Wednesday, April 18, 2018

Temerloh oh Temerloh...

Temerloh merupakan daerah dan bandar kedua terbesar di negeri Pahang. Namanya masyhur dan penduduknya peramah. Namun sempena pilihan raya umum ini elok rasanya dilihat pelbagai permasalahan yang belum ditangani.

1. Kos sara hidup yang tinggi.
Baik orang tempatan mahupun orang luar yang bertandang ke sini, acap kali merungut barangan keperluan asas dan makanan yang mahal. Kadang-kadang kita lihat barangan mentah yang dijual pekan sehari yang menjadi pusat beli-belah tradisional sejak zaman berzaman pun, lebih mahal daripada yang dijual di pasaraya besar. Bukan itu sahaja, sewa rumah dan perkhidmatan juga rata-rata menjadi bualan akibat kos yang tinggi. Keadaan ini jika tidak ditangani, menyebabkan orang-orang Temerloh terpaksa berbelanja besar daripada pendapatan atau bergadai bergolok hanya untuk keperluan-keperluan ini sahaja.

2.Parkir di bandar yang tidak mencukupi.
Ternyata Pihak Berkuasa Bandaran tidak merancang pembangunan dengan baik. Pembangunan dalam bandar langsung tidak seiring dengan kepesatan penduduk. Akibatnya, lot-lot parkir yang ada gagal menampung jumlah kenderaan yang ke luar masuk. Namun pihak berkuasa mengambil jalan singkat dengan menyaman kenderaan yang tidak diletakkan dalam petak yang disediakan.

3. Trek rosak di tempat rakyat beriadah rosak dan terbiar.

Satu lagi masalah pihak berkuasa perbandaran ialah selalu membiarkan trek dan alat mainan yang rosak atau tidak berfungsi. Pergilah ke Taman Kubang Gajah atau Taman Tasik Bandar. Masalah yang sama dapat dilihat di taman-taman mainan di kawasan-kawasan sekitar bandar Temerloh dan Mentakab.

4. Masalah nelayan sungai.
Identiti Temerloh tidak boleh dipisahkan dengan Sungai Pahang. Satu ketika Temerloh dikenali sebagai Bandar Ikan Patin. Di pesisir Sungai Pahang terdapat tidak kurang 1,000 sangkar ikan patin penduduk tempatan. Namun nasib mereka tidak dipedulikan dengan sewajarnya. Sudahlah punca rezeki mereka berisiko pada musim kemarau dan tengkujuh, masalah paling besar yang dihadapi ialah harga makanan ternakan ikan yang tinggi. Nasib mereka ini sepatutnya sudah lama diberikan pembelaan.

5. Peluang pekerjaan golongan muda.
Sebahagian besar kerja sudah dimonopoli oleh pendatang-pendatang asing. Kebanjiran mereka dapat dilihat dengan jelas di bandar Mentakab dan ada ketikanya menakutkan orang-orang tempatan. Kerajaan gagal mengawalnya, sementara mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru juga kerajaan gagal. Apa yang merugikan ialah sedikit demi sedikit orang-orang muda yang tiada pilihan terpaksa berhijrah demi survival hidup mereka. Ini merugikan sumber daerah kita.

6. Kekurangan pusat untuk pengajian tinggi serta latihan berkemahiran tinggi.
Hampir tidak munasabah, Menteri Pelajaran yang pertama iaitu Abdul Rahman Talib lahir di Temerloh, Namun di daerah kelahirannya tidak ada universiti, kolej (kecuali yang swasta OUM), MRSM, maktab atau vokasional (kecuali IKBN). Jika dilihat, Temerloh pernah diwakili oleh beberapa orang menteri seperti Dato’ Hamzah Abu Samah, Dato’ Sabarudin Chik dan Timbalan Menteri Dato’ Saifudin Abdullah selain Menteri Besar Tan Sri Yahya. Bahkan Tun Razak juga pernah mewakili Temerloh pada PRU yang pertama 1955.

Kita memerlukan wakil yang benar-benar boleh membawa suara akar umbi Temerloh demi kesinambungan generasi akan datang.



1 comment: