Wednesday, December 7, 2011

PAS Kerdau beri sumbangan pelajar cemerlang UPSR

TEMERLOH: PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau, semalam meraikan 33 orang pelajar daripada seluruh sekolah-sekolah rendah dalam Dun berkenaan 252 yang mencatatkan keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun.

Pada majlis yang diadakan di Dewan Darul Hikmah, Tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau itu setiap pelajar telah menerima sumbangan wang tunai, medal cenderahati, sijil anugerah pelajar cemerlang dan senaskah buku tafsir surah Al-Fatihah.

Hadiah disampaikan oleh AJK Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga Penyelia Dun Kerdau Ustaz Kamal Ashaari dan Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Al-Hafiz.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang Ustaz Ahmad Nafiri Toazi dan Naib Ketua PAS Kuala Krau Ahmad Mat Yaman.

Menurut Kamal Ashaari, program anjuran Dun berkenaan adalah tradisi sejak 10 tahun lalu setiap kali selepas keputusan diumumkan dan hadiah juga akan diberikan kepada semua pelajar cemerlang untuk peperiksaan PMR, SPM, STPM apabila keputusan diumumkan nanti.

Sementara itu, Shahril Azman yang juga Penyelaras Parlimen Kuala Krau dalam ucapannya di hadapan ibu bapa pelajar berkata hadiah yang disumbangkan merupakan galakan semangat kepada mereka serta rakan-rakan mereka supaya berusaha lebih keras menggapai kejayaan pada masa akan datang.

“Pihak Kawasan dan Dun juga akan berusaha meningkatkan sumbangan dan supaya hasilnya dapat sama berkongsi kejayaan dengan pelajar-pelajar cemerlang nanti kerana mereka adalah permata yang paling berharga dan akan menyumbang semula dalam bentuk khidmat bakti pada masa akan datang, insyaAllah,” katanya.

Shahril berkata, pelajar luar bandar yang beroleh kecemerlangan pada peperiksaan ini bukanlah calang-calang berbanding dengan pelajar bandar yang cukup kemudahan dan tuisyen.

Justeru jika Pakatan Rakyat dapat memerintah nanti jurang luar bandar dan bandar akan dirapatkan dengan menyempurnakan prasarana yang perlu.


Gambar:

1. Pelajar-pelajar cemerlang ceria bersama Ustaz Kamal, Shahril, Ustaz Nafiri dan Ahmad (barisan belakang.


No comments:

Post a Comment