Thursday, April 25, 2013

Umno amal budaya politik longkang


TEMERLOH: Pakatan Rakyat (PR) Temerloh kesal dengan politik fitnah yang dibawakan oleh tukang-tukang kempen daripada Umno melalui risalah-risalah berbaur perkauman dan provokasi yang diedarkan di tempat awam.

Dalam sidang media bersama PR, Ketua Cabang Keadilan Temerloh Ahmad Nizam Hamid berkata, pihaknya menjangkakan serangan Umno akan lebih agresif pada minggu depan menjelang pilihan raya umum (PRU).

Nizam berkata, beliau sendiri menerima dua helai surat berbentuk fitnah bertajuk “Kisah benar lagi nyata”, dua booklet bertajuk “Angkara Pok Nik” dan “DAP Rasis” yang ditemuinya dalam peti surat rumahnya.

“Kami mengecam politik longkang yang mengandungi fitnah dan perkauman melaga-lagakan sesama Islam dan antara kaum ini, sekali gus menyerlahkan citra sebenar Umno BN.

“Ini membuktikan betapa terdesaknya Umno BN pada masa ini sehingga sanggup terjerumus ke dalam politik tidak beradab, tidak bertamadun dan bertentangan sama sekali dengan nilai-nilai akhlak dan agama,” katanya.

Serentak dengan itu beliau menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa agar dapat memantau dan seterusnya mengambil tindakan bagi menghentikan kempen fitnah dan memburuk-burukkan parti lawan dalam PRU ini.

Tambahnya, pihak PR bimbang sekiranya politik longkang seperti ini tidak dikawal akan menyebabkan ketegangan dan perpecahan di dalam masyarakat seterusnya merugikan negara.

“Kepada calon-calon BN di Parlimen Temerloh kami seru agar bersikap gentleman, tawaduk dan tidak ambil pendekatan menghina lawan semata-mata untuk menang tanpa menghiraukan batas-batas agama dan akhlak.

“Kepada para pengundi di Temerloh dan seluruh negara, kami minta agar menolak budaya politik longkang yang dibawa Umno dan konco-konconya dengan cara memberi mandat kepada calon-calon PR,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya dengan kebangkitan rakyat menolak BN sahaja yang mampu menghentikan budaya politik longkang.


Nizam bersama Yahya Rahman dan Syed Hamid menunjukkan bahan kempen fitnah Umno





Wednesday, April 24, 2013

Wakil rakyat, kerajaan gagal tangani rumah terbengkalai

JERANTUT: Taman Gelanggi Perdana di Simpang Jengka 8 dekat sini, menjadi lambang kegagalan Kerajaan BN Pahang di mana perumahan tersebut telah dua tahun siap tetapi tidak boleh diduduki oleh pemilik.

Akibatnya, pembeli-pembeli menghadapi kesukaran kerana sudahlah gaji dipotong untuk pinjaman bank sebanyak RM600 sebulan, terpaksa pula membayar sewa rumah diduduki sedangkan gaji tidaklah seberapa.

“Keadaan inilah yang menyebabkan kami mangsa projek perumahan terbengkalai ini merasa amat terbeban apa lagi dalam keadaan ekonomi sekarang serta berhadapan kos hidup yang tinggi.

“Masa memancing undi bukan main lagi pihak kerajaan membuat janji itu dan ini, tetapi dalam keadaan sekarang pihak kerajaan tak pula muncul,” luah Mohd Ridzuan Puteh dalam dialog bersama calon PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Tawar Yohanis Ahmad.

Difahamkan projek perumahan Taman Gelanggi Perdana mula diusahakan pada 2001 oleh Sebang Perdana Sdn Bhd yang dikatakan mempunyai kaitan dengan bekas wakil rakyat Pulau Tawar.

