Tuesday, August 23, 2016

Hutan Rizab Kemasul gondol: Persoalan kepada kerajaan

KERAJAAN MESTI KEMUKAKAN PENJELASAN KENAPA HUTAN RIZAB SELUAS LEBIH 13K EKAR DI KEMASUL DIGONDOLKAN

Jawatankuasa Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Negeri YB Ustaz Rosli Abdul Jabar bersama kepimpinan PAS Kawasan Bentong telah menerjah sebuah kawasan Tanah Rizab Kemasul yang dahulunya adalah hutan rimba menghijau tetapi kini menjadi GONDOL umpama padang jarak padang tekukur.

Kawasan tersebut yang dipercayai seluas lebih daripada 13 ribu ekar didakwa oleh penduduk tempatan telah dikeluarkan hasil balak sejak beberapa tahun dahulu dan kemudiannya digondolkan dipercayai untuk tujuan pertanian skala besar. Penduduk kampung juga mendakwa tanah tersebut kini diberikan hak pembangunan pertanian kepada tiga tauke Cina daripada Pahang dan Johor.

Terjahan semalam mendapati seluar kira-kira 500 ekar telah dibersihkan sepenuhnya dan dibina teres serta ditanam anak durian penanti yang kemudiannya akan dicantumkan dengan benih durian musang king. Terdapat dua bangunan pekerja dan stor telah didirikan di kawasan tersebut yang telah dipugar dengan pagar elektrik.

Sementara baki tanah berkenaan kini tinggal terbiar tanpa produktiviti. Kawasan ini merupakan sebahagian daripada kawasan tadahan untuk lembangan Sungai Pertang dan kini aliran sungai tersebut terjejas teruk dengan kemerosotan kuantiti air dan ditambah buruk dengan mendapan pasir dan tanah susulan hakisan.

Pembukaan hutan ini yang kedudukannya terlindung daripada jalan raya utama FELDA Kemasul - Karak, bukan sahaja menejejaskan sumber air malah merupakan MALAPETAKA dan TRAGEDI kepada sistem ekologi yang memusnahkan sepenuhnya SANTUARI hidupan liar sekali gus ANCAMAN BESAR kepada alam sekitar. Tidak hairanlah sebahagian besar binatang liar kini menerjah kawasan kampung dan penempatan peneroka FELDA untuk survival kehidupan mereka. TERNYATA bahana tragedi ini ditanggung oleh rakyat sementara kapitalis dan pemimpin yang korup bersenang lenang dengan kemewahan yang diperoleh hasil pemerkosaan khazanah hutan negara.

Sangat menghairankan apabila generasi muda kampung dan FELDA membuat permohonan untuk meneroka dan membangunkan tanah maka permohonan mereka ditolak dengan pelbagai alasan. Kawasan bersebelahan hutan tersebut terletaknya FELDA Plantation Mengkarak 1 dan 2 yang ketika awal pembukaannya dahulu telah siap dirancang untuk penempatan peneroka dan sebtang jalan bertar telah siap dibina menghubungkan FELDA Chemomoi ke kawasan ladang Mengkarak yang dimiliki individu dan orang kampung. Dipercayai jika FELDA Mengkarak ditempatkan peneroka maka jalan tersebut akan disiapkan sepenuhnya secara rasmi menghubungkan Chemomoi dengan pekan Mengkarak. Namun FELDA Mengkarak yang sepatutnya ditempatkan dengan peneroka diubah menjadi FELDA Plantation sekali gus menutup peluang rakyat memperoleh pekerjaan dan pemilikan rumah serta ladang.

PAS Pahang menuntut PENJELASAN TUNTAS daripada pihak kerajaan:

1. Bagaimana hutan santuari tersebut boleh dijarah sewenang-wenangnya dan dibiarkan GONDOL umpama dilanda kancah perang.
2. Sejauhmana hasil daripada pembalakan di hutan tersebut memberikan manfaat kepada dana kerajaan negeri dan penduduk setempat.
3. Apakah status pemilikan terkini tanah tersebut dan cadangan pembangunannya untuk jangka pendek dan jangka panjang.
4. Jika ternyata pembukaan hutan tersebut adalah PENCEROBOHAN maka pihak kerajaan perlu serta merta mengambil tindakan tegas memberkas dan menghukum pihak terbabit SEMENTALAHAN KAWASAN HUTAN INI TERLETAK DI DALAM KAWASAN DUN YANG DIWAKILI OLEH MENTERI BESAR PAHANG.

