Thursday, June 30, 2011

Utusan hina Islam ke Majlis Raja-Raja

MEMORANDUM MEMBANTAH PENYIARAN KARIKATUR MENGHINA ISLAM OLEH AKHBAR UTUSAN MALAYSIA

KEPADA
SOHIBUS SAMAHAH
YH DATO` HAJI ABD RAHMAN BIN HAJI OSMAN.
DSAP.DIMP.SMP.AMP.PKC

MUFTI KERAJAAN NEGERI PAHANG


OLEH
PAS NEGERI PAHANG
26 REJAB 1432 / 28 JUN 2011


Assalamualaikum w.r.t
Mukadimah
Merujuk kepada pelbagai isu yang mencemar kesucian agama Islam yang sering dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Terbaru, membabitkan penyiaran karikatur berbau penghinaan Islam oleh akhbar Utusan Malaysia pada 15 Jun 2011.
Oleh sebab kesan daripada penyiaran tersebut telah menimbulkan kegelisahan yang amat mendalam kepada umat Islam khususnya dan masyarakat keseluruhannya maka sesuatu tindakan yang wajar dan berkesan perlu diambil oleh pihak berwajib.
Ybg Datuk,
Sama ada penyiaran lakaran karikatur itu disengajakan atau tidak disengajakan atau sama ada mereka sedar ianya suatu penghinaan terhadap Islam atau pun mereka tidak menyedarinya, namun penyiaran karikatur tersebut telah menyebabkan berlaku kekecewaan, kegelisahan dan ketidaktenteraman masyarakat keseluruhan dan khasnya kepada umat Islam.
Akhbar Utusan Malaysia adalah akhbar antara yang tertua di negara ini dari segi penerbitannya. Penyebarannya begitu meluas. Namun akhir-akhir ini mereka menunjukkan sikap yang tidak bertanggung-jawab terhadap penyiarannya apabila menerbitkan banyak artikel sensitif membabitkan isu agama dan moral.
Penyiaran lakaran karikatur serta minat yang mendalam dengan menjaja bahan berunsur porno (kelucahan melampau) seperti isu video seks, memuatkan berita-berita yang boleh mendatangkan ketegangan kaum secara melampau telah merosakkan usaha memelihara kesucian agama Islam, pembinaan akhlak umat serta perpaduan kaum di negara ini.
Ybg Datuk,
Dalam penyiaran lakaran karikatur tersebut, akhbar Utusan Malaysia telah membuat perbandingan salah mengenai kaedah perlaksanaan hukuman jenayah rogol.
Gambar pertama dipaparkan dengan merujuk kepada dialog antara pengadu wanita dan tok’ penghulu yang berimejkan seorang alim. Tok Penghulu tersebut telah menolak aduan wanita itu kerana tidak mempunyai empat orang saksi walau pun ia hanya mempunyai rakaman kejadian menggunakan `handphone`.
Sebaliknya, gambar bersebelahan pula merujuk kepada dialog antara pengadu wanita dan seseorang yang digambarkan sebagai anggota polis. Pihak polis menerima rakaman `handphone` untuk bukti aduan rogol tersebut.
Ybg Datuk,
Maksud dalam gambaran yang diberikan oleh karikatur tersebut adalah jelas bertentangan dengan perjalanan hukum syariah yang sebenar. Keadaan ini jika dibiarkan akan menimbulkan berbagai-bagai persepsi buruk masyarakat terhadap Islam.
Lebih membimbangkan lagi apabila ada di kalangan umat Islam terpengaruh dengan gambaran yang diberikan sehingga boleh merosakkan aqidah umat Islam itu sendiri yang sepatutnya dipelihara oleh semua pihak.
Ybg Datuk,
PAS Negeri Pahang menaruh harapan yang amat tinggi dan begitu berbesar hati agar pihak Datuk dan pihak berkuasa ugama dapat memanjangkan isu ini ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu untuk dipertimbangkan. PAS Negeri Pahang juga berharap semoga tindakan yang berkesan dapat diambil bagi memelihara kesucian agama Islam dan kesejahteraan hidup rakyat.
Kami juga suka menyarankan supaya pihak berkuasa agama dapat menyediakan garis panduan syariah bagi mengawal dan mengawasi bahan-bahan penyiaran pelbagai media di negara ini.
Justeru itu saya bersama Ahli Jawatankuasa PAS Negeri Pahang mengajukan memorandum ini untuk dipertimbangkan. Bersama ini juga kami lampirkan keratan akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan lakaran karikatur sebagaimana yang dimaksudkan.
Bagi pihak PAS Negeri Pahang, sekali lagi kami mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah serta penghargaan yang tinggi kepada Datuk atas kesudian menerima memorandum yang kami sediakan ini. Ia bertujuan untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan umat Islam keseluruhannya.

Sekian, terima kasih.


-----------------------------------------------
(Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man)
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.

Al-Fatihah, ibu Bendahari PAS Pahang meninggal

Ibu Musaniff Abdul Rahman, Kalsom binti Mohd Tahar, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bandar Jengka kira-kira jam 11 pagi tadi.

Kami berdoa agar arwah ditempatkan di kalangan orang yang soleh.

Solat Hajat seluruh negara mohon keselamatan

“Kenapa tidak diadakan Solat Hajat dan bermunajat kepada Tuhan secara besar-besaran di seluruh negara semoga dilembutkan hati polis?,” soal seorang Ustaz yang berkelulusan dari Mesir mengenai situasi tegang sehari dua ini berikutan amaran polis untuk mematahkan habis-habisan perhimpunan sejuta rakyat Bersih 2.0 Julai ini.

Ustaz tersebut berhujah demikian setelah katanya, tidak ada langsung peserta himpunan beragama Islam yang cuba mengambalikan urusan besar itu kepada Tuhan sekurang-kurangnya bagi meningkatkan kekuatan psikologikal dan spiritual.

Seperti yang dijelaskan kepada umum, bahawa perhimpunan aman tersebut halal di sisi undang-undang dan perlembagaan. Dakwaan-dakwaan sumbang seperti diresapi komunis, agenda asing dan membawa huru-hara itu datangnya kemudian sebagai tohmahan yang tidak pernah dibuktikan.

Pihak polis, melalui media menjelaskan akan membendung habis-habisan perhimpunan aman itu. Sebagai pasukan yang lengkap dengan persenjataan dan meriam air, sudah tentu tidak ada siapa yang boleh melawan mereka kerana peserta himpunan yang hadir datang dengan tanpa senjata melainkan berbekalkan keazaman mahu melihat negara ini menikmati demokrasi sebenar.

Mereka ke Kuala Lumpur bukan untuk berperang atau menggulingkan kerajaan.

“Ramai orang lupa bahawa polis juga manusia biasa, mereka ada hati dan perasaan. Tapi oleh kerana arahan bertugas oleh pihak yang menguasai mereka, maka sebagai pasukan beruniform mereka terpaksa patuh kepada arahan penguasa mereka.

“Tetapi di sebalik semua itu kita kena sedar dengan kekuatan yang Maha Agung yang mampu mengubah hati-hati manusia. Allah juga mampu menghantar ‘tentera’nya seumpama angin ribut, gelombang laut, halilintar dan sebagainya.

“Maka bagi yang beragama Islam, memohonlah pertolongan kepada Allah dengam Solat dan kemudiannya bersabar,” khutbah Ustaz tadi.

Wednesday, June 29, 2011

Kenapa kaitkan Bersih 2.0 dengan komunis, pengganas, rusuhan kaum?

Pihak Umno-BN kelihatan kian terdesak dengan kemaraan rakyat yang mahu menuntut pembaharuan demokrasi dalam pilihan raya apabila terpaksa menggunakan media dayus perdana melabelkan perhimpunan 9 Julai ini sebagai didalangi komunis, mahu menggulingkan kerajaan, rusuhan kaum 13 Mei dan pelbagai tuduhan lagi.

Kenapa sehingga begitu sekali konco-konco Umno mahu menipu masyarakat kurang bermaklumat?

Walhal pada hakikatnya Bersih 2.0 ialah perhimpunan mahu menghantar memorandum kepada tonggak tertinggi negara iaitu Yang Di Pertuan Agong mahu memohon campur tangan membaiki sistem berpilihan raya yang tidak adil. Ini jelas berlaku dalam semua PRK dan di Sarawak di mana rasuah beli undi berleluasa, agensi kerajaan diperguna Umno, media berat sebelah dan macam-macam lagi.

Penguasa pilihan raya, SPR, malangnya menutup semua pintu perundingan bagi pembaikan sistem pilihan raya. Perhimpunan merupakan saluran terakhir.

Mana-mana pakar perlembagaan, kecuali pengampu Umno, semuanya mengatakan perhimpunan aman adalah dibenarkan di bawah perlembagaan. Tiada percanggahan dengan undang-undang. Kerana itu hak rakyat di sebuah negara merdeka.

Perhimpunannya sama dengan perkumpulan lain seperti perarakan sambutan hari merdeka, maulud nabi, Thaipusam dan sebagainya. Bukannya ada rusuhan, bahkan sebagai pesta demokrasi peserta hadir dengan membawa anak-anak.

Lalu, kenapa terjadi kekecohan pada perhimpunan yang lepas-lepas? Ini tidak lain disebabkan provokasi polis sendiri yang bertindak menghalang, menangkap dan menyemburkan gas pemedih mata kepada peserta himpunan.

Polis sepatutnya mengawal dan memelihara keamanan.

Buktinya banyak. Memang setiap kali perhimpunan aman seperti Bersih yang pertama, PPSMI, ISA tidak ada polis yang tercedera tetapi semuanya rakyat yang berhimpunan aman.

Justeru perhimpunan Bersih 2.0 tiada kena mengena dengan komunis, kerana yang akan hadir ialah semua ahli PAS, PKR, DAP dan pencinta demokrasi. Tiada perusuh perkauman kerana semua bangsa akan hadir, malah tokoh yang paling ‘Melayu’ penyair Dato’ A Samad Said juga memberi komitmen untuk hadir.

Tinggal lagi yang memberi komen negatif hanyalah pihak yang berada di puncak kuasa yang sentiasa merasa bimbang dan gundah gulana menghadapi kemaraan rakyat.


