Saturday, March 28, 2015

PAS Pahang berdiri teguh belakang presiden

PAS Pahang hari ini dengan dokongan Dewan-Dewan dan 14 Kawasannya, menegaskan pendirian menyokong penuh dan berdiri teguh di belakang Presiden dalam isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS).

Dalam kenyataan yang dibacakan oleh Pesuruhjayanya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, usaha memertabatkan hukum syariah dalam sistem perundangan negeri Kelantan, selaras dengan dasar dan matlamat PAS sejak belum wujud lagi Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, PAS Pahang mengalu-alukan semua pihak mengambil pendekatan bermaklumat dan berilmu apabila membahaskan isu berkenaan kerana tanpanya hanya akan mendedahkan rakyat kepada kekeliruan tanpa manfaat.

“Usaha tersebut telah bermula sejak sekian lama dalam bentuk taklimat, seminar, ceramah dan dialog kepada pelbagai pihak termasuk rakan-rakan dalam PR.

“Justeru tuduhan bahawa Presiden PAS mengkhianati rakan PR bersabit isu hudud dan beberapa serangan peribadi adalah tidak berasas dan melampau.

“PAS menganggap keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS ekoran isu hudud ini sebagai melucukan dan menjatuhkan wibawa mereka sendiri sebagai sebuah parti politik yang matang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang medianya hari ini di bangunan PAS Pahang seusai menyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Pesuruhjaya, ketua-ketua dewan dan semua Yang Dipertua PAS Kawasan-Kawasan.

Tambah Tuan Ibrahim, kepimpinan DAP seharusnya sedar bahawa hubungan politik dalam PR adalah hubungan yang bersifat parti dengan parti, bukan hubungan dengan individu.

Tegasnya, keputusan tersebut bermaksud DAP memutuskan hubungan dengan PAS keseluruhannya dan ini sekali gus menamatkan perjuangan rakyat untuk menamatkan hegemoni BN dalam politik Malaysia.

“PAS Pahang menggesa DAP supaya menarik balik tuduhan dan penghinaan terhadap Presiden PAS dan menghormati hak PAS dan umat Islam untuk mengamalkan ajaran agamanya secara menyeluruh seperti termaktub dalam perlembagaan negara,” ujarnya.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, PAS Pahang akan terus komited bersama PR dan tidak timbul sama sekali soal PAS keluar dan warga PR serta seluruh rakyat tidak perlu terpengaruh dengan dakyah kononnya PAS meninggalkan PR.

CAPTION
Tuan Ibrahim (tengah) besama dari kiri Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang Ustaz Mokhtar Senik, Pengerusi DHPP N Balasubramaniam, Timbalan-Timbalan PJ Md Jusoh Darus, Ustaz Yusof Embong dan Bendahari Musaniff Abdul Rahman






Friday, March 27, 2015

Lapor polis gadis hina hudud, 5 hari kena siasat

Seorang aktivis tidak menyangka tindakannya melapor polis terhadap perempuan menghina hudud melalui video yang diviralkan di media sosial, menyebabkan beliau disoal siasat sehingga lima hari.

Mohd Shukri Mohd Ramli, orang pertama yang membuat laporan terhadap Aisyah Tajuddin (gadis dalam video) di Balai Polis (IPD) Kuantan Jumaat lalu, bagaimanapun tidak serik mahupun kesal kerana menganggapnya sebagai tanggung jawab sebagai seorang Islam.

“Disebabkan saya orang terawal yang membuat laporan jadi laporan itu menjadi asas siasatan dan kukuhkan bukti pendakwaan dan saya akan menjadi saksi utama pendakwa.

“Saya telah berikan kerjasama penuh dan pihak polis pun telah keluar kenyataan akan panggil Aisyah ke Kuantan dalam masa terdekat untuk tujuan siasatan,” katanya.

Mohd Shukri yang juga Pengerusi NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) berkata, beliau telah banyak kali membuat laporan polis bagaimanapun kali ini paling teruk dan mencabar baginya kerana terpaksa disiasat selama lima hari siang dan malam.

Beliau yang terkenal dengan panggilan bloger Cucu Mat Kilau menceritakan, hampir-hampir menarik balik laporan polisnya namun setelah dinasihat dan diberi semangat kawan-kawan terpaksa mengambil sikap: ‘alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang mandi biar basah’.

Minggu lalu tersiar di media-media sosial sebuah video lakonan seorang gadis dengan nada sinis mempertikaikan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah negeri Kelantan yang telah diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Berikutan itu, timbul pelbagai reaksi dan kecaman terhadap aksi tersebut yang boleh ditafsirkan sebagai menghina hukum hududn.

Mohd Shukri berkata, beliau percaya Aisyah akan mempertahankan diri sebagai tidak bersalah dan peguam-peguam terkemuka akan membelanya.

“Jika saya kalah nanti mereka akan bertepuk tangan ... dan berjaya mempersendakan hudud. Justeru saya harapkan sokongan semua terutamanya daripada NGO Islam, para ulamak dan mereka yang mempertahankan kesucian Islam,” katanya.


Mohd Shukri selepas membuat laporan polis terhadap Aisyah Tajuddin berkaitan video menghina hukum hudud