PAS Pahang juga menuntut supaya:

1. Kajian alam sekitar(EIA) dilakukan segera di kawasan berkenaan supaya langkah-langkah pemuliharaan SEGERA ke atas alam sekitar dapat dilakukan.

2. Projek penanaman semula hutan dilakukan secara telus yang bukan sahaja untuk mengembalikan sumber hasil mahsul hutan malah mengembalikan SANTUARI RIMBA untuk hidupan liar supaya hidupan tersebut tidak berkonfrontasi dengan kawasan kediaman manusia.

ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI
Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang

Tuesday, August 16, 2016

Adun Beserah mohon MPK tangguh caj letak kereta

KUANTAN: Adun Beserah Andansura Rabu memohon pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) agar menangguhkan rancangan untnk mengenakan caj letak kereta di kawasan Balok dan Gebeng yang dijadualkan bermula September ini.

Ini katanya, kebanyakan pengguna adalah pekerja perkeranian yang berpendapatan rendah.

“Jika caj letak kereta dikenakan, mereka terpaksa membelanjakan lebih dari RM100 setiap bulan daripada gaji mereka.

“Kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat menjadikan rakyat lebih tertekan dengan perbelanjaan yang perlu ditambah,” ujarnya.

Tambahnya, sistem pengangkutan awam tidak mampu menjadi alternatif untuk digunakan bagi mengelakkan daripada menggunakan kenderaan sendiri.

“Tolonglah jangan bebankan lagi rakyat...,” rayunya.


Friday, August 12, 2016

Islam bukan hanya untuk PAS.

Oleh ROSLI ABDUL JABAR

PAS tak kata orang lain tak Islam dengan sebab orang tak sertai PAS atau keluar dari PAS. Islam pun tak kata begitu kepada orang lain selain dari PAS. Siapa sahaja boleh masuk PAS dan sesiapa sahaja boleh masuk parti mana yang dia hendak, bukan syarat benar Syahadah itu mesti masuk PAS dan bukan Syarat batal Syahadah itu bila keluar PAS.

Banyak juga parti diMalaysia termasuk yang baru ditubuhkan oleh Mahathir Mohamad dan Muhyidin Yassin. Dalam Negara yang beramal dengan demokrasi semua orang boleh memilih mana-mana parti yang dikehendaki.

Dasar parti terbentuk oleh ideologi orang atau kumpulan yang menubuhkannya. Orang yang menyertainya pula biasanya adalah orang yang memiliki fikrah atau pemikiran yang secocok atau cenderung dengan ideologi serta dasar parti yang dipilihnya.

Bagi ahli PAS, jika ditanya kenapa menyertai PAS, jawapannya adalah kerana PAS berjuang Islam dan kerana dasarnya. Orang yang cenderung memilih PAS biasanya orang yang cenderung pada agama. Orang yang selalu keMasjid, Surau dan Majlis ilmu inilah yang ramai menjadi amilin PAS, ini realiti.

Ada orang tanya dengan nada marah "ingat Islam ni Allah turun untuk orang PAS sahaja?", pun saya menjawapnya 'tidak', kerana Islam untuk seluruh manusia dibumi, bukan Malaysia sahaja dan sedangkan PAS pula hanya ada diMalaysia tiada diNegara lain, mana mungkin tempat yang tidak ada PAS dikira tidak ada Islam.

Saya tidak menulis soal aqidah tapi soal kecenderungan, realitinya begitu, orang yang cenderung pada agama akan memilih agama dalam seluruh ruang kehidupannya termasuklah dalam soal memilih parti politik, kalau tidak semua, pasti ramainya begitu.

Orang yang bersama PAS suka bercakap soal agama, tak kiralah dia profesional atau apa jua kerjayanya, apatah lagi Ulama atau para Asatizah, tua, muda, lelaki dan perempuan semuanya begitu.Orang berjiwa agama ni tak peduli sangat pasal lain kecuali agama, kalau nak bagi alasan pun biar dengan alasan agama, orang PAS akan tolak alasan yang bukan agama, ini sikap ahli PAS.