Monday, June 27, 2011

Taktik terbaru Umno melawan ceramah PAS

Jika pada tahun-tahun 1960-an, ceramah PAS di Pahang biasanya diganggu secara terus oleh ‘pemuda tahan lasak’ Umno ketika itu dengan melintangkan batang pokok di tengah jalan, memancetkan tayar orang PAS, mengupah samseng membuat bising, ugut atau sabotaj tuan rumah dan sebagainya.

Namun begitu setelah PAS berkembang pesat, lain pula taktiknya walaupun tujuannya sama. Terbaru, ketika PAS mengadakan ceramah di Jengka 3 baru-baru ini upahan Umno telah mengambil kesempatan menyelitkan video lucah (yang mereka dakwa melibatkan tokoh pembangkang) di wiper kereta-kereta pendengar yang hadir. Bilangannya mungkin ratusan!

Perkara tersebut diberitahu oleh seorang pejuang peneroka, Pak Hashim. Pada malam tersebut penceramah PAS terdiri daripada Mazlan Aliman, Datuk Fauzi Rahman, Tuan Guru Haji Baqi Othman dan Syed Ali Badaruddin.

Sementara di beberapa kawasan tanah rancangan lain upahan Umno mengambil inisiatif memasang poster mengutuk kedatangan Mazlan Aliman, dan di antaranya menyebut: “Felda telah sediakan rumah dan tanah kami generasi kedua”. Begitulah kenyataan baghal lagi dibaghalkan oleh upahan Umno.

Di beberapa tempat seperti Felda Sungai Retang, YB Umno sendiri memberikan wang tajaan sebanyak RM2,000 untuk mengadakan pesta karaoke di lokasi berhampiran dengan tujuan mengganggu ceramah PAS.

Inilah rupa cara tamadun Umno dalam melayan lawan politik mereka dalam sebuah negara demokrasi yang mereka telah kuasai dan perguna semua saluran media dan agensi kerajaan.

Demikianlah masa telah berlalu dan berubah, namun Umno tetap samseng dulu, kini dan...

Mohd Sabu akan ditangkap?

Khabar daripada seorang pimpinan di Kuala Lumpur, polis akan bertindak agresif dan lebih awal dalam usaha menghalang perhimpunan menuntut pembaikan sistem demokrasi BERSIH 2.0, 9 Julai ini daripada menjadi kenyataan. Usaha tersebut termasuklah menahan tokoh tertentu.

Pada ketika ini difahamkan sudah hampir 100 orang ditahan atas pelbagai alasan berkaitan BERSIH 2.0, meskipun Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), sebuah badan yang lebih arif berkaitan undang-undang negara, mengeluarkan kenyataan perhimpunan demokrasi itu mesti dibenarkan!

Maklumat terbaru, Timbalan Presiden PAS Tuan Haji Mohamad Sabu yang juga Pengerusi Mobilisasi kini sedang diintai untuk ditahan atau disoal siasat polis. Polis dikatakan sudah berulang kali pergi ke rumahnya, tetapi beliau dikatakan tidak ada di rumah. Demikian menurut satu sumber.

Mohd Sabu dijadual akan berceramah melancarkan pra-perhimpunan BERSIH bersama YB Tian Chua di Balok, malam esok.

Semalam, program satu perhimpunan di Gombak dikatakan terpaksa dibatal apabila kawasan tapak program dikepung dengan anggota FRU yang lengkap dengan trak polis.

Perhimpunan menuntut pembaikan demokrasi kali ini dijangka mendapat reaksi keras daripada pihak berkuasa, apabila pemimpin negara mulai rasa tergugat sehingga melabelkannya sebagai perhimpunan cuba menggulingkan kepimpinan negara dengan menyamakannya dengan demonstrasi di negara Timur Tengah.

Kabinet baru PAS Pahang

Berikut senarai penuh Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Pahang.

Pesuruhjaya : Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Timbalan Pesuruhjaya 1: Ustaz Yusuf Embong

Timbalan Pesuruhjaya 2: Dr Hamzah Jaafar

Timbalan Pesuruhjaya 3: Nasruddin Hassan Tantawi

Setiausaha Perhubungan: Roslan Zainal

Bendahari: Musaniff Abd Rahman

Ketua Dewan Pemuda: Ustaz Shahril Azman Abdul Halim

Ketua Dewan Ulamak: Ustaz Mokhtar Senik

Ketua Dewan Muslimat: Salamiah Mohd Nor

Pengarah Jabatan Pilihanraya: Abdul Majid Hassan

Ahli Jawatankuasa (dilantik):

Hassanuddin Salim

Syed Hamid Syed Mohamad

Andansura Rabu

Yohanis Ahmad

Alawiyyah Kasdan

Siti Ruhani Abu Bakar

Ramli Awang Abd Rahman

Friday, June 24, 2011

Meramal kabinet baru PAS Pahang



“Beranikah Ustaz Tuan membuat perubahan besar kabinet baru PAS Pahang?”, sekurang-kurangnya itulah persoalan yang kerap dilontarkan oleh sahabat-sahabat rapat apabila bertemu.

Persoalan itu merujuk kepada Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang akan menamakan kabinet barunya bagi negeri Pahang, besok (Sabtu) 25 Jun.

Persoalan begitu ditanyakan, adalah bersandarkan “kelembutan” Ustaz Tuan dalam tindakan dan mengambil sebarang keputusan yang lepas-lepas.

Seperti sepatah kata Ustaz Tuan satu masa dulu: “Perkara yang paling ana lemah ialah membuang orang,” begitu katanya kerana tidak mahu kehilangan sahabat.

Namun begitu Ustaz tetap dihormati. Cuma mungkin oleh kerana beliau menjadi pemimpin sebuah parti politik, maka reaksi daripada orang-orang politik sudah tentulah kadang kalanya kasar jika sebarang keputusan tidak memuaskan hati mereka.

Persoalan “perubahan” yang ditanya oleh sahabat itu adalah merujuk kepada kabinet PAS negeri-negeri lain yang banyak berubah. Kerana ini merupakan kabinet pilihan raya umum ke 13. PAS Pahang antara yang terakhir bermesyuarat menentukan kabinetnya.

Negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Perak sudah membuat perubahan besar barisan kepimpinan negeri masing-masing.

Mesyuarat Perhubungan akan dihadiri oleh Ustaz Tuan bersama 14 Yang Di Pertua PAS kawasan bersama Setiausaha masing-masing. Selain itu Ketua dan Setiausaha Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat juga akan hadir.

Hak prerogatif Ustaz Tuan ialah melantik tiga Pesuruhjaya, Setiausaha Perhubungan, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN), selain ketua-ketua lajnah.

Apa yang cuba dipersoalkan oleh sahabat tadi, mampukah Ustaz Tuan membariskan satu team yang mampu menghadapi pilihan raya nanti. Perubahan kepada team yang mantap amat perlu kerana jika merujuk kepada ucapan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Nik Zawawi Salleh di Lanchang baru-baru ini, Pahang setaraf Terengganu hanya memerlukan 5 % sahaja lonjakan daripada keputusan PRU 2008 untuk Pakatan mengambil alih Wisma Sri Pahang!

Semua itu tidak mustahil berdasarkan kebangkitan peneroka Felda dan penghuni bandar pada masa ini!

Namun begitu apakah team 2009-2011 Ustaz Tuan mampu mara mengaut peningkatan undi 5 %?

Ustaz Tuan pula pada masa ini dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, yang saya anggap lebih penting dan ‘banyak kerja’ daripada Naib Presiden. Beliau bertanggungjawab terhadap perancangan penerangan parti. Institusi Harakah juga terbeban ke atasnya.

Maka siapakah yang boleh membantu beliau di negeri Pahang bagi menggalas harapan ke Wisma Sri Pahang?

Jika perlukan line-up baru, siapakah yang akan diketengahkan bagi membantu Ustaz Tuan? Semua nama-nama berpotensi mulai menjadi sebutan di luar mesyuarat.

Saya tidak mahu meramal. Kelaziman Ustaz Tuan, ialah beliau tidak memutuskan nama tokoh bagi setiap jawatan, akan tetapi dibawanya bermesyuarat dan kadang-kadang terpaksa mengundi.

Pada anggapan saya, Ustaz Tuan mempunyai “kasyaf” tersendiri untuk memilih calon yang sesuai, namun kadang-kadang “tewas” dengan pengundian bermesyuarat. Tidak mengapa, itu syura!

Cuma di akhir tulisan ini saya mengharapkan pasukan pemikir PAS Pahang iatu PPPP mestilah dipulihkan kembali dengan segera. Teraju pemikir PAS Pahang itu tidak boleh dibiarkan mati tetapi mestilah mulai digiatkan membuat kajian demi kajian setiap aspek mulai sekarang.


Thursday, June 23, 2011

Saya pilih JAMBU juarai Maharaja Lawak

Saya tidak pedulikan sangat program Maharaja Lawak di Astro, sehinggalah menyedari anak-anak sangat menggemarinya dan berkumpul di hadapan televisyen awal-awal, setiap jam 10 malam pada setiap Jumaat.

Besok, Jumaat, ialah pertandingan akhir empat peserta (tiga berkumpulan dan satu solo) bagi merebut wang tunai sebanyak RM300,000 bagi peserta yang dinobatkan sebagai paling kelakar di negara ini.

Maharaja Lawak merupakan pertandingan persembahan komedi yang disertai finalis selama lima musim program realiti Raja Lawak yang mula disiarkan sejak 2007.

Ertinya, program ini menghimpunkan pelawak terbaik negara pada masa ini. Negeri Pahang pernah menampilkan “Pak Tam” dari Kuantan atau nama sebenarnya Mohd. Nor Rollah Ismail, 53, iaitu peserta Raja Lawak musim kedua. Sayangnya beliau hanya berjaya sehingga ke minggu ke 9.

Beliau ialah adik kepada bekas aktivis parti buruh yang pernah ditahan ISA pada tahun 1969, Cikgu Dzulkifli Ismail (bekas Adun Sungai Lembing).

Bagi Maharaja Lawak, pada asalnya terdapat 12 peserta yang terpilih di peringkat awal siaran langsung menerusi saluran Astro Warna (132) itu. Hampir setiap minggu ada penyingkiran berdasarkan undian SMS daripada penonton, sehinggalah kini tinggal empat peserta.

Pada jadual asalnya, pertandingan berjalan selama 10 minggu namun setelah mendapat sambutan hangat di seluruh negara, program tersebut telah dilanjutkan kepada 13 minggu.

Pertandingan akhir Maharaja Lawak besok akan menyaksikan penampilan terhebat tiga kumpulan iaitu Jozan, Jambu dan Sepah, manakala peserta solo terdiri daripada Nabil. Jozan terdiri daripada Johan dan Zizan adalah peserta Raja Lawak musim pertama dan hanya menduduki tempat kedua dan ketiga.

Jambu pula dianggotai juara Raja Lawak musim pertama Yus dan Tokey, juga adalah finalis musim itu.

Trio yang menggelarkan diri mereka Sepah dianggotai Jap, Mamat dan Shuib iaitu juara Raja Lawak musim ketiga. Manakala peserta solo, Nabil pula juara musim kedua.

Sebenarnya Jozan, Sepah dan Nabil sudah menempah nama sebagai artis dan sudah ada siri rancangan mereka di televisyen. Maka pastilah mereka mempunyai ramai peminat termasuk untuk mengundi mereka sebagai juara malam esok.

Malah Jozan dan Nabil diramalkan media bakal juarai program tersebut.

Namun kumpulan Jambu masih belum ada show mereka sendiri, jadi mereka terpaksa menunjukkan lawak terhebat untuk meraih undian kerana mereka bukan artis. Meskipun saya belum pernah SMS mengundi mereka, akan tetapi mereka merupakan peserta favourite saya dan saya paling meminati lawak mereka. Seperti kata Mamat Khalid, lawak mereka "internasionale".

Justeru harapan saya, biarlah Jambu menjadi juara malam esok. Bertepatan dengan cita rasa anak-anak!


Kes Mazlan saman Felda ditunda 22 Julai

Perbicaraan saman bernilai RM20 juta oleh Mazlan Aliman terhadap Pengurus Felda Lembah Klau, yang mengarahkan penangkapannya, Awang Sulong (gambar atas), Felda, pegawai polis yang menangkap, Inspektor Mohd Azran Rahmat (gambar bawah) dan Kerajaan Malaysia yang sepatutnya berlangsung dari 21 Jun hingga 23 Jun, ditunda ke tarikh 22 Julai.

Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh menetapkan demikian selepas pihak peguam defendan menghantar satu notis secara tergesa-gesa minta dibicarakan dakwaan “konspirasi” dalam kes berkenaan.

Menurut fakta kes tersebut, pada 9 Mac lalu kira-kira jam 4.15 Mazlan ketika sedang berdialog di rumah peneroka Hamidun Yeop Isa telah dikepung oleh 30 orang polis bantuan Felda dan diugut secara biadab oleh pegawai-pegawai Felda.

Mazlan kemudian telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Namun terdapat satu lagi laporan oleh pengurus rancangan Felda Lembah Klau yang menyebabkan beliau kemudiannya ditahan, direman dan terpaksa merengkok selama dua hari di lokap IPD tersebut.


Beliau kemudian telah direman sehari oleh Mahkamah Magistret Raub sehingga 11 Mac setelah ditahan di Balai Polis Raub pada tengah malam. Mazlan disiasat dibawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM3,000.00.

Beliau bagaimanapun tidak pernah didakwa di mahkamah.


Wednesday, June 22, 2011

Insentif untuk lelaki berpoligami disokong

Hasrat Kerajaan PAS Kelantan untuk memberi insentif khas kepada lelaki berkahwin lebih daripada satu, dengan syarat ia dilakukan secara baik dan mengikut syariat Islam adalah amat baik dan wajar dialu-alukan oleh semua pihak.

Bahkan secara rasionalnya, Kerajaan Pahang juga patut mencontohinya agar wujud galakan dan senario kemurnian dalam ‘mendirikan masjid itu’.

Seperti kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan, Wan Ubaidah Omar, Islam tidak pernah menghalang poligami, malah ia merupakan salah satu cara untuk menyelesaikan masalah masyarakat.

“Poligami yang baik boleh selesaikan masalah ibu tunggal anak ramai, namun ia mesti dilakukan dengan betul, mesti jujur dan berterus terang, contohnya macam (pelakon dan pengacara) Salih Yaakob.

“Apa pun insentif ini masih di peringkat cadangan dan jika dipersetujui, mungkin suami sebagai ketua keluarga akan mendapatnya,” katanya selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim di sini, semalam.

Beliau mengakui jumlah poligami di Kelantan antara tertinggi dengan lebih 1,000 pasangan berdaftar sepanjang 2002. Menurutnya, adalah lebih baik mereka yang berkahwin lebih itu memilih armalah sebagai pasangan hidup kerana di Kelantan sahaja terdapat 25,000 individu yang berumur bawah 60 tahun yang kematian suami atau bercerai.

Perkara tersebut pada asalnya ditimbulkan oleh Adun Pasir Tumbuh, Ahmad Baihaqi Atiqullah semasa seisi perbahasan sidang DUN kelmarin.

Saya fikir poligami sememangnya boleh menyelesaikan banyak masalah masyarakat antaranya gejala bersekedudukan, seks rambang, kawin lari, fenomena anak dara tua, gadis tergoda mengikut pasangan warga asing dan sebagainya.

Di Pahang pula, mengikut sebuah berita yang disiarkan baru-baru ini, lelaki terpaksa dengan warga asing untuk dapatkan pasangan kerana nisbah 13:1 iaitu bagi setiap 13 lelaki tempatan terdapat seorang lelaki warga asing di Pahang seperti yang terkandung dalam penemuan awal banci penduduk dan perumahan Malaysia yang terbaru.

"Bilangan warga asing di Pahang ini memberi implikasi daripada segi persaingan lelaki di Pahang untuk mendapatkan pasangan mahupun pekerjaan, sekaligus memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan," kata Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Aminah Abdul Rahman.

Aminah berkata bahawa di Pahang pada masa ini bilangan lelaki dalam umur perkahwinan, iaitu 20 hingga 34 tahun, ialah 198,600 orang berbanding 188,900 wanita.

Bancian yang dijalankan tahun lepas itu juga menunjukkan bahawa kaum lelaki di Pahang melebihi wanita pada nisbah 113:100, satu angka yang melebihi paras nasional pada 105:100.

Berdasarkan bilangan sebenar, terdapat 759,587 orang lelaki dan 683,778 wanita di Pahang.

Menurut Aminah, sekiranya nisbah bilangan jantina tidak seimbang, ia boleh menimbulkan masalah kekurangan bilangan penduduk antara jantina dalam kumpulan umur perkahwinan tertentu untuk dijadikan pasangan hidup.

"Senario ini mungkin berlaku selepas penghijrahan keluar dari negeri Pahang oleh wanita muda dan ini menyebabkan kaum lelaki terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan pasangan dan boleh menyumbang kepada isu kahwin lewat," katanya.

Justeru pihak bekuasa agama di Pahang diharapkan lebih kreatif dan proaktif memikirkan usaha-usaha terbaik.

Namun lebih daripada itu, saya berpendapat jamaah Islam seperti PAS lebih perlu lagi mengikhtiarkan galakan tersebut demi meramaikan lagi penerus perjuangan pada masa hadapan!

Siapa berani usik Brahim Ali?

Ada dua perkara yang menarik apabila membaca kenyataan Presiden kumpulan pendesak Melayu (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali di lobi parlimen semalam.

Pertama, betapa pengecutnya oportunis penghidap sakit jantung itu apabila membuat ‘pusingan u’ menafikan kenyataan beliau sebelum itu ketika berhimpun.

Kedua, Ibrahim selaku pengampun nombor satu Umno merasa terus selesa kerana yakin tidak akan diapa-apakan oleh pihak berkuasa.

Pada himpunan petang Ahad membakar gambar ketua Bersih 2.0 Datuk Ambiga, Ibrahim membayangkan mungkin akan belaku huru-hara dalam negara seperti peristiwa 13 Mei (1969) dulu. Justeru Ibrahim mengugut kaum Cina supaya tinggal dalam rumah.

“Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara... jika himpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina perlu simpan bekalan makanan. Ya, apa sahaja boleh berlaku. Dan saya minta agar polis mengambil apa sahaja tindakan dan gunakan kuasa mereka untuk bertindak,” katanya pada pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

Kenyataan provokasi yang amat perkauman itu membuatkan Ahli Parlimen Pasir Mas yang gemuk pendek itu dikecam hebat. Sementara MCA Indera Mahkota dan beberapa pihak lain membuat laporan polis.

Kenyataan rasis dan ugutan itu seolah-olah membayangkan Ibrahim sanggup bercucuran darah demi perjuangan Perkasa.

Namun kenyataan media Ibrahim di lobi parlimen semalam sudah berbelit-belit apabila mengatakan himpunan Bersih 2.0 adalah antara Melayu dengan Melayu. Jadi bagi mengelakkan bangsa lain terheret, beliau kata lebih baik bagi orang Cina duduk di rumah.

Beliau, malah mendakwa dan menyalahkan media yang kononnya tersalah petik kenyataannya.

Langkah beliau mula kelihatan goyah terundur, pada waktu belum pun lagi Bersih 2.0 bermula.

Sementara itu banyak pihak juga melihat Ibrahim begitu selesa meniupkan api perkauman selama ini kerana yakin bahawa dengan posisinya sebagai pendokong Umno secara pihak ketiga, beliau tidak akan diapa-apakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz pernah mengesahkan demikian.

Ibrahim, sama juga dengan Utusan, dilindungi Umno sebagai pihak berkuasa daripada sebarang ‘sentuhan’. ‘Lesen besar’ inilah yang digunakannya untuk mengherdik dan menyalak sesiapa saja, bagi pihak Umno!

Maknanya, Ibrahim dengan kedudukan ‘istimewa’ itu tidak akan dikenakan apa-apa tindakan walaupun di bawah Akta Hasutan. Pun begitu, Brahim tiba-tiba boleh menjadi pengecut apabila banyak pihak menuding ke arahnya.


Monday, June 20, 2011

Sokongan kepada Mazlan Aliman di mahkamah Temerloh esok

Besok, 21 Jun, ialah hari pertama perbicaraan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman saman Felda RM2 juta, bermula jam 8.30 pagi di Mahkamah Tinggi Temerloh. Perbicaraan berlangsung selama tiga hari sehingga 23 Jun.

Saman tersebut berikutan tangkapan (berniat jahat) yang dibuat terhadap Mazlan di Felda Lembah Klau tahun lalu. Peguam Mazlan ialah Wan Rohimi Wan Daud.

Dijemput hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada AJK PAS Pusat itu.


Ceramah pilihan terdekat

20 Jun (Isnin, 9 malam)Ceramah Dato'Tuan Ibrahim
Rumah Pakde Musa, Kg Paya Keladan Temerloh

20 Jun Bersama Bob Lokman
1. 5 ptg: Hi-Tea dan ramah Mesra, warung Pak Abu Felda Bukit Sagu 2, Kuantan.
2. 7.30 malam: Tazkirah di Masjid Kg Panching, Jln Sg. Lembing
3. 9 malam: Ceramah Umum
• Bob Lokman
• Suhaimi Saad
• Sulaiman Md Derus
Felda Bukit Goh

21 Jun Ceramah sempena pelancaran borang Felda Pln.
• Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man
• Mazlan Aliman
• Ust Shahril Azman
(Selasa – 9 malam)
Felda Jengka 20

22 Jun Ceramah sempena pelancaran borang Felda Pln.
• Mazlan Aliman
• Dr Hamzah Jaafar
• Syed Ali Badaruddin
(Rabu – 9 malam)
Felda Sungai Retang, Jerantut

23 Jun Ceramah sempena pelancaran borang Felda Pln.
• Mazlan Aliman
• Dato’ Fauzi Rahman
• Syed Ali Badaruddin
• Hj Baqi Othman
(Khamis – 9 malam)
Felda Jengka 3, Maran

26 Jun: Ceramah sempena pelancaran pembinaan fasa 2 Darul Amin
• Dato' Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang
• Normala Sudirman (Cikgu Mala)
(Ahad - 9 malam)
Darul Amin, Sungai Gau, Temerloh

Sunday, June 19, 2011

Sekitar lawatan Datuk Seri Nizar

Perasmian Dewan Himpunan Kelab Penyokong PAS Temerloh. Berada di sebelah ialah Bala Subramaniam di Chempaka









Motivasi Jentera Pilihan Raya PAS Temerloh di Chempaka







Merasmikan Bilik Gerakan UPU Kampung Batu, di Batu 1 Jalan Mentakab







Bergambar ramai dengan pimpinan PAS, Hj Jusoh di markas Kampung Batu

“Pak Uda” Pi Mai Tang Tu meninggal dunia

Bapa kepada artis penyokong PAS, Opi Zami, meninggal dunia pagi ini.

Menurut kenyataan mStar Online, pelawak veteran, Zami Ismail,67, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini, kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad akibat kegagalan jantung setelah dimasukkan ke situ sejak dua minggu lalu.

Allahyarham yang popular dengan drama “Pi Mai Pi Pai Tang Tu” pada tahun 1980-an turut berlakon hampir 20 buah filem termasuklah dua filem yang belum ditayangkan iaitu “Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit” dan “Shh… Dia Datang”.

Dia juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik, Festival Filem Malaysia ke 9 (FFM9) pada tahun 1991 menerusi filem "Mak Som".

Terbaru, beliau juga membintangi filem terkenal “Hantu Mak Limah Balik Rumah” arahan Mamat Khalid.

Jenazah Allahyarham dijadual akan dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Tapah, Perak.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim,58, dan sembilan orang anak.


Friday, June 17, 2011

Mengintai peluang PR di Pahang dalam PRU 13

Seorang sahabat dalam facebook KELAB 500,000 PENYOKONG PAS PAHANG, Fakhrul Anuar Zulkawi, mengutarakan beberapa pandangan menarik yang wajar kita renungi bagi menghadapi PRU ke 13 nanti.

Melihat kepada fakta angka, mungkin agak sukar meneka apakah Pakatan Rakyat mampu mara ke Wisma Sri Pahang. Namun jika diambil kira terdapat terdapat 21 kerusi Dun yang ada tanah rancangan Felda, peluang nampaknya tidak mustahil. Ini jika dilihat berdasarkan perkembangan baru kesedaran politik para peneroka. Beliau tidak menyentuh tentang undi peneroka. Namun jika diandaikan hanya 5 % sahaja swing undi peneroka daripada PRU 2008, sesuatu kejutan boleh berlaku di negeri ini!

Apatah lagi, kajian badan bebas menunjukkan sokongan kepada PR di kawasan bandar dan pinggir bandar ketika ini melonjak sehingga melampaui 80%.

Di bawah ini saya perturunkan semuanya pandangan Fakhrul Anuar, hatta tanpa mengubah ejaan dan ayat-ayatnya.


Salam. Melihat kpd mood wall ini, semuanya mahukan PAS Pahang bersama Pakatan Rakyat utk memerintah negeri ini selepas PRU-13. Namun elok juga kita melihat sebentar kpd realiti yg bakal dihadapi.

Sehingga kini, pembangkang menguasai 5 kerusi drpd 42 kerusi (BN 37 kerusi). Utk melayakkan PR menerajui Pahang secara kemenangan majoriti mudah (simple majoriti), PR perlukan sekurang2nya 22 kerusi. Utk tujuan itu, PR mesti mempertahankan 5 kerusi yg telah dimenangi semasa PRU-12 (2 PAS, 2 DAP & 1 Bebas) iaitu di N12 Beserah (maj 1541), N32 Kuala Semantan (maj 932), N7 Tras (maj 2451), N38 Triang (maj 2469) dan N1 Tanah Rata (maj 575-Bebas). Masih berbaki 17 kerusi lagi.

Di mana peluang utk menang boleh diperolehi secara analisa kalkulatif sebegini? Pertamanya ianya boleh difokuskan kpd 7 kerusi yg dimenangi BN dgn majoriti kurang dr 1000 undi iaitu di 3 DUN majoriti pengundi Melayu iaitu N16 Inderapura (maj 873), N15 Tg Lumpur (maj 496), N29 Jengka (maj 596) dan di 4 DUN pengundi majoriti atau signifikan bkn Melayu di N14 Teruntum (maj 293), N10 Damak (maj 509), N34 Ketari (maj 882) & N35 Sabai (maj 145-India).

Seterusnya fokus perlu diberikan kpd 8 kerusi maj antara 1000-1500 terdpt di 5 kwsn maj Melayu (lebih 70%) iaitu N24 Luit (maj 1068), N3 Pdg Tengku (maj 1188), N9 Tahan (maj 1357), N19 Panching (maj 1441), N27 Jenderak (maj 1374) dan di 3 lagi kwsn pengundi bercampur iaitu di N33 Bilut (maj 1108), N4 Cheka (maj 1280), N5 Benta (maj 1358).

Ini bermakna masih short 2 kerusi utk majoriti mudah. Dimana lagi peluang utk menang? Wajar utk dimantapkan jentera di N28 Kerdau (maj 1615), N37 Guai (maj 1941) dan 2 kwns pengundi bercampur iaitu di N13 Semambu (maj 2136) & N30 Mentakab (maj 2439).

PAS mesti berupaya utk mendapatkan sokongan Melayu dan pengundi atas pagar perlu beralih dr menyokong UMNO secara signifikan peratusannya.

Berdasarkan parti, utk menang simple maj, 22 kerusi tersebut bakal diwakili PAS 9 kerusi, DAP 8 kerusi dan PKR 5 kerusi. Banyak faktor jg perlu diambilkira termasuk faktor calon yg berkredibiliti utk diketengahkan. Dan PAS perlu melipatgandakan usaha n memperkemaskan jentera utk memenangi hati pengundi Melayu. Usaha dakwah n tarbiah juga mesti menjadi asas utama. Kemungkinan kerajaan campuran spt yg pernah berlaku di Perak juga tidak boleh ditolak.



711 peneroka Jengka saman Felda RM344 juta

Felda hari ini menghadapi satu saman lagi daripada 711 peneroka dari 16 tanah rancangan Felda seluruh Jengka kerana didakwa menipu dan pecah amanah dalam urusan kadar perahan gred (KPG) jualan hasil sawit.

Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui peguam Ms Daim & Gamany pagi ini, berjumlah RM344 bagi menampung jumlah kerugian selama 15 tahun (sejak 1995).

Beberapa peguam bagi pihak peneroka hadir iaitu Sivarasa Rasiah, Lateefa Koya, Suhaimai Said dan Ahmad Nizam Hamid.

Turut memberi sokongan ialah bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad, Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Abdul Halim dan kira-kira 200 peneroka.

Bagi penipuan KPG, peneroka mendakwa hanya dibayar pada purata 18.5 % sedangkan bacaan kepada contoh hasil buah kelapa sawit yang dihantar kepada tiga makmal bebas menunjukkan kadarnya ialah 31.5 % dan setelah diselaraskan peneroka percaya purata KPG tidak kurang daripada 27 %. Ini bermakna terdapat perbezaan purata 8.5 % yang digunakan oleh defendan kedua.

Jadi dengan menggunakan angka kekurangan 8.5 peratus itu, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM257.60 setan, iaitu kira-kira RM30, 912 setahun.

Selain daripada itu peneroka mendakwa kilang Felda juga telah memotong buah sawit yang dianggap ‘buah busuk’ dengan kadar 200 kilogram sebulan tetapi tidak dikembalikan kepada mereka.

Dakwa mereka, ini membawa kerugian kepada mereka dengan kadar RM560 x 2.4 atau RM1,344 setahun bagi setiap peneroka atau RM14,333,760 bagi semua peneroka dalam tempoh 15 tahun.

Ini bermakna dalam tempoh yang sama (15 tahun), bagi kedua-dua penipuan, Felda telah menyebabkan kerugian kepada 711 peneroka-peneroka ini sebanyak lebih RM344 juta.


GAMBAR: Peguam Sivarasa bersama Nizar, dikelilingi peguam dan sebahagian peneroka di hadapan Mahkamah Temerloh.


Thursday, June 16, 2011

Utusan The Satanic Versus, Taslima Nasrin


Baru minggu lalu lidah rasmi Umno, Utusan, beriya-iya mencadangkan penubuhan sayap ulamak Umno (walaupun sudah ada biro agama) kononnya bagi menampung ‘penguduran beramai-ramai ulamak PAS’ kerana mereka kononnya sudah tidak mendapat tempat dalam parti itu.

Betapa hipokritnya Utusan!

Sesekali meninjau, mungkin orang yang tidak tahu sangat tipu muslimat media Umno itu, merasakan Utusan sudah bertaubat, berubah dan mahu keluar daripada imej porno yang sebelum itu meletakkan isu video seks terkehadapan sebagai head-line selama berbulan-bulan.

Ramai yang menjangkakan, bagi yang tidak sedar tipu helah Utusan, akhbar itu benar-benar sudah mula mahu mengangkat martabat agama setelah sekian lama menyiarkan berita-berita fitnah sehingga berlunggun-lunggun menerima saman. Sesekali Utusan mengangkat juga isu perpaduan Melayu yang juga cuba memperlihatkan betapa ‘ikhlas’nya Umno.

Namun, Tuhan memperlihatkan bahawa Utusan selaku lidah rasmi Umno itu tidak pernah insaf dan tidak pernah serik dengan pelbagai onar.

Semalam, Utusan secara jahil dan jahat telah menyiarkan sebuah kartun bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” yang secara terang-terang menghina Islam dan ulamak sehingga dikecam pelbagai pihak termasuk Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Bagi saya kartun tersebut sengaja disiarkan bagi menggambarkan bahawa Islam itu tidak sempurna, menurut akidah mereka!

Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, namun ditolak kerana menurut karikatur itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video.

Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Dialognya berbunyi “Bagus... Alat itu pun boleh jadi bukti!”

Jelas Yang Dipertua PUM Sheikh Abdul Halim, tindakan Utusan Malaysia melepaskan karikatur itu adalah tidak wajar dan boleh menyebabkan perpecahan antara umat Islam.

Bagi saya kartun tersebut bukan sahaja boleh menyebabkan perpecahan tetapi lebih daripada itu. Apa bezanya mesej kartun tersebut dengan buku The Satanic Versus Salman Rushdie? Apa bezanya dengan tulisan penulis Bangladesh yang meragui Islam Taslima Nasrin?

Bagi Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan pula, jelas sekali mesej yang ingin disampaikan oleh rakaman tersebut ialah betapa zalim dan primitifnya Islam yang menggariskan syarat empat orang saksi lelaki yang adil dalam penghakiman kes zina serta liwat dan rogol.

“Perlu diingatkan bahawa, penentuan ini bukan dibuat oleh mana-mana pemimpin pembangkang khususnya PAS seperti yang mungkin ingin disampaikan melalui kartun tersebut, tetapi ia dibuat melalui firman Allah SWT,” katanya.

Tambah beliau, akhbar seperti Utusan Malaysia yang mendakwa membela Islam pula yang menjatuhkan maruah Islam dan memperlekehkan aspek penghakiman dalam kes zina dan rogol dengan menyiarkan lakaran kartun seperti ini.

“Utusan Malaysia juga sewajarnya layak diisytiharkan sebagai akhbar biadab yang paling bangsat di Malaysia di atas penyiaran lakaran kartun ini,” katanya.

Solanya mana menteri agama?

Pada saya, lidah rasmi Umno itu buatlah apa saja sama ada menghina manusia atau menghina Islam atau menghina Allah sekalipun, ia tidak akan diambil apa-apa tindakan. Kerna apa saya kata begitu? Kerana ia hak milik mutlak Umno dan sudah tentu dijamin oleh survivalnya oleh Umno tanpa dapat disentuh oleh sesiapa.

Sebutlah apa saja kebiadaban dan keceluparan Utusan, cubalah bangun semua pihak selain daripada Umno menuntut dikenakan tindakan, semuanya tidak akan berhasil.

Kerana apa? Sudah tentu kerana ianya amat dilindungi oleh Umno. Bahkan di Utusan duduknya jentera gerak saraf, propaganda dan media Umno. Segala berita dan ulasan yang diangkat merupakan agenda yang direncana oleh jentera Umno secara psikologi.

Kenyataan ini didedahkan sendiri oleh bekas pengarang kanan Utusan, Hata Wahari.

Jadi bagi sesiapa yang mahu membaiki Utusan, lupakanlah, selagi belum dapat memisahkan antara Umno dengan Utusan.

Saranan saya ialah, mulai sekarang adakan road-show bagi mendedahkan kejahatan konspirasi Umno-Utusan yang mahu meusnahkan akidah umat Islam!

Tuesday, June 14, 2011

Tanah PBT terlepas kepada Cina: Pemuda PAS wajar lapor SPRM

Dewan Pemuda PAS sewajarnya bertindak proaktif melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah bagi menuntut penyiasatan bagaimana lot tanah milik Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), dalam bandar, boleh terlepas kepada sebuah syarikat milik bukan bumiputera.

Penyiasatan perlu dibuat bagi menyiasat sama ada berlaku penyalahgunaan kuasa atau rasuah berlaku dalam penjualan tanah tersebut.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh Pemuda Umno Temerloh yang bertindak membuat bantahan dan berdemonstrasi bersama peniaga Ahad lalu.

Lot tanah berhampiran bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Temerloh (jalan ke pasar) itu kini sebahagiannya disewa sebuah syarikat milik bumiputera dengan MPT manakala sebahagian lagi dijadikan tapak berniaga 13 peniaga kecil Melayu yang juga disewa dengan MPT.

Menurut sumber Pemuda Umno, penjualan tanah tersebut dikatakan telahpun diluluskan dalam mesyuarat Exco Negeri Pahang.

Katanya, terdapat bukti surat kelulusan telah dikeluarkan bagi membolehkan syarikat milik Cina itu membeli tanah tersebut yang berkeluasan 0.3 hektar dengan nilai antara RM1.6 juta hingga RM1.8 juta.

Difahamkan, tauke Cina itu telah pun membeli sebidang tanah di belakang lot tersebut. Jika dibangunkan, kampung warisan Melayu di tengah bandar Temerloh iaitu Kampung Haji Saleh, akan terlindung terus.

“Jika tanah tersebut dibangunkan dengan bnagunan seperti pasar lama Temerloh dulu, saya percaya tidak akan ada lagi orang Melayu yang mempu membeli bangunan beratus ribu,” kata satu sumber pemuda Umno.

Menurut sumber itu, banyak lagi tanah milik Melayu di bandar Temerloh yang akan tergadai ke tangan bukan bumiputera.

“Kami tidak tuduh sesiapa, hanya mahukan penjualan tanah ini dibatalkan. Ahli Majlis Perbandaran Temerloh yang mewakili Umno sepatutnya mempertahankan tanah ini, jika tidak mereka boleh dituduh bersekongkol dalam isu penjualan tanah ini,” katanya.

Difahamkan, Ketua Umno Bahagian Temerloh Dato' Mohd Sharkar Shamsuddin, yang juga Exco Kerajaan Negeri, sangat marah dengan demonstrasi bantahan Pemuda partinya itu.

GAMBAR:
Tapak milik MPT inilah yang dikatakan telah dijual kepada seorang tauke Cina bernama "Michael".


Monday, June 13, 2011

Asalnya Umno, kembalilah ke Umno

Sebenarnya tidak ada apa yang mengejutkan dengan tindakan bekas ahli Umno melompat ke PKR Datuk Alimuddin Sawal, yang kembali meloncat ke pangkuan Umno minggu lalu.

Cuma yang mengejutkan, mengapa beliau begitu lewat mengisytiharkan lompatan tersebut kerana angin-angin yang mengatakan beliau ingin melompat itu telah tersebar sejak pilihan raya kecil (PRK) Kerdau lagi. Di mana beliau dikatakan akan membuat pengumuman pada waktu itu dengan membawa pengikutnya bagi menggambarkan penolakan terhadap perjuangan Pakatan Rakyat (PR).

Alimuddin, seorang broker tanah berbangsa Kampar, merupakan bekas Ketua Cawangan UMNO Bukit Bendera, Mentakab dan jawatankuasa bahagian Temerloh mulai 1983 hingga 2008 sebelum menyertai PKR.

Ketika lawatan Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Temerloh pada 28 Mei lalu, Alimuddin masih hadir termasuk di majlis minum petang di Kampung Bukit Pak Silap. Tetapi kehadirannya mungkin tidak dilayan sangat kerana kebanyakan pemimpin PKR tempatan sudah mengetahui hasrat beliau untuk menyeberang ke kem Umno.

Kira-kira seminggu selepas itu, Alimuddin mengambil kesempatan mengisytiharkan melompat parti di hadapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar bersaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail, ADUN Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak, Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut, Norhelan Mahmud dan Ketua Puteri, Hartini Abdul Rahman.

Laporan Sinar Harian, Mohamed Nazri berkata, tindakan Alimuddin disifatkan tepat pada masanya berikutan kini PKR dalam kegelapan untuk mencari laluan menuju ke Putrajaya seperti yang diuar-uarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, pemilihan Alimuddin yang keluar parti untuk menyertai UMNO membuktikan terdapat kepincangan jelas dalam PKR yang tidak mampu membawa hala tuju dengan jelas dan baik, melainkan hanya berangan untuk menakluki negara.

Alimuddin mengambil kesempatan bertemu tokoh politik yang hadir dalam mesyuarat bahagian itu, semata-mata untuk mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR cabang Mentakab kerana tidak serasi lagi dengan hala tuju parti itu.

Sunday, June 12, 2011

Ustaz Tuan Ketua Penerangan PAS Pusat

Bekas Naib Presiden Kanan PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, kekal sebagai anggota AJK Harian Pusat apabila mesyuarat memutuskan hari ini beliau dilantik Ketua Penerangan PAS Pusat bagi sesi baru.

Tuan Ibrahim turut dikekalkan sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang.

Pada muktamar yang baru lalu, Tuan Ibrahim gagal menduduki jawatan Timbalan Presiden apabila kekurangan hanya 21 undi kepada Mohamad Sabu yang bekerja keras berkempen.

Sementara Timbalan Mursyidul Am Dato’ Dr Haron Din dan Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat Dato’ Harun Taib berkempen kuat untuk Ustaz Nasharuddin Mohd Isa. Keadaan ini menyebabkan undi ulamak terpecah.

Bagaimanapun Ustaz Tuan menduduki tempat kedua.


Friday, June 10, 2011

Gara-gara dipikat Dato’, isteri bekas polis lari

Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib bekas anggota polis trafik Lans Koperal Zainuddin Mohd Daim, 45, yang lumpuh tidak boleh bergerak sejak Oktober 2006, akibat kecederaan saraf tunjang tulang belakangnya.

Lebih malang lagi, isteri yang selama ini menjaga segala urusannya yang terbaring sepanjang masa, dikatakan lari balik ke rumah ibu bapanya juga di kampung yang sama iaitu di Desa Baru Purun, Temerloh.

Menurut sumber yang dekat dengan keluarga Zainuddin, isterinya ‘lari’ meninggalkan bapa kepada tiga anak itu akibat ‘dipikat’ oleh seseorang berpangkat Dato’ yang menolong keluarganya semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau, tidak lama dulu.

Kini segala urusan Zainuddin dijaga oleh ibunya sendiri Siti Zaleha, 63, dan bapanya Mohd Daim Omar, 71.

Sementara tiga orang anaknya dibawa oleh isterinya yang terletak hanya beberapa meter daripada rumahnya.

Semasa bertandang ke rumah Zainuddin, beliau menceritakan terpaksa mengharung keperitan hidup apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya semasa bertugas sebagai polis pengiring di Kuala Krai, Kelantan, lima tahun lalu.

Menurutnya, kemalangan yang berlaku pada petang 3 semasa dia sedang bertugas mengiring Tengku Mahkota Kelantan yang berangkat ke satu majlis berbuka puasa.

Menceritakan kembali kejadian itu, Zainuddin berkata, semasa menunggang motosikal untuk menyambut ketibaan Tengku Mahkota di sempadan daerah Kuala Krai, tiba di satu selekoh, dia gagal mengawal motosikal lalu tercampak jatuh.

Sejak itu beliau dibawa pulang ke kampungnya dan bersyukur kerana sudahpun membina rumahnya dendiri di kampung.

Zainuddin berkata, semasa PRK Kerdau baru-baru ini, dia bersyukur kerana menerima sumbangan katil daripada pemimpin setempat namun masih mengharapkan kerajaan membantunya mendapatkan bayaran pencen lebih banyak bagi membiayai kos hidupnya yang semakin meningkat.

“Disebabkan bersara awal, saya tidak dapat wang pencen penuh dan tak dapat pencen ilat. Saya juga tidak ada wang perkeso. Saya juga tidak dapat wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kalau dapat bantuan bulanan kepada ibu kerana dia yang menjaga saya selama ini,” katanya.

Pada masa ini rawatan yang diterima Zainuddin hanyalah latihan terapi di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.

Zainuddin turut merayu kepada orang ramai yang simpati dengan nasibnya supaya dapat menghulurkan sumbangan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di akaun 03200-29-87092482-4 atau berhubung dengan ibunya di talian 014-8052329.


Thursday, June 9, 2011

Apabila 10 budak hitam mahu bantah Bersih 2.0....

Saya ketawa besar apabila membaca berita ‘NGO bantah himpunan Bersih’ di halaman P 9 akhbar Sinar Harian hari ini.

Saya tidak tahu dari manakah datangnya ’10 budak hitam’ yang mendakwa mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh petang kelmarin bagi membantah himpunan Bersih anjuran Badan Bertindak Demokrasi itu.

Laporan polis diketuai Syed Kamarudin Syed Mohd Nasir bersama kira-kira 10 pemuda kira-kira jam 3 petang kelmarin mendesak kerajaan khususnya pihak berkuasa supaya menggagalkan perhimpunan itu bagi menghalang perhimpunan berkenaan demi keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan negara.

Demikian lapor akhbar berkenaan.

Yang menyebabkan saya tergelak besar ialah mereka mahu menghalang tuntutan membersihkan pilihan raya itu yang kata mereka akan diadakan pada 19 Jun ini. Tarikh itu tidak betul (itu mungkin berhampiran tarikh Perhimpunan Agung Umno), yang betulnya Perhimpunan Bersih 2.0 ialah pada 9 Julai!

Itulah mahu membantah sangat, tapi tarikh perhimpunan pun tak tahu!

Apalah punya standard penyokong Umno ni!

Antara laporan polis ’10 budak hitam itu’: “Dalam Muktamar PAS baru-baru ini Timbalan Presiden PAS dalam ucapan penggulungannya mengajak semua pemimpin, ahli Pakatan Rakyat (PR) dan rakyat Malaysia supaya truut hadir menyertai demonstrasi berkenaan yang diadakan di Kuala Lumpur.”

Komen saya, dalam ucapan penggulungan atau penangguhan, Tuan Haji Mohamad Sabu tidak menyentuh langsung tentang Himpunan Bersih 2.0, begitu juga presiden. Tetapi ianya dibahaskan dalam usul sebelum itu.

’10 budak hitam’ ini ikuti perbahasan Muktamar PAS pun tidak tetapi hanya dapat maklumat daripada Umno. Jadi buatlah laporan polis yang tak betul fakta!

“Kami mewakili NGO dari Temerloh menggesa kerajaan khususnya pihak berkuasa supaya dapat menghalang usaha dilakukan pihak tertentu itu demi kepentingan dan keselamatan negara.”

Keselamatan negara? Ketika Bersih 2007 dulu berapa nyawa yang melayang? Yang cedera? Kalau mengancam keselamatan, kenapa peserta himpunan membawa sekali anak-anak kecil dan orang tua! Maknanya, ini sah sekadar mendengar maklumat daripada Umno!

“Tindakan yang dilakukan sangat tidak patut dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan sudah tentu jika ia dilakukan akan menimbulkan ketegangan dan keresahan dalam kalangan rakyat jelata,” katanya.

Itulah yang ‘10 budak hitam’ tak faham, sebagai sebuah negara demokrasi, hak an kebebasan berhimpunan dibenarkan dalam perlembagaan. Malah hasrat perhimpunan tersebut ialah bagi menuntut demokrasi tulen. Jika tidak, itu kuku besi namanya. Barangkali itu yang mereka tak tahu!

Sehubungan itu ’10 budak hitam’ yang mendakwa mewakili NGO juga mendesak rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan ajakan golongan terbabit yang menggunakan demonstrasi jalanan sebagai cara untuk meraih kepentingan politik mereka.

Sebenarnya himpunan Bersih 2.0 bukan sekadar demonstrasi jalanan seperti yang difahami. Jika mahu tahu objektifnya, bertemulah dengan mana-mana pimpinan Pakatan Rakyat yang terdekat dan nescaya mereka akan ceritakan bahawa betapa perlunya sistem pilihan raya di negara ini ditransformasi.

Nasihat saya, bukalah mata dan tadahlah telinga serta tenangkan hati dan berbincang dengan rasional. InsyaAllah, boleh faham kenapa pencinta demokrasi mahukan perubahan!

Lagi satu, kalau tak tahu baiklah diam. Sebab bila diam orang tak tahu yang kita tak tahu. Tapi bila berbunyi, sah orang kata kita tak tahu apa-apa pun!


Firdaus dikhuatiri lemas

TEMERLOH, 9 JUN: Seorang bekas pekerja Road Care dikhuatiri lemas di Sungai Pahang apabila tidak muncul setelah mengharuk air berhampiran Esplanade Temerloh kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Mohd Firdaus Hamzah, 28, dari Kampung Padang Kerbau, dekat sini, dikatakan meninggalkan keretanya berjenama Myvy putih berhampiran jeti di Esplanade dan didapati berkunci.

Menurut saksi, Firdaus dikatakan menanggalkan seliparnya sebelum turun ke Sungai Pahang lalu mengharung air hingga ke tengah. Sampai di tengah, beliau dikatakan menjerit meminta tolong dan kemudiannya ghaib dipercayai dibawa arus sungai yang besar pada masa ini.

Tambah saksi, peristiwa berlaku sejurus sebelum azan dari Masjid Abu Bakar Temerloh berhampiran dilaungkan.

Ibu Firdaus pada masa ini dikatakan berada dalam wad di Hospital Temerloh.

Pelbagai teori diperkatakan ramai mengenai kehilangan Firdaus.

Pada ketika berita ini ditulis, pasukan penyelamat sedang berusaha keras mencari Firdaus. Sehingga kini beliau masih belum ditemui.


Wednesday, June 8, 2011

Tak beretika, Ahli Parlimen maki wartawan Sinar Harian

Sebagai seorang berpelajaran, apa lagi pemuka masyarakat, sepatutnya kita tahu adab tata susila dan medan kerjaya masing-masing. Inilah yang boleh menjamin kita dihormati oleh orang lain.

Bagaimanapun, lain pula dengan sikap Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Said, yang tergamak memaki hamun seorang wartawan akhbar Sinar Harian hanya kerana menulis berita yang tidak disenanginya.

Berita yang disiarkan oleh akhbar berkenaan baru-baru ini ialah berkaitan Dewan Pemuda PAS Pahang yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) memohon penyiasatan terhadap penyalahgunaan sekolah oleh Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kuala Krau yang telah mengadakan mesyuarat perwakilannya di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau.

Mail Said yang juga Ketua Bahagian Kuala Krau, juga mengadakan mesyuarat agung di situ.

Sepatutnya, sebagai orang yang berpendidikan, Mail Said tahu bahawa penyalahgunaan premis awam oleh parti politik merupakan satu kesalahan. Sebagaimana yang sepatutnya difahami, premis awam mengikut peraturan, tidak boleh digunakan oleh mana-mana parti politik termasuk Umno.

Jika Umno boleh gunakan sewenang-wenangnya, kenapa PAS tidak boleh? Jika PAS tidak boleh guna kerana melanggar peraturan, apa bezanya dengan Umno?

Menurut sumber, Mail Said menelefon wartawan berkenaan mempersoalkan tindakannya menulis berita berkenaan sambil marah-marah. Lebih menyedihkan lagi, Mail Said yang juga pengerusi PTPTN, sanggup mengungkit-ungkit kononnnya beliau telah menolong wartawan berkenaan daripada blacklist pinjaman semasa belajar di IPT dulu.

Meskipun sikap YB Mail Said itu tidaklah sebesar mana ‘news value’nya, namun demi keadilan kepada rakan wartawan berkenaan, elok didedahkan di sini supaya pengundi-pengundi beliau tahu.

Sebenarnya ada beberapa sebab mengapa tindakan Mail Said yang boleh dianggap tidak wajar memarahi seorang wartawan seperti itu. Pertama, tugas wartawan hanya melapor peristiwa untuk siaran media tempat beliau bertugas. Jadi mengapa wartawan mahu dipersalahkan?

