Tuesday, May 30, 2017

Benarkah ini komposisi asal penduduk Pahang?

ORANG ASLI
Orang Asli iaitu penduduk asal yang mendiami negeri ini sejak lama dahulu, mereka mendiami kawasan pinggiran Sungai Pahang dan dikatakan dalam pantun-pantan lama;
“Asal Pahang empat saudara”
Yakni yang menguasai Negeri Pahang di zaman dahulu itu terdiri dari empat Raja Orang Asli iaitu Batin Saridun,Batin Kalun,BatinSukun & Batin Besar,Kawasan jajahan mereka meliputi Pelak,Cenor, Bera dan Mengkarak. Tasik Cini dan Tasik Bera merupakan kawasan yang didominasi oleh mereka sebagai kawasan penempatan.Catitan sejarah Cina yang ditulis oleh pengikut Laksamana Cheng Ho boleh dijadikan bukti kewujudan mereka pada masa itu. Golongan ini dikatakan oleh pedagang Cina sebagai satu kumpulan yang berbahaya selalu menganggu perjalanan pedagang Cina apabila mereka melalui kawasan pantai Pahang. Orang Melayu yang datang ke sini dari Sumatera dan Jawa ramai yang berkahwin dengan Orang Asli dan mengislamkan mereka. Maka tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian dari keturunan kita adalah dari Orang Asli;hampir 80% Orang Melayu yang ada di Pahang merupakan keturunan Orang Asli yang sudah memelok Islam sejak tahun 1700 lagi.

ORANG MELAYU MELAKA
Mereka ini golongan yang datang berpindah dari Melaka ke Pahang selepas berjaya menguasai kekuasaan politik di Pahang. Mereka ini terdiri dari anak cucu Parameswara dan Tun Perak yang ramai menguasai pemerintahan Melaka pada masa itu,Sebahagiannya adalah Orang Laut yang ramai mendiami Selat Melaka pada masa itu. Orang Laut menguasai bidang pertahanan dan perdagangan. Setelah kerajaan Melaka menguasai Pahang,maka mereka telah membuka beberapa kawasan penempatan baru seperti di Pekan yang asal namanya Indera pura, di Kuala Krau terutama di Lubuk Pelang ,Pulau Tawar dan Tembeling. Di dalam kitab Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang jelas menceritakan peranan meraka di dalam membangunkan Negeri Pahang.Tuk Shahibudin menyatakan bahawa datuknya berasal dari golongan ini yang beliau sebut sebagai Dato Perkasa. Seorang pembesar yang pernah menguasai Daerah Cenor sekitar akhir kurun ke 1500M.

ORANG ARAB
Mereka terdiri dari tiga golongan yang utama iaitu :
1)Golongan yang datang awal sebelum Melaka menakluki Pahang,mereka merupakan pedagang Arab yang datang ke Nusantara untuk berdakwah dan berniaga,mereka ini tidak dapat dikenal lagi kerana sudah menjadi Orang Melayu.Batu Nesan Pulau Tambun di Pekan merupakan indentiti kehadiran mereka ke Pahang.

2) Golongan Sheikh yakni golongan yang datang setelah Melaka menguasai Pahang terutama di Pekan,Perkampungan yang dibuka oleh mereka banyak terdapat di Kuala Pahang seperti Kampung Maulana, Kampung Serandu .Golongan ini hanya datang untuk mencari kekayaan sahaja mereka kurang berperanan di dalam bidang agama dan masyarakat.

3) Golongan Syed yang datang ke Pahang di kurun ke 17 & 18,mereka ini datang dengan penuh penghormatan kerana mereka adalah keturunan Rasullulah,kebanyakannya dari Yaman. Golongan ini kebanyakan terdiri dari guru-guru agama dari Negeri Yaman seperti dari Hadramaut. Kedatangan mereka di sambut dengan mesra oleh Penduduk Pahang dan mereka diberikan penempatan dan kuasa pemerintahan,dilantik menjadi orang besar raja seperti Tuk Kaya Jenderak.

ORANG MINANGKABAU
Menurut W Linehan seorang penulis sejarah Pahang dari bangsa Inggeris, Orang Minangkabau masuk ke Pahang secara besar besaran melalui Negeri Sembilan yakni selepas penduduk Negeri Sembilan melantik Yamtuan Besar mereka yang pertama menjadi raja di sana. Kedudukan Orang Minangkabau semakin kukuh bila Raja Kechil Besar Berjaya menguasai takhta kerajaan Pahang kerana ibu beliau adalah Orang Minangkabau, Raja Siak yang berketurunan Minangkabau ramai menghantar pahlawannya ke Pahang bagi menguasai Negeri Pahang pada masa itu. Ini berlaku pada pertengahan kurun ke 17 dan awal kurun ke 18.Raja Kecil akhirnya kalah kepada Daeng Perani dari keturunan Bugis yang mempunyai tentera yang lebih kuat dan tersusun.Orang Minangkabau ramai tinggal di kawasan Cenor,Bera,Mengkarak,Temerloh dan Kuala Lipis.

