Saturday, April 4, 2015

Pasangan rayu bantu pembedahan jantung anak

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Demikianlah yang dapat diumpamakan kepada pasangan Ahmad Junaidi Mamat 27, dan isterinya Norasiah Abdullah 22, yang sedang kebingungan mendapatkan dana bagi menampung kos pembedahan anaknya yang menghidap penyakit jantung.

Ahmad Junaidi, seorang pembantu kantin, berkata anak keduanya Muhammad Putra Danial Danish yang baharu berusia 11 hari disahkan menghidapi masalah jantung sehari selepas dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini.

“Dengan pendapatan RM900 sebulan, apalah kemampuan kami untuk mendapatkan rawatan untuk anak melainkan merayu bantuan daripda orang ramai,” katanya.

Beliau bersama isteri yang kini masih menumpang di rumah ibu mentuanya di Kampung Pamah Kasih, Temerloh, anaknya dilahirkan normal tetapi sebaik sahaja satu hari pulang ke rumah, perut anak keduanya itu membengkak.

“Apabila dirujuk di HOSHAS mendapati dia menghadapi masalah jantung tidak normal. Keadaan ini amat mencemaskan kami

“Kami telah merujuk perkara ini ke Institut Jantung Negara (IJN) dan dimaklumkan doktor pakar anak kami memerlukan tiga kali pembedahan untuk memulihkannya.

“Sehingga hari ini anak saya masih ditahan di wad HOSHAS dan perlu pemerhatian rapi sedangkan isteri saya terpaksa berpantang di rumah,” katanya semalam.

Sementara itu isterinya, Norasiah berkata, anaknya itu perlu dibedah pada bila-bila masa sebaik sahaja jangkitan kuman dalam badannya hilang.

Menurutnya, pembedahan untuk kali kedua pada umur satu setengah tahun dan pembedahan kali ketiga ketika umurnya dua setengah tahun.

“Setakat ini kami tidak dimaklumkan lagi kos sebenar pembedahan tetapi mengambil kira rawatan penyakit kronik seperti ini sudah tentu memerlukan kos yang tinggi yang mana kami tidak mampu menampungnya.

“Tambahan pula kami tidak mempunyai kereta dan setiap kali rawatan sudah tentu menyewa atau meminjam kereta kawan-kawan suami dan kos perjalanan untuk ke Kuala Lumpur juga tinggi.

“Saya harapkan ada insan yang sanggup membantu kami sekeluarga berhadapan dengan dugaan ini,” keluhnya.

Norasiah berkata, disebabkan tidak mampu beliau dan suami serta dua anaknya masih menumpang tinggal di rumah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) milik ibunya serta lima lagi adiknya turut tinggal di rumah yang sama.

Menurutnya, dia berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pusat zakat Temerloh dapat membantu membantunya untuk menghadapi situasi getir tersebut.

Bagi sesiapa yang bersimpati bolehlah memasukkan sumbangan ke akaun Maybank 1560-5743-2684 atas nama nenek bayi malang berkenaan, Norsuliani Abdullah atau boleh menghubungi Narasiah sendiri di talian 019-9931295.

Caption
1) Norasiah dan suami Ahmad Junaidi menunjukkan gambar anak lelakinya yang baharu berusia 11 hari dan disahkan menghidap masalah jantung.

2) Muhammad Putra Danial Danish.



No comments:

Post a Comment