Satu-satunya cucu pahlawan terkenal Pahang Mat Kilau dari isteri pertamanya yang masih hidup, Ibrahim Omar, 77, meninggal dunia pagi ini di rumahnya di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar, Jerantut.
Ibrahim yang dikenali masyarakat tempatan sebagai “Aki Aib”, tidak pernah berumah tangga dan tinggal berseorangan di rumah PPRT kerajaan itu.
Beliau merupakan anak kepada Omar, anak lelaki Mat Kilau yang bertanggungjawab mengisytihar pahlawan yang digeruni penjajah Inggeris itu masih hidup pada tahun 1969, sehingga menggemparkan dunia kerana sebelum itu Mat Kilau pernah diisytiharkan mati.
Sedikit tentang Mat Kilau
Mat Kilau ialah anak Imam Perang Rasu atau Tok Gajah iaitu pahlawan tersohor Pahang yang bangkit menentang penjajahan Inggeris di Pahang sekitar 1890-an.
Legenda pahlawan Melayu yang amat digeruni pada satu ketika dahulu bersama Datuk Bahaman Orang Kaya Semantan dan Tok Gajah mengukir nama dalam sejarah negara kerana berani tampil menentang penjajah meski pun tanpa kekuatan, kelengkapan dan sokongan setara.
Setelah Inggeris mengisytiharkan Mat Kilau terbunuh dalam satu pertempuran, kehidupan dan perjuangan beliau seolah-olah hanya tinggal dalam lipatan sejarah sehinggalah beliau mengisytiharkan dirinya di kampung kelahirannya di Pulau Tawar, Jerantut pada 26 Dis 1969.
Menurut catatan sejarah, Mat Kilau anak pasangan Tok Gajah dengan Mahda anak Tok Kaut Burau dilahirkan pada tahun 1848 di Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut.
Pada usia 12 tahun beliau telah dihantar belajar sekolah pondok di Terengganu sehingga mahir mengaji Al-Quran dengan berbagai lagu. Selain itu beliau juga pandai berzanji dan berdikir Maulud. Apabila berusia 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan Yang Chik binti Imam Daud dari Kampung Kedondong. Dari hasil perkahwinan itu Mat Kilau telah dikurniakan empat orang anak iaitu Mohd Ali, Omar, Khalid dan Khadijah.
Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau menuntut ilmu persilatan dari ayahnya sementara ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osman (Mufti Pahang) yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk.
Mat Kilau dikatakan pemuda yang berketrampilan, berpemikiran matang dan memiliki sifat-sifat seorang pemimpin sehingga menjadikan beliau sangat disegani dan dihormati pada zamannya. Pada bulan Oktober 1888 Residen British Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini membuktikan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau.
Mat Kilau mula menyertai kebangkitan pahlawan Melayu Pahang yang dipimpin Datuk Bahaman menentang penjajah pada pertengahan Disember 1891. Banyak pertempuran tercetus antaranya di Lubuk Terua, Lanchang dan Kuala Semantan sehingga kumpulan mereka berjaya menawan Temerloh. Kebangkitan di Semantan merebak ke daerah-daerah lain.
Pada peringkat ini penjajah telah melancarkan propaganda secara psikologi dengan menuduh kononnya pahlawan-pahlawan Pahang itu sebagai pengkhianat, pemberontak dan menderhakai Sultan, supaya rakyat tidak bersimpati atau menyertai kumpulan itu. Ketika itu Pahang berada di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah.
Antara Mac hingga Julai 1892 berlaku pertempuran antara pahlawan-pahlawan Melayu dengan tentera upahan Inggeris di bawah Clifford di Kuala Lipis. Pada pertengahan Jun 1894 tercetus lagi pertempuran di Pasir Tambang dan Jeram Ampai, Kuala Tembeling sehingga kumpulan pahlawan Pahang berjaya menawan kubu British di sana. Namun pihak penjajah bertindak balas dengan melancarkan serangan secara besar-besaran terhadap pahlawan-pahlawan Melayu serta melipatgandakan jumlah anggota polis Sikh dari Perak dan Selangor.
Bermula Oktober 1895 Inggeris meminta bantuan Siam. Berada pada situasi sedemikian Mat Kilau dan kumpulannya mengambil keputusan berundur ke Terengganu melalui Ulu Tembeling ke Petai Bubus. Jalan tersebut kini dikenali ‘Laluan Sejarah’. Selain daripada Datuk Bahaman dan Mat Kilau rombongan tersebut juga disertai oleh Tok Gajah, Mat Kelubi, Awang Nong, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahid dan Mat Lela.
Di Terengganu mereka disambut oleh pahlawan Terengganu Tuan Guru Abdul Rahman Limbong. Rombongan tersebut seterusnya ke Kelantan dan bertemu pahlawan negeri itu Tok Janggut. Seterusnya rombongan itu berhijrah ke Chieng Mai, utara Siam.
Bagi pihak penjajah pula setelah mereka gagal membunuh atau menangkap kumpulan pahlawan Melayu ini lalu menguar-uarkan kononnya mereka terbunuh. Kematian mereka tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press bertarikh 22 Oktober 1895 menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Dato' Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa "Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah".
Mat Kilau mengisytiharkan diri
Dengan tersiarnya berita tersebut maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau. Sebaliknya setelah berada beberapa ketika di Siam Mat Kilau pulang ke Pahang. Akibat dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris dan dipercayai oleh sebahagian orang Melayu, maka terpaksalah beliau berhijrah dari satu tempat ke satu tempat termasuk Rompin dan Pekan dengan menggunakan beberapa nama seperti Mat Dadu, Mat Dahan dan Mat Siam. Beliau sempat berkahwin dengan orang Rompin yang di panggil Mak Besar. Anak cucunya yang berada di Kuantan sekarang ialah hasil perkahwinan dengan orang Pekan.
Lebih kurang pada tahun 1930-an Sultan Abdullah telah mengurniakan sebidang tanah dekat Paya Besar iaitu di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Pada tahun 30-an, 40-an dan 50-an sebenarnya Mat Kilau pernah berulang-alik ke Pulau Tawar bagi meninjau tempat kelahirannya itu. Ketika feri Sungai Jerantut masih ada. Dia pesan berkali-kali kepada seorang mandor Feri untuk jumpa Omar anaknya. Sayangnya tak siapa yang mengenalinya walaupun anak-anak tahu beliau masih hidup, tapi tak kenal”.
Setelah dua tahun kami waris Mat Kilau di Pulau Tawar berbahas dan berbincang akhirnya Mat Kilau sendiri bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Tarikh pengisytiharan dipilih pada hari Jumaat 26 Disember 1969. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah membaca Al-Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.
Perisytiharan tersebut telah mengemparkan tanah air dan dunia sehingga Kerajaan Pahang pada 8 Januari 1970 telah menubuhkan sebuah panel penyiasat diketuai oleh Datuk Abdul Aziz Ahmad. Setelah disahkan, pada 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang Tan Sri Yahya Mohd Seth. Empat hari selepas pengumuman pengiktirafan tersebut, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu 122 tahun.
~ Sebahagian artikel dipetik daripada tulisan penulis sendiri yang pernah tersiar dalam akhbar Siasah satu ketika dulu.
No comments:
Post a Comment