ORANG BUGIS
Orang Bugis masuk ke Pahang awal tahun 1700. Apabila Sultan Abd Jalil mangkat dibunuh oleh panglima Raja Kechil maka anaknya telah memohon pertolongan dari Raja Bugis Lima Bersaudara, Maka dengan pertolongan Daeng Perani maka tentera Raja Kecil dapat dikalahkan.Beberapa orang anak Daeng Perani duduk di Pahang seperti Kadi Ismail yang tinggal di Kampung Bangau Tanjung, begitu juga beberapa orang lagi yang tinggal di Pedah di Jerantut. Lama sebelum iaitu sebenarnya seorang yang digelar Tuk Mengkasar telah membuka sebuah perkampungan di Pekan iaitu Kampung Mengkasar,Beliau ini keturunan Bugis yang datang ke Pahang pada masa Sultan Abdul Jalil 1 dan dipercayai beliau merupakan seorang mufti.Keturunan Tuk Mengkasar di Pekan telah bercampur dengan keturunan Tuk Uban @Tuk Tuan,sehingga keturunan Bugis di Pekan hampir tidak kelihatan lagi.Keturunan Bugis yang terdapat di Temerloh hari ini adalah datang dari Selangor iaitu Tuk Bangau Sumbing.

ORANG RAWA
Kehadiran mereka ke Pahang sekitar awal tahun 1800,mereka datang kerana berdagang dan membuka tanah baru.Kebanyakan Orang Rao adalah datang terus dari Sumatera, Golongan ini ramai terdapat di Raub dan kawasan sekitarnya.Orang Rao kuat beragama dengan mengamalkan ajaran Martabat Tujuh Hamzah Fansuri dan juga mereka suka mengamalkan pelbagai Tarekat, Di antara yang terdapat di sini ialah Tarekat Naqsabandi.

Sumber : CariGold

Monday, May 29, 2017

Tragedi berdarah 13 Mei

Masih berada di dalam bulan Mei ini, mengingatkan kita satu tarikh yang terus dikenang sebagai titik hitam dan mimpi ngeri dalam lipatan sejarah negara iaitu peristiwa berdarah 13 Mei.

Bagi sesetengah generasi muda, tarikh tersebut mungkin tidak membawa apa-apa pengertian. Namun di sebalik tragedi tersebut kesannya telah banyak mengubah lankskap politik, ekonomi dan sosial masyarakat negara ini.

Tarikh 13 Mei 1969 diingati kerana telah berlaku rusuhan kaum khususnya antara Cina dan Melayu. Ia bermula apabila parti pembangkang dari kaum Cina iaitu DAP, Gerakan dan PPP menang besar dalam pilihan raya umum (PRU) 10 Mei di bandar-bandar besar dengan memperoleh 25 kerusi dalam Dewan Rakyat. Manakala PAS menang 12 kerusi.

Dalam pilihan raya tersebut calon-calon Perikatan yang dianggotai oleh Umno , MCA, dan MIC kalah teruk dan gagal memperolehi majoriti dua pertiga di parlimen walaupun masih berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Jumlah kerusi yang dimenangi gabungan tersebut telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969.

Kedudukan di Selangor pula menyaksikan kedudukan kerusi sama banyak.

Pihak pembangkang Cina yang memperoleh pencapaian gemilang dalam pilihan raya telah meraikan kemenangan mereka dengan berarak di jalan-jalan raya sekitar bandaraya Kuala Lumpur pada 11 Mei 1969.

Dikatakan perarakan tersebut pada asalnya tidak bermotif untuk menimbulkan ketegangan kaum. Namun, segelintir yang mengikut perarakan tersebut telah menhamburkan kata-kata sensitif berkenaan isu perkauman. Dari sini terbitlah kemarahan dan ketidakpuasan memuncak dan mengakibatkan berlakunya peristiwa berdarah sehingga banyak nyawa melayang dan terkorban.

Peristiwa ngeri itu sudah menjadi sejarah dan tidak perlu diulang-ulang namun baik menjadi ingatan kepada generasi muda dan akan datang semua kaum di negara ini.

Menurut fakta sejarah, perarakan oleh penyokong pembangkang Cina disambung lagi keesokan harinya (12 Mei). Mereka mendapat permit polis bagi perarakan kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun perarakan yang menyebabkan kesesakan jalan raya itu melencong dari laluan yang ditetapkan. Perarakan hingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru. Sedangkan di Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu dan di sini juga letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris.

Dikatakan, orang-orang Cina telah berarak sambil mengikat penyapu pada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan. Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan maki hamun dan menghina Melayu.

Allahyarham Dato' Harun telah mengumumkan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 dengan orang Melayu berkumpul di hadapan rumah beliau di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Orang Melayu dari luar Kuala Lumpur turut menyertai perarakan tersebut.

