Wednesday, March 6, 2019

BAHAGIAN 5: Kawasan Putih, bertemu Rashid Maidin dan mengekang pergerakan komunis

Pada BAHAGIAN 4  ( https://selamatkanpahang.blogspot.com/2018/12/bahagian-4-tragedi-13-mei-dari-mulut.html  ) yang lalu, Tuan Haji Mohamad Saludin Omar menceritakan perihal beliau telah diarahkan membantu Sheikh Ahmad di Perlis pada PRU ke-4 1969 dan selanjutnya terlibat sendiri dalam Tragedi 13 Mei sebagai Ahli Mageran di Kuala Lumpur. Pada kali ini, masih dalam tahun 1969, beliau dihantar pula bagi merisik kawasan hitam untuk diputihkan selanjutnya bertemu dengan legend PKM Melayu Rashid Maidin.


TUN HANTAR SAYA KE UTARA SEBELUM UMUM ‘KAWASAN PUTIH’

Pada Ogos tahun 1969 Tun hantar saya ke utara Semenanjung bagi menjalankan kerja-kerja risikan, iaitu tiga bulan sebelum beliau mengisytiharkan kawasan putih.

Pada masa pentadbiran kerajaan Inggeris, Kawasan Putih dan Hitam telah diperkenalkan supaya British boleh memudahkan proses mereka dalam membanteras pengganas komunis. Kawasan Putih adalah bermaksud kawasan tersebut telah bebas daripada anasir komunis, dan sebaliknya bagi yang masih berstatus kawasan hitam. Antara semua negeri, Melaka adalah negeri yang pertama mendapat gelaran Kawasan Putih.

Tun Razak dijadualkan akan mengisytiharkan ‘kawasan putih’ daripada komunis yang terakhir dalam Malaysia pada 30 November pada tahun tersebut. Kawasan berkenaan terletak di negeri Kedah iatu daerah-daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling dan Grik di Perak.


Sesampai di sana, mula-mula saya tinggal di Changloon iaitu rumah Majlis Tempatan. Kemudian saya dapat satu surat dari pihak Parti Komunis Malaya (PKM), menyatakan  untuk selamat saya kena berundur dari situ. Saya pun berpindah ke Jitra.

Dalam kajian dan risikan, saya dapati malam sebelum kedatangan Tun Razak itu pihak komunis telah memasang sebanyak 41 jerangkap samar (periuk api) dari Kubang Pasu ke Sadao (jalan yang dijangka akan dilalui oleh Tun bagi majlis perasmian tersebut). Dengan laporan itu Tun membatalkan lawatan dan programnya itu. 

Saya masih ingat semasa pembersihan, sebuah kereta perisai terlanggar periuk api yang dipasang pengganas komunis itu lalu meletup.

TUN ARAH BERTEMU RASHID MAIDIN

Selepas urusan kawasan pemutihan, saya tidak pulang ke Pahang sebaliknya Tun arahkan saya terus ke sempadan Thailand bagi mencari dan bertemu dengan Rashid Maidin. Tujuannya ialah untuk mengajak beliau sebagai pimpinan Rejimen Ke-10 serta gerombolannya balik ke Malaysia dengan menjanjikan pengampunan beramai-ramai tanpa apa-apa tindakan daripada pihak kerajaan.

(Rashid Maidin atau Rashid Mydin (10 Oktober 1917 - 1 September 2006) ialah pemimpin kanan Melayu utama dalam Parti Komunis Malaya (PKM) selepas Musa Ahmad.

Beliau merupakan anak kelahiran di Gopeng, Perak dan diputerakan di Gunung Mesah pada 10 Oktober 1917.

Pada mulanya, Rashid yang kuat semangat menentang penjajah, berjuang melalui Kesatuan Melayu Muda (KMM) kemudian PKMM dan beliau menyertai PKM pada tahun 1941 sejurus sebelum pendudukan Jepun dan menjadi ahli jawatankuasa pusat PKM bersama Pak Sako, Ahmad Boestamam dan Abdullah C.D di Perak.

Chin Peng memberi kepercayaan kepada Rashid Maidin untuk memimpin Rejimen Ke-10 PKM di Bentong, Pahang dan menerima arahan secara langsung daripada Chin Peng.

Pada pertengahan 1954, Rashid menyertai Abdullah CD serta majoriti anggota Melayu mulai bergerak ke Tanjong Mas, Narathiwat).

Akhirnya pada bulan Disember selepas mendapat kerjasama penduduk setempat (orang sempadan, yang menganggap Rashid Maidin ini seorang yang baik), saya dapat bertemu Rashid Mydin di Restoran Hj Ismail, Betong.  Saya mendapat maklumat daripada penduduk, memang rutin Rashid Maidin makan dan minum di situ setiap kali sebelum menunaikan Solat Jumaat.

