Sunday, April 15, 2018

Bersatu dan PKR berentap di Kemayan?

Secara umum, akan berlaku pertandingan tiga penjuru hampir di semua kerusi dalam PRU ke 14 ini. Sudah tentulah BN, musuh tradisinya PAS (bersama Gagasan Sejahtera) dan gabungan baru Pakatan Harapan (PH)).

Namun lain pula ceritanya di Dun Kemayan dalam Parlimen Bera kali ini.

Sebelum ini kerusi Kemayan ditandingi oleh PKR melalui calonnya Bob Manolan bagi menentang BN. Dalam PRU lalu, beliau tewas kepada calon BN Mohd Fadil Osman dengan majoriti 4,063. Setakat ini, memang Bob calon fovourite PKR di situ.

Bagaimanapun parti pecahan Umno yang dipimpin Tun Mahathir, Bersatu, dijangka turut akan mempertaruhkan calonnya. Hal ini diberitahukan oleh seorang yang membahasakan dirinya sebagai Pak Jak. Alasannya, orang-orang kampung dan Felda tidak akan memilih Orang Asli sebagai pemimpin mereka, kata beliau. Pak Jak ialah bekas kakitangan kerajaan, dulunya ahli Umno namun kini beralih ke arah kepimpinan Mahathir. Kenyataannya disokong oleh Jo, bekas AJK Pemuda Umno yang juga kini berkiblat ke arah Mahathir.

Ditanya mengenai calon, mereka sudah mempunyai bekas orang kuat Dato Sri Ismail Sabri yang kini menyertai Bersatu, Mat Jidi. Mat Jidi bolehlah dianggap berpengaruh di kalangan orang Umno berdasarkan jawatan Ketua Penerangan Umno Bera yang pernah disandangnya. Dengar khabar, hari ini beliau mendapat watikah. Dikatakan, populariti Mat Jidi mampu menyaingi Fadil terutama di kalangan warga Felda.

PKR pula mungkin tidak akan berganjak ke belakang memandangkan hanya Kemayan yang mempunyai pengundi Orang Asli termasuk Pos Iskandar di Bera. Kemenangan PKR diharapkan menjadi pemangkin kepada kemenangan Zakaria Hamid dari PKR yang sekali lagi akan bertanding Parlimen Bera.

Ditanya tentang peluang pula, mereka (Bersatu) pula mengakui berat dan kesukaran mengalahkan Fadil yang dianggap proksi Ismail Sabri itu kerana pada masa ini sudah terdapat lebih 1,000 undi dari kem tentera yang baru ditempatkan di situ.

Ertinya, riak-riak orang tempatan untuk menolak Ismail Sabri sudah ada, namun penambahan lebih 6,000 pengundi baru dijangka menjadi penghalang. Pada PRU yang lalu Ismail hanya menang dengan majoriti tipis 2,143 daripada 42,944 pengundi. Masih ada yang menganggap bahawa Ismail Sabri sebagai ‘orang luar’ sebagai import Umno selepas persempadan semula kawasan pilihan raya yang memecahkan Bera dari Temerloh.

Hal ini dijangka menguntungkan PAS. Calonnya yang dikatakan seorang berpendidikan agama, aktivis peneroka, berperwatakan senang didekati dan berkedudukan tinggi dalam hairarki parti, dijangka mampu memberi saingan sengit. terutama kepada rakyat yang melihat kedua-dua belah pihak yang dirasakan hanya pandai menabur janji-janji manis.



No comments:

Post a Comment