bertanding di Dun Kerdau pada pilihan raya umum lalu.

Berkelulusan Diploma Ukur dari UiTM, Shah Alam mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak. Mempuyai ramai saudara mara dan kerabat di Desa Murni, Lipat Kajang, Teluk Sentang dan di sepanjang Sungai Pahang (dalam Dun Kerdau).

Menurut profil calon yang diedarkan bilik operasi induk PRK N 28 Kerdau, Hassanuddin berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas.

Beliau yang mempunyai pengalaman dalam industri dan ukur selama 15 tahun juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

GAMBAR:
Hassanuddin (berdiri, kanan) bersama Anwar dalam satu program di Mentakab baru-baru ini.




No comments:

Post a Comment