Pemilik dikatakan sudah acap kali bertemu pihak wakil rakyat, kerajaan dan pemaju bagi meminta penjelasan kenapa rumah mereka tidak boleh didiami namun tiada jawapan konkrit diperolehi.

Sementara itu, Yohanis dalam responsnya berkata sikap kerajaan dan wakil rakyatnya sendiri yang tidak cakna dengan masalah para pembeli rumah dan tidak serius mendengar denyut jantung penduduk di Dun Pulau Tawar.

“Mereka hanya pandai berjanji, kalau diikutkan Simpang Luar Jengka 8 ini dijanjikan Kerajaan BN mahu dijadikan sebagai Bandar Satelit walhal masalah perumahan pendudukpun tak boleh selesai,” katanya.


CAPTION
Yohanis (berkopiah, kanan) bersama pembeli rumah yang kecewa



Tuesday, April 23, 2013

Jangan takut undi calon PR - Lah Karim

TEMERLOH: Orang ramai khususnya kakitangan kerajaan diminta mengundi dengan tenang dan sukarela tanpa perlu takut kepada ugutan sesiapa jika mengundi calon-calon daripada Pakatan Rakyat.

Peguam Abdullah Abdul Karim, berkata ini berikutan tidak ada lagi amalan mencatit nombor pengundi di atas keratan kaki kertas undi selepas pindaan dibuat pada tahun 2006 hasil desakan berterusan rakyat.

Katanya, memang sebelum pindaan tersebut undi seseorang boleh diketahui jika ada pihak mahu mendapatkannya bagi tujuan tertentu sehingga menakutkan orang ramai atau boleh menjadi bahan ugutan jika mengundi selain daripada BN.

“Namun selepas daripada pindaan yang dibuat pada tahun 2006 ke atas Peraturan 19 (3) Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981, undi seseorang adalah cukup terjamin dari segi kerahsiaan sehingga tiada siapa yang boleh tahu siapa atau parti mana yang kita undi.

“Sebelum tahun 2006, apabila seseorang pengundi itu mengambil kertas undi daripada kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas di bilik mengundi, Peraturan 19 (3) mewajibkan kerani SPR tersebut untuk menulis nombor pengundi menurut turutan sebagaimana di dalam senarai Daftar Pemilih, di atas kaunterfoil,” ujarnya.

Tambahnya, setiap kertas undi yang diserahkan kepada pengundi mempunyai nombor siri masing-masing di mana nombor siri yang sama juga tertulis pada keratan kaki kertas undi. Kertas Undi diserahkan kepada pengundi untuk dipangkah manakala keratannya akan disimpan oleh SPR untuk tujuan melihat sebanyak manakah kertas undi yang telah dikeluarkan.

Katanya, ini bermakna untuk mengetahui undi seseorang adalah tidak sukar dan boleh dilakukan dengan mengambil kertas undi tersebut dan membandingkannya dengan keratan kaki kertas undi tersebut.

“Apabila keratan kertas undi telah ditulis nombor pengundi oleh kerani SPR maka secara automatik akan diketahui siapakah yang diundi oleh pengundi terbabit.

“Jadi dengan pindaan yang dibuat pada tahun 2006 hasil desakan berterusan rakyat, amalan mencatat nombor pengundi di atas keratan kertas undi telah diharamkan sama sekali dengan pindaan undang-undang yang dibuat.

“Dengan itu undi kita adalah benar-benar rahsia dan tidak ada cara untuk sesiapa pun mengetahui undi kita. Oleh itu, mengundilah dengan tenang dan sukarela tanpa perlu takut kepada ugutan sesiapa kerana undi anda hak anda,” tegasnya.


