Monday, February 28, 2011

Ketua Pemuda PAS Pahang pertama meninggal dunia

TEMERLOH: Ketua Pemuda PAS Pahang yang pertama, Abdul Manaf Abdul Latif, 80, atau lebih dikenali dengan panggilan Pakde Manaf di kalangan sahabat, telah kembali ke rahmatullah jam 11 pagi tadi semasa tidur di rumah sewanya di Batu Satu.

Beliau dipercayai meninggal akibat serangan jantung.

Menurut Ketua Pemuda PAS cawangan kampung berkenaan, Jafri Ramli, seorang pegawai perubatan mengesahkan kematiannya setelah dipanggil ke rumahnya.

Tambah Jafri, beliau sebelum itu telah dipanggil oleh isteri Abdul Manaf yang mengsyaki sesuatu setelah Manaf tidak bangun.

Abdul Manaf yang merupakan bekas tentera, menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang yang pertama pada tahun 1963 sehingga tahun 1971.

Beliau yang berasal dari Kampung Sanggang, dekat sini pernah dianugerahkan sebagai tokoh veteran PAS Pahang dan semasa sihatnya tidak pernah ketinggalan menyertai kempen dalam banyak pilihan raya kecil seluruh negara.

Sejak tahun lalu kesihatannya dikatakan merosot dengan pelbagai penyakit termasuk komplikasi jantung, buah pinggang dan gout.

Beliau meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Ubudiah Batu Satu dan dikebumikan di tanah perkuburan Chengal, selepas Solat Asar.



1 comment:

  1. Semuge roh nye dicucuri rahmat ALLAH..aamin

    ReplyDelete