Thursday, June 24, 2010

Kita tidak mahu menteri bertukar, pelajar jadi korban

Apakah pelajar-pelajar anak bangsa kita sekali lagi menjadi bahan uji kaji dan eksperimen pemimpin kerajaan Umno/BN?

Terbaharu ialah polemik yang diutarakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan bercadang untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Apakah ‘revolusi’ sistem tersebut sudah diteliti dengan lebih mendalam? Apakah kerajaan sudai mempunyai alternatif lain yang lebih kukuh? Apakah pihak PIBG, persatuan-persatuan guru, dan badan-badan mahasiswa dan profesional sudah dibawa berbincang?

Ataukah cadangan tersebut hanya dibincangkan sekitar beberapa kerat pemimpin Umno?

Persoalan-persoalan ini perlu ditanyakan kepada menteri bertanggungjawab kerana anak-anak kitalah nanti yang bakal menjadi bahan uji kaji dan eksperimen pemimpin-pemimpin Umno itu.

Apa yang kita tidak mahu ialah, akibat daripada percubaan itu ialah berlakunya kesilapan demi kesilapan berulang dalam keghairahan pimpinan Umno mengubah polisi sistem pendidikan negara.

Kata orang, dasar dan sistem pelajaran negara akan berubah apabila berlaku pertukaran menterinya. Hinggalah orang merumuskan, Malaysia merupakan negara yang paling acap menukar dasar dan sistem pelajarannya, berbanding negara-negara lain di dunia.

Siapa yang tidak tahu bahawa kerajaan Umno/BN dan menterinya telah melakukan kesilapan demi kesilapan akibat percubaan demi percubaan terhadap dasar pelajaran.

Kita sudah maklum bahawa Kerajaan Umno/BN sebelum ini pernah mengubah sistem pendidikan dengan mengemukakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) namun terbukti gagal.

Jauh sebelum itu dulu, ialah Kerajaan Umno/BN memperkenalkan dasar menghapuskan tulisan jawi dalam sistem pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Akibatnya? Berjuta-juta umat Melayu menjadi buta jawi, sekali gus jahil agama.

Ertinya, yang melakukan kesilapan ialah menteri Umno sementara yang menjadi korban hasil eksperimen yang gagal itu ialah anak bangsa kita, anak Malaysia dan anak-anak kita sendiri!
Hasilnya, kedudukan Malaysia kini semakin ketinggalan berbanding negara jiran lain dalam pelbagai sektor hingga mungkin menyebabkan peningkatan pengangguran kerana tiada kemahiran dan kelayakan yang sesuai mengikut permintaan.

Kepada kita, Kerajaan Umno/BN sementara memrintah ini perlu menambah baik perkara bahagian-bahagian yang lemah ini, bukan hanya ghairah mahu menggantikan sesuatu polisi tanpa sebarang perancangan konkrit, perundingan dengan semua pihak dan bersedia dengan alternatif yang sudah terbukti.

Sebenarnya banyak lagi penambahbaikan yang perlu kerajaan lakukan dengan kelemahan dan kedaifan pra-sarana dan peralatan atau kemudahan untuk guru dan murid sekarang. Untuk mengetahuinya, menteri perlu turun dan menghayati sendiri, umpamanya menangani rungutan-rungutan daripada guru-guru selama ini.

Cadangan untuk memansuhkan dua peperiksaan utama itu, setidak-tidaknya, dijangka akan memberi kesan terutamanya terhadap perkembangan sistem pendidikan dan pelajar sekolah kebangsaan yang mempunyai sukatan kurikulumnya tersendiri.

No comments:

Post a Comment