Kakitangan kerajaan, jangan takut undi PR

Thursday, April 18, 2013

Saksi Umno-porno akan tampil


SAKSI VIDEO LUCAH FITNAH AKAN DIDATANGKAN KHAS DARI NEGARA JIRAN

Regim makin tertekan dengan kesedaran kebangkitan rakyat. Pasca pilihanraya 2008, Pakatan Rakyat berjaya membawa pertembungan politik dalam negara kepada politik baru, politik ke arah perdebatan polisi dan tawaran. Namun regim terus tenggelam dalam politik kebencian, fitnah dan serangan peribadi. Politik video lucah dijaja bagi mengaibkan dan merosakkan minda rakyat.

Bukan seorang pemimpin musuh regim di fitnah menggunakan taktik ini terbaru ialah Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS.

Allah maha kaya, Dia yang mencipta masalah dan Dia juga yang memberikan penyelesaianya.

Hampir sebulan lepas kami telah dihubungi oleh orang hubungan di negara jiran memaklumkan bahawa siasatan rasmi telah dilakukan dan beberapa penemuan mengejutkan telah diperolehi. Simpati apabila melihat betapa fitnah amat jijik dikenakan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat maka saksi penting dari negara jiran itu setuju datang secara sukarela menerangkan hasil siasatan yang menggemparkan.

Seluruh rakyat Malaysia dijemput untuk;

SOLAT HAJAT DAN PEMBONGKARAN FITNAH VIDEO LUCAH

Tarikh : 19 April 2013
Masa : 8.00 malam
Tempat : Pusat Pengajian An Nahdhoh, Kubang Semang, Permatang Pauh

Acara akan dimulakan dengan solat hajat dan solat Isya’ berjemaah yang akan di imamkan oleh Ust. Mutalib (An Nahdhoh) kemudian dikuti ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas itu penerangan oleh che’GuBard (individu yang dijemput menonton video oleh ‘Datuk T’). Kemuncaknya ialah penerangan saksi dari luar negara sebelum penerangan oleh Hishamuddin Rais (graduan perfileman) dan rumusan oleh Datuk Johari Abdul.

Semua dijemput datang awal dengan membawa sejadah sendiri. Hadirlah beramai – ramai menyaksikan pembongkaran fitnah jijik dan bersama untuk mengakhirkan politik kotor ke arah menjadikan PRU ini bermakna dengan meletakkan politik baru yang berasaskan politik nilai dilandasanya.

Program ini anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia dan Briget Keselamatan Permatang Pauh dengan kerjasama Pakatan Rakyat.

Sekian untuk makluman.

che’GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Wednesday, April 17, 2013

Calon-calonnya ialah....


Fakta:
45% calon-calon PAS adalah muda dan baru
95% calon-calon PAS berpendidikan universiti
85% calon-calon BN muka-muka lama sesetengahnya menjangkau 6 penggal

P78 Cameron Highlands:
Datuk Seri G.Palanivel (BN)
Lwn
DAP
N.1 Tanah Rata Ho Yip Kap (BN)
Lwn
DAP
N.2 Jelai. Wan Rosdy Wan Ismail (BN)
lwn
Abdul Karim Nor (PAS)

P.79 Lipis:
M Shahrom Osman (BN)
lwn
Mahyudin Ghazali (PAS)
N.3 Padang Tengku: A Rahman Mohamad (BN)
lwn
Roslan Zainal (PAS)
N.4 Ceka. Fong Kong Fue (BN)
Lwn
Hj Abbas Awang (PKR)
N.5 Benta. Soffi Razak (BN)
Lwn
Rizal Jamin (PKR)

P.80 Raub
Ho Kai Mun (BN)
Lwn
Datuk Ariff Sabri
N.6 Batu Talam Aziz Kiram (BN)
Lwn
Rizan Ali (PKR)
N.7 Tras. Lim Li Hiang (BN)
lwn
Choong Siew Onn (DAP)
N.8 Dong. Shahruddin Moin (BN)
Lwn
Tengku Shah Amir Tengku Perang (PAS)

