Saturday, July 11, 2015

Belasungkawa Ustaz Rahim

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pahang yang juga mantan Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Abdul Rahim Abdul Latif, 53, selamat dikebumikan tengahari ini di tanah perkuburan Kampung Berhala Gantang di sini.

Dikenali dengan panggilan Ustaz Rahim, jenazah beliau sebelum itu telah disolatkan oleh kira-kira 1,000 orang bermula di masjid Taman Temerloh Jaya dan kemudiannya di masjid Al Hasan Berhala Gantang iaitu kampung asalnya.

Solat jenazah kali pertama diimamkan oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut serta Ahli Parlimen Temerloh yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan, ahli jawatankuasa Ulamak PAS Pusat Ustaz Zuridan Daud, Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamed, pimpinan PAS negeri, kawasan serta keluarga dan kenalan.

Menurut anak sulungnya Zikrul Hakim, allahyarham disedari meninggal dunia ketika menggerakkannya untuk bersahur di rumahnya di Taman Temerloh Jaya 6 manakala Dr Alias yang mengesahkan kematiannya, berkata allahyarham mungkin telah meninggal dunia lima jam sebelum itu dalam tidur.

Katanya, Ustaz Rahim baru tiga hari keluar dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini setelah dimasukkan ke wad akibat injap jantung tersumbat awal Ramadan lalu dan dijangka menunggu giliran untuk pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).

Ustaz Rahim yang berkelulusan sarjana Pengajian Islam dari Universiti Malaya dan melanjutkan pelajaran di India dan Pakistan, semasa hayatnya dikenali sebagai seorang yang tegas. Beliau pernah dipilih sebagai ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat semasa di bawah kepimpinan Datuk Mahfuz Omar.

Beliau juga pernah dipilih sebagai Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Mentakab, dan kemudian YDP Temerloh. Di peringkat negeri, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan.

Ustaz Rahim juga pernah bertanding mewakili PAS pada pilihan raya umum 29 November 1999 di Dun Sanggang menentang calon BN Datuk Abdullah Kia dari Umno.

Ustaz Rahim meninggalkan balu Hendon Tauhid serta lima orang cahaya mata, tiga lelaki dua perempuan. Anak sulungnya belajar di Mesir sementara anak bongsunya masih dalam darjah tiga Sekolah Rendah Tanjung Lalang.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam mesejnya, melahirkan rasa dukacita dan menganggap PAS Pahang kehilangan sebutir bintang.

“Baru sahaja menziarahi beliau, dapat berita menyedihkan, semoga Allah tempatkan rohnya bersama para anbiya, siddiqin dan syuhada. Semoga istiqamahnya dalam perjuangan Islam hingga akhir hayatnya juga penat lelahnya untuk Islam menjadi saksi kebaikan baginya disana..ameen Ya Rabb.”

Seluruh kakitangan Badan Perhubungan PAS Pahang turut mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham dan berharap semoga tabah dan sabar menerima dugaan ini apa lagi menjelang akhir Ramadan ini yang menjanjikan keampunan Allah.

CAPTION
Tuan Ibrahim mengimamkan Solat jenazah kali pertama, kemudian diulangi beberapi kali lagi.

No comments:

Post a Comment