Friday, April 24, 2015

Calon BN kata GST tak bebankan rakyat

ROMPIN: Kenyataan calon BN Datuk Hassan Ariffin bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak membebankan orang kampung, dianggap hanyalah kenyataan politik.

Penganalisis politik negeri Pahang Syed Ali Badarudin Osman berkata, pada hakikatnya rakyat selaku pengguna tetap terbeban dengan kenaikan harga barangan akibat GST.

Katanya, memang Rompin bukan sebuah bandar besar dan mungkin benar tiada restoran besar atau ‘hyper market’ namun dari segi barangan tetap naik harga sama seperti tempat-tempat lain kerana daripada pengeluar yang sama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hassan yang mengatakan penduduk Rompin tidak akan terkesan dengan GST kerana tinggal di sebuah daerah kecil.

Katanya, orang kampung hanya akan merasa kesan GST apabila ke bandar untuk berbelanja.

“GST ini tidak ada kesan sangat kepada orang kampung melainkan mereka ke bandar membeli barang dan baju..itu baru ada kesan.

“Restoran-restoran di Rompin mana ada jualannya RM500,000 setahun. Tak banyak. Di Rompin, mana ada kedai-kedai mencapai jualan begitu tinggi sebab luar bandar,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Dewan Semai Bakti Felda Keratong 10 semalam.

Ucapan beliau turut dipetik oleh beberapa media.

Syed Ali berkata, Hasan mungkin berkata demikian sebagai jalan mudah menangkis kempen PAS yang menggunakan slogan ‘satu undi PAS, tolak GST’.

“Jika kita tengok setelah pelaksanaan GST sudah tentu kos dan ‘over head’ pengeluar dan pembekal meningkat dan mereka terpaksa menaikkan harga barangan mereka.

“Jadi kesan akhirnya mesti terbeban ke atas rakyat selaku pengguna,” katanya.

Syed Ali berkata, mungkin pihak kerajaan menuduh itu salah peniaga yang tamak mengambil kesempatan bukan sebab GST namun sejarah membuktikan pihak kerajaan amat lemah dalam penguatkuasaan.

Menurutnya, sebagai contoh apabila kerajaan menurunkan harga minyak sedikit masa dulu dan menyeru supaya peniaga menurunkan harga barang. Harga tidak turun sebaliknya harga barang yang sudah sedia tinggi terus melonjak.

“Jangan ingat rakyat dikenakan GST apabila membeli barangan sahaja malah turut terkesan dengan kenaikan tambang pengangkutan awam seperti bas dan teksi,” ujarnya.

Katanya, sebab itu beliau menganggap kenyataan Hasan hanyalah bersifat politik bagi mengelakkan rakyat daripada mengundi calon PAS yang menentang GST.


Thursday, April 23, 2015

Calon PAS bawa suara generasi muda

ROMPIN: Calon PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Rompin Ustaz Nazri Ahmad bertekad akan membawa suara generasi muda ke peringkat tertinggi bagi memperjuangkan nasib dan masa depan mereka.

Ketua Pemuda PAS Pahang itu berkata, golongan tersebut tidak kira di kampung, bandar atau di tanah rancangan Felda di daerah tersebut rata-rata kini hidup dalam keadaan tidak terjamin.

“Masih ramai anak muda di luar sana yang tidak terjamin masa depan mereka dengan taraf hidup yang rendah. Jangankan untuk memiliki tanah dan kediaman selesa, kehidupan harian merekapun terus kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pendekatannya dalam kempen PRK kali ini yang menemukan beliau satu lawan satu dengan calon veteran yang juga Pemangku Ketua Bahagian Umno Datuk Hasan Arifin.

Nazri menambah, tidak dinafikan kebanyakan golongan muda tempatan yang berjaya tinggal di bandar-bandar seperti Kuantan, Kuala Lumpur, Johor Baru dan sebagainya.

“Namun bagi mereka yang kurang bernasib baik ataupun masih tinggal dengan ibu bapa, masa depan mereka tidak terjamin malah sesetengahnya terpalit dengan arus ganas kemiskinan.

“Mereka ini ada yang tinggal di pulau, bekerja makan gaji dengan pemilik bot, di Felda, di perkampungan Orang Asli juga di kampung-kampung tradisional,” jelasnya.

Menurut Nazri, sejak turun temurun golongan muda digula-gulakan dengan janji-janji yang remeh-remeh sehingga melupakan keperluan masa depan mereka yang sebenar.

“Inilah masanya anak-anak muda memilih
untuk berubah setelah sekian lama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nazri berkata kesempatan yang ada akan digunakan sebaiknya oleh jentera Pakatan Rakyat bagi menyedarkan penduduk keseluruhannya yang yang teruk sejak pelaksanaan GST.

“Pelaksanaan GST sejak 1 April lalu sudah jelas memberi tekanan kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Bukan sahaja di Rompin, bahkan seluruh negara maka peluang ini mesti dimanfaatkan untuk menolak BN,”.


Nazri (tengah) diiringi Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu di pusat penamaan calon semalam



Monday, April 20, 2015

PRK Rompin: Hasan Arifin lawan siapa?

Hadi, Tuan Ibrahim regu pilihan mesyuarat agung Pahang

Regu Datuk Seri Tuan Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapat lima lagi pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden daripada tujuh kawasan PAS di Pahang yang bermesyuarat agung semalam.

Kawasan-kawasan tersebut ialah Bera, Temerloh, Indera Mahkota, Paya Besar dan Lipis. Manakala kawasan Raub dan Bentong akan memutuskannya dalam mesyuarat ahli jawatankuasa masing-masing.

Kelmarin, PAS kawasan Kuantan yang bermesyuarat di Indera Sempuna Resort, turut menamakan Abdul Hadi sebagai calon presiden serta Tuan Ibrahim sebagai calonnya.

Sebelum ini mesyurat agung PAS kawasan Kuala Krau, Rompin, Jerantut, Cameron Highland dan Maran turut memilih regu yang sama.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, perwakilan secara kebetulan memilih calon yang hampir sama.

Bera mencalonkan Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mahfuz Omar dan Ustaz Nasruddin Hassan. Temerloh (idris, Nasrudin dan Datuk Nik Amar), Indera Mahkota (Idris, Nik Amar dan Nasrudin. Paya Besar (Datuk Iskandar Samad), Nasrudin dan Nik Amar).

Sementara itu bagi jawatan kepimpinan kawasan mengekalkan Yang Dipertua (YDP) yang lama kecuali Lipis yang bertukar dengan TYDP musim lalu Ustaz Roslan Harun.


Saturday, April 4, 2015

Pasangan rayu bantu pembedahan jantung anak

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Demikianlah yang dapat diumpamakan kepada pasangan Ahmad Junaidi Mamat 27, dan isterinya Norasiah Abdullah 22, yang sedang kebingungan mendapatkan dana bagi menampung kos pembedahan anaknya yang menghidap penyakit jantung.

Ahmad Junaidi, seorang pembantu kantin, berkata anak keduanya Muhammad Putra Danial Danish yang baharu berusia 11 hari disahkan menghidapi masalah jantung sehari selepas dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini.

“Dengan pendapatan RM900 sebulan, apalah kemampuan kami untuk mendapatkan rawatan untuk anak melainkan merayu bantuan daripda orang ramai,” katanya.

Beliau bersama isteri yang kini masih menumpang di rumah ibu mentuanya di Kampung Pamah Kasih, Temerloh, anaknya dilahirkan normal tetapi sebaik sahaja satu hari pulang ke rumah, perut anak keduanya itu membengkak.

“Apabila dirujuk di HOSHAS mendapati dia menghadapi masalah jantung tidak normal. Keadaan ini amat mencemaskan kami

“Kami telah merujuk perkara ini ke Institut Jantung Negara (IJN) dan dimaklumkan doktor pakar anak kami memerlukan tiga kali pembedahan untuk memulihkannya.

“Sehingga hari ini anak saya masih ditahan di wad HOSHAS dan perlu pemerhatian rapi sedangkan isteri saya terpaksa berpantang di rumah,” katanya semalam.