P.81 Jerantut: Ahmad Nazlan Idris (BN)
lwn
Dr Hamzah Jaafar (PAS)
N.9 Tahan: Wan Amizan (BN)
lwn
Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS)
N.10 Damak. Lau Lee (BN)
Lwn
DAP / PKR
N.11 Pulau Tawar: Dr Shukri Ismail (BN)
Lwn
Yohanis Ahmad (PKR)

P.82 Indera Mahkota
Dato’ Wan Adanan Mamat (BN)
Lwn
Dato’ Fauzi Abdul Rahman (PKR)
N.12 Beserah. Hazmi Yusof (BN)
lwn
Andansura Rabu (PAS)
N.13 Semambu. Pang Su Ming (BN)
lwn
Lee Chien Chung (PKR)

P.83 Kuantan
Suffian Awang (BN)
Lwn
Fuziah Salleh (PKR)
N.14 Teruntum. Chang Hong Chong (BN)
Lwn
DAP / PKR
N.15 Tanjung Lumpur: Tg Zulkifli Tg Ahmad (BN)
Lwn
Rosli Abdul Jabar (PAS)
N.16 Inderapura: Shafik Fauzan Sharif (BN)
lwn
Syed Anis Syed Husain (PAS)

P.84 Paya Besar
Abd Manan Ismail (BN)
Lwn
Murni Hidayah (PKR)
N.17 Sg. Lembing: Suhaimi Md Shah (BN)
Lwn
Sulaiman Mohd Derus (PAS)
N.18 Lepar. Suhaimi Jusoh (BN)
Lwn
Kamarzaman Yunus (PKR)
N.19 Panching. Zaili Besar (BN)
lwn
Yusof Embong (PAS)


P.85 Pekan.
DS Najib Razak (BN)
Lwn
Fariz Musa (PKR)
N.20 Pulau Manis Khairudin Mahmud (BN)
Lwn
Othman Bakar (PAS)

N.21 Peramu Jaya. Sh Ahmad Fauzi (BN)
Lwn
Abu Kassim Manaf (PAS)
N.22 Bebar: Ibrahim Ismail (BN)
Lwn
Jaffri Rashid (PKR)
N.23 Chini: Abu Bakar Harun (BN)
Lwn
PKR

P.86 Maran
Ismail Mutalib (BN)
Lwn
Mujiburrahman Ishak (PAS)
N.24 Luit. Norhidayah Suhaimi (PKR)
Lwn
Mohd Shahrul Nizam Abd Halif (PAS)
N.25 Kuala Sentul: Shahaniza Shamsuddin (BN)
Lwn
Razali (PKR)
N.26 Cenur. Ariffin Awg Ismail (BN)
Lwn
Hasenan Haron (PAS)

P.87 Kuala Krau: Ismail Said (BN)
Lwn
Shahril Azman Abd Halim (PAS)
N.27 Jenderak. Mohamad Jaafar (BN)
Lwn
Suhaimi Said (PKR)
N.28 Kerdau: Syed Ibrahim (BN)
Lwn
Kamal Shaari (PAS)
N.29 Jengka: Wan Salman (BN)
Lwn
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS)

P.88 Temerloh:
Safudin Abdullah (BN)
Lwn
Nasruddin Hassan (PAS)
N. 30 Mentakab Chuah Boon Seng (BN)
Lwn
Tengku Zulpuri Raja Puji (DAP)
N.31 Lanchang: Mohd Sharkar Shamsuddin
Lwn
PKR
N.32 Kuala Semantan: Mohd Anuar Mohd Yunos (BN)
Lwn
Syed Hamid Syed Mohamad (PAS)

P.89 Bentong:
Datuk Seri Liow Tong Lai (BN)
Lwn
Wong Tuck (DAP)
N.33 Bilut Yong Kim Soon (BN)
Lwn
DAP
N.34 Ketari. Wong Su Yap (BN)
Lwn
DAP
N.35 Sabai. R.Gunasakaran (BN)
Lwn
Kamache
N.36 Pelangai: Adnan Yaakob (BN)
Lwn
Abd Hamid Bahatim (PAS)

