MENDEKATI usia 40-an adalah detik yang menggusarkan bagi setiap wanita. Ini bukan satu kenyataan untuk cuba ‘mengancam’ kaum wanita, namun satu realiti yang perlu dihadapi secara tenang sebagai hamba Allah.
Dalam usia begitu, kekedutan pada kulit telah mula kelihatan agak jelas. Juga saat ini para wanita akan menghampiri fenomena menopaus. Waktu menopaus adalah saat-saat yang penting dalam kehidupan seseorang wanita, seperti mana juga waktu kehamilan dan melahirkan bayi.
Definisi menopaus dari segi perubatan bermaksud putus atau berhentinya haid. Ketika ini, ovarium tidak lagi mematangkan sel telur sebagai tindak balas tehadap hormon dari kelenjar pituitari. Pun demikian, tidak semua yang berhenti haid itu dikatakan mengalami menopaus. Antara lain faktor penyebab terhentinya haid ialah mengandung, stress, pengambilan ubat, diet yang keterlaluan dan juga berat badan.
Apakah gejala-gejala umum bagi wanita sewaktu menjelangnya menopaus? Antara lainnya ialah, mereka akan mengalami hot flush iaitu perasaan panas secara tiba-tiba yang bermula dari atas tubuh, ke muka dan kadang-kadang hingga ke seluruh tubuh. Mereka mungkin akan berkeringat secara berlebihan pada waktu malam. Juga, mereka akan mengalami kesusahan untuk tidur disebabkan ketegangan akibat wajah yang merah dan juga pengeluaran keringat yang banyak. Perubahan pada mulut juga mungkin akan didapati di mana mereka akan kehilangan kepekaan rasa pada lidah di samping masalah gusi dan gigi yang mudah tanggal. Sesetengah wanita juga akan turut mengalami kegatalan seperti digigit semut.
Dari sudut kesan panjangnya pula, hormon estrogen akan berkurangan sehingga boleh mengakibatkan kekeringan pada vagina dan rasa kurang selesa ketika hubungan intim. Justeru, wanita tersebut secara beransur-ansur akan mengalami kehilangan keinginan untuk melakukan hubungan seks.
Dari sudut psiokologi pula, wanita yang mengalami menopaus akan sering merasa cemas, sering terlupa dan juga mengalami gangguan pada penumpuan atau kosentrasi. Justeru mereka hendaklah memastikan kesihatan mental dan emosi mereka sentiasa stabil dengan pengambilan makanan yang berkhasiat, bersenam secara teratur dan mengikuti sebarang kaedah yang dianjurkan oleh agama. Tekanan perasaan yang terjadi disebabkan oleh perubahan fizikal seperti sakit tulang dan hilang keanjalan kulit akibat kurang jaringan kolagen dari bawah kulit.
Menopaus hanyalah satu proses biologi biasa bagi wanita yang mendekati ‘usia emas’. Justeru itu, mereka hendaklah mengambil inisiatif bagi meningkatkan tahap kesihatan. Bagi mengatasi gejala dan kesan sampingan menopaus, disarankan juga pengambilan ubat penenang, pil estrogen dan juga minyak evening primrose. Terapi hormon juga boleh diambil untuk kesan yang lebih efektif bagi mencegah ‘hot flush’, osteoporosis, penyakit jantung koronari, penyakit kardiovas dan juga risiko kematian pada wanita post-menopause.
Menopaus adalah saat ‘pasti’ yang bakal dilalui oleh semua wanita. Justeru seharusnyalah para wanita berfikiran terbuka, banyak membaca dan berbincang untuk menghadapi saat itu. Mereka juga disarankan berkongsi perasaan dengan suami atau mendapatkan khidmat daripada pakar kaunseling.
No comments:
Post a Comment