Ahli PAS memilih PAS sebab yakin dengan Islam dan mereka pilih perjuangan PAS sebab prinsip perjuangan PAS yang tidak pernah tergadai dari perjuangan untuk tinggikan syariat Islam. Ahli PAS yakin Islam yang diturunkan oleh Allah adalah sebaik-baik sistem untuk manusia.

Islam ni untuk semua, siapa sahaja dapat pahala bila taat kepada Allah dan sesiapa sahaja berdosa bila melanggar perintahnya, baik yang berparti atau tidak berparti. Dosa, pahala, salah dan benar bukan kita tentukan, tapi Allah swt, dan Allah swt dah bagi batasan dosa dan pahala itu, semuanya dah terkandung didalam Al Qur'an dan Hadis RasulNya.

Kalau tak nak salah ikutlah Al Qur'an dan Hadis, itu yang semua kita faham dan kita sepakati. Bukannya dosa pahala tu macam cabutan nombor bertuah yang kita tak tahu keputusannya, semuanya dah tercatat didalam Al Qur'an dan Hadis. Nak selamat Ikutlah perintah Allah swt dan Rasulullah saw, bukan ikut nafsu semata.

Sebab itu kalau tanya ahli PAS mengapa masuk PAS?, jawapannya kerana dasar PAS adalah Al Qur'an, Hadis, Ijma dan Qias. Orang tak suka, itu terpulang pada orang, kalau cadangan hukum Allah yang PAS bawa untuk dilaksanakan ditentang, PAS tak kisah, yang PAS kisah ialah kalau nanti disoal kenapa tidak berusaha untuk supaya ia terlaksana.

Terpulang ... kewajipan Islam bukan untuk PAS sahaja malahan untuk semua.
URAJ



Thursday, August 11, 2016

Darul Fikri perlu RM200 ribu siap bangunan

KUANTAN: Maahad Tahfiz Darul Fikri yang kini dalam proses pembinaan memerlukan sumbangan dana RM200,000 bagi membolehkan sekolah itu siap sepenuhnya.

Pengerusi jamaah tadbirnya, Rosli Abdul Jabbar berkata, pihaknya memerlukan dana itu bagi menyiapkan pembinaan bilik darjah, pejabat, kantin dan dua rumah guru.

Menurutnya, kini pihaknya berusaha mengumpulkan dana supaya pembinaan maahad itu dapat diteruskan.

“Pembinaan maahad ini dimulakan sejak Februari lalu dan kini hampir 70 peratus siap.

“Jadi kami mengharapkan orang ramai menyalurkan dana kepada kami bagi membolehkan satu pusat pengajian agama dapat diwujudkan di daerah ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Maahad Tahfiz itu di Kampung Seri Damai di sini, semalam.

Beliau berkata, selain sumbangan kewangan, pihaknya juga mengalu-alukan bantuan berbentuk peralatan dan bahan binaan bagi menyiapkan bangunan maahad itu.

Rosli berkata, bangunan sekolah yang dibina di atas tanah seluas 0.8 hektar itu dijangka dapat menampung lebih 80 pelajar.

“Jika ada individu atau agensi yang mahu hulurkan bantuan peralatan dan bahan binaan, harapnya mereka menghubungi kita terlebih dulu untuk mengetahui bentuk barangan diperlukan berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

Menurutnya, beliau berhasrat melahirkan lebih ramai pelajar berpengetahuan tinggi dalam ilmu agama mendorongnya sedaya upaya membina serta menyiapkan bangunan maahad itu.

Beliau berkata, pembinaan maahad itu perlu bagi menampung jumlah pelajar sekolah agama yang semakin meningkat.

“Setiap tahun, kita menerima pertambahan bilangan pelajar untuk masuk ke aliran agama ini jadi bagi menampung keperluan semasa, maahad ini perlu diperbesarkan,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi nombor akaun Maybank 556226411401 dan Bank Mualamat, 06010034885721 atas nama Maahad Tahfiz Darul Fikri.



]