P.90 Bera:
Ismail Sabri Yaakob (BN)
Lwn
Zakaria Hamid (PKR)
N.37 Guai. Norul Azali (BN)
Lwn
Musaniff Abd Rahman (PAS)
N.38 Triang: Tan Tin Loon (BN)
Lwn
DAP
N.39 Kemayan: Fadil Osman (BN)
Lwn
Bob Manolan (PKR)

P.91 Rompin. Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis (BN)
Lwn
Nuridah Salleh (PAS)
N.40 Bukit Ibam: Datuk Wan Kadri Wan Mahusein (BN)
Lwn
Syukri Ahmad (PAS)
N.41 Muadzam Shah: Maznah Mazlan (BN)
Lwn
Rabidin Kasmawi (PKR)
N.42 Tioman Datuk Kapten (B) Mohd Johari Hussain (BN)
Lwn
N.42 Tioman: Mohd Fadzli Mohd Ramly (PAS)















Monday, April 8, 2013

Nizam tak tanding PRU

Oleh M. FEISAL

TEMERLOH:
Ketua Cabang PKR Temerloh mengumumkan tidak bertanding di mana-mana kawasan dalam PRU-13 ini sebaliknya akan bekerja seperti biasa dan memberikan tumpuan membantu jentera Pakatan Rakyat (PR) untuk menang.

Ahmad Nizam Hamid yang juga Timbalan Pengerusi PKR Negeri Pahang berkata, beliau bersama penyokongnya akan memberikan tumpuan kepada Dun Lanchang yang diwakili ahli parti itu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas pucuk pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan Ketua Pemuda Pas Pusat Nasruddin Hassan Tantawi akan bertanding di Parlimen Temerloh iaitu kerusi yang ditanding beliau pada PRU-12 lalu.

“Setakat ini saya tidak akan bertanding di kerusi Parlimen atau Dun, malah untuk kerusi Dun Lanchang sekalipun saya tidak akan bertanding kerana saya tidak akan mengkhianati rakan-rakan.

“Sekarang ada empat calon Melayu yang layak di Dun Lanchang untuk mewakili PKR, yang pasti tidak ada nama saya. Walaupun tidak bertanding di Temerloh tetapi saya ada prinsip, saya tidak akan bertanding di kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di Rumah Rehat Temerloh di sini semalam. Turut hadir setiausahanya Dr. Yahaya A.Rahman.
Ahmad Nizam berkata, beliau menggesa semua penyokongnya memberikan sokongan penuh kepada calon PKR di Dun Lanchang sekaligus dapat membantu kemenangan Pas di Parlimen Temerloh.

Beliau berkata, kesemua empat calon PKR di Lanchang juga telah menyatakan pendirian untuk menyokong calon yang layak seandainya mereka sendiri tidak terpilih.
Dalam perkembangan berkaitan Ahmad Nizam turut mengulas pemilihan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji sebagai calon DAP Melayu yang bertanding bagi kerusi Dun Mentakab.

Beliau berkata, itu sebenarnya taktikal yang menarik untuk PR meraih undi Orang Melayu yang mewakili 52 peratus pengundi dalam Dun Mentakab.

“Sekarang calon DAP adalah Orang Melayu, BN pula hampir pasti meletakkan calon MCA untuk kerusi itu, ini satu taktikal yang menarik dan kita lihat apa berlaku selepas ini.

“Saya juga rasa mungkin ada sedikit perubahan undi DAP kepada MCA di kerusi itu kerana selama ini calon mereka adalah Orang Cina, tetapi itu tidak akan menjejaskan PR secara keseluruhannya,” katanya.

Caption
1) Ahmad Nizam (duduk empat kanan) bersama pimpinan PKR Cabang Temerloh selepas sidang media di Rumah Rehat Temerloh tengahari tadi.

