Saturday, April 28, 2018

Temerloh: Lima penjuru, dua calon bebas tak muncul

Dua individu yang diuar-uar akan bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Temerloh sebelum ini, tidak muncul menjadikan pertarungan lima penjuru.

Mereka ialah bekas Pegawai Daerah Temerloh Dato Abu Jamal dan penulis terkenal di laman facebook Isma Nazom Abdul Hamid.

Selepas penamaan calon dan tempoh bantahan tamat, kira jam satu tengahari Pegawai Pengurus SPR Datuk Azlan Mohd. Yaman mengumumkan:

Calon bagi P088 Temerloh terdiri daripada Mohd Khaidir Ahmad (Bebas), Muhd Fakhrudin Abu Hanipah (Bebas), Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (BN), Md Jusoh Darus dari PAS dan Mohd Anuar Mohd Tahir (Pan).

Sementara bagi Dun Mentakab pula menyaksikan Abirerah Awang Chik dari PAS akan bersaing dengan tiga calon Cina iaitu Datuk Chuah Boon Seong (Bebas), Datuk Wong Tat Chee (BN) dan Woo Chee Wan (DAP).

Bagi Dun Lanchang menghadapi persaingan empat penjuru antara Abas Awang (PKR), Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (BN - penyandang), Mohd Khaidir Ahmad (Bebas) dan muka baru Hasan Omar dari PAS.

Dun Kuala Semantan pula tanpa saingan daripada calon bebas dengan Syed Hamid Syed Mohamed (Pan), Datuk Nor Azmi Mat Ludin (BN serta Hassanuddin Salim (PAS).

Penamaan calon bagi Temerloh dilakukan di Dewan Tun Razak sementara bagi Kuala Krau di Pejabat Daerah Temerloh. Lebih 3,000 mengiringi calon PAS terutamanya golongan muda yang berkempul sejak jam 7 pagi lagi. BN pula diiringi kira-kira 2,500 penyokong sementara kelihatan sekitar 300 orang sahaja mengiringi calon PH.



No comments:

Post a Comment