Kedua, barangkali Mail Said lupa bahawa dasar Sinar Harian ialah neutral di mana boleh menyiarkan apa saja berita dan daripada pihak mana sekalipun. Mail Said tak sedar bahawa Sinar Harian bukan bukan media Umno seperti kumpulan Utusan, bukan kumpulan Berita Harian dan Tv 3.

Ketiga, sikap Mail Said itu boleh diterjemahkan sebagai ‘tidak mengenang budi’ dan seperti kacang lupakan kulit kerana selama ini banyak program politik dan sosial beliau disiarkan secara menyeluruh dalam akhbar berkenaan. Paling menonjol ialah ketika kempen semasa PRK Kerdau dulu di mana wartawan berkenaan ketika itu bertungkus lumus menyiarkan ‘çerita baik’ BN sehingga calonnya menang dengan cemerlang.

Lebih menyedihkan lagi, seorang stringer tua syarikat berita menokok tambah lagi dan mengada-adakan cerita memburukkan wartawan berkenaan kononnya beliau tak mengenang budi YB.

Apa-apapun, sebagai sahabat akrab, saya nasihatkan wartawan ‘adik’ saya itu supaya jangan patah semangat. Kerjaya wartawan adalah profesional dan mulia. Pada waktu dulu wartawan amat digeruni oleh ahli politik. Bahkan, wartawan boleh menaik dan menurunkan seseorang! Sehinggalah ada sebahagian wartawan ‘boleh dibeli’oleh ahli politik untuk menulis cerita-cerita mengampu.

Akhirnya, jika kita tidak terhutang budi dengan orang politik, kita tidak sepatutnya takut mahupun mengalah!


Tuesday, June 7, 2011

RPK lebih sesuai dengan parti KITA

Akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan hasrat dan rayuan bloger yang pernah menggemparkan negara dengan isu-isu sensasi seperti pembunuhan Altantuya, Raja Petra Kamarudin (RPK), yang berharap dapat bergandingan dengan PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Tuan punya blog Malaysia-today itu dianggap ‘belot’ kepada perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim kebelakangan ini. Bercakap di atas kapasitinya sebagai Pengerusi Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM), Beliau berkata, barisan kepimpinan baru Pas dilihat dapat menguatkan kerjasama antara Pakatan Rakyat.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan PAS dalam PRU akan datang kerana parti ini dengan maksud untuk memulihkan keadilan dan kesaksamaan untuk semua rakyat Malaysia.

“MCLM dengan ikhlas mengucapkan tahniah kepada PAS sempena berakhirnya Muktamar sekali gus menawarkan harapan besar untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media bersama Presiden MCLM, Haris M Ibrahim.

Oleh kerana terlalu lama ‘lari’ keluar negara kerana ‘diburu’ oleh pihak berkuasa, RPK barangkali terlupa bahawa PAS mempunyai hubungan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Barangkali beliau tidak sedar bahawa adat bersetia kawan, ialah pantang mengkhianati rakan.

RPK yang lari kerana dikatakan mahu ditangkap itu, menyambut baik kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam ucaptamanya sempena Muktamar lalu bahawa masyarakat majmuk adalah sebahagian daripada seruan politik dalam Islam.

“Kami yakin saf kepimpinan baru ini akan membawa PAS mencapai matlamat dianjurkan dalam pesanan Presiden parti, seterusnya memainkan peranan lebih besar dalam memperkukuhkan gabungan Pakatan Rakyat.

“PAS juga mempunyai kewajipan untuk membersihkan politik dari perkara menjijikkan seperti rasuah, politik wang, fitnah, perkauman, penipuan dan segala macam hal yang memalukan,” katanya.

Memang itulah perjuangan PAS selama ini dan dasar tersebut tidak pernah berubah.

Baru-baru ini RPK cuba ‘membersihkan’ Datuk Seri Najib daripada isu Altantuya dengan kenyataan yang disiarkan melalui TV 3. Kenyataan wawancara tersebut dianggap ramai sebagai ‘menikam Anwar dari belakang’.

Oleh kerana RPK pernah menyokong perjuangan PKR dulu, maka adalah dirasakan lebih baik jika beliau berganding dengan parti KITA pimpinan Datuk Zaid Ibrahim.

Kerana dalam KITA terhimpun kebanyakannya lepasan PKR yang masih mencari hala tuju perjuangan.

Monday, June 6, 2011

Tugas pertama selepas muktamar

Semasa ucapan penggulungan semalam, Datuk Seri Tuan Guru Presiden Abdul Hadi antara lain mencabar perwakilan agar memberi tumpuan khusus berkaitan pendaftaran pemilih bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Ahli PAS ada 1 juta, takkan tak boleh menggerak dan mengerahkan 12,000 untuk memberi tumpuan khusus bagi mendaftarkan ahli dan penyokong PAS,” katanya.

Maka dengan andaian PRU akan diadakan dalam tempoh enam bulan lagi, PAS di semua peringkat diarahkan bekerja keras melaksanakan pendaftaran pemilih baru secara besar-besaran.

Jika pihak tertentu sanggup mengeksploitasi jabatan kerajaan bagi membolehkan pendatang luar mendapat mykad supaya boleh mengundi parti mereka, mengapa PAS tidak mengambil semangat yang sama iaitu ‘mahu menang’ tetapi melalui kaedah yang halal dan dibenarkan undang-undang.

Persoalan pendaftaran pemilih itu disentuh Presiden dalam respons beliau kepada penggulungan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebelum itu yang mahukan Pemuda melancarkan pendaftaran pemilih secara besar-besaran.

"Saya menyaran tugas ini dipikul oleh Dewan Pemuda kerana mereka yang perlu didaftar adalah golongan muda. Sejumlah 3.5 juta remaja belum lagi mendaftar sebagai pemilih!" tegas Abdul Halim.

Untuk itu, beliau mengarahkan agar Pemuda Pusat memantau Pemuda Negeri dalam urusan tersebut manakala Pemuda Negeri pula pantau Pemuda kawasan, seterusnya Dun, Unit Peti Undi dan Cawangan.

"Saya yakin jika ia dilakukan dengan sistematik, kita akan berjaya dan jika kerja ini tidak dibuat, kita akan kalah atau kita tidak akan menang. Kalau kita tidak ada cawangan pun, sekurang-kurangnya kita perlu ada jawatankuasa di peringkat Unit Peti Undi (UPU)," kata Abdul Halim lagi.

Saya fikir pendaftaran secara agresif ini perlu dilakukan sepanjang masa mulai sekarang termasuk membuka kaunter pada setiap kali program PAS seperti ceramah umum dan sebagainya dengan meletakkan sasaran dan fokus khusus.


Saturday, June 4, 2011

Perginya sebutir mutiara... Ustaz Ghazali Hasbullah

Oleh ALWI MUDA

Pendakwah terkenal dengan kegigihannya, Ustaz Ghazali Hasbullah meninggal dunia jam 10 malam semalam (2 Jun) di Hospital Selayang akibat sakit tua.

Allahyarham semasa hayatnya bertugas sebagai guru agama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) lebih 20 tahun dan akibat kelantangan beliau menegur ketidak-adilan, beliau pernah ditahan ISA pada 1980an.

Menurut cucu sulungnya, Abdullah Omar, datuknya berusia lebih 70 berasal dari Bagan Datoh, Perak berdakwah sehingga akhir hayatnya kerana dua hari sebelum jatuh sakit, beliau berceramah akhir di Johor.

Allahyarham meninggalkan dua isteri; Puan Asiah Johari, 60an, dan Puan Norhafizah, 40an, anak (13), sulung dalam usia 43 dan bongsu sekitar 20an, cucu (60) dan dan cicit (30).

Semasa hayatnya, beliau dikenali dengan ketegasannya dalam menyampaikan kuliah secara telus tanpa rasa takut. Malah hilang rasa gerunnya kepada sesiapa sahaja kepada Allah menyebabkan beliau pernah ditahan ISA menurut beberapa ustaz.

Usaha beliau menyampaikan kuliah tidak sahaja kepada Lembah Klang malah ke mana sahaja sehingga utara dan selatan bagi membolehkan beliau menyampaikan ilmu Islam dan mencari dana bagi Darul Atiq dalam masa yang sama.

Darul Atiq, sebuah tempat pengajian ilmu disamping pemulihan akhlak serta perlindungan kepada anak yatim dan ibu tunggal diasaskan oleh Arwah semasa muda bersama isteri beliau. Asal hanya didirikan sebuah pondok buluh untuk berteduh dan seterusnya berkembang menjadi pondok menjadi tempat mereka dahagakan ilmu Islam dan praktikalnya.

Sepanjang mengenali beliau, cukup dikenali sebagai orang yang makbul doanya. Mungkin mengenai amalannya antara lain tidak pernah gagal meninggalkan solat malam seminimum 60 rakaat setiap malam yang diamalkan berpuluhan tahun.

Jenazah disolatkan di Perkampungan Islam Darul Atiq yang didirikannya sendiri pada jam 10 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Rasa.

Bagi Kembara Sufi, kehilangannya bermakna hilangnya satu mutiara berharga yang pernah menjadi idola satu ketika dahulu. Almarhum Ustaz Ghazali Hasbullah adalah guru yang mula-mula membawa Kembara Sufi di atas landasan Islam sejak 1980an. Di mana sahaja Allahyarham berceramah di Terengganu, pasti Kembara Sufi sampai dengan basikal tuanya. Masih lagi tersimpan lembaran-lembaran zikir dan doa yang diedarkan oleh allahyarham dalam setiap kuliah beliau. Semoga rohnya bersemadi bersama-sama para solihin, amin...

Al Fatihah untuk guruku tercinta...

Friday, June 3, 2011

Siapa dedahkan mesyuarat PAS Pahang kepada Tulang Besi?

Saya terkejut besar apabila sebuah blog yang satu ketika dulu terkenal mentohmah ‘Presiden PAS mahu bawa masuk Umno’ mendapat maklumat berkaitan perjalanan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang.

Dalam postingnya bertajuk “Dato' Tuan Ibrahim Lebih Diperlukan di Pahang Dari Di Pusat”, Tulang Besi yang berkempen untuk Mohamad Sabu mendedahkan seolah-olah calon Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ditentang oleh Ahli Badan Perhubungan PAS Pahang sendiri untuk bertanding, pada mesyuarat Perhubungan yang baru lepas.

