Monday, April 30, 2018

Rumah pangsa, jambatan gantung, nasib peniaga kecil isu diketengahkan calon PAS Mentakab

Rumah pangsa diduduki tanpa CF lebih 20 tahun, jambatan gantung yang menyeramkan, keperitan peniaga-peniaga kecil mencari rezeki, demikianlah antara pembelaan yang akan diperjuangkan oleh calon N30 Mentakab Ustaz Abirerah Awang Chik.

Tawaran PAS Pahang: MENAMBAH DAN MENAIK TARAF JALAN-JALAN ANTARA BANDAR DI NEGERI PAHANG

Jalan raya merupakan prasarana asas yang menjadi jaringan perhubungan terpenting untuk keperluan dan urusan harian rakyat. Jalan raya yang baik sudah tentu berpotensi menjana pembangunan lebih pesat serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

Istimewanya daerah-daerah di Pahang merupakan laluan atau gerbang masuk dari Lembah Kelang ke Pantai Timur. Begitu juga dari Pantai Timur ke Selatan tanah air.

Namun begitu beberapa jalan antara bandar di negeri ini sering kali menjadi rungutan penduduk dan pengguna justeru memerlukan pembaikan dan naik taraf segera. Umpamanya jalan Jerantut-Benta iaitu antara laluan tertua di Malaysia yang bengkang bengkok perlu dinaik taraf dan diluruskan. Begitu juga dengan jalan Jerantut- Lipis melalui jalan Ulu Tembeling yang sempit, bengkang-bengkok dan berbukit serta jalan Jerantut-Maran melalui Simpang Jengka 8 yang terbengkalai. Keadaan ini menyukarkan penduduk di sebelah Pahang Barat untuk berurusan ke ibu negeri.

Jalan Pekan Awah-Bandar Jengka pula telah banyak memakan korban kemalangan akibat terlalu sempit. Bayangkan, sebuah bandar Melayu yang mempunyai stadium bernilai RM80 juta namun laluan ke situ seperti ketinggalan 30 tahun ke belakang. Tidak kurang juga yang menjadi rungutan ialah jalan antara bandar Temerloh dan Bera lantaran jalannya yang sering rosak, sempit, projek terbengkalai dan tebing sungai pula acap kali runtuh.

Satu lagi, jalan Simpang Pelangai ke Pekan Karak sangat mendukacitakan akibat berlubang, bengkang-bengkok, gelap dan sempit. Walhal jika jalan Karak ke Triang dinaik taraf sebagai laluan alternatif, dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dari ibu negara ke pantai Timur.

Laluan Muadzam ke Bera melalui kawasan Felda yang selama ini dianggap ‘jalan mati’ wajar dihidupkan kembali bagi memendekkan perjalanan dari selatan tanah air ke Pahang Tengah. Untuk itu mewujudkan bandar baharu boleh menjadi pemangkin zon ekonomi baru antara Pahang Tengah ke Pahang Tenggara.

Jalan-jalan yang disebutkan tadi amat perlu dibaiki dan dinaiktaraf. Sesetengah destinasi pula perlu ditambah laluannya iaitu jalan-jalan baru yang boleh mengurangkan jarak perjalanan ke jalan-jalan utama. Perlu dipulihkan semula ialah jalan keselamatan yang terbengkalai dari Ulu Sungai di Raub ke Slim River di Perak, jalan Bukit Rengit di Lanchang ke Jenderak Selatan, jalan Kerdau ke Mempateh dan jalan Lubuk Kulit di Lipis ke Felda Tersang. Semuanya sebagai keperluan rangkaian baru bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti banjir.

Malah PAS Pahang komited untuk merancang pembinaan jalan berkualiti menghubungkan Sungai Lembing ke Felda Lepar Utara, Ulu Tembeling ke Dungun,Terengganu, Felda Mengkarak ke Mentakab serta Felda Selancar ke Felda Selendang dalam Daerah Rompin sebaik sahaja diberi mandat.



Saturday, April 28, 2018

Petugas pilihan raya PAS meninggal dunia

Pemergian Azizi kuatkan semangat jentera PAS Lanchang

‘Kehilangan’ untuk selama-lamanya Pemangku Pengarah JPrD Lanchang dalam Parlimen Temerloh, Nor Azizi Che Soh, 58, dalam keadaan mengejut petang semalam, tidak mematahkan semangat jentera berkenaan bagi menghadapi pilihan raya ini.

Wakil calon bagi N 31 Lanchang itu telah kembali ke rahmatullah pada mulanya pitam ketika menghadiri taklimat SPR kira-kira jam 4.20 petang.

Beliau yang juga AJK PAS Kawasan Temerloh itu, kemudiannya dibawa ke Hospital Temerloh (Hoshas) dan dimasukkan ke zon merah. Namun disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan bertugas.

Pada sebelah paginya beliau turut hadir ke Dewan Tun Razak semasa proses penamaan calon bagi Parlimen Temerloh dan Dun-Dun di bawahnya dan dikhabarkan masih sangat ceria dan bersemangat ketika itu.

Arwah yang menetap di Taman Saga Indah adalah bekas kakitangan kerajaan (Mardec) meninggalkan seorang balu dan dua cahaya mata.

Sementara itu calon bagi Dun Lanchang Hassan Omar berkata, pemergian sahabat karibnya yang dianggap bekerja keras untuk memenangkan Islam itu diterima dengan redha dan tidak mematahkan semangat jentera.

“Sebaliknya kami berazam untuk bekerja dengan lebih bersemangat untuk meraih kemenangan sebagaimana yang sering dipesankan oleh Allahyarham”.





Temerloh: Lima penjuru, dua calon bebas tak muncul

Dua individu yang diuar-uar akan bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Temerloh sebelum ini, tidak muncul menjadikan pertarungan lima penjuru.

Mereka ialah bekas Pegawai Daerah Temerloh Dato Abu Jamal dan penulis terkenal di laman facebook Isma Nazom Abdul Hamid.

Selepas penamaan calon dan tempoh bantahan tamat, kira jam satu tengahari Pegawai Pengurus SPR Datuk Azlan Mohd. Yaman mengumumkan:

Calon bagi P088 Temerloh terdiri daripada Mohd Khaidir Ahmad (Bebas), Muhd Fakhrudin Abu Hanipah (Bebas), Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (BN), Md Jusoh Darus dari PAS dan Mohd Anuar Mohd Tahir (Pan).

Sementara bagi Dun Mentakab pula menyaksikan Abirerah Awang Chik dari PAS akan bersaing dengan tiga calon Cina iaitu Datuk Chuah Boon Seong (Bebas), Datuk Wong Tat Chee (BN) dan Woo Chee Wan (DAP).

Bagi Dun Lanchang menghadapi persaingan empat penjuru antara Abas Awang (PKR), Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (BN - penyandang), Mohd Khaidir Ahmad (Bebas) dan muka baru Hasan Omar dari PAS.

Dun Kuala Semantan pula tanpa saingan daripada calon bebas dengan Syed Hamid Syed Mohamed (Pan), Datuk Nor Azmi Mat Ludin (BN serta Hassanuddin Salim (PAS).

Penamaan calon bagi Temerloh dilakukan di Dewan Tun Razak sementara bagi Kuala Krau di Pejabat Daerah Temerloh. Lebih 3,000 mengiringi calon PAS terutamanya golongan muda yang berkempul sejak jam 7 pagi lagi. BN pula diiringi kira-kira 2,500 penyokong sementara kelihatan sekitar 300 orang sahaja mengiringi calon PH.



Friday, April 27, 2018

47 ahli PKR sertai PAS

JERANTUT: Keputusan 47 ahli PKR sekitar Sungai Terlang, Batu Balai, Jerantut menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PAS satu langkah yang penuh bermakna sekaligus menyuntik semangat kepada petugas untuk memastikan kemenangan parti itu pada PRU14 ini.

Hasrat kumpulan terbabit sebelum ini disampaikan kepada Pengerusi Sekteriat Anak Pahang Perantauan (SAPP) Tuan Zamani Tuan Ahmad yang juga Pengerusi Tetap PAS Batu Balai sebelum satu majlis diaturkan bagi tujuan itu, malam kelmarin.

Borang keahlian diserahkan wakil kumpulan terbabit, Azmie Deraman kepada Yang Dipertua PAS Jerantut, Yohanis Ahmad. Turut hadir Calon Dun Damak, Zuridan Md Daud.

Tuan Zamani berkata, PAS Jerantut dan Dun Damak mengalu-alukan keputusan kumpulan itu begitu juga dengan SAPP yang memikul amanah untuk menarik lebih banyak sokongan terutama dalam kalangan ahli parti lawan dan pengundi atas pagar.

Menurutnya, SAPP dalam rangka kerja untuk menjelajah seluruh dun di negeri ini untuk menyedarkan pengundi demi agenda perubahan yang dibawa PAS sekiranya diberi mandat untuk mentadbir Pahang selepas PRU14 nanti.

“Gerak kerja kami bermula sejak pembubaran parlimen 6 April lalu dengan mengerakkan exco SAPP ke beberapa kawasan dun untuk menemui pengundi melalui program yang diaturkan termasuk program ceramah dan ziarah.

“Kita pikul tanggungjawab bantu calon PAS pada PRU14 ini melalui pendekatan politik matang dan sejahtera.,”katanya.