Tuesday, April 2, 2013

Fauzi yakin pertahan Indera Mahkota

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman yakin tidak ada masalah untuk beliau mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Indera Mahkota pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 ini.

Bekas Timbalan Menteri itu yang diumumkan sebagai calon di kawasan berkenaan oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramah di Balok Makmur semalam, berkata beliau mempunyai tiga asas untuk PKR kekal menang.

“Saya yakin PKR akan terus menang dengan tiga asas kukuh iaitu perjuangan dan tawaran Pakatan Rakyat yang realistik, kekuatan jentera di dua Dewan Undangan Negeri (Dun) Semambu dan Beserah serta rekod lama saya sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Anwar mengumumkan Fauzi menggantikan penyandang Azan Ismail yang bakal bertanding di Terengganu. Pada PRU 2008, PKR memenangi kerusi kawasan itu menerusi Azan yang mengalahkan calon BN Salamon Ali Rizal Abdul Rahman dengan majoriti 1,027 undi.

Anwar yang hadir ke tiga parlimen di Pahang Timur bersama bas jelajah merdeka, turut mengumumkan Fuziah Salleh kekal bertanding di Kuantan dan peguam Murni Hidayah bertanding di Paya Besar.

Dalam pada itu Fauzi berkata, beliau tidak mahu bercakap takbur sebaliknya menyerahkan keputusan sebenar kepada rakyat untuk memilih.

Tambahnya, beliau amat sedar dan melihat bahawa jawatan wakil rakyat bukanlah ‘takhta’ sebaliknya amanah dan tanggungjawab.

“Walaupun Perlimen Indera Mahkota dilihat sebagai kawasan bandar, maju dan mempunyai kawasan industri namun saya dapati masih banyak terrdapat ruang-ruang untuk turun membela rakyat.

“Saya lihat di beberapa kawasan seperti pinggir pantai, setinggan bandar dan kampung penduduknya masih perlu diberi keutamaan tiga ‘L’ iatu lapar, lampin dan lindung,”ujarnya.

Jelas Fauzi, lapar itu bererti ada penduduk yang masih perlukan makanan untuk hidup. Ada yang perlukan pakaian (lampin) kerana kemiskinan dan ada yang perlukan rumah sebagai tempat berlindung tetapi tidak mampu.

Fauzi pernah menjadi Ahli Parlimen Kuantan selama dua penggal iaitu dari 1990 hingga 1999. Bekas ketua Umno bahagian Kuantan itu kemudiannya bertanding kerusi Dun Beserah dan menyandang kerusi tersebut sehingga 2004.

Pada ketika itulah beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Rasuah Malaysia berkaitan penyelewengan balak oleh Tun Khalil Yaakob.

Beliau kemudian meninggalkan Umno pada 2008 dan menyertai PKR.

Mengenai potensi PR Pahang, Fauzi berkata, Pakatan itu hanya perlukan swing sekitar 5 peratus lagi untuk menang dan menguasai negeri ini.

“Pakatan Pahang hanya perlukan swing sekitar 5 peratus tambahan daripada keputusan PRU 12 untuk memerintah. Jika Pakatan memperoleh lonjakan 5 peratus itu bermakna 19 kerusi Dun BN yang dimenangi sekarang akan jatuh ke tangan Pakatan.

“Jadi dicampur dengan empat kerusi dimenangi Pakatan sekarang dan satu kerusi bebas, Pakatan akan memiliki 24 kerusi daripada 43 kerusi Dun yang ada. Jadi kita sudah majoriti,” jelasnya.

Tambahnya, memperolehi swing 5 peratus itu tidak sukar kerana semua parti dalam PR sedang bekerja keras menembusi tembok masyarakat.


Fauzi (dua, kiri) bersama Datuk Tuan Ibrahim dan Leong Ngah Ngah semasa pengisytiharan Tawaran PR Pahang pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kerdau.