Pergaduhan mula berlaku di Setapak sekitar jam enam petang apabila sekumpulan pemuda Cina menghalang orang Melayu ke Kampung Baru. Apabila diketahui oleh orang Melayu yang berkumpul di Kampung Baru, mereka mula bergerak dan menyerang orang Cina bersenjatakan parang dan keris. Mereka membakar rumah-rumah kedai di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan juga kereta. Orang Cina yang terserempak dibunuh. Rusuhan ini mula tersebar di sekitar Kuala Lumpur dalam masa 45 minit.

Askar Melayu segera dikerah untuk mengambil alih kawalan. Rusuhan dikawal dengan mengunakan gas pemedih mata dan perintah berkurung 24 jam diumumkan oleh kerajaan.

Perintah tembak di keluarkan oleh Ketua Polis Negara ketika itu.

Akibat rusuhan tersebut kerajaan telah membubarkan parlimen dan mengisytharkan Darurat pada 16 Mei 1969. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) (Mageran) ditubuhkan dan mengambilalih kuasa pemerintahan diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak bin Hussein dibantu tokoh-tokoh politik pelbagai kaum, pemimpin-pemimpin kesatuan masyarakat bukan kerajaan dan politik, pakar pelbagai bidang, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Hakim Negara.

Perintah berkurung dikenakan di seluruh negara terutamanya Kuala Lumpur dikuatkusakan serta merta. Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang dikawal rapi oleh angkatan bersenjata.

Salah seorang yang terlibat sebagai seorang ahli jawatan kuasa Mageran dan masih sihat sehingga sekarang ialah Haji Mohd Saludin Omar, 84.

Saludin pesara wakil rakyat yang kini menetap di Desa Murni Kerdau berkata, beliau dilantik oleh Tun Razak sebagai ahli Mageran pada pagi 13 Mei itu.

Menceritakan lebih lanjut, Saludin berkata pilihan raya pada. Pada pilihan raya tahun tersebut (10 Mei) beliau diarahkan oleh Allahyarham Tun Razak membantu bekas Menteri Besar Perlis Sheikh Ahmad di Dun Kuala Perlis dengan membawa pulang pengundi dari Felda Sertik, Bentong dengan dua buah bas.

“Keesokan harinya iaitu 11 haribulan kami bertolak balik dan bermalam di Ipoh. Esoknya kami sambung perjalanan lagi dan singgah di Kuala Lumpur. Ketika itu kami dah nampak perarakan orang Cina saya nampak ada yang membuka seluar. Namun pada tengah malam kami bergerak balik Bentong. Saya pada masa itu tinggal jalan Teras, iaitu berhampiran dengan rumah Dato’ Husin (ayah Tun Razak).

“Tiba-tiba pada pagi 13 haribulan itu Tun Razak telefon saya, katanya Mat datang ke Kuala Lumpur sekarang... saya pun terus naik Land Rover bersama seorang pemandu Jabatan Penerangan,” ceritanya.

Saludin yang sedia rapat dengan Tun Razak sejak tahun 1955 lagi, berkata sesampai di Kuala Lumpur beliau terus melaporkan diri di High Street Police Station (kini Jalan Hang Tuah) dan bertugas selama empat bulan lamanya.

“Bila sampai saya terus lapor diri di High Street dan tinggal di pejabat Jabatan Penerangan di sebelah bangunan mahkamah. Saya diberi jawatan sebagai pegawai gerak saraf negara.

“Saya ditugaskan meronda seluruh Kuala Lumpur, berdua dengan pemandu. Tugas saya berjumpa orang ramai dan memberi penerangan. Kebanyakan yang saya temui ialah orang Cina dan saya menasihatkan mereka,” ujarnya.

Saludin menceritakan, setelah dua minggu perintah berkurung 24 jam, ia dilonggarkan. Manakala pihak keselamatan mengambil masa selama dua bulan membersihkan sampah-sarap, kenderaan-kenderaan, rumah-rumah dan kedai-kedai yang rosak, terbakar dan yang musnah.

Apabila keamanan pulih seperti sediakala, kuasa pun diserah kembali kepada parlimen dan Mageran dibubarkan.

Terdapat beberapa kesan pasca tragedi 13 Mei iaitu antaranya dua parti pembangkang menyertai kerajaan iaitu Gerakan dan PAS sehingga membentuk Barisan Nasional.

Kerajaan juga mulai sedar tetang kemiskinan bangsa Melayu dan terbentuklah Majlis Perundingan Negara, sehingga lahir Dasar Ekonomi Baru. Dasar muhibah dan perpaduan juga diperkenalkan dan prinsip Rukun Negara dicipta.

Perdana Menteri Malaysia yang pertama YM Tunku Abdul Rahman juga melepaskan jawatan Perdana Menteri dan digantikan Tun Razak.