Thursday, April 23, 2015

Calon PAS bawa suara generasi muda

ROMPIN: Calon PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Rompin Ustaz Nazri Ahmad bertekad akan membawa suara generasi muda ke peringkat tertinggi bagi memperjuangkan nasib dan masa depan mereka.

Ketua Pemuda PAS Pahang itu berkata, golongan tersebut tidak kira di kampung, bandar atau di tanah rancangan Felda di daerah tersebut rata-rata kini hidup dalam keadaan tidak terjamin.

“Masih ramai anak muda di luar sana yang tidak terjamin masa depan mereka dengan taraf hidup yang rendah. Jangankan untuk memiliki tanah dan kediaman selesa, kehidupan harian merekapun terus kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pendekatannya dalam kempen PRK kali ini yang menemukan beliau satu lawan satu dengan calon veteran yang juga Pemangku Ketua Bahagian Umno Datuk Hasan Arifin.

Nazri menambah, tidak dinafikan kebanyakan golongan muda tempatan yang berjaya tinggal di bandar-bandar seperti Kuantan, Kuala Lumpur, Johor Baru dan sebagainya.

“Namun bagi mereka yang kurang bernasib baik ataupun masih tinggal dengan ibu bapa, masa depan mereka tidak terjamin malah sesetengahnya terpalit dengan arus ganas kemiskinan.

“Mereka ini ada yang tinggal di pulau, bekerja makan gaji dengan pemilik bot, di Felda, di perkampungan Orang Asli juga di kampung-kampung tradisional,” jelasnya.

Menurut Nazri, sejak turun temurun golongan muda digula-gulakan dengan janji-janji yang remeh-remeh sehingga melupakan keperluan masa depan mereka yang sebenar.

“Inilah masanya anak-anak muda memilih
untuk berubah setelah sekian lama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nazri berkata kesempatan yang ada akan digunakan sebaiknya oleh jentera Pakatan Rakyat bagi menyedarkan penduduk keseluruhannya yang yang teruk sejak pelaksanaan GST.

“Pelaksanaan GST sejak 1 April lalu sudah jelas memberi tekanan kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Bukan sahaja di Rompin, bahkan seluruh negara maka peluang ini mesti dimanfaatkan untuk menolak BN,”.


Nazri (tengah) diiringi Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu di pusat penamaan calon semalam



No comments:

Post a Comment