Monday, April 30, 2018

Rumah pangsa, jambatan gantung, nasib peniaga kecil isu diketengahkan calon PAS Mentakab

Rumah pangsa diduduki tanpa CF lebih 20 tahun, jambatan gantung yang menyeramkan, keperitan peniaga-peniaga kecil mencari rezeki, demikianlah antara pembelaan yang akan diperjuangkan oleh calon N30 Mentakab Ustaz Abirerah Awang Chik.


Katanya, sebagai anak tempatan Mentakab, itulah isu-isu yang akan diketengahkan jika diberi mandat pada hari pengundian 9 Mei nanti.

Mengenai rumah pangsa Taman Seri Kemuning, Batu 3 Temerloh beliau berkata terdapat kira-kira 300 keluarga dengan sekitar 1,500 penduduk yang terlibat. Pembinaan perumahan lima blok itu pada asalnya adalah perumahan rakyat berpendapatan rendah sama seperti perumahan Bukit Cermin, Desa Jaya Batu 7, Taman Sri Kerinau dan lain-lain milik kerajaan negeri. Semua perumahan lain penghuninya sudah mendapat hak milik namun Taman Seri Kemuning terus tidak mendapat CF. Risikonya ialah andai kata terjadi sesuatu musibah seperti kebakaran dan sebagainya, segala kerosakan, kerugian dan kemalangan tidak boleh dituntut kerana pihak insuran tidak menerima perumahan tanpa CF.

Rumah pangsa terbesar di Temerloh itu merupakan projek semasa Tun Khalil Yaakob menjadi Menteri Besar Pahang dengan mendapat peruntukan dana daripada kerajaan Pusat sementara kerajaan negeri hanya menyediakan tanah.

Dalam masa menyiapkan projek berkenaan, dua kontraktor utama telah ‘lari’ dan bertukar tangan hinggalah syarikat perumahan kerajaan sendiri yang masuk campur.

Pada asalnya bayaran pemilikan berbentuk sewa beli (RM25,000) itu dikutip oleh wakil kerajaan negeri sekitar antara RM50 ke RM100 sebulan. Lama kelamaan kerajaan negeri pimpinan Umno BN tidak lagi berupaya meneruskan sistem berkenaan lalu menyerahkannya kepada pihak bank.

Kedudukan perumahan yang strategik itu menyebabkan kawasan berkenaan dikatakan akan diambil alih untuk pembangunan menjadikan penghuni Sri Kemuning akan menjadi mangsa.

Terdapat tiga persoalan yang perlu diselesaikan . Pertama, ke mana mereka akan berpindah untuk memulakan penghidupan baru sedangkan mereka sudah lama bermastautin di situ. Kedua, mereka telah mengeluarkan wang membayar sewa mahupun membelinya. Ada antara mereka telah melangsaikan pinjaman melalui potongan gaji jadi bukan mudah untuk mereka membuat pinjaman kali kedua mencari rumah lain.

Ketiga, 70 peratus daripada pemilik merupakan warga emas. Jika mereka berpindah sementara menunggu pangsapuri baru, belum tentu nanti mereka akan dapat memiliki rumah baru kerana bank tidak akan mengeluarkan pinjaman kepada mereka lagi kerana faktor usia.

Mengenai jambatan gantang Kampung Mambang Berulang pula, katanya seingat beliau sejak kecil lagi begitulah keadaan laluan utama penduduk kampung berkenaan keluar dan berurusan. Selain laluannya sangat sempit, keadaan jambatan tersebut juga kelihatan uzur dan tidak selamat lagi.

Mengenai nasib peniaga kecil pula ialah berkaitan penutupan pasar borong di kawasan industri di mana hal ini menyebabkan pemborong-pemborong berniaga sendiri mengakibatkan terdapat persaingan antara pemborong dan peruncit kecil yang kebanyakannya Melayu.

Kewujudan pasaraya-pasaraya juga menyebabkan ramai peruncit bahan mentah kehilangan pendapatan apabila mereka memulakan perniagaan pada awal pagi.

Bagi Abirerah, isu-isu inilah yang akan diperjuangkannya nanti demi keselesaan rakyat yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya selain isu-isu lain seperti prasarana yang tidak dibekalkan kepada warung-warung didirikan Pihak Berkuasa Tempatan di bandar Mentakab.




No comments:

Post a Comment