Justeru katanya, apabila wakil kumpulan terbabit memaklumkan kepadanya tentang hasrat itu, beliau cuba aturkan dengan PAS Jerantut untuk adakan majlis pengisytiharan dan penyerahan borang keahlian.

“Allhamdullilah, Ustaz Yohanis dan Ustaz Zuridan bersetuju jadi kita tetapkan majlis ini pada program ceramah kelompok, malam semalam.

“Malah Ustaz Yohanis dalam ucapannya juga menyebut bahawa keputusan kumpulan ini untuk menyertai PAS sebagai batu loncatan dan memberikan semangat kepada PAS Kawasan Damak dan Parlimen Jerantut dalam merealisasikan kemenangan kedua-dua kerusi itu.

“Beliau berharap ahli-ahli baru ini mainkan peranan untuk memberikan kemenangan kepada PAS,” katanya.





Tawaran PAS Pahang: MEMPERKASA SEKOLAH AGAMA NEGERI

Melahirkan generasi Islam yang unggul serta modal insan cemerlang lagi berkualiti sudah semestinya melalui proses pendidikan Islam yang bersistematik. Pendidikan Islam bukan sahaja menekankan aspek fizikal, tetapi juga aspek rohani dan akhlak bertujuan untuk membangunkan potensi dan kecenderungan ke arah kebaikan dalam diri seseorang yang akhirnya dapat merealisasikan kebaikan kepada orang lain.

Justeru PAS sentiasa komited dan meletakkan bidang pendidikan sebagai keutamaan khususnya sekolah-sekolah agama agar bersedia dengan pendidikan berkualiti tinggi dengan tujuan melengkapkan ilmu dan kemahiran yang relevan seterusnya berjaya di dunia dan akhirat.

Dewasa ini pertambahan bilangan pelajar sekolah menengah agama (SMAN) meningkat setiap tahun lantaran permintaan tinggi daripada ibu bapa. Sistem dwi-kurikulum yang digunakan menarik minat masyarakat sehinggakan jumlah permohonan melebihi kapasiti disediakan. Ternyata pelajar sekolah agama mempunyai kelebihan kerana dapat menguasai dua bidang iaitu pendidikan aliran agama dan mengikuti kurikulum kebangsaan. Inilah menyebabkan permohonan masuk ke sekolah agama berlipat-ganda.

Pada masa ini hanya terdapat 18 buah SMAN di bawah kerajaan negeri Pahang dengan hampir 10,000 pelajar dan 700 orang guru. Namun dua isu yang timbul di situ pertama kekurangan tempat untuk menampung dan kedua kurangnya prasarana dalam pengoperasian sekolah.

Bayangkan, pernah di sebuah SMAN hampir seribu pelajar menghadiri temuduga tetapi hanya kurang daripada 200 orang yang diterima masuk. Bukannya mereka tidak layak dalam persaingan itu akan tetapi kekurangan tempat sebenarnya.

Isu kedua yang tidak kurang pentingnya ialah amalan sistem pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar. Semua pihak sedia maklum tentang penekanan pendidikan agama yang disediakan di sekolah-sekolah ini. Namun tidak boleh dinafikan di kalangan mereka mempunyai kebolehan dan berpotensi besar sehingga mampu bersaing dengan pelajar-pelajar di aliran kebangsaan.

Adalah menjadi hak pelajar aliran agama yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memasuki bidang yang membolehkan mereka memilih kerjaya sebagai profesional. Di samping itu dengan memberi pendidikan yang baik dan berkualiti mereka diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan berkemungkinan menjadi tokoh korporat, usahawan berjaya, aktivis masyarakat malah menjadi pemimpin politik.

Pelajar yang mempunyai asas keagamaan yang kukuh akan menjadi tenaga kerja yang berketerampilan dan bersahsiah tinggi. Diharapkan mereka akan dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Untuk itu beberapa perkara juga harus diberi penekanan termasuk aspek kemudahan, keperluan sumber manusia contohnya menyediakan guru terlatih seperti yang dilakukan kerajaan di sekolah biasa iaitu seratus peratus tenaga pengajar berkelulusan ijazah. Nasib Guru-guru SMAN juga akan dibela.

Bagi memastikan perkembangan SMAN di seluruh Pahang bergerak seiring dengan sekolah-sekolah lain, PAS Pahang berazam memperkasakan institusi pendidikan ini termasuk akan menyediakan jumlah peruntukan yang lebih besar. Supaya ditingkatkan standard dan kualiti sekolah berkenaan untuk keperluan dan permintaan rakyat.


Calon Umno Pahang: Adnan tampil senarai ‘rubber stamp’

Ditolak Dato Dr Shukri dan Dato Maznah Mazlan, semua penyandang Adun termasuk yang pernah kalah dahulu, kekal dibariskan dalam PRU akan datang. Kejutan ini sekali gus menepis cakap-cakap sebelum ini yang meramalkan beberapa calon akan diketepikan.

Ertinya, jelas sekali Dato Sri Adnan Yaakob mengelak daripada mengambil risiko untuk menamakan muka-muka baru. Seperti sebelum ini, perubahan daripada penyandang kepada muka baru boleh mendatangkan kontroversi.

Umpamanya beberapa nama sebelum ini disebut-sebut akan digantikan seperti Dato Sri Muhamad Jaafar di Jenderak. Muhamad yang masuk penggal ketujuh dirasakan sudah terlampau lama (menjangkau 30 tahun) sehingga umum melihat tidak relevan lagi dan wajar digantikan.

Wednesday, April 25, 2018

Jadikan Bangau Tanjung pusat makan seperti Tanjung Lumpur

Sebut sahaja makan-makan ikan bakar, ‘kaki-kaki makan’ akan segera teringatkan Tanjung Lumpur. Kerana di situlah terletaknya destinasi medan ikan bakar yang popular di kalangan penduduk tempatan dan pengunjung luar. Popularitinya bahkan menarik orang dari pantai barat dan seberang Tambak Johor, terutama pada musim cuti.

Tanjung Lumpur yang dahulunya sebuah perkampungan nelayan, kini pesat membangun dengan pelbagai kegiatan selepas siapnya jambatan menghubungkan kawasan itu dan Bandar Kuantan pada 1996.

Apabila disebut pula makan gulai ikan patin, maka minda orang seluruh negara mulailah membayangkan destinasinya ialah Temerloh. Daerah ini mulai menjadi daya tarikan baru kepada penggemar-penggemar ikan patin terutama dari ibu kota yang jaraknya sekitar satu jam setengah dari Tol Gombak melalui LPT.

Antara yang menjadi kegilaan ramai, ialah gerai ikan patin di Bangau Tanjung selain daripada Go’bang (Jalan Triang), Claypot (Bandar Baru), Pak Usop (Lurah Semantan), Hj Rahman, Jaafar Sidik (Bukit Angin) dan lain-lain (banyak lagi sebenarnya). Bangau Tanjung ialah sebuah kampung tradisional di pinggir Sungai Pahang yang juga menjadi laluan alternatif ke Tol Temerloh.

Di Bangau Tanjung, ada tiga kedai makan ikan patin yang popular sehingga menjadi viral di media-media sosial iaitu Kancil, Ina dan sebuah lagi berhadapan dengan rumah kebajikan orang-orang tua.

Menurut yang empunya ceritera, di Kancil (Raja Patin) sahaja hampir 1,000 kilogram sehari dimasak bagi memenuhi kehendak pelanggan terutama di hujung minggu. Selain daripada itu, terdapat tidak kurang 20 gerai menjual ikan patin mentah untuk dibawa pulang terutamanya pelancong dari luar. Kebanyakan patin yang dijual, ada hasil ternakan ikan sangkar mereka sendiri di Sungai Pahang.

Ertinya, Bangau Tanjung membawa banyak peluang rezeki kepada penduduk tempatan. Namun umum melihat tidak banyak usaha yang kerajaan lakukan bagi memajukannya lagi. Semuanya hanya hasil inisiatif peniaga sendiri. Jika Tanjung Lumpur yang terkenal itu banyak mendapat sentuhan Majlis Perbandaran, badan-badan kerajaan serta pihak lain, ianya tidak berlaku di Bangau Tanjung.

Jika orang ramai datang makan ke Bangau Tanjung, mereka bertanya “ke mana lagi hendak berjalan sebelum pulang?”. Jawapnya, tiada! Tiada yang dapat dinikmati pandangan oleh pengunjung selain semak-samun di kiri kanan jalan.

Kita mengambil contoh, Dataran Patin di Tanjung Keramat yang juga di kampung Bangau Tanjung. Apa yang terjadi. Pernah beberapa orang peniaga memperjudikan nasib berniaga di situ. Tetapi semuanya “bungkus”. Begitu juga jambatan gantung yang dibina MPT yang tidak berapa jelas fungsi dan kegunaannya. Wakil-wakil rakyat yang lepas-lepas juga tidak kedengaran idea dan cadangannya memajukan Bangau Tanjung.

Oleh yang demikian sempena PRU ke 14 beberapa hari lagi, kita menyeru bakal wakil rakyat yang mewakili kawasan ini nanti, berjanjilah. Berilah idea bagi memajukan kampung, penduduk, peniaga, pelanggan dan lain-lain bagi mengangkat Bangau Tanjung menjadi tersohor satu hari nanti, seperti Tanjung Lumpur!



Tuesday, April 24, 2018

Tawaran PAS Pahang: BANTUAN UNTUK RAKYAT TERMISKIN.

