Monday, June 14, 2010

Birokrasi sukarkan permohonan tanah

Pahang merupakan negeri terluas di Semenanjung dan banyak tanah terbiar. Sehinggakan ada yang berkata, setiap rakyat di negeri ini sangat mewah jika dinisbahkan jumlah penduduk dengan keluasan tanah boleh gunanya.

Namun isu pemilikan atau kelulusan permohonan membangunkan tanah masih merupakan isu besar yang tidak pernah selesai. Bayangkan, ada kes rakyat telah meneroka dan memajukan tanah sekian lama sehingga 30 ke 40 tahun, tiada penyelesaian dibuat atau permohonan ditolak tanpa alasan dan sebagainya.

Menurut prosedur biasa bagi memohon tanah ialah mula-mula kena membeli pelan, selepas itu kena isi borang dan mendapatkan akuan surat sumpah. Apabila permohonan tidak berlapis, bukan rizab dan bukan pula kawasan bakal dimajukan kerajaan, barulah dimesyuaratkan oleh Jawatankuasa Penyelesaian Tanah Daerah (JKPTD) yang lazimnya dipengerusikan oleh Pegawai Daerah bagi menyokong dan seterusnya dimajukan ke Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri untuk dibuat kertas ringkas.

Dari situ PTG akan membawa fail ke mesyuarat Exco dan jika diluluskan permohonan akan dihantar semula ke PTG untuk pengesahan (endorsement). Dari situ akan diturunkan ke pejabat tanah daerah untuk dikutip premium.

Walaupun negara menggunapakai sistem terbaik iaitu sistem Torrens (Australia) dalam amalan undang-undang tanah, namun prosedur seumpama itu biasanya memakan masa sehingga antara empat ke 12 tahun kerana terpaksa melepasi tidak kurang “25 meja” untuk kelulusan.

Ada juga yang membuat bandingan, apabila melibatkan tauke-tauke besar sama ada dalam bidang pertanian, pembalakan, perumahan dan industri, dikatakan begitu pantas pula mendapat kelulusan.

Satu lagi apabila musim pilihan raya tiba, banyak kes-kes permohonan tanah yang sekian lama tertunggak dan terbengkalai dengan tiba-tiba dapat diselesaikan dan tokoh-tokoh tertentu berlumba-lumba menyerahkan surat hak milik tanah.

Semua ini sudah menjadi rungutan ramai terutama bagi pemohon yang bukan tauke besar dan tidak mengenali tokoh politik. Justeru semua ini memerlukan perubahan agar permasalahan yang berpanjangan selama setengah abad dapat dirungkai sesuai dengan usia kemerdekaan negara.

Sedangkan mempercepatkan proses permohonan tanah bermakna meningkatkan hasil negeri melalui pungutan cukai.

Apa lagi pemilikan tanah mempunyai kaitan dengan kemiskinan dan kepentingan nilai sebidang tanah dapat diukur daripada kenyataan seorang ahli ekonomi Peru Hernando De Soto iaitu “Lambang kemiskinan seseorang ialah apabila tidak memiliki tanah dan begitu jugalah dengan ukuran kepada sesebuah masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Rakyat Pahang, Syed Ali Badaruddin Syed Othman meletakkan birokrasi sebagai antara punca kelewatan kelulusan tanah.

Sedangkan, katanya, proses kelulusan boleh dipercepatkan jika pihak berkuasa negeri menggunapakai Seksyen 12 Kanun Tanah Negara iaitu pihak berkuasa negeri menurunkan kuasa kepada wakilnya.

“Setakat ini permohonan tanah hanya diluluskan Menteri Besar melalui mesyuarat bersama Exconya. Sebenarnya proses kelulusan boleh dipercepatkan jika Seksyen 12 digunapakai iaitu mewakilkan kepada pegawai tertentu jika pertimbangan hanya atas alasan dan sebab-sebab teknikal,” kata Syed Ali ketika berceramah di Kerdau baru-baru ini.

Menurutnya, kuasa meluluskan permohonan, pindah milik dan pembangunan tanah boleh diturunkan kepada Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Penolong Tadbir Tanah dan pegawai-pegawai di bawahnya yang diberi kuasa. Sebenarnya garis panduan sudah disiapkan oleh Unit Perancang Bandar dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Prosedur yang ada menyebabkan kerajaan lambat dapat mengutip hasil. Sedangkan bagi tukar syarat tanah, pecah sempadan dan pecah lot semuanya merupakan urusniaga dan mendatangkan wang kepada kerajaan negeri. Mereka datang berurusan semuanya untuk membayar.

“Jadi pengurusan yang cekap sudah tentu dapat melipatgandakan hasil negeri. Jika terlalu lambat hanya kerana karenah birokrasi, bagaimana kerajaan mahu memenuhi keperluan rakyat dan desakan pembangunan setempat”.

Syed Ali menambah, beliau sendiri pernah memohon tanah lesen (Tol) pada tahun 1993. Tetapi permohonan hanya ditolak pada tahun 2003.

“Di Selangor penurunan kuasa kepada pegawai-pegawai ini sudah berlaku sebab itu proses kelulusan tanah menjadi cepat. Umpamanya bagi bagi tukar nama dari penama Melayu kepada Melayu hanya mengambil masa dua minggu. Tukar syarat dari rizab Melayu kepada antarabangsa apula sekitar enam bulan,” jelasnya.

Bagi peguam Ahmad Nizam Hamid pula, tanggungjawab kerajaan sepatutnya memudahkan proses pemilikan tanah kepada rakyat khususnya yang masih belum memiliki tanah kerana tanah dan kehidupan tidak dapat dipisahkan.

“Dalam sistem sekarang terlalu banyak karenah birokrasi yang terpaksa ditempuh sehingga menjadi lembab. Antaranya tiada akses kepada kemudahan dan di peringkat bawah pula pemberian tanah kadangkala berdasarkan kepentingan politik menyebabkan berlaku ketidakadilan,” ujarnya.

Mungkin tidak semua pemohon tahu tentang status tanah dan di mana tanah yang boleh dimohon. Oleh yang demikian beliau mencadangkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sepatutnya bertindak proaktif iaitu memohon dulu tapak tanah untuk penempatan secara berkelompok dan kemudiannya diagih-agihkan kepada penduduk setempat yang memerlukan.

“Mungkin idea ini terlalu ideal, tetapi tidak salah dipraktikkan demi memenuhi slogan rakyat didahulukan,” tambahnya.


Gambar:
Syed Ali (dua dari kiri) semasa berceramah di Kerdau bersama Ustaz Idris dan Roslan Zainal.





No comments:

Post a Comment