Friday, April 13, 2018

Orang Lanchang wakili BN Kuala Semantan?

Setelah kalah PRU selama dua penggal berturut-turut di Dun Kuala Semantan, Umno Temerloh akan mempertaruhkan pula anak jati Lanchang Dato Azmi Mat Ludin pada kali ini.

Hal ini disahkan oleh seorang ketua kampung (Tok Empat) ketika minum bersama pagi tadi. Beliau menguatkan kenyataannya dengan memberi contoh, besok pun (Sabtu) Azmi yang bersama-sama Dato Sharkar akan berkumpul bersama jentera Umno di padang awam Kg Bangau Tanjung dalam program bertemu rakyat sambil berkempen.

Sebelum ini Azmi yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian, dilantik sebagai menyelaras Dun Kuala Semantan sehinggakan telah banyak program bersama penduduk-penduduk kampung di sini.

Habis bagaimana dengan calon-calon lain yang nampaknya agak giat juga berkempen? Contohnya Asrizal (Jayjay anak Daro Sarit), Dato Riduan Hazimin Ramli dan Rafaie Dato Hamdan?

Rafaie itu barangkali bukan calon favourite, namun Jayjay dan Riduan dilihat sudah menghabiskan wang yang besar semata-mata ‘naik nama’ untuk dicalonkan. Jayjay berulang-alik dari KL dan Riduan pula dari Kuantan. Tambahan lagi, Jayjay, seorang usahawan, itu khabarnya pilihan Dato Sri Adnan Yaakob atas kuota Naib Ketua Pemuda Umno Negeri manakala Riduan, seorang lawyer, pula calon pilihan Sharkar.

Jayjay tu muda lagi, kata Tok Empat tadi. Dia masih banyak masa. Riduan? Riduan itu pula bagus akan tetapi dia pernah terjebak dengan kontroversi dalam kes bauksit oleh SPRM. Kita tak mahu pembangkang akan mainkan isu ini. Jadi kita pilih yang kurang kontroversi, kata Tok Empat lagi.

Pada PRU 2008, Dun Kuala Semantan dimenangi PAS dalam perlawanan satu lawan satu apabila calon PAS yang kini melompat, mengalahkan calon BN Khairudin Manan. Ada sesetengah mendakwa, beliau disabotaj dari dalam Umno sendiri.

Pada PRU 2013, BN yang diwakili Anuar Yunus, kalah lagi. Kali ini bukan sahaja kerusi Dun yang kalah BN juga terpaksa menderita kekalahan kerusi Parlimen Temerloh yang ditandingi Dato Saifudin Abdullah yang tumpas di tangan Ketua Pemuda PAS Malaysia ketika itu Ustaz Nasrudin Hassan.

Untuk parlimen, kini Ustaz Nasrudin kembali ke tempatnya sendiri di Indera Mahkota dan menariknya, Dato Saifuddin juga dikhabarkan akan memperjudikan nasibnya sekali lagi di Indera Mahkota menggantikan Dato Fauzi. Mereka akan bertemu dan bersaing sekali lagi.

Jika Dato Azmi orang Lanchang bertanding di Kuala Semantan, siapa pula yang akan bertanding di Lanchang?

Sharkar akan bertanding di Lanchang sekali lagi untuk penggal ke 5 kerana kerusi tersebut dianggap selamat, kata Tok Empat.

Di atas kertas, kerusi Lanchang telah terlibat dengan persempadanan semula dengan menambah dan mengambil dari kawasan dalam Dun Kuala Semantan melibatkan Tualang, Belengu, Buntut Pulau, Lebak hinggalah ke Tanjung Belengu, yang memiliki penduduk Melayu yang tinggi majoritinya. Sementara beberapa lokaliti Cina dalam Lanchang, dilepaskan ke Mentakab.





No comments:

Post a Comment