Miskin dan kaya adalah ketentuan Allah yang sudah tertulis bagi seseorang di mana sudah pasti ada hikmahnya. Namun sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, PAS tidak menganggap kemiskinan itu sebagai “jalan mati”.

Justeru PAS tidak melupa mahupun mengabaikan nasib rakyat yang ditakdirkan miskin. Pelbagai bantuan akan disediakan bagi membantu golongan ini agar hidup mereka seperti kelompok masyarakat yang lain. Juga pelbagai usaha akan dilaksanakan bagi merubah kehidupan mereka ke taraf yang lebih baik dan berdikari.

Termasuk dalam golongan ini ialah rakyat negeri Pahang atau pemastautin lebih 10 tahun di negeri ini yang terdiri daripada asnaf anak yatim, orang miskin, pesakit kronik, OKU terlantar serta mangsa bencana dan musibah.

Dalam hal ini PAS menumpukan empat asas utama dalam kehidupan iaitu tempat kediaman, pendidikan, bantuan untuk sumber pendapatan dan bantuan ketika kecemasan.

Bagi tempat kediaman atau rumah ia boleh dibantu melalui pembinaan sendiri di tanah pemilik. Cara kedua kerajaan yang akan membinanya melalui syarikat atau kontraktor yang dilantik. Sebagai bandingan, model ini boleh diambil daripada Skim Binaan Rumah Dhuafa’ seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan.

Bantuan ini juga meliputi kepada mangsa bencana seperti ribut dan rumah terbakar dengan bantuan segera atau bantuan kecemasan.

Bagi pendidikan pula khususnya kepada anak-anak asnaf, sejumlah dana akan diperuntukkan untuk tujuan memenuhi keperluan pelajaran di segenap peringkat.

Manakala bantuan untuk mengembangkan sumber pendapatan pula ia bertujuan mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan. Mereka yang berminat atau berbakat dalam bidang perniagaan akan dibantu seperti mengembangkan industri kecil dan sederhana. Begitu juga dengan yang berminat dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan haiwan. Di mana kemudahan asas, latihan serta skim bantuan peralatan akan disediakan.

Oleh itu satu tabung kebajikan dan sosial rakyat akan ditubuhkan oleh kerajaan negeri di mana kumpulan rakyat termiskin di seluruh negeri akan dibela melaluinya. Penubuhannya boleh mengambil model Tabung Serambi Mekah dan Tabung Tok kenali di Kelantan. Dana tabungan pula boleh diperolehi melalui institusi zakat, infak dermawan dan NGO serta sumber daripada GLC negeri.

Seperti bantuan makanan asasi, bantuan ini juga akan diurus dan diagihkan melalui Dun masing-masing.

Model dan inisiatif seumpama ini dijangka dapat memperlihatkan keindahanan Islam itu sendiri melalui konsep taawun dan kebajikan tanpa mengira agama dan fahaman.






Saleh Pasar meninggal dunia

Ahli PAS Saleh Harun, 67, dari Kampung Bangau Tanjung, Temerloh kembali ke rahmatullah awal pagi tadi di hospital UKM (HUKM) dan jenazah dikebumikan di kampungnya sebelum zohor hari ini.

Menurut waris terdekat, beliau menghidap batu karang sekitar empat bulan yang lalu kemudian merebak kepada usus dan lain-lain.

Dikenali sebagai ‘Saleh Pasar’ di kalangan penduduk tempatan, Saleh seorang ahli perniagaan, merupakan pengasas dan pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak Jati Kuala Semantan (Pintas) juga pengasas Gym Rakyat Temerloh.

Ayah kepada Saleh, Harun Tamjis merupakan aktivis dan calon PAS dalam pilihan raya pada era awal-awal PAS berkembang di Pahang.

Nama Saleh pernah menjadi perhatian ramai satu ketika dulu sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sanggang 1 April 2000 di mana cuba dikaitkan dengan isu pembakaran bendera BN di jambatan Bangau yang merentasi Sungai Semantan.

Namun nama beliau dibersihkan kemudian apabila provokasi tersebut dilakukan oleh pihak lain.

Di akhir-akhir hayatnya beliau tidak ketinggalan mengaji terutama kuliah dhuha di Darul Hikmah, Kerdau.

Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan menempatkan beliau di kalangan orang-orang soleh.



Monday, April 23, 2018

Tawaran PAS Pahang: MEMBANGUNKAN SEMULA TANAH-TANAH TERBIAR UNTUK KEGUNAAN BELIA NEGERI INI


Sebagai negeri yang paling luas di semenanjung, Pahang memiliki banjaran tanah tinggi, hutan tropika, hingga ke jajaran sungai dan lembah yang subur.

Menurut perangkaan tahun 2014, Pahang memiliki 34,293.27 hektar atau hampir lapan puluh lima ribu ekar tanah terbiar di seluruh negeri ini. Walhal muka buminya begitu subur untuk aktiviti pertanian.

Selama ini kita melihat kerajaan yang ada gagal memertabatkan pertanian sebagai sumber utama. Malahan Malaysia sendiri membelanjakan RM92 juta sehari untuk mengimport makanan berasaskan pertanian, tahun lalu. Dan angka ini menjangkau RM27.93 bilion dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Ini sudah tentu amat memeranjatkan dan membuktikan kebergantungan negara kepada hasil makanan import. Secara langsung membuktikan betapa lemahnya pengurusan negara. Bayangkan jika berlaku krisis makanan dunia sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada rakyat.

Bayangkan pula jika berlaku kenaikan harga sumber makanan ini di pasaran dunia. Tidak dapat tidak situasi ini akan lebih memeritkan rakyat.

Sementara itu Jabatan Tenaga Buruh pula menganggarkan terdapat kira-kira 400,000 belia yang menganggur ketika ini.

Justeru jika dapat dioptimumkan penggunaan tanah dan mencapai produktiviti hasil pertanian yang tinggi dan berdaya maju, pembangunan tanah-tanah terbiar tadi semestinya dapat menyelesaikan banyak masalah.

Jadi tawaran PAS yang komited untuk membangunkan tanah terbiar ini sudah tentu dapat menangani masalah belia-belia negeri ini khusus kepada yang tidak bertanah. Kedua, dapat mengurangkan masalah pengangguran. Dan ketiga, berupaya meningkatkan hasil pemakanan berasaskan pertanian komersil.

Hasil daripada itu juga berpotensi menjana ekonomi setempat sekali gus membuka peluang kepada belia-belia di negeri ini termasuk di tanah rancangan Felda mengkomersilkan hasil tanaman mereka ke peringkat dalam dan luar negara.





Saturday, April 21, 2018

Tawaran PAS Pahang: MENGAGIHKAN TANAH LOT RUMAH KEPADA RAKYAT

Memiliki rumah sendiri merupakan impian dan cita-cita semua orang khususnya pasangan yang telah berumahtangga. Ini disebabkan keperluan tempat kediaman ini sama pentingnya selepas keperluan makan dan pakai.

Namun rata-rata harga rumah yang sudah sedia tinggi pada masa ini tidak memungkinkan semua yang memerlukan mampu memilikinya. Apatah lagi peningkatan harga rumah tidak selari dengan pendapatan rakyat.

Satu kajian menunjukkan bahawa negara kita menduduki tangga ke 15 dalam kalangan negara-negara yang mencatatkan kenaikan harga rumah tertinggi. Apatah lagi di kota-kota besar.

Menurut satu kajian, sejak tahun 2009 harga rumah di Malaysia telah meningkat terlalu mendadak dengan kenaikan 10.1% setahun. Kenaikan ini amat luar biasa. Sehinggakan kajian mendapati bayaran pinjaman seorang peminjam menjangkau 40 ke 60% daripada perbelanjaan isi rumah.

Fenomena inilah yang menyebabkan rakyat semakin tertekan di tengah-tengah kenaikan harga barang-barang keperluan dan kejatuhan nilai ringgit.

Menyedari hakikat ini, PAS Pahang menawarkan formula membantu rakyat dengan mengagihkan tanah lot rumah dengan keluasan yang bersesuaian kepada rakyat yang berkelayakan. Di samping itu PAS Pahang akan mengkaji semula status pemilikan skim-skim perumahan sediada seperti PPRT, RPS yang kebanyakannya tiada hakmilik, supaya pada akhirnya rakyat dapat memiliki rumah dan tanah sendiri pada kos mampu milik


Friday, April 20, 2018

PAS Pahang letak 10 calon profesional, dua bukan Melayu PRU 14

KUANTAN: PAS menurunkan 10 profesional dalam pilihan raya umum kali ini, sementara bakinya terdiri daripada aktivis masyarakat, pemimpin parti yang terdiri daripada bekas guru dan agamawan serta dua orang bukan Muslim.

Mereka terdiri daripada pensyarah universiti, doktor, jurutera, konsultan, usahawan dan bekas pegawai tentera.

Mengumumkan 40 calon Dewan Undangan Negeri (Dun)dan kesemua 14 parlimen di padang awam Cenderawasih semalam, Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata yakin dengan ‘line up” kali ini.

Bekas pensyarah yang yang mewakili PAS ialah Prof Madya Dr Wan Masri Wan Muhamad yang bertanding di Inderapura dan Mohd Hazmi Dibok (Sungai Lembing) dan Zuridan Daud (Damak).

Andansura Rabu yang dulunya seorang konsultan kekal bertanding di Beserah. Sementara usahawan Mohd Yusof Hashim menggalas beban Semammbu, Hassanuddin Salim (Kuala Semantan) dan Mohd Shahrul Mohamad (Guai).

