Tuesday, April 24, 2018

Tawaran PAS Pahang: BANTUAN UNTUK RAKYAT TERMISKIN.

Miskin dan kaya adalah ketentuan Allah yang sudah tertulis bagi seseorang di mana sudah pasti ada hikmahnya. Namun sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, PAS tidak menganggap kemiskinan itu sebagai “jalan mati”.

Justeru PAS tidak melupa mahupun mengabaikan nasib rakyat yang ditakdirkan miskin. Pelbagai bantuan akan disediakan bagi membantu golongan ini agar hidup mereka seperti kelompok masyarakat yang lain. Juga pelbagai usaha akan dilaksanakan bagi merubah kehidupan mereka ke taraf yang lebih baik dan berdikari.

Termasuk dalam golongan ini ialah rakyat negeri Pahang atau pemastautin lebih 10 tahun di negeri ini yang terdiri daripada asnaf anak yatim, orang miskin, pesakit kronik, OKU terlantar serta mangsa bencana dan musibah.

Dalam hal ini PAS menumpukan empat asas utama dalam kehidupan iaitu tempat kediaman, pendidikan, bantuan untuk sumber pendapatan dan bantuan ketika kecemasan.

Bagi tempat kediaman atau rumah ia boleh dibantu melalui pembinaan sendiri di tanah pemilik. Cara kedua kerajaan yang akan membinanya melalui syarikat atau kontraktor yang dilantik. Sebagai bandingan, model ini boleh diambil daripada Skim Binaan Rumah Dhuafa’ seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan.

Bantuan ini juga meliputi kepada mangsa bencana seperti ribut dan rumah terbakar dengan bantuan segera atau bantuan kecemasan.

Bagi pendidikan pula khususnya kepada anak-anak asnaf, sejumlah dana akan diperuntukkan untuk tujuan memenuhi keperluan pelajaran di segenap peringkat.

Manakala bantuan untuk mengembangkan sumber pendapatan pula ia bertujuan mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan. Mereka yang berminat atau berbakat dalam bidang perniagaan akan dibantu seperti mengembangkan industri kecil dan sederhana. Begitu juga dengan yang berminat dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan haiwan. Di mana kemudahan asas, latihan serta skim bantuan peralatan akan disediakan.

Oleh itu satu tabung kebajikan dan sosial rakyat akan ditubuhkan oleh kerajaan negeri di mana kumpulan rakyat termiskin di seluruh negeri akan dibela melaluinya. Penubuhannya boleh mengambil model Tabung Serambi Mekah dan Tabung Tok kenali di Kelantan. Dana tabungan pula boleh diperolehi melalui institusi zakat, infak dermawan dan NGO serta sumber daripada GLC negeri.

Seperti bantuan makanan asasi, bantuan ini juga akan diurus dan diagihkan melalui Dun masing-masing.

Model dan inisiatif seumpama ini dijangka dapat memperlihatkan keindahanan Islam itu sendiri melalui konsep taawun dan kebajikan tanpa mengira agama dan fahaman.






No comments:

Post a Comment