Tuesday, August 5, 2014

Rasional lancar sambutan merdeka di Temerloh

Tindakan PAS Pusat memilih daerah Temerloh sebagai tapak pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2014 pada 15 dan 16 Ogos ini, adalah tepat dan patut dipuji.

Ini disebabkan daerah ini menyimpan khazanah sejarah perjuangan sebenar orang Melayu menentang penjajah Inggeris. Namun disebabkan siri perjuangan kepahlawanan Melayu itu terpendam dan tertimbus selama ini, tidak banyak lagi sejarah yang diketahui khususnya oleh generasi muda.

Justeru itu, usaha murni PAS Pusat ‘menyalakan obor’ sambutan di bumi pahlawan ini diharap dapat merakam kembali sejarah perjuangan panjang menentang penjajah dan seterusnya menuntut kemerdekaan itu secara lebih tepat dan adil.

Prof. Madya Dr Mohamed Salleh Lamry dari UKM dalam bukunya ‘Temerloh Dalam Kancah Perjuangan Kemerdekaan’ menyebut, walaupun di negara ini ada beberapa tempat yang boleh disebut sebagai pusat gerakan nasionalis kiri , seperti Padang Rengas (Perak), Jenderam (Selangor), dan Muar (Johor), tetapi Temerloh merupakan tempat yang lebih penting dan lebih istimewa berbanding dengan tempat-tempat yang lain.

Beliau turut memetik tulisan Suriani Abdullah (isteri Abdullah CD) “Temerloh adalah buaian revolusi. Di sinilah lahirnya pasukan pahlawan, bintang harapan kaum tani. Di sinilah berkembang dan mendewasanya pasukan Rejimen Ke-10 dan dari sinilah juga ia berjaya melancarkan pertempuran-pertempuran yang bertubi-tubi terhadap musuh (penjajah) serta telah memberikan sumbangan-sumbangan yang besar lagi penting kepada usaha kemerdekaan dan usaha pembebasan nasional tanah air kita”.

Salleh menulis, terdapat tiga gerakan menentang penjajah di Temerloh dan apa yang menariknya ketiga-tiga gerakan itu disokong penuh oleh majoriti penduduk tempatan. Lebih hebat lagi, kesemua gerakan tersebut disertai oleh sukarelawan dari luar baik dari serata ceruk negeri Pahang hinggalah seluruh pelosok tanah air berhijrah ke Temerloh menyertai perjuangan menentang penjajah ini.

Gerakan pertama dicetuskan oleh Dato’ Bahaman selepas campur tangan penjajah Inggeris dan meletakkan wakil residennya di Pahang sekitar tahun 1887. Gerakan penentangan oleh Bahaman dari Lanchang itu begitu kuat dan semangat perjuangannya telah menjadi inspirasi dan merebak meluas hampir ke seluruh negeri Pahang.

Meskipun gerakan penentangan itu berakhir dengan kegagalan, tetapi gerakan itu telah memberi ilham, semangat dan dorongan kepada generasi anak Pahang yang berikutnya untuk meneruskan perjuangan antipenjajah dan seterusnya menuntut kemerdekaan.

Gerakan kedua muncul pada zaman perjuangan kemerdekaan pula, khususnya pada zaman sebelum darurat (1945-1948) di Temerloh oleh nasionalis kiri atau radikal yang kuat dan mendapat dukungan yang menyeluruh daripada penduduk kawasan itu.

Pada waktu itu persatuan orang Melayu negeri-negeri (yang akhirnya menubuhkan Umno) masih meneriakkan “hidup Melayu” dan menentang Malayan Union. Penduduk Temerloh telahpu melaungkan kalimah “merdeka” melalui Kesatuan Melayu Muda yang diasas dan dipimpin oleh dua orang anak watan Temerloh iaitu Ibrahim Yaacob dan Ishak Mohamad.

Di Temerloh juga begitu subur dengan perjuangan merdeka melalui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh Kamarulzaman Teh, Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Se-Malaya (BATAS) dan Pembantu Indonesia Merdeka (PIM). Selepas diharamkan mereka menyertai PETA.

Kesemua ahli persatuan-persatuan tersebut pernah bergabung dan berarak di sekeliling bandar Temerloh dengan melalungkan “merdeka! Merdeka!”.

Akhirnya setelah Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada bulan Jun 1948, orang Melayu di Temerloh dan pejuang-pejuang dari luar secara beramai-ramai telah menyertai perjuangan bersenjata iaitu Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (TPRM).

Namun begitu Temerloh hari ini hanya dikenali sebagai ‘Titik tengah Semenanjung’ saja manakala pihak berkuasa pula hanya meletakkan ‘Temerloh bandar ikan patin’. Sementara khazanah sejarah dan keistimewaan perjuangan penduduknya tidak ditonjolkan langsung.

Oleh yang demikian, usaha PAS Pusat memulakan pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2014 ini diharap dapat menggali dan mencanai kembali khazanah sejarah yang sengaja dipendamkan.



Sunday, August 3, 2014

Isu MB Selangor: Pendirian PAS Pahang berdiri teguh di belakang Presiden

TEMERLOH: PAS Pahang mengambil pendirian berdiri teguh bersama Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan menyokong penuh kenyataan beliau berhubung isu usaha menukar Menteri Besar Selangor sedia ada dengan calon lain.

Serentak dengan itu, PAS Pahang mahu supaya Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang akan bermesyuarat pada 10 Ogos 2014 ini, mengambil pendirian padu dalam menyatakan sokongan dan berdiri teguh bersama Presiden.

Dalam sidang media di pejabat perhubungan PAS di sini yang diketuai Timbalan Pesuruhjaya Md Jusoh Darus, beliau berkata sebagai sebuah bahtera kita mesti menuruti arahan dan kehendak nahkhoda agar perjalanan parti akan sampai ke destinasi sebagaimana amanat daripada Mursyidul Am.

“Kami percaya YB Presiden dan AJK Pusat akan memastikan keputusan yang diambil nanti bukan sahaja untuk menyelesaikan isu berbangkit malah juga untuk terus mengukuhkan Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Abdul Hadi sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim didapati tidak melakukan sebarang pecah amanah atau khianat kepada rakyat sehingga perlu ditukar di tengah-tengah khidmat cemerlangnya memacu Selangor maju, sebagaimana dikehendaki oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan Abdul Hadi itu disokong oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mempertegaskan bahawa Abdul Hadi adalah nakhoda kepada PAS.

Dalam sidang media yang sama Md Jusoh berkata PAS Pahang menggesa supaya pemimpin dan ahli-ahli PAS berserta penyokong PR di semua peringkat supaya bersabar dan memberi peluang kepada kepimpinan PAS untuk membuat keputusan yang terbaik demi keutuhan perjuangan PR.

Turut hadir Bendahari PAS Pahang Musaniff Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri Hasenan Haron dan AJK Perhubungan Abdul Majid Hasan, Yohanis Ahmad dan Abdul Rahman Malik.

Ditanya mengenai perdebatan hebat di media berhubung kebocoran satu perbincangan melalui aplikasi whatsapp, Md Jusoh berkata mungkin ada pembocor di kalangan orang dalam tetapi dengan teknologi maklumat sekarang kenyataan tersebut mungkin ‘dihijack’ (ceroboh) oleh musuh.

“Bagaimanapun jika benar-benar ada orang dalam yang sengaja membocorkan maklumat rahsia, PAS Pahang minta disiasat dan diambil tindakan,” tegasnya.

CAPTION
Md Jusoh (tiga, kiri) bersama AJK Perhubungan menyatakan sokongan kepada YB Presiden.