Profesional mewakili PAS ke parlimen pula ialah Md Jusoh Darus yang pertama kali bertanding parti di Temerloh, Musaniff Abdul Rahman di Bera dan Dr Nilam Abdul Manaf di Raub.

Turut mencipta rekod ialah pertama kali PAS Pahang menurunkan ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS iaitu Dato Kumar Silambaran di Dun Tanah Rata dan N Balasubramaniam di Parlimen Bentong.

Senarai penuh calon-calon PAS Pahang adalahs eperti berikut:

N.01 Tanah Rata, Dato' Kumar Silambaram; N.02 Jelai, Ustaz Abdul Karim Noor; N.03 Padang Tengku, Ustaz Roslan Harun; N.04 Cheka, Salahuddin Endut; N.05 Benta, Anuar Kassim; N.06 Batu Talam, Tengku Abdul Rahman Tengku Jaafar dan N.08 Dong, Bedu Rahim Ismail.

N.09 Tahan, Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badaruddin; N.10 Damak, Ustaz Zuridan Md Daud; N.11 Pulau Tawar, Ahmad Nawi Samah; N.12 Beserah, Andansura Rabu; N.13 Semambu, Mohd Yusof Hashim; N.14 Teruntum, Ustazah Azizah Mohd Ali; N.15 Tanjung Lumpur, Ustaz Rosli Abdul Jabar; N.16 Inderapura, Prof Madya Dr Wan Masri Wan Mohamad; N.17 Sungai Lembing Ustaz Mohd Hazmi Dibok; N.18 Lepar, Mohd Nor Hisham dan N.19 Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahya.

N.20 Pulau Manis, Kapten (B) Zainuddin Noh; N.21 Peramu Jaya, Ustaz Abu Kassim Manaf; N.22 Bebar, Mohd Nazaha Osman; N.23 Chini, Ustaz Mohd Fadzil Noor Abd Karim; N.24 Luit, Safian Abdul Jalil; N.25 Kuala Sentol, Mohd Fadzil Nazmi; N.26 Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak; N.27 Jenderak, Abdullah Yusuf; N.28 Kerdau, Ustaz Aire Roshairi Roslan; N.29 Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz; N.30 Mentakab, Ustaz Abirerah Awang Chik dan N.31 Lanchang, Hassan Omar.

N.32 Kuala Semantan, Hassanuddin Salim; N.33 Bilut, Mohd Zamri Noh; N.34 Ketari, Ustaz Roslan Md Esa; N.35 Sabai, Mohd Khairuddin Abdullah; N.36 Pelangai, Zaharim Othman; N.37 Guai, Mohd Shahrul Mohamad; N.38 Kemayan, Mohd Yusuf Che Din; N.40 Bukit Ibam, Ustaz Nazri Ahmad; N.41 Muadzam Shah, Ramli Awang Ahmad dan N.42 Tioman, Mohd Yunus Ramli

Manakala P.78 Cameron Highlands PAS meletakkan seorang guru yang baru sahaja bersara Wan Mahadir Wan Mahmud; P.79 Lipis, Sobirin Hj Duli; P.80 Raub, Dr Mohd Nilam Abd Manaf; P.81 Jerantut, Yohanis Ahmad; P.82 Indera Mahkota, Ustaz Nasrudin Hassan; P.83 Kuantan, Sulaiman Mat Derus; P.84 Paya Besar, Mohd Azhar Mohd Noh; P.85 Pekan, Kapten (B) Ahiatuddin Daud; P.86 Maran, Hasenan Haron; P.87 Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashari; P.88 Temerloh, Md Jusoh Darus; P.89 Bentong, Balasubramaniam Nachiapan; P.90 Bera, Musaniff Abdul Rahman dan P.91 Rompin, Ustaz Shahrulnizam Abd Haliff.


Thursday, April 19, 2018

Nama Tajuddin muncul semula di Paya Besar

Setelah Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail dan Adun Lepar, Datuk Mohd Shohaimi Jusoh meninggal dunia tahun ini dan tahun lalu, tiba-tiba nama bekas Ketua Bahagian Umno Paya Besar Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman muncul semula.

Menurut sumber, nama beliau dikatakan ‘naik’ semula berikutan ketandusan tokoh BN di Bahagian berkenaan bagi membawa cabarab BN menjelang PRU ke 14 ini.

Sebelum ini, Tajuddin yang masih menjawat Ketua Bahagian tersebut yang tidak terpilih dalam PRU ke 12 2008 dikatakan telah bertindak meninggalkan jentera kempen Umno Bahagian. Tempat beliau digantikan oleh Shohaimi.

Bagaimanapun, ada yang mengatakan bekas Setiausaha Umno Pahang yang ‘merajuk’ itu telah dijanjikan dengan lantikan senator.

Menurut saksi, Tajuddin yang naik dalam politik selepas dilantik Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Pahang (kini Tun) Khalil Yaakob, pada masa ini hanya berminat dengan aktiviti bermotor kuasa tinggi hingga ke Eropah.

Namun baru-baru ini, beliau yang pernah berkhidmat dengan Felda Wilayh, dikatakan telah bertemu dengan orang penting yang mahukan beliau ‘kembali’ ke arena politik.

Wallahua’lam bissawab.





Majlis perisytiharan calon PAS malam ini

KUANTAN: PAS Pahang bersama Gagasan Sejahtera akan mengisytiharkan semua calonnya yang akan bertanding pada PRU 14, malam ini.

Majlis tersebut akan diadakan di Padang Awam Cenderawasih, Kuantan bermula jam 8.45 malam.

Cenderawasih termasuk di dalam Dun Semambu dalam Parlimen Indera Mahkota.

PAS dijangka mengumumkan kesemua 14 calon-calon parlimennya dan 40 negeri, iaitu yang teramai dalam sejarah. Turut dibariskan ialah ahli-ahli bukan Islam daripada DHPP.

Semua penyokong PAS serta penduduk berdekatan dijemput hadir bagi menyaksikan dari dekat. Siaran langsung turut akan diadakan melalui tv rasmi PAS Pahang, Tvmakmur.


Wednesday, April 18, 2018

Temerloh oh Temerloh...

Temerloh merupakan daerah dan bandar kedua terbesar di negeri Pahang. Namanya masyhur dan penduduknya peramah. Namun sempena pilihan raya umum ini elok rasanya dilihat pelbagai permasalahan yang belum ditangani.

1. Kos sara hidup yang tinggi.
Baik orang tempatan mahupun orang luar yang bertandang ke sini, acap kali merungut barangan keperluan asas dan makanan yang mahal. Kadang-kadang kita lihat barangan mentah yang dijual pekan sehari yang menjadi pusat beli-belah tradisional sejak zaman berzaman pun, lebih mahal daripada yang dijual di pasaraya besar. Bukan itu sahaja, sewa rumah dan perkhidmatan juga rata-rata menjadi bualan akibat kos yang tinggi. Keadaan ini jika tidak ditangani, menyebabkan orang-orang Temerloh terpaksa berbelanja besar daripada pendapatan atau bergadai bergolok hanya untuk keperluan-keperluan ini sahaja.

2.Parkir di bandar yang tidak mencukupi.
Ternyata Pihak Berkuasa Bandaran tidak merancang pembangunan dengan baik. Pembangunan dalam bandar langsung tidak seiring dengan kepesatan penduduk. Akibatnya, lot-lot parkir yang ada gagal menampung jumlah kenderaan yang ke luar masuk. Namun pihak berkuasa mengambil jalan singkat dengan menyaman kenderaan yang tidak diletakkan dalam petak yang disediakan.

3. Trek rosak di tempat rakyat beriadah rosak dan terbiar.

Satu lagi masalah pihak berkuasa perbandaran ialah selalu membiarkan trek dan alat mainan yang rosak atau tidak berfungsi. Pergilah ke Taman Kubang Gajah atau Taman Tasik Bandar. Masalah yang sama dapat dilihat di taman-taman mainan di kawasan-kawasan sekitar bandar Temerloh dan Mentakab.

4. Masalah nelayan sungai.
Identiti Temerloh tidak boleh dipisahkan dengan Sungai Pahang. Satu ketika Temerloh dikenali sebagai Bandar Ikan Patin. Di pesisir Sungai Pahang terdapat tidak kurang 1,000 sangkar ikan patin penduduk tempatan. Namun nasib mereka tidak dipedulikan dengan sewajarnya. Sudahlah punca rezeki mereka berisiko pada musim kemarau dan tengkujuh, masalah paling besar yang dihadapi ialah harga makanan ternakan ikan yang tinggi. Nasib mereka ini sepatutnya sudah lama diberikan pembelaan.

5. Peluang pekerjaan golongan muda.
Sebahagian besar kerja sudah dimonopoli oleh pendatang-pendatang asing. Kebanjiran mereka dapat dilihat dengan jelas di bandar Mentakab dan ada ketikanya menakutkan orang-orang tempatan. Kerajaan gagal mengawalnya, sementara mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru juga kerajaan gagal. Apa yang merugikan ialah sedikit demi sedikit orang-orang muda yang tiada pilihan terpaksa berhijrah demi survival hidup mereka. Ini merugikan sumber daerah kita.