Beliau rupa-rupanya memang kelihatan seorang yang kuat mengamalkan Islam. Susuk tubuhnya tinggi dan tegap lagi tidak pula sombong, tenang dan peramah meskipun saya boleh dianggapnya musuh.

Apabila saya dapat sahaja bertemu beliau saya terus memperkenalkan diri bahawa yang saya dari Malaysia sebagai wakil kerajaan dan memintanya berserta rakan-rakan pulang sahaja ke Malaysia.

Dia jawap, “saya ini pejuang kemerdekaan”. Saya tanya berjuang apa? Dia jawap, “berjuang untuk membebaskan negara daripada penjajahan”. Saya balas balik, sekarang ini tahun 1969, negara kita dah merdeka. Dia jawap balik, “apa erti merdeka? Siapa yang susun perlembagaan, undang-undang pun pakai amalan Inggeris jadi apa erti merdeka?”.

Terdiam saya apabila dia berkata begitu. Saya hanya kembali bertugas pada awal tahun 1970.


TUN MINTA SAYA TUKAR KE TEMERLOH UNTUK TUGASAN POLITIK

Bulan Jun tahun 1973 saya dinaikkan pangkat special grade dan ditukarkan ke Raub. Pada masa itu komunis mula masuk melalui hutan secara gerila.

(Berdasar catatan sejarah, Unit Penggempur ke-6 PKM (telah ditubuhkan secara pada 1 Oktober 1973 di Lembah Bertam, Cameron Highlands) yang diketuai oleh Cheong Chor telah sampai ke Cameron Highlands pada bulan Ogos 1973 kerana Pasukan Keselamatan telah berjaya memusnahkan semua ‘food dump’ di kawasan tersebut. Mereka mula bergerak dari Betong ke Grik – Slim River seterusnya memasuki hutan di Pahang melalui Banjaran Titiwangsa, Cameron Highland dan sampai ke Cheroh, Raub pada bulan Januari 1974. Dengan asakan Pasukan Keselamatan di Cheroh seramai 25 anggota pengikut Cheong Chor berpindah pula ke Tras).

Pada 23 Disember 1973 ada mesyuarat khas berkaitan pergerakan komunis. Saya sebagai AJK Gerakan Negeri (menjaga Pahang Barat) menyertai mesyuarat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada masa itu Aziz Hussein.

Ahli mesyuarat yang lain ialah Ketua Briged ke 4 Brigedier General Mustafa Awang dari Temerloh (orang Terengganu), Ketua Briged ke 2 Brigedier General Latif Husin dari Ipoh (orang Temerloh), Ketua Polis Pahang, wakil Cawangan Khas Pahang, Pengarah Penerangan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri Abdullah Kasim (orang Mela).

Saya masih ingat lagi dalam mesyuarat tersebut dua pegawai tinggi tentera itu berbalah mengenai bagaimana pergerakan komunis boleh lepas meloloskan diri. Dengan memberanikan diri saya meningkah mereka supaya berhenti berbalah.

Seusai mesyuarat gerakan negeri yang pertama untuk memerangi komunis itu Aziz Hussein (senior saya masa di Clifford, berasal dari Chenor) menghampiri dan bertanya saya “Ehh Mat mengapa awak ada di sini? Awak nak ditukarkan ke Temerloh (arahan Tun).”

Pada masa itu Pengarah Penerangan Negeri ada di sebelah saya. Dia kata saya tak boleh ditukarkan sebab pertukaran ini cuma ada dua sebab sahaja. Pertama naik pangkat kedua kerja bermasalah (disiplin). Sedangkan saya pangkat sudah habis tertinggi.

Aziz jawap, “saya sebagai SS boleh menukarkan sesiapa sahaja pegawai kerajaan negeri atau persekutuan di mana sahaja saya fikirkan dia layak,” katanya.

Kata pegawai saya: “Awak macamana Mat?”  Saya jawap, “saya seorang  pegawai kerajaan jadi saya ikut sahaja arahan.”

Tun mahukan saya lakukan satu misi politik di Temerloh khasnya Umno.

....bersambung...


2 comments:

  1. Peristiwa dibelakang tabir yg tidak diketahui umum dan sangat suspen dan berinfomasi. Tahniah Tuan Hj. Mohamad Saludin Omar (Bekas YB Kerdau) dan Hamba Allah yg menyusun/menghimpun bahan sejarah buat pejuang yg tidak didendang. Semoga Allah sajalah memberi keberkatan dan kerahmatan kepada tuan-tuan berdua. Aamiin..

    ReplyDelete