Friday, June 18, 2010

PAS, PKR, DAP tegas perangi judi

RAUB: PAS menyatakan ketegasan memerangi sebarang bentuk perjudian termasuk sempena Piala Dunia kerana jelas ditegah agama Islam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, PAS akan memberikan bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Gerakan Mansuh Judi (GMJ) yang diketuai Mohd Azmi Abd Hamid.

Menurutnya, GMJ mendapat sokongan padu lebih 40 NGO termasuk dalam kalangan bukan Islam yang membantah sekerasnya pemberian lesen judi Bola Sepak sepanjang Piala Dunia.

“GMJ akan menyampaikan memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu bagi menuntut kerajaan menarik balik lesen judi bola ketika kempen Piala Dunia kepada syarikat Berjaya Corporation.

“Memorandum ini juga akan diserahkan kepada ahli Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) untuk membahaskan isu berkenaan di Parlimen,” katanya pada ceramah anjuran PR di Markas Pas Sega, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Syamsul Iskandar Akim berkata, pemberian lesen judi ketika kempen bola sepak Piala Dunia itu amat membimbangkan dan boleh menyebabkan gejala tidak baik menular dalam dunia bola sepak negara ini pada masa akan datang.

Menurutnya, sikap liberal kerajaan dalam isu itu akan membuka laluan kepada pemberian lesen judi liga tempatan pada masa depan.

“Keadaan ini boleh menyebabkan gejala rasuah dalam arena bola sepak kerana pihak terlibat dalam perjudian secara tidak langsung akan cuba memberi rasuah kepada pemain untuk menjadikan keputusan perlawanan seperti yang dijangka.

“Isu rasuah dalam bola sepak tempatan berlaku tidak lama dulu dan kita kehilangan pemain bola sepak berbakat sekali gus kedudukan Malaysia dalam Carta Bola Sepak Dunia terus jatuh menjunam,” katanya.

Wakil Khas DAP Raub, M Selvarajah berkata, tindakan berjudi dilarang semua agama kerana kesannya yang mendatangkan keburukan kepada individu terlibat.

Menurutnya, DAP juga menegaskan pendirian menentang pemberian lesen judi sempena Piala Dunia.

“Judi adalah antara penyumbang kepada masalah sosial di negara ini tidak kira bangsa, latar belakang keluarga dan agama.

“Kita juga tidak bersetuju dengan kenyataan Mantan Perdana Menteri bahawa DAP bertindak atas sifat permainan politik,” katanya.

Selvarajah berkata, lesen judi dikeluarkan Kerajaan Persekutuan selama ini sedangkan Kerajaan Negeri hanya bertanggungjawab terhadap premis judi di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1961.

~ Sinar Harian

No comments:

Post a Comment