6. Kekurangan pusat untuk pengajian tinggi serta latihan berkemahiran tinggi.
Hampir tidak munasabah, Menteri Pelajaran yang pertama iaitu Abdul Rahman Talib lahir di Temerloh, Namun di daerah kelahirannya tidak ada universiti, kolej (kecuali yang swasta OUM), MRSM, maktab atau vokasional (kecuali IKBN). Jika dilihat, Temerloh pernah diwakili oleh beberapa orang menteri seperti Dato’ Hamzah Abu Samah, Dato’ Sabarudin Chik dan Timbalan Menteri Dato’ Saifudin Abdullah selain Menteri Besar Tan Sri Yahya. Bahkan Tun Razak juga pernah mewakili Temerloh pada PRU yang pertama 1955.

Kita memerlukan wakil yang benar-benar boleh membawa suara akar umbi Temerloh demi kesinambungan generasi akan datang.



Tuesday, April 17, 2018

Menjawap 12 fitnah ke atas PAS

Sudah menjadi lumrah perjuangan sejak PAS ditubuhkan sehingga ke hari ini peluru fitnah Umno,PAN, PKR, DAP dan lain-lain sentiasa aktif. Namun PAS tetap meneruskan perjuangan tanpa menghiraukan ancaman dan fitnah yang dilemparkan. Semua itu tidak pernah menjejaskan PAS. Namun ada fitnah-fitnah yang perlu dijawab dan ada fitnah yang tidak perlu kerana fitnah itu dijawab oleh mereka yg memfitnah itu sendiri. Jom kita baca sama-sama artikel dibawah:


Fitnah 1 : PAS bergabung dengan Umno dimainkan sejak 2008.

Jawapan : Fitnah ini diulang-ulang bagi menghilangkan kepercayaan ahli dan penyokong PAS kepada pimpinan. Namun hingga ke hari ini sudah 10 tahun fitnah dimainkan, PAS dan Umno masih tidak bergabung.

Fitnah 2 : PAS Tongkat Umno dimainkan sejak 2017.

Jawapan : Menjelang PRU14, PAS umumkan akan berlawan dengan Umno di 130 kerusi Parlimen. PAS telah berlawan dengan Umno sebelum sebelum DAP ditubuhkan pada 1966, sebelum PKR ditubuhkan pada 1999, PAN 2015 dan PPBM 2016. Jadi adalah normal jika PAS bertanding melawan Umno walaupun sudah tidak bersama Pakatan kerana itu memang tradisi PAS. Isu PAS tongkat Umno hanya propaganda politik Pakatan selepas PAS menolak untuk bersama mereka.

Fitnah 3 : PAS terima 90 juta dari Umno (versi Sarawak Report 2016)

Jawapan : Fitnah mula disebarkan oleh editor Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown pada 2016. Pas beri amaran untuk saman. Sebelum disaman, Claire memadam semua artikel fitnah dan membuat kenyataan bahawa semua artikel itu hanya berdasarkan andaian. Pada 2017, PAS mengheret Claire ke Mahkamah di London dimana lokasi sebenar akhbar itu beroperasi. Mahkamah London kemudian arah Claire membayar RM84,000 sebagai kos prosiding pendakwaan kerana gagal menyerahkan bukti. Pada 2018, Claire meminta Mahkamah membatalkan saman PAS kerana beliau gagal menyediakan bukti atas fitnah yang disebarkan.

Fitnah 4 : PAS terima 90 juta dari Umno (versi Husam 2017)

Jawapan : Sehingga ke hari ini Husam masih enggan membuat laporan SPRM dan Polis ke atas PAS. Husam juga masih gagal menamakan individu yang menerima wang tersebut. Husam yang sebelum ini mengatakan wang tersebut masuk dalam akaun Affin Bank individu tertentu masih gagal tunjukkan bukti transaksi. Selepas di desak, Husam cabar PAS tunjuk bukti salinan akaun bank yang menyatakan transaksi berkenaan. Anehnya orang yang dituduh pula yang perlu tunjuk bukti untuk mengesahkan fitnah yang dia buat. Sepatutnya Husam la yang tunjuk bukti itu.

Fitnah 5 : PAS terima Dana 1MDB.

Jawapan : Pada 2017, Orang yang menyebarkan fitnah ini iaitu Rafizi Ramli (Naib Presiden PKR) akhirnya akui bahawa yang terima dana dari 1MDB bukannya PAS tetapi, Nasharuddin Mat Isa, mantan Timbalan Presiden PAS yang dipecat pada 2013.

Fitnah 6 : Klip audio suara Nik Abduh berhubung PAS terima 90 juta dari Umno.

Jawapan : Husam pun tak pasti itu suara Nik Abduh atau tidak. April 2017, barulah Klip audio dihantar ke London untuk disemak oleh pakar selepas beberapa minggu ia disebarkan terlebih dahulu. Hingga kini tiada sebarang pengesahan dari mana-mana pakar audio bahawa klip video itu adalah suara Nik Abduh. Dan sangat lucu, sekali lagi Husam minta PAS sahkan yang suara itu adalah suara Nik Abduh. Sepatutnya Husam la yang tunjuk bukti itu untuk sahkan yang suara itu milik Nik Abduh.

Fitnah 7 : Anak Lelaki Sulung Almarhum TG Nik Aziz, Nik Omar sertai PAN dan bakal MB Kelantan.

Jawapan : 15 April 2018, Nik Omar Nik Abdul Aziz mengesahkan tidak menyertai PAN dan tidak akan bertanding dimana-mana kerusi. Wan Rahim akhirnya terdiam selepas bertahun memainkan fitnah yang Anak Lelaki Sulung TGNA itu bersama PAN.

Fitnah 8 : Ahli PAS Putrajaya ambil Pil Kuda ketika kempen PRU13.

Jawapan : Tengku Adnan Mansor hanya membuat andaian selepas membaca berita Anak Husam Musa ditangkap kerana disyaki menjual pil kuda pada Disember 2017. Husam Bertanding atas tiket PAS di Putrajaya pada 2013. Walaubagaimana pun beliau di pecat PAS pada 2016. Isu Pil Kuda hanya muncul pada 2017 dan hanya melibatkan anak Husam, bukannya petugas PAS seperti di dakwa oleh Setiausaha Agung Umno itu. Laporan polis telah dibuat dibawah Akta Berita Palsu 2018.

Fitnah 9 : Presiden PAS Sokong GST.

Jawapan : Hanipa Maidin (PAN) menemplak Fitnah RTM dan TV3 yang memanipulasi Ucapan TG Abdul Hadi Awang di Parlimen sebagai menyokong GST. Beliau mengesahkan bahawa Presiden PAS tolak GST. Ini sekaligus mematikan fitnah Muhyiddin Yasin, Presiden PPBM yang turut mendakwa Presiden PAS Sokong GST kerana beliau juga salah tafsir kenyataan Presiden PAS. Dalam Manifesto PRU14 PAS jelas menetapkan akan menghapuskan GST dan SST jika diberi mandat oleh rakyat.

Fitnah 10 : PAS tidak serius bentang pindaan RUU 355 (Akta Mahkamah Syariah).

Jawapan : Pindaan RUU355 adalah usul persendirian ahli parlimen bukannya dari Kerajaan BN. Jadual mesyuarat dan Pengerusi mesyuarat adalah dari BN. Merekalah yang tetapkan bila usul persendirian dari PAS ini boleh dibentang atau tidak kerana PAS adalah parti pembangkang. BN tidak memberikan laluan mudah, manakala ahli Parlimen PH pula memperlekeh Presiden PAS sebagai gagal. Sepatutnya jika mereka jujur BN Dan PH beri kerjasama menyokong dan memaksa Speaker Parlimen beri laluan usul ini dibentangkan.

Fitnah 11 : Undang-undang Hudud menindas hak asasi bukan Islam.

Jawapan : Undang-undang Hudud adalah untuk orang Islam sahaja, bukan Islam bebas mengunakan undang-undang sivil sedia ada. Tindakan DAP menakut-nakutkan bukan Islam dengan menolak hudud secara terbuka adalah menghina hak demokrasi umat Islam. Hudud adalah undang-undang jenayah yang sepatutnya menjadi sebahagian dari senarai undang-undang Syariah.

Fitnah 12 : PAS diresapi oleh kumpulan pengganas ISIS.

Jawapan : Dakwaan Mat Sabu ini dijawab oleh Ust Norazli Musa selepas gambar lawatan kemanusian beliau pada 2015 diviralkan dengan andaian kononnya PAS beri bantuan pada ISIS. Siasatan mengesahkan bahawa individu yang memegang senjata dalam gambar yang diviralkan adalah Pengawal Lapangan Terbang yang diarah mengawal keselamatan beliau sepanjang misi bantuan kemanusiaan ke Syria, bukannya pejuang ISIS.

Sesungguhnya musuh-musuh PAS tidak pernah berhenti menyebarkan fitnah bagi menghalang kebangkitan PAS sebagai parti yang terbaik dalam memperjuangkan hak rakyat berlandaskan Islam.

Kepada pemimpin kaki fitnah, bertaubatlah dan akuilah kesilapan kamu. Hidup ini hanya sementara, jangan tunggu sudah mati baru nak bertaubat.

Kepada kaki penyebar fitnah ingat, Allah telah berfirman dalam Surah Al-Hujuraat ayat 6:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan"

Kepada pemimpin dan ahli PAS yang difitnah bersabarlah dan semoga Allah bongkarkan segala fitnah yang dilemparkan dengan kebenaran dan rahmatNya.

"Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan Ulil Amri). Kalau tidaklah karena kurniaan dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikut syaitan, kecuali sebahagian kecil saja (di antaramu)." - Surah An-Nisa' ayat 83.

Herman Samsudeen
Mid Valley City
16 April 2018

Monday, April 16, 2018

Kempen kotor bermula

Pilihan raya merupakan ruang demokrasi untuk rakyat memilih pemimpin masing-masing di pelbagai peringkat. Peluang ini sepatutnya digunakan sebaiknya bagi mencorakkan masa depan negara dan generasi akan datang. Islam amat mementingkan proses pemilihan pemimpin ini, sebagaimana yang digambarkan oleh ulamak-ulamak sirah semasa kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Kempen yang kotor, fitnah dan provokasi hanya akan mencacat dan mencemarkan sistem pemilihan itu sendiri.

Semalam PAS menerima kejutan apabila lambang PAS digayut bersekali dengan lambang BN. Iaitu bulan dan dacing diikat dan digantung tinggi dalam satu rangkaian. Ia berlaku di dalam kawasan Dun Beserah dalam Parlimen Indera Mahkota. Mujurlah kemudiannya bahan kempen yang berniat jahat itu diturunkan menjelang tengah malam.

Apa sebenarnya yang tersirat dalam fitnah dan mainan kotor musuh PAS ini? Sudah tentu ia cuba menggambarkan seolah-olah PAS bersekongkol dengan Umno atau BN. Ertinya, apabila tidak masuk kumpulan mereka bermakna PAS ini adalah bersama BN. Demikianlah mainan kotor musuh-musuh PAS.

Sebelum ini PAS sudah jenuh menerima lemparan fitnah musuh seperti makan duit Umno 90 juta, UG dan pelbagai lagi yang ditular dan disumbat ke media sosial. Sehinggakan duduk sepentas, berbaju sedondon dan mengambil keputusan serupa dalam perbahasan parlimen pun dicop sebagai penggabungan Umno-PAS.

Apa semua itu jika bukan bankrap idea? Apa itu jika bukan berotak sempit dan ketololan politik? Apa itu jika tidak buta sejarah?

Jika kumpulan ini membaca sedikit sudah tahu bahawa PAS sudah berlawan dengan Umno sejak PRU 1955 lagi. Kecuali pada 1974, apabila Tun Razak menghulurkan salam persaudaraan selepas tragedi hitam 13 Mei apabila merasakan orang Melayu perlu bersatu. Tetapi ternyata Umno tidak ikhlas setelah kematian Tun Razak 1976. Akhirnya Tun Hussein Onn yang menerajui Umno telah menendang PAS keluar pada 1977 selepas darurat di Kelantan.

Tuan Guru Presiden Dato’ Seri Abdul Hadi Awang telah berulang kali mengingatkan bahawa PAS tidak akan merelakan ‘disengat dua kali dalam satu lubang’. PAS tetap berprinsip tegas. Malah pada PRU kali ini PAS meletakkan lebih 150 kerusi bagi menentang Umno-BN. Namun pemfitnah-pemfitnah ini tidak akan pernah sedar dan menerima penjelasan melainkan hanya menyedut cerita fitnah dari agenda musuh PAS sahaja. Bagi mereka, biarlah Islam diinjak-injak oleh sesuatu kumpulan, namun untuk menjatuhkan Umno-BN mestilah berada dalam kumpulan yng memusuhi Islam itu.

Ramai yang percaya, fitnah yang serupa tidak akan terhenti. Malah tidak mustahil akan bertambah dahsyat menjelang hari pengundian sebenar.


Sunday, April 15, 2018

Bersatu dan PKR berentap di Kemayan?

Secara umum, akan berlaku pertandingan tiga penjuru hampir di semua kerusi dalam PRU ke 14 ini. Sudah tentulah BN, musuh tradisinya PAS (bersama Gagasan Sejahtera) dan gabungan baru Pakatan Harapan (PH)).

Namun lain pula ceritanya di Dun Kemayan dalam Parlimen Bera kali ini.

Sebelum ini kerusi Kemayan ditandingi oleh PKR melalui calonnya Bob Manolan bagi menentang BN. Dalam PRU lalu, beliau tewas kepada calon BN Mohd Fadil Osman dengan majoriti 4,063. Setakat ini, memang Bob calon fovourite PKR di situ.

Bagaimanapun parti pecahan Umno yang dipimpin Tun Mahathir, Bersatu, dijangka turut akan mempertaruhkan calonnya. Hal ini diberitahukan oleh seorang yang membahasakan dirinya sebagai Pak Jak. Alasannya, orang-orang kampung dan Felda tidak akan memilih Orang Asli sebagai pemimpin mereka, kata beliau. Pak Jak ialah bekas kakitangan kerajaan, dulunya ahli Umno namun kini beralih ke arah kepimpinan Mahathir. Kenyataannya disokong oleh Jo, bekas AJK Pemuda Umno yang juga kini berkiblat ke arah Mahathir.

Ditanya mengenai calon, mereka sudah mempunyai bekas orang kuat Dato Sri Ismail Sabri yang kini menyertai Bersatu, Mat Jidi. Mat Jidi bolehlah dianggap berpengaruh di kalangan orang Umno berdasarkan jawatan Ketua Penerangan Umno Bera yang pernah disandangnya. Dengar khabar, hari ini beliau mendapat watikah. Dikatakan, populariti Mat Jidi mampu menyaingi Fadil terutama di kalangan warga Felda.

PKR pula mungkin tidak akan berganjak ke belakang memandangkan hanya Kemayan yang mempunyai pengundi Orang Asli termasuk Pos Iskandar di Bera. Kemenangan PKR diharapkan menjadi pemangkin kepada kemenangan Zakaria Hamid dari PKR yang sekali lagi akan bertanding Parlimen Bera.

Ditanya tentang peluang pula, mereka (Bersatu) pula mengakui berat dan kesukaran mengalahkan Fadil yang dianggap proksi Ismail Sabri itu kerana pada masa ini sudah terdapat lebih 1,000 undi dari kem tentera yang baru ditempatkan di situ.

Ertinya, riak-riak orang tempatan untuk menolak Ismail Sabri sudah ada, namun penambahan lebih 6,000 pengundi baru dijangka menjadi penghalang. Pada PRU yang lalu Ismail hanya menang dengan majoriti tipis 2,143 daripada 42,944 pengundi. Masih ada yang menganggap bahawa Ismail Sabri sebagai ‘orang luar’ sebagai import Umno selepas persempadan semula kawasan pilihan raya yang memecahkan Bera dari Temerloh.

Hal ini dijangka menguntungkan PAS. Calonnya yang dikatakan seorang berpendidikan agama, aktivis peneroka, berperwatakan senang didekati dan berkedudukan tinggi dalam hairarki parti, dijangka mampu memberi saingan sengit. terutama kepada rakyat yang melihat kedua-dua belah pihak yang dirasakan hanya pandai menabur janji-janji manis.



Friday, April 13, 2018

Orang Lanchang wakili BN Kuala Semantan?

Setelah kalah PRU selama dua penggal berturut-turut di Dun Kuala Semantan, Umno Temerloh akan mempertaruhkan pula anak jati Lanchang Dato Azmi Mat Ludin pada kali ini.

Hal ini disahkan oleh seorang ketua kampung (Tok Empat) ketika minum bersama pagi tadi. Beliau menguatkan kenyataannya dengan memberi contoh, besok pun (Sabtu) Azmi yang bersama-sama Dato Sharkar akan berkumpul bersama jentera Umno di padang awam Kg Bangau Tanjung dalam program bertemu rakyat sambil berkempen.

Sebelum ini Azmi yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian, dilantik sebagai menyelaras Dun Kuala Semantan sehinggakan telah banyak program bersama penduduk-penduduk kampung di sini.

Habis bagaimana dengan calon-calon lain yang nampaknya agak giat juga berkempen? Contohnya Asrizal (Jayjay anak Daro Sarit), Dato Riduan Hazimin Ramli dan Rafaie Dato Hamdan?

Rafaie itu barangkali bukan calon favourite, namun Jayjay dan Riduan dilihat sudah menghabiskan wang yang besar semata-mata ‘naik nama’ untuk dicalonkan. Jayjay berulang-alik dari KL dan Riduan pula dari Kuantan. Tambahan lagi, Jayjay, seorang usahawan, itu khabarnya pilihan Dato Sri Adnan Yaakob atas kuota Naib Ketua Pemuda Umno Negeri manakala Riduan, seorang lawyer, pula calon pilihan Sharkar.

Jayjay tu muda lagi, kata Tok Empat tadi. Dia masih banyak masa. Riduan? Riduan itu pula bagus akan tetapi dia pernah terjebak dengan kontroversi dalam kes bauksit oleh SPRM. Kita tak mahu pembangkang akan mainkan isu ini. Jadi kita pilih yang kurang kontroversi, kata Tok Empat lagi.

Pada PRU 2008, Dun Kuala Semantan dimenangi PAS dalam perlawanan satu lawan satu apabila calon PAS yang kini melompat, mengalahkan calon BN Khairudin Manan. Ada sesetengah mendakwa, beliau disabotaj dari dalam Umno sendiri.

