Saturday, March 28, 2015

PAS Pahang berdiri teguh belakang presiden

PAS Pahang hari ini dengan dokongan Dewan-Dewan dan 14 Kawasannya, menegaskan pendirian menyokong penuh dan berdiri teguh di belakang Presiden dalam isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS).

Dalam kenyataan yang dibacakan oleh Pesuruhjayanya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, usaha memertabatkan hukum syariah dalam sistem perundangan negeri Kelantan, selaras dengan dasar dan matlamat PAS sejak belum wujud lagi Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, PAS Pahang mengalu-alukan semua pihak mengambil pendekatan bermaklumat dan berilmu apabila membahaskan isu berkenaan kerana tanpanya hanya akan mendedahkan rakyat kepada kekeliruan tanpa manfaat.

“Usaha tersebut telah bermula sejak sekian lama dalam bentuk taklimat, seminar, ceramah dan dialog kepada pelbagai pihak termasuk rakan-rakan dalam PR.

“Justeru tuduhan bahawa Presiden PAS mengkhianati rakan PR bersabit isu hudud dan beberapa serangan peribadi adalah tidak berasas dan melampau.

“PAS menganggap keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS ekoran isu hudud ini sebagai melucukan dan menjatuhkan wibawa mereka sendiri sebagai sebuah parti politik yang matang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang medianya hari ini di bangunan PAS Pahang seusai menyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Pesuruhjaya, ketua-ketua dewan dan semua Yang Dipertua PAS Kawasan-Kawasan.

Tambah Tuan Ibrahim, kepimpinan DAP seharusnya sedar bahawa hubungan politik dalam PR adalah hubungan yang bersifat parti dengan parti, bukan hubungan dengan individu.

Tegasnya, keputusan tersebut bermaksud DAP memutuskan hubungan dengan PAS keseluruhannya dan ini sekali gus menamatkan perjuangan rakyat untuk menamatkan hegemoni BN dalam politik Malaysia.

“PAS Pahang menggesa DAP supaya menarik balik tuduhan dan penghinaan terhadap Presiden PAS dan menghormati hak PAS dan umat Islam untuk mengamalkan ajaran agamanya secara menyeluruh seperti termaktub dalam perlembagaan negara,” ujarnya.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, PAS Pahang akan terus komited bersama PR dan tidak timbul sama sekali soal PAS keluar dan warga PR serta seluruh rakyat tidak perlu terpengaruh dengan dakyah kononnya PAS meninggalkan PR.

CAPTION
Tuan Ibrahim (tengah) besama dari kiri Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang Ustaz Mokhtar Senik, Pengerusi DHPP N Balasubramaniam, Timbalan-Timbalan PJ Md Jusoh Darus, Ustaz Yusof Embong dan Bendahari Musaniff Abdul Rahman






No comments:

Post a Comment