Thursday, April 25, 2013

Umno amal budaya politik longkang


TEMERLOH: Pakatan Rakyat (PR) Temerloh kesal dengan politik fitnah yang dibawakan oleh tukang-tukang kempen daripada Umno melalui risalah-risalah berbaur perkauman dan provokasi yang diedarkan di tempat awam.

Dalam sidang media bersama PR, Ketua Cabang Keadilan Temerloh Ahmad Nizam Hamid berkata, pihaknya menjangkakan serangan Umno akan lebih agresif pada minggu depan menjelang pilihan raya umum (PRU).

Nizam berkata, beliau sendiri menerima dua helai surat berbentuk fitnah bertajuk “Kisah benar lagi nyata”, dua booklet bertajuk “Angkara Pok Nik” dan “DAP Rasis” yang ditemuinya dalam peti surat rumahnya.

“Kami mengecam politik longkang yang mengandungi fitnah dan perkauman melaga-lagakan sesama Islam dan antara kaum ini, sekali gus menyerlahkan citra sebenar Umno BN.

“Ini membuktikan betapa terdesaknya Umno BN pada masa ini sehingga sanggup terjerumus ke dalam politik tidak beradab, tidak bertamadun dan bertentangan sama sekali dengan nilai-nilai akhlak dan agama,” katanya.

Serentak dengan itu beliau menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa agar dapat memantau dan seterusnya mengambil tindakan bagi menghentikan kempen fitnah dan memburuk-burukkan parti lawan dalam PRU ini.

Tambahnya, pihak PR bimbang sekiranya politik longkang seperti ini tidak dikawal akan menyebabkan ketegangan dan perpecahan di dalam masyarakat seterusnya merugikan negara.

“Kepada calon-calon BN di Parlimen Temerloh kami seru agar bersikap gentleman, tawaduk dan tidak ambil pendekatan menghina lawan semata-mata untuk menang tanpa menghiraukan batas-batas agama dan akhlak.

“Kepada para pengundi di Temerloh dan seluruh negara, kami minta agar menolak budaya politik longkang yang dibawa Umno dan konco-konconya dengan cara memberi mandat kepada calon-calon PR,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya dengan kebangkitan rakyat menolak BN sahaja yang mampu menghentikan budaya politik longkang.


Nizam bersama Yahya Rahman dan Syed Hamid menunjukkan bahan kempen fitnah Umno





No comments:

Post a Comment