Masih berada di dalam bulan Mei ini, mengingatkan kita satu tarikh yang terus dikenang sebagai titik hitam dan mimpi ngeri dalam lipatan sejarah negara iaitu peristiwa berdarah 13 Mei.
Bagi sesetengah generasi muda, tarikh tersebut mungkin tidak membawa apa-apa pengertian. Namun di sebalik tragedi tersebut kesannya telah banyak mengubah lankskap politik, ekonomi dan sosial masyarakat negara ini.
Tarikh 13 Mei 1969 diingati kerana telah berlaku rusuhan kaum khususnya antara Cina dan Melayu. Ia bermula apabila parti pembangkang dari kaum Cina iaitu DAP, Gerakan dan PPP menang besar dalam pilihan raya umum (PRU) 10 Mei di bandar-bandar besar dengan memperoleh 25 kerusi dalam Dewan Rakyat. Manakala PAS menang 12 kerusi.
Dalam pilihan raya tersebut calon-calon Perikatan yang dianggotai oleh Umno , MCA, dan MIC kalah teruk dan gagal memperolehi majoriti dua pertiga di parlimen walaupun masih berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Jumlah kerusi yang dimenangi gabungan tersebut telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969.
Kedudukan di Selangor pula menyaksikan kedudukan kerusi sama banyak.
Pihak pembangkang Cina yang memperoleh pencapaian gemilang dalam pilihan raya telah meraikan kemenangan mereka dengan berarak di jalan-jalan raya sekitar bandaraya Kuala Lumpur pada 11 Mei 1969.
Dikatakan perarakan tersebut pada asalnya tidak bermotif untuk menimbulkan ketegangan kaum. Namun, segelintir yang mengikut perarakan tersebut telah menhamburkan kata-kata sensitif berkenaan isu perkauman. Dari sini terbitlah kemarahan dan ketidakpuasan memuncak dan mengakibatkan berlakunya peristiwa berdarah sehingga banyak nyawa melayang dan terkorban.
Peristiwa ngeri itu sudah menjadi sejarah dan tidak perlu diulang-ulang namun baik menjadi ingatan kepada generasi muda dan akan datang semua kaum di negara ini.
Menurut fakta sejarah, perarakan oleh penyokong pembangkang Cina disambung lagi keesokan harinya (12 Mei). Mereka mendapat permit polis bagi perarakan kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun perarakan yang menyebabkan kesesakan jalan raya itu melencong dari laluan yang ditetapkan. Perarakan hingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru. Sedangkan di Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu dan di sini juga letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris.
Dikatakan, orang-orang Cina telah berarak sambil mengikat penyapu pada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan. Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan maki hamun dan menghina Melayu.
Allahyarham Dato' Harun telah mengumumkan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 dengan orang Melayu berkumpul di hadapan rumah beliau di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Orang Melayu dari luar Kuala Lumpur turut menyertai perarakan tersebut.
Pergaduhan mula berlaku di Setapak sekitar jam enam petang apabila sekumpulan pemuda Cina menghalang orang Melayu ke Kampung Baru. Apabila diketahui oleh orang Melayu yang berkumpul di Kampung Baru, mereka mula bergerak dan menyerang orang Cina bersenjatakan parang dan keris. Mereka membakar rumah-rumah kedai di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan juga kereta. Orang Cina yang terserempak dibunuh. Rusuhan ini mula tersebar di sekitar Kuala Lumpur dalam masa 45 minit.
Askar Melayu segera dikerah untuk mengambil alih kawalan. Rusuhan dikawal dengan mengunakan gas pemedih mata dan perintah berkurung 24 jam diumumkan oleh kerajaan.
Perintah tembak di keluarkan oleh Ketua Polis Negara ketika itu.
Akibat rusuhan tersebut kerajaan telah membubarkan parlimen dan mengisytharkan Darurat pada 16 Mei 1969. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) (Mageran) ditubuhkan dan mengambilalih kuasa pemerintahan diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak bin Hussein dibantu tokoh-tokoh politik pelbagai kaum, pemimpin-pemimpin kesatuan masyarakat bukan kerajaan dan politik, pakar pelbagai bidang, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Hakim Negara.
Perintah berkurung dikenakan di seluruh negara terutamanya Kuala Lumpur dikuatkusakan serta merta. Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang dikawal rapi oleh angkatan bersenjata.
Salah seorang yang terlibat sebagai seorang ahli jawatan kuasa Mageran dan masih sihat sehingga sekarang ialah Haji Mohd Saludin Omar, 84.
Saludin pesara wakil rakyat yang kini menetap di Desa Murni Kerdau berkata, beliau dilantik oleh Tun Razak sebagai ahli Mageran pada pagi 13 Mei itu.
Menceritakan lebih lanjut, Saludin berkata pilihan raya pada. Pada pilihan raya tahun tersebut (10 Mei) beliau diarahkan oleh Allahyarham Tun Razak membantu bekas Menteri Besar Perlis Sheikh Ahmad di Dun Kuala Perlis dengan membawa pulang pengundi dari Felda Sertik, Bentong dengan dua buah bas.
“Keesokan harinya iaitu 11 haribulan kami bertolak balik dan bermalam di Ipoh. Esoknya kami sambung perjalanan lagi dan singgah di Kuala Lumpur. Ketika itu kami dah nampak perarakan orang Cina saya nampak ada yang membuka seluar. Namun pada tengah malam kami bergerak balik Bentong. Saya pada masa itu tinggal jalan Teras, iaitu berhampiran dengan rumah Dato’ Husin (ayah Tun Razak).
“Tiba-tiba pada pagi 13 haribulan itu Tun Razak telefon saya, katanya Mat datang ke Kuala Lumpur sekarang... saya pun terus naik Land Rover bersama seorang pemandu Jabatan Penerangan,” ceritanya.
Saludin yang sedia rapat dengan Tun Razak sejak tahun 1955 lagi, berkata sesampai di Kuala Lumpur beliau terus melaporkan diri di High Street Police Station (kini Jalan Hang Tuah) dan bertugas selama empat bulan lamanya.
“Bila sampai saya terus lapor diri di High Street dan tinggal di pejabat Jabatan Penerangan di sebelah bangunan mahkamah. Saya diberi jawatan sebagai pegawai gerak saraf negara.
“Saya ditugaskan meronda seluruh Kuala Lumpur, berdua dengan pemandu. Tugas saya berjumpa orang ramai dan memberi penerangan. Kebanyakan yang saya temui ialah orang Cina dan saya menasihatkan mereka,” ujarnya.
Saludin menceritakan, setelah dua minggu perintah berkurung 24 jam, ia dilonggarkan. Manakala pihak keselamatan mengambil masa selama dua bulan membersihkan sampah-sarap, kenderaan-kenderaan, rumah-rumah dan kedai-kedai yang rosak, terbakar dan yang musnah.
Apabila keamanan pulih seperti sediakala, kuasa pun diserah kembali kepada parlimen dan Mageran dibubarkan.
Terdapat beberapa kesan pasca tragedi 13 Mei iaitu antaranya dua parti pembangkang menyertai kerajaan iaitu Gerakan dan PAS sehingga membentuk Barisan Nasional.
Kerajaan juga mulai sedar tetang kemiskinan bangsa Melayu dan terbentuklah Majlis Perundingan Negara, sehingga lahir Dasar Ekonomi Baru. Dasar muhibah dan perpaduan juga diperkenalkan dan prinsip Rukun Negara dicipta.
Perdana Menteri Malaysia yang pertama YM Tunku Abdul Rahman juga melepaskan jawatan Perdana Menteri dan digantikan Tun Razak.
No comments:
Post a Comment