Sementara itu isterinya, Norasiah berkata, anaknya itu perlu dibedah pada bila-bila masa sebaik sahaja jangkitan kuman dalam badannya hilang.

Menurutnya, pembedahan untuk kali kedua pada umur satu setengah tahun dan pembedahan kali ketiga ketika umurnya dua setengah tahun.

“Setakat ini kami tidak dimaklumkan lagi kos sebenar pembedahan tetapi mengambil kira rawatan penyakit kronik seperti ini sudah tentu memerlukan kos yang tinggi yang mana kami tidak mampu menampungnya.

“Tambahan pula kami tidak mempunyai kereta dan setiap kali rawatan sudah tentu menyewa atau meminjam kereta kawan-kawan suami dan kos perjalanan untuk ke Kuala Lumpur juga tinggi.

“Saya harapkan ada insan yang sanggup membantu kami sekeluarga berhadapan dengan dugaan ini,” keluhnya.

Norasiah berkata, disebabkan tidak mampu beliau dan suami serta dua anaknya masih menumpang tinggal di rumah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) milik ibunya serta lima lagi adiknya turut tinggal di rumah yang sama.

Menurutnya, dia berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pusat zakat Temerloh dapat membantu membantunya untuk menghadapi situasi getir tersebut.

Bagi sesiapa yang bersimpati bolehlah memasukkan sumbangan ke akaun Maybank 1560-5743-2684 atas nama nenek bayi malang berkenaan, Norsuliani Abdullah atau boleh menghubungi Narasiah sendiri di talian 019-9931295.

Caption
1) Norasiah dan suami Ahmad Junaidi menunjukkan gambar anak lelakinya yang baharu berusia 11 hari dan disahkan menghidap masalah jantung.

2) Muhammad Putra Danial Danish.



Wednesday, April 1, 2015

Flashmob PAS Temerloh bantah GST

PAS yakin pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mulai dilaksanakan hari ini tetap menimbulkan keresahan dan kemarahan rakyat akibat bebanan kos hidup yang sudah sedia tinggi.

Timbalan Yang Dipertua Pertua PAS Kawasan Temerloh, Hassanuddin Salim, berkata cukai yang dikenakan kepada rakyat ini tidak sesuai pada masanya.

“Pelaksanaan GST ini memang tidak kena pada masa kerana ramai rakyat sedang hidup terhimpit akibat kenaikan harga barang yang sentiasa melonjak, dengan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia, tiba-tiba dikenakan pula GST.

“Jadi ini menambahkan lagi beban dan derita rakyat. Sebagai contoh di daerah-daerah kecil seperti Temerloh ini sebahagian besar sumber pendapatan penduduknya tidak menentu dan miskin jadi hari ini rakyat menyatakan penentangaan terhadap GST,” katanya.

Hassanuddin yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang, berkata demikian ketika ditemui pada program flashmob bagi memberi isyarat suara bantahan rakyat terhadap GST di persimpangan lampu isyarat Jalan Bahagia, dekat sini petang semalam.

Dalam demonstrasi aman itu, lebih 100 yang hadir membawa sepanduk dengan pelbagai slogan antaranya ‘GST: Government say thank you’, ‘Say no to GST’, ‘GST susahkan rakyat’ dan lain-lain.

Hassanuddin berkata, program flashmob anjuran PAS Temerloh ini merupakan usaha meluahkan isi hati dan rayuan akhir rakyat supaya pihak kerajaan membatalkan perlaksanaan GST.

“Flasmob hari ini adalah bukti rakyat tempatan tidak menerima GST kerana membebankan terutama yang berpendapat sederhana dan golongan miskin yang sudah semesti majoriti Melayu Islam,” jelasnya..

Sementara itu flashmob yang bermula jam 5 petang berakhir kira-kira pukul 6.30 petang itu turut menarik perhatian orang ramai dan pengguna jalan raya yang lalu-lalang dengan membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

CAPTION
Peserta flashmob anjuran PAS Temerloh di persimpangan lampu isyarat Jalan Bahagia