Pada PRU 2013, BN yang diwakili Anuar Yunus, kalah lagi. Kali ini bukan sahaja kerusi Dun yang kalah BN juga terpaksa menderita kekalahan kerusi Parlimen Temerloh yang ditandingi Dato Saifudin Abdullah yang tumpas di tangan Ketua Pemuda PAS Malaysia ketika itu Ustaz Nasrudin Hassan.

Untuk parlimen, kini Ustaz Nasrudin kembali ke tempatnya sendiri di Indera Mahkota dan menariknya, Dato Saifuddin juga dikhabarkan akan memperjudikan nasibnya sekali lagi di Indera Mahkota menggantikan Dato Fauzi. Mereka akan bertemu dan bersaing sekali lagi.

Jika Dato Azmi orang Lanchang bertanding di Kuala Semantan, siapa pula yang akan bertanding di Lanchang?

Sharkar akan bertanding di Lanchang sekali lagi untuk penggal ke 5 kerana kerusi tersebut dianggap selamat, kata Tok Empat.

Di atas kertas, kerusi Lanchang telah terlibat dengan persempadanan semula dengan menambah dan mengambil dari kawasan dalam Dun Kuala Semantan melibatkan Tualang, Belengu, Buntut Pulau, Lebak hinggalah ke Tanjung Belengu, yang memiliki penduduk Melayu yang tinggi majoritinya. Sementara beberapa lokaliti Cina dalam Lanchang, dilepaskan ke Mentakab.





Thursday, April 12, 2018

Fenomena Sinnathamby berulang di Mentakab?

Pada PRU 1990 orang-orang Melayu (termasuk orang Umno) di Mentakab (dahulunya dipanggil Dun Sanggang) dalam keadaan begitu tersepit kerana terpaksa memilih antara calon Cina atau India.

Pada masa itu BN diwakili oleh Pengerusi MIC Pahang R. Sinnathamby manakala pembangkang diwakili oleh calon daripada Dap Ng Kwi Ling. PAS tidak bertanding di kerusi tradisinya pada tahun tersebut kerana terikat dengan gabungan Angkatan Perpaduan Ummah dengan Semangat 46.

Kuota kerusi PAS di Lanchang pula diberikan kepada Semangat 46 melalui Hj Mohd Saludin Omar (yang sebenarnya ahli PAS) menentang Dato Bahri Yahya.

Suasana di Sanggang pada masa itu begitu kritikal kepada BN kerana majoriti pengundi adalah orang Melayu dari kampung-kampung tradisional di sepanjang Sungai Pahang dan Semantan.

Pada masa itulah orang-orang Melayu khususnya dari Umno mengatakan, “alangkah baiknya jika PAS bertanding kerana undi mereka akan diberikan kepada calon PAS.” Ini disebab Sinnathamby bukan sahaja seorang Hindu, malah diimport dari Karak.

Melihat kepada fenomena kritikal itu, Menteri Besar Pahang Tan Sri Khalil Yaakob datang berkempen dalam keadaan tergesa-gesa kerana bimbangkan BN kalah. Lalu beliau mengisytiharkan bahawa ‘Sanggang sebagai Dun angkat Menteri Besar’.

Akhirnya dalam PRU tersebut calon Bebas Dr. Selva mendapat 818 undi, DAP 5,493 undi dan Sinnathamby dapat 5,833 dan menang dengan majoriti 340 undi.

Kini suasana yang sama hampir berulang kerana Dap akan meletakkan calon Cina kerana Adunnya Tengku Zulpuri akan berpindah ke Parlimen Raub. BN pula terpaksa merelakan MCA mewakili gabungan tersebut. Manakala bekas calon MCA Dato Chua juga dijangka akan bertanding sebagai calon Bebas.

PAS yang mendapat suntikan semangat baru, akan bertanding kali ini dan akan meletakkan calon seorang bekas guru berijazah. Apa yang diharap, orang Melayu di Dun Mentakab mahupun Sanggang yang lama, akan memberi sokongan kepada calon PAS yang seorang ini. Jangan lagi seperti pisang berbuah dua kali yang akhirnya membawa sesal tak sudah!


PH terperangkap dalam naratif lama

Oleh ANAK SAHMAD MALAYA

TEMERLOH: Pakatan Harapan (PH) berterusan meracun pemikiran pengundi dengan isu sama berulang kali dengan menafikan perubahan yang dibuat ketika zaman pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

PH masih terperangkap dalam naratif (penceritaan) lama yang menyaksikan mereka hanya bergantung kepada sentimen dan dakwaan semata-mata tanpa fakta baru.

PH sebaliknya terus mahu menunggang "trust deficit" ini dengan mengasak pengundi dengan isu sama secara berulang sedangkan kualiti penghujahan pembangkang merosot jauh berbanding era reformasi.

Selain daripada isu-isu semasa zaman Najib, "trust deficit" bermula dari zaman Tun Dr. Mahathir, dan memuncak dengan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga membawa kepada PRU 2013 yang menyaksikan BN hanya dapat meraih 47 peratus undi popular.

Ketika Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk kepimpinan bermula 2009, banyak perkara sudah berlaku melibatkan inisiatif Najib sendiri, perkembangan ekonomi yang semakin meningkat, harga minyak, malah perubahan dalam pembangkang itu sendiri.

Ketika PH masih dengan naratif lama, kerajaan BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya menjawab semua tohmahan yang dibangkitkan pembangkang, malah angka-angka ekonomi pun menyokong Najib.

Pertubuhan-pertubuhan ekonomi atau kewangan pun begitu. Ringgit dan keyakinan pelabur pun sama mengukuh.

BSKL dalam keadaan menaik, eksport mengukur, imbangan dagangan terus positif, rizab asing bertambah, inflasi rendah dan pelbagai lagi perkembangan positif diperlihatkan dalam setiap angka yang tidak mampu dinafikan pembangkang sebenarnya.

Pelaburan asing semakin meningkat, kadar pertumbuhan menaik dari 5-5.5 peratus kepada 5.5-6 peratus sedangkan PH masih terperangkap dalam naratif lama.

Sebenarnya, kemasukan Tun Dr. Mahathir semakin merosakkan kedudukan PH.

Selain imej buruk Tun Dr Mahathir, PH kehilangan kredibiliti dan hujah apabila terpaksa mempertahankan 22 tahun pemerintahan Mahathir yang menjadi punca kelahiran pakatan pembangkang itu sendiri.

Secara perbandingan zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir sebenarnya jauh lebih buruk daripada Najib.

Selain isu penyelewengan dan sebagainya, zaman Tun Dr. Mahathir ditandai oleh serangan terhadap institusi-instusi bebas negara, badan kehakiman dan salah guna agensi penguatkuasaan seperti polis dan banyak lagi.

Ketika zaman Tun Dr. Mahathir, perbezaan pendapat politik ditangani dengan keras. Hari ini pembangkang jauh lebih bebas dengan ceramah, forum, himpunan, demonstrasi dan sebagainya.

Malah Tun Dr. Mahathir sendiri pada umur dan tahap kesihatannya, boleh berdemonstrasi dan berceramah tanpa risau atau takut dibelasah oleh FRU.

Tuesday, April 10, 2018

Mengundi hari bekerja: SPR dikecam tidak sensitif

Pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui pengerusinya Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah yang menetapkan tarikh Pilihan Raya ke-14 pada hari Rabu 9 Mei, mengundang banyak kecaman.

Ini seolah-olah ingin menghadkan peluang rakyat Malaysia daripada mengundi, kerana hari tersebut bukannya cuti umum.

Betapa tidak sensitifnya SPR, rungut mereka.

Kita mengambil contoh Dun Jengka sahaja. Menurut sumber, terdapat tidak kurang 2,000 pengundi yang berada di luar kawasan terutamanya yang bekerja di Lembah Klang. Bagaimana mereka dapat meraikan ‘pesta demokrasi’ ini jika dipaksa berkejar dan dihambat dalam masa yang singkat, sedangkan SPR mempunyai banyak pilihan hari jika prihatin sedikit dengan kehendak dan keperluan rakyat?

Contoh yang lain, ada beberapa pengundi di Dun Paya Pulai terdiri daripada pendidik yang sedang bertugas di Sabah. Kenapa SPR dengan mudah menafikan hak mereka untuk memilih pemimpin untuk masa depan mereka? Jadilah berlaku pertembungan, dalam mana SPR dan Kementerian Penerangan menghabiskan jutaan ringgit untuk iklan menggalakkan rakyat Malaysia mengundi. Namun pada masa yang sama SPR menetapkan tarikh yang sangat tidak bersesuaian, iaitu di pertengahan minggu.

Satu hal lagi, pelajar sekolah juga akan menjadi ‘korban’ hasil penetapan tarikh yang tidak sesuai ini. Bayangkan, untuk menyusun keperluan petugas polling agents dan counting agents memerlukan kedudukan tertentu terutama susunan meja, bilik kelas, pintu yang ditampal stiker tertentu, kedudukan pusat pengiraan dan lain-lain. Untuk mengatur dan menyediakan semua itu sudah tentu tidak mampu dilakukan dalam sekelip mata. Justeru berapa hari anak-anak pelajar terpaksa bercuti dan guru-guru mereka juga terpaksa bertugas?

Apakah SPR terlepas pandang dengan semua itu?

Rakan penulis blogger Cucu Mat Kilau ( https://cucumatkilau.blogspot.my/2018/04/ngo-angkara-persoal-tindakan-spr.html?m=1 ) juga turut mempersoalkan tindakan menetapkan tarikh tersebut.

