Monday, June 14, 2010

Perubahan MIC sudah terlewat – Balasubramaniam

“Segala-galanya sudah terlewat,” kata Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, N. Balasubramaniam, yang mengulas janji Samy Vellu bahawa MIC akan berlaku perubahan dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Orang India sudah tak yakin kepada MIC. Sedangkan masa berkuasa pun tak banyak yang dapat dilakukan membela nasib kaum India, inikan pula semasa MIC sudah melukut di tepi gantang sekarang.”

Selama setengah abad parti kaum India MIC jarang-jarang terdengar berkocak. Sepanjang tempoh itu orang-orang India di negara ini tampak bersatu di belakang parti berasaskan kaum itu. Manakala BN yang menaunginya pula terus menang selesa dengan undi entiti tersebut.

Bayangkan sejak dulu jika petugas PAS membuat “cula” kepada buku daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengklafikasikan kecenderungan pengundi, yang berketurunan India lazimnya ditandakan “D” iaitu dacing.

Sehinggalah pilihan raya umum (PRU) pada Mac 2008 yang lalu, di mana berlaku ‘tsunami’ politik menyaksikan kira-kira 70 peratus pengundi bukan Melayu terutamanya kaum India telah berhijrah meninggalkan BN.

Menakjubkan, pemimpin-pemimpin besar MIC semuanya kalah di kubu masing-masing. Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu tewas di Sungai Siput, manakala timbalannya Datuk G. Palanivel kecundang di Hulu Selangor.

“Semuanya gara-gara orang India sudah bosan dan muak dengan kegagalan MIC memperjuangkan nasib anak bangsa India dari segi pelajaran, kebajikan, dan taraf hidup. Contohnya, ramai pelajar India yang memperolehi peperiksaan SPM 13 A. Tetapi mereka tidak dapat biasiswa dan gagal dimasukkan ke matrikulasi. Jadi apa istimewanya MIC berada dalam BN?

“Begitu juga dari segi kebajikan dan taraf hidup. Tidak banyak perubahan yang dilakukan bagi membela nasib kaum India terutama di estet-estet. Orang India keluar sendiri dari estet dan berhijrah ke bandar bagi memulakan perniagaan kedai gunting, barang runcit, restoran dan sebagainya tanpa bantuan MIC,” katanya.

Bala mendakwa, pemimpin-pemimpin MIC pula kaya raya kerana mendapat projek dan sebagainya. Inilah yang akhirnya membuatkan masyarakat India sudah muak dan bosan dengan ‘permainan’ sehingga menjadi punca mereka berhijrah beramai-ramai menyokong Pakatan.

“Jadi masa untuk MIC sudah berlalu. Selama 64 tahun ruang dan peluang yang diberi selama ini sudah cukup. Mengapa baru sekarang bercakap tentang perubahan,” soal Bala.

Samy Velly minggu lalu berjanji akan membawa perubahan kepada MIC dengan melibatkan pertukaran ketua-ketua cawangan.

“Ini saja jalannya untuk harungi iklim politik lebih mencabar sekarang. Sekiranya parti lemah dan bergolak sesama sendiri, kita akan kehilangan kehormatan dan sokongan orang India sendiri,” katanya sebagaimana dipetik media ketika merasmikan Konbensyen MIC Selangor ke 64.

Sebelum ini berlaku pertelingkahan luar biasa dalam MIC terutama melibatkan krisis kepercayaan terhadap Samy Vellu sendiri.

Dua minggu lalu kira-kira 5,000 kaum India, terutamanya dari MIC hadir menyertai perhimpunan Gerakan Anti Samy (GAS) di Pusat Konvensyen Mines, Serdang bertujuan memberi tekanan kepada Samy Vellu untuk meletak jawatan.

Dalam majlis tersebut berlaku insiden di mana seorang warga emas India memukul bertalu-talu poster Samy dengan kasut bagi melahirkan rasa marah atau bencinya kepada pemimpin tersebut.

“Perbuatan seumpama itu tidak elok sama sekali dan bukan langsung melambangkan budaya kaum India. Tapi apa boleh buat, begitulah gambarannya apabila orang sudah marah,” komen Bala.

Program tersebut dianjurkan oleh bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, yang dipecat V. Mugilan. Setiausaha Agung MIC S Murugessan bersama lima anggota majlis tertinggi (CWC) parti juga dipecat ekoran bertindak menegur Samy.

Sebelum itu berlaku ‘perang dingin’ antara Umno dan MIC apabila anak lelaki Samy, Vell Paari, mendakwa Umno telah memainkan peranan di sebalik kempen anti Samy. Ahli majlis tertinggi MIC itu mendakwa orang luar (Umno) mempunyai agenda politik terlindung dengan mengupah pembunuh politik untuk menjatuhkan ayahnya.

Dakwaan Vell itu telah mendapat kecaman daripada pemimpin Umno termasuk reaksi keras daripada presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pemuda MIC T. Mohan pula bertindak lebih jauh dengan meminta dikaji semula kedudukan MIC dalam BN.

Mengenai Samy Vellu, Bala berkata pemimpin tersebut sudah lama bertapak di tampuk kuasa jadi iaitu 31 tahun menjadi Presiden MIC. Jadi apabila sudah ada riak yang mahukan beliau turun, maka lebih baiklah berundur kerana kekecohan demi kekecohan hanya memalukan kaum India.

“Samy pun tidak ada apa-apa jawatan dalam kabinet lagi.”

Katanya, sepanjang lebih tiga dekad beliau mengepalai parti kaum India tidak banyak yang dilakukan bagi meningkatkan taraf kehidupan kaum itu.

“Bukan sahaja Samy, MIC juga sebenarnya sudah lemah, jika presidennya diganti G. Palanivel, dia juga dikenali sebagai pemimpin yang lemah di kalangan orang India. Selepas ini saya meramalkan nasib pemimpin MIC akan ditentukan oleh pemimpin Umno.”

“Jadi tidak mustahil selepas ini MIC hanya ibarat melukut di tepi gantang”.

Tambah Bala, mungkin pemimpin GAS mendokong suara perubahan dalam MIC. Tetapi mereka ini dulunya orang Samy Vellu dan pada satu ketika memenangkan Samy Vellu tanpa bertanding. Mereka hanya bertindak setelah dipecat. Isunya mereka marah kerana kehilangan jawatan bukan reformasi. Jadi GAS juga tidak akan ke mana.

Tegas Bala, di sinilah beliau melihat masa depan DHPP PAS amat cerah. Katanya, meskipun keanggotaan orang India dalam dewan berkenaan baru berjumlah 50,000 namun dengan pertelingkahan dan krisis kepimpinan yang berlaku dalam semua parti India seperti MIC, IPF dan PPP, beliau yakin akhirnya orang India akan beralih kepada PAS.

Pada masa ini orang India dianggarkan berjumlah 2.2 juta atau 8 % daripada keseluruhan penduduk.

“Saya katakan ini berasaskan realiti. Sekarang dalam mana-mana pertemuan parti-parti kaum India saya selaku pemimpin DHKP tidak ketinggalan diundang. Itu melambangkan mereka sudah memberi keyakinan bahawa PAS juga boleh memimpin masyarakat India.”

“Apa lagi dengan ucapan-ucapan perkauman dan provokatif orang-orang Umno akhir-akhir ini.”

“Kalau dulu PAS buat program betapa sukarnya untuk mendapatkan kehadiran kaum India, sekarang sebut saja nak berapa ramai. Jadi perubahan ini menggambarkan realiti masa depan,” tegas Bala.













No comments:

Post a Comment