Tulang Besi menulis: “Di dalam mesyuarat tersebut, seorang veteran PAS yang amat dikenali oleh orang2 lama PAS Pahang, mempersoalkan tindakan Tuan Ibrahim menerima pencalonan Timbalan Presiden PAS Pusat tanpa berbincang dengan Perhubungan PAS Pahang.”

Tanpa perlu diperkenalkan, semua orang tahu siapa veteran PAS (terkenal dengan kalimah hampuras) yang baru kalah dalam pertandingan di kawasannya baru-baru ini dan semua orang tahu beliau konsisten menegur Ustaz Tuan sejak dulu-dulu lagi. Di situ kelebihan Ustaz Tuan yang boleh ditegur.

Namun tidak pula disebut bahawa ungkitan daripada orang tua tadi telah diperjelaskan dengan baik dan rasional oleh Ustaz Tuan sehingga diterima dengan baik oleh semua AJK yang hadir.

Sepatutnya Tulang Besi, seorang pengkagum Anwar Ibrahim, tidak sepatutnya menggunakan hujah sedemikian untuk berkempen supaya perwakilan dari Pahang tidak mengundi Ustaz Tuan!

Tulang Besi berkata: “Bukanlah soalan yang diberikan itu bertujuan menyerang Ustaz Tuan Ibrahim. Cumanya, yang merisaukan majoriti ahli Perhubungan PAS Pahang adalah masa sekarang tidak sesuai untuk Pesuruhjaya mereka mengambil kedudukan yang lebih berat tanggungjawabnya seperti Timbalan Presiden.

“Mereka tahu Pahang memerlukan seorang Pesuruhjaya yang sepenuh masa dan tidak boleh dipimpin oleh seorang Pesuruhjaya yang "Part Time".

Sebenarnya Ustaz Tuan tidak turun menerima pencalonan jawatan nombor dua itu secara suka-suka atau gelap mata tanpa perhitungan beban dan amanah yang bakal dipikul. Namun Tulang Besi yang tidak diterima pun di Selangor sendiri, sebenarnya jahil tentang itu. Yang beliau tahu ialah bagaimana untuk memunahkan institusi ulamak.

Lebih jahat, Tulang Besi mahu labelkan Ustaz Tuan sebagai geng "Perpaduang" yang menurutnya berusaha membawa PAS masuk Umno!

Oleh kerana mendapat maklumat daripada orang lain, Tulang Besi yang sejak mula terang-terang mahu memansuhkan kepimpinan ulamak dalam PAS itu ternyata membuat silap apabila mengatakan Naib Presiden kanan PAS itu mula memimpin PAS pada 1999.

Katanya, “Semenjak selepas 1999, Dato Tuan Ibrahim telah memimpin Perhubungan PAS Pahang. Hasil kepimpinan beliau, sebuah pasukan yang mantap telah berjaya ditubuhkan. Ini adalah lantaran Dato' Tuan Ibrahim menumpukan masa dan kederat beliau hanya kepada PAS Pahang.”

Fakta diberikan tidak betul. Lebih baik baca sejarah PAS Pahang dulu sebelum menulis.

“Sekiranya beliau ke Pusat, maka masa yang beliau ada untuk menumpu kepada Pahang sudah tentu BERKURANGAN yang amat sangat. Sedangkan PAhang adalah salah sebuah negeri yang berpotensi untuk menang.”

Sebenarnya hujah itu sudah lama difikirkan oleh orang PAS Pahang sendiri. Sebagai bloger kontroversi di Selangor dan sering meracau-racau mengatakan Presiden PAS nak bawa PAS masuk Umno, beliau sebenarnya jahil mengenai hal Pahang dan orang Pahang sudah semestinya amat bijak sana memilih pemimpin di peringkat Pusat dan negeri.

PAS Pahang yang bekerja secara berpasukan itu, juga tahu bahawa Pahang berpotensi menang dan sudah dikonvensyenkan beberapa kali tanpa perlu diajar oleh orang luar seperti Tulang Besi yang selama ini berusaha keras mengharu-birukan PAS Selangor dan kepimpinan Ulamak.

Orang PAS Pahang juga sudah amat maklum dengan jarak jauh dan luas serta kekuatan musuh tanpa perlu tujuk ajar Tulang Besi.

Akhirnya, perwakilan Pahang tahu untuk memilih siapa pemimpin mereka tanpa mudah dipengaruhi oleh individu luar yang dibenci di negeri sendiri!


Thursday, June 2, 2011

Tidak adil labelkan Ustaz Tuan Geng Terengganu

Saya langsung tidak bersetuju dengan label 'Geng Terengganu' yang diberikan terhadap calon Timbalan Presiden Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, seperti yang tersiar dalam artikel “Ulama bakal singkir Nasha” di laman Malaysiakini semalam.

Kepada saya label tersebut tidak benar langsung dan hanya dimainkan oleh ‘puak tertentu’ dalam PAS sendiri sebelum ini kemudian diambil media tersebut.

Label ‘Geng Terengganu’ sebenarnya sudah sangat diburukkan berikutan dikaitkan dengan kumpulan “kerajaan perpaduang” (UG) yang hampir “memecahkan” dua tuan guru dalam PAS. Lama polemik ini berlegar dalam PAS.

Tidak dinafikan, penulis artikel berkenaan, Jimadie Shah Othman, mungkin mengambil sumber dari dalaman PAS sendiri. Istilah ‘Geng Terengganu’ muncul menjelang pemilihan dua tahun lalu bersama istilah ‘profesional vs. ulamak”. Maka rentetan daripada peristiwa lampau tidak mustahil berombak kembali

‘Geng Terengganu’ kononnya merujuk kepada penguasaan 'strategik' terhadap tindakan politik Presiden PAS Abdul Hadi. Apa yang tidak enak didengar ialah geng ini dikaitkan dengan kumpulan ulamak tetapi direka-rekakan cerita kononnya terhegeh-hegeh mahukan UG. Lebih malang, ada yang menuduh mahu ‘membawa PAS masuk Umno’! Itu mainan kononnya daripada kumpulan profesional.

Isu ini dimainkan banyak kali di kalangan dalaman PAS sendiri dan blog tertentu. Antara yang lantang ialah blogger Tulang Besi dan Aduka Taruna.

Tuduhan tersebut (yang dibawa oleh kalangan dalam PAS sendiri) pada masa itu agak memberi perhatian sehingga Tuan Guru Mursyidul Am PAS sendiri ‘melatah’ dan pernah mahu menghadapkan Tuan Guru Presiden PAS dengan EGM (mesyuarat agung luar biasa).

PAS Kelantan dan PAS Terengganu juga dikatakan, pada masa itu, tidak boleh bertemu!

Hari ini isu Geng Terengganu @ Kerajaang Perpaduang itu cuba dibangkitkan kembali dan lebih menyakitkan ia labelkan kepada Naib Presiden Kanan yang juga calon Timbalan Presiden, Ustaz Tuan Ibrahim.

Saya percaya, Jimadie yang menulis artikel berkenaan tidak semberono melainkan mendapatkan maklumat daripada kalangan PAS sendiri.

Saya memberi jaminan Tuan Ibrahim bukan dari kalangan yang mahu “membawa PAS masuk Umno” atau UG. Itu hanya tohmahan buruk yang tidak perlupun dilayan? Apakah hanya kerana Tuan Guru Presiden rapat dengan Tuan Ibrahim atau kerana Tuan Ibrahim kekal berkopiah, maka terus mahu ‘dikandangkan’ beliau sebagai geng Terengganu?

Adilkah begitu?

Kali ini Tuan Ibrahim turun sebagai calon Timbalan Presiden tanpa berkempen atau menghubungi ‘sana sini’, tanpa bermesyuarat di hotel dan tanpa interview dengan media. Beliau turun dengan mempertaruhkan reputasi, kredebiliti dan integritinya sendiri. Tuan Ibrahim turun dengan imej pendamai: ulamak dan profesional!

Suka saya sebutkan, pertandingan kali ini adalah lebih daripada menentukan siapa Timbalan Presiden atau memperkasakan Presiden yang ada. Bagi saya yang lebih besar daripada itu, pertandingan kali ini ialah bagi mengisyaratkan siapa bakal Presiden PAS pada masa akan datang!


Wednesday, June 1, 2011

Penyokong Lynas ganas, polis gagal kawal

PAS Pahang kesal dengan kekecohan dan provokasi yang telah sengaja ditimbulkan oleh penyokong kerajaan dan dalam himpunan 'Bantahan Lynas' di hadapan Hotel Hyatt, Teluk Chempedak, Kuantan kelmarin.

Demonstrasi aman itu hanya satu pernyataan bantahan daripada penduduk tempatan kepada lima orang pakar dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang sedang bermesyuarat berhubung pembinaan kilang yang memproses sisa bahan radio aktif di Gebeng itu.

Kekecohan sepatutnya boleh dibendung jika pihak polis bertindak profesional mengawal provokasi melampau pihak penyokong kerajaan yang terdiri dari Umno, Pakida, Perkasa, Majlis Belia, Belia 4B, GPMS dan lain-lain.

Namun akibat kawalan yang sekadar ‘melepas batuk di tangga itu’ menyebabkan berlaku kekecohan sehingga Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan Indera Mahkota Andansura Rabu tercedera berikutan penyokong kerajaan yang telah bertindak agresif di luar batas kemanusiaan.

Ketua Pemuda MCA Indera Mahkota, David Choi juga tercedera dan telah membuat laporan polis.

Tindakan tersebut sebenarnya hanya mencacat dan memburukkan negara ini daripada pandangan tetamu dan pelancong yang selama ini menganggap Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi.

Penyokong kerajaan juga telah mengapi-apikan isu Lynas ini sebagai isu perkauman di mana kononnya hanya Cina yang membantah Lynas sedangakan Melayu menyokong.

Puluhan ribu rakyat tempatan telah menandatangani petisyen bantahan terhadap kilang Lynas demi keselamatan anak cucu serta generasi mereka akan datang. Oleh yang demikian, rakyat berhak untuk menyatakan bantahan tersebut tanpa sebarang kepentingan lain.

Sehubungan dengan itu juga PAS Pahang menyakan bantahan keras dan mengutuk tindakan provokasi daripada pihak penyokong kerajaan itu dan berharap ianya tidak akan berulang pada masa akan datang.