Katanya, pilihan raya adalah detik bersejarah yang wajar disertai oleh majoriti pengundi. Hairan, dalam banyak-banyak hari bagaimana boleh memilih hari Rabu iaitu hari bekerja untuk satu detik bersejarah seperti itu.

SPR dalam sidang medianya pagi tadi menetapkan 9 Mei ini sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) manakala, tarikh penamaan calon pula pada 28 April ini.

Tarikh 5 Mei pula diputuskan untuk hari pengundian awal dan tempoh berkempen untuk PRU-14 kali ini adalah selama 11 hari.

Sebanyak 14,940, 624 pemilih layak mengundi pada PRU-14 kali ini berdasarkan daftar pemilih Suku Keempat 2017.

Rakyat gembira untuk berhadapan dengan pilihanraya, inilah masanya mereka memilih pihak mana yang difikirkan sesuai, Sama ada mahu kekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) memilih Gagasan Sejahtera (GS) atau pun Pakatan Harapan (PH).

Sewajarnya, pilihlah tarikh hari cuti Sabtu atau Ahad agar senang untuk rakyat keluar mengundi. Kenapa pilih hari bekerja?.

Sebelum ini senario hanya berlaku kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) sahaja. Namun kali ini melibatkan Pilihan Raya Umum (PRU) dan ia merupakan sesuatu yang amat mendukacitakan rakyat sebenarnya.

Paling parah, hari bekerja di tengah-tengah minggu pula (Rabu). Pilihlah hari Isnin, agar pengundi boleh merancang percutian bermula pada Sabtu hingga Isnin, untuk keluar mengundi. Tambahan pula bagi yang mengundi di kampung halaman masing-masing


Memilih hari Rabu menyebabkan ramai yang pasti gagal keluar mengundi dan peratusan juga akan menurun, tambahan pula kepada yang berada jauh di perantauan dan golongan muda. Sebab mereka terpaksa ambil cuti dua hari sama ada Selasa Rabu atau Rabu Khamis untuk balik mngundi. Tidakkah SPR terfikir semua ini?.

Pemilihan hari mengundi perlu dibuat secara teliti dan profesional jika benar SPR mahu menaikkan peratusan keluar mengundi. Bahkan memang dalam sejarah pilihanraya dulu-dulu ada dibuat pada hari bekerja namun dalam memudahkan urusan rakyat keluar mengundi maka keutamaan perlu diberikan pada hari cuti, ia lebih afdal.

Walau pun Rabu diisyhtiharkan cuti peristiwa, namun kesusahan kepada pengundi tetap ada dan ia memang tidak wajar sama sekali pada zaman moden hari ini. Takkanlah tak boleh fikir semua tu. Orang buat kenduri kahwin pun pilih hari Sabtu atau Ahad sebab cuti. Ia bagi memudahkan tetamu datang berkunjung sebab masing-masing bercuti. Inikan pula sebuah pilihanraya yang bertujuan untuk menukar kerajaan. SPR sedar ke tidak semua ini?.

Saya lihat beberapa PRU sebelum ini sudah dibuat pada hari yang sesuai iaitu hari cuti seperti PRU13 (Ahad), PRU12 (Sabtu), PRU11 (Ahad). Tapi tiba-tiba Pengerusi SPR yang ini tetapkan hari Rabu.,.. Ini bukan pilihan raya kecil ini pilihan raya umum, kena guna logik akallah.. nak memudahkan atau menyusahkan orang keluar mengundi.

Sebagai sebuah NGO bebas yang berkecuali saya berharap SPR dapat melaksanakan perjalanan pilihanraya dengan telus dan adil untuk kesemua parti politik yang bertanding.

Ingatlah, kamu melaksanakan amanah rakyat dan Allah atas muka bumi ini. Jalankan dengan ikhlas dan jujur kerana Allah bukan kerana manusia semata-mata, agar PRU14 dapat dilaksanakan secara aman dan harmoni.

Kita tidak mahu ada sikap double standard dalam setiap tindakan, yang menyebabkan rakyat tidak yakin dengan ketelusan SPR itu sendiri akhirnya. Selamat mengundi buat semua rakyat Malaysia.



Parlimen Temerloh: Sharkar bertanding dua kerusi?

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) telahpun mengumumkan Setiausaha Agung Pan, Anuar Tahir sebagai calon mewakili gabungan tersebut bagi merebut kerusi Parlimen Temerloh pada PRU akan datang.

Temerloh merupakan satu-satunya kerusi parlimen yang diperuntukkan kepada parti tersebut.

Anak Perlis yang telah kalah empat kali dalam PRU itu, diamanahkan merebut kerusi yang dimenangi PAS pada PRU yang lalu.

Tiada apa yang memeranjatkan dengan pengumuman tersebut, malah disambut lesu oleh sesetengah tenaga kerja parti tersebut kerana seolah-olah telahpun menjangkakan keputusan ‘KO’ kerana sudahlah kekurangan tenaga jentera atau petugas, malah akan terpaksa pula bertungus-lumus mengambil masa memperkenalkan calon asing yang tidak langsung dikenali ini.

"Tak ada anak tempatan ke?," rungut mereka.

Cuma dari kem BN, ternampak sidikit perhatian. Terdapat sedikit isu yang dibahaskan. Khabarnya Ketua Bahagian Umno Dato Mohd Sharkar Shamsudin sendiri bernafsu untuk bertanding. Paling mengejutkan, khabar dari sebelah sini belian akan bertanding dua kerusi iaitu Parlimen Temerloh dan Dun Lanchang, iaitu kerusi yang disandangnya sejak 1999 lagi.

“Barangkali sudah tiada calon yang diyakini lagi selepas kekalahan dan melompat Dato Saifudin Abdullah,” kata salah seorang pemerhati politik kedai kopi di sini.

“Barangkali Shakar target kali ini, tak Menteri Besar menteri,” kata seorang yang lain pula.

Jika benar Sharkar bertanding dua kerusi, bagaimana nasib Dato Riduan Hazimin dan Asririzal (Jayjay) yang dikatakan telah banyak berhabis wang dan masa setelah diisyaratkan ‘nama mereka naik’?

Selain daripada itu, Rafie Dato Hamdan dan Anuar Yunus juga dikatakan masih menaruh harapan.

Bagaimana pula hasrat majoriti penduduk tradisonal Lanchang yang mengidam dan menantikan anak tempatan dari mukim bersejarah itu untuk mewakili mereka sejak merdeka dahulu?

Orang Lanchang khabarnya sudah agak teruja dan menaruh harapan apabila Dato Azmi Mat Ludin yang memenangi jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh (mengalahkan Dato Saifudin dan Dato Akbar VV Aboo). Beliaulah yang diharap-harap mewakili mereka di Dun Lanchang. Malangnya, kali inipun hasrat mereka masih belum tercapai.

Apakah akan berlaku undi protes terhadap calon BN nanti?

“Wallahua’lam. Tetapi nampaknya PAS boleh mempertahankan Parlimen Temerloh lagi kali ini,” kata seorang anak muda apabila ditanyakan hal ini.



Friday, April 6, 2018

WARKAH BUAT PARA AMILIN


Dikala gendang telah dipalu:

Tajdidkan niat perjuangan kita hanya kerana Allah swt, kerana hanya dengan itu sahajalah, penat lelah kita, peluh yang mengalir, sengkang mata kita, derma yang dihulurkan diberikan pahala oleh Allah swt.

Tekadkan hati dengan penuh kesabaran untuk hadapi semua cabaran perjuangan dengan keyakinan bahawa tiada sesuatu mudarat akan berlaku kecuali dengan izin Allah swt.

Matlamat utama perjuangan kita adalah kerana menuntut keredhaan Allah swt. Maka jangan kita kecewa jika manusia tidak meredhai kita, hanya kerana redha Allah swt sahajalah kita akan peroleh kebahagiaan dunia dan Akhirat.

Jangan berdukacita dengan segala fitnah dengan keyakinan bahawa kebenaran itu datangnya dari Allah swt, yang benar tetap benar walaupun manusia mendustainya dan yang salah tetap salah walaupun manusia membenarkannya.

Jangan bimbang dengan apa jua keputusan pilihanraya nanti, kerana semuanya telahpun berada didalam ilmu Allah swt, yang mesti kita sesali ialah apabila kita tidak lansung membantu agama Allah swt ini.

Jangan sedih dengan caci maki kerana mereka tidak akan dibiarkan oleh Allah swt begitu sahaja, semua perbuatan manusia samada baik atau buruk semuanya akan dibalasi oleh Allah swt, tiada satupun yang akan terlepas dari persaksianNya.

Mujahadah melawan nafsu yang cenderung untuk bermalas-malas dalam perjuangan, kerana tidak pernah ada balasan baik bagi orang yang malas kecuali kedukaan dan kesedihan.

Jangan rasa lemah jika kita melihat musuh lebih kuat dan ramai kerana kita ada senjata hebat dan tajam iaitu doa, jangan malas berdoa kerana orang yang malas berdoa ialah seumpama orang yang berperang tanpa senjata, mudah dikalahkan.

Istiqamahlah menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan kerana hanya Islam sahajalah agama yang yang diredhai Allah swt dan juga juga yang telah dijanjikan oleh Allah swt pada suatu masa nanti bahawa "ISLAM PASTI MENANG".

.Selamat Berjuang Kepada Semua Para Amilin.

ROSLI ABDUL JABAR
PESURUHJAYA PAS PAHANG.