Friday, March 8, 2019

DHPP kecam kenyataan provokasi perkauman LGE

Dewan Himpunan Penyokong PAS Malaysia menentang dengan sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa kerjasama UMNO dan PAS akan menjadi landasan untuk mengisytiharkan perang terhadap masyarakat bukan Melayu di Malaysia. Kenyataan tersebut tidak seharusnya keluar dari mulut seorang Menteri Kanan Kerajaan. Apakah niat beliau dalam mengeluarkan kenyataan tersebut? Apakah untuk mencetuskan pergolakan kaum?

Hal kerjasama politik antara PAS dan UMNO tidak seharusnya digunakan untuk melindungi kelemahan kerajaan PH yang semakin celaru dengan masalah dalaman. Lim Guan Eng seharusnya menumpukan kepada penyelesaian masalah dalaman PH dan pentadbiran kewangan negara bagi memulihkan ekonomi negara yang semakin teruk.



Kerjasama PAS dan UMNO wujud kerana kerajaan PH tidak perihatin kepada Masyarakat Melayu Islam yang sewajarnya dihormati sebagai warga majoriti negara ini. Masyarakat Melayu Islam berasa kedudukan mereka semakin diporak-perandakan oleh kerajaan hari ini, khususnya daripada DAP.

Dasar perjuangan PAS yang membawa mesej Islam rahmat untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama, malah telah mewujudkan entiti khusus bagi bukan Islam dalam PAS iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) itu sendiri. Kerajaan Negeri yang pernah dan sedang dipimpin PAS menitikberatkan kebajikan seluruh rakyatnya malah memberi ruang rakyat berbilang kaum dan agama mengamalkan cara hidup budaya dan agama masing-masing. Maka, adalah tidak masuk akal tuduhan yang dilemparkan ke atas keputusan kerjasama antara PAS dan UMNO sebagai pengisytiharan perang terhadap bukan Islam. 

DHPP ingin menasihati agar Lim Guan Eng agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan sensitif yang melibatkan masyarakat Melayu Islam dan meluangkan lebih banyak masa untuk mengenali Islam secara mendalam. DHPP akan terus memacu masyarakat berbilang kaum dan agama agar kesejahteraan dan keharmonian negara dapat terus dipelihara.


Dr Balachandran Gopal Krishnan
Ketua Penerangan
Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat

No comments:

Post a Comment