Wednesday, December 28, 2011

Saman terhadap KPF, FGV didengar 4 Januari

TEMERLOH, 28 Dis: Kes Empat orang ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) yang memfailkan saman pemula memohon injunksi mahkamah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari, ditetapkan pendengaran di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 4 Januari ini.

Injunksi yang juga dibuat bagi menghalang penyenaraian saham FGVH di Bursa Malaysia dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding itu akan didengar di hadapan hakim Datuk Mariana Yahya.

Serentak dengan itu, peguam plantif Mohd Harris Abdullah, akan mengemukakan “interim injunction” pada hari tersebut bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari.

“Memandangkan masa yang suntuk, saya akan memohon interim injunction secara lisan kepada hakim pada hari tersebut bagi menghalang meyuarat agung KPF keesokan harinya.

“Kita memfailkan saman injunksi di Mahkamah Tinggi Temerloh sebelum ini adalah untuk menghalang mesyuarat agung tersebut jadi jika dibenarkan hakim keputusan injunksi itu akan dihantar segera ke pejabat Felda,” katanya kepada Harakahdaily.

Jumaat lalu Rosdi Ismail, Alias Ibrahim, Abdullah Mohamad dan Rakiah Sulong yang kesemuanya ahli KPF dari Felda Jengka 15,
telah memfailkan saman pemula terhadap KPF dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saman tersebut adalah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding.

Difahamkan, mesyuarat khas KPF itu adalah untuk mengesahkan status Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF dan meminta sokongan ahli KPF bagi pelupusan ekuiti koperasi itu dalam Felda Holding untuk tujuan penyenaraian FGVH ke dalam Bursa Malaysia.

Sebelum ini Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memaklumkan Isa belum menjadi Pengerusi KPF namun beliau dikatakan sudahpun bertindak sebagai penjawat itu berdasarkan surat pelantikan daripada Perdana Menteri.

Tindakan menyenaraikan saham Felda melalui FGVH juga turut dipertikai warga Felda kerana prestasi KPF iaitu koperasi terbesar dalam negara pada masa ini paling berjaya sehingga memperolehi RM5 bilion setahun dan menjana keuntungan sebanyak RM800 juta manakala rizab tunainya sahaja melebihi RM1.1 bilion.

Sebaliknya penyenaraian saham FGVH yang mahu disekat peneroka itu didakwa hanya untuk mendapatkan dana sebesar RM3 bilion untuk agenda tertentu menjelang April nanti.


~ Sumber: Harakahdaily



1 comment:

  1. aku-ANAK neroke jugek...December 31, 2011 at 9:23 AM

    Boleh percaya ke ketelusan hakim tu nanti?Aku lansung dah tak percaya dengan hakim hakim ni..Ingat dulu,berita yang disiarkan dalam blog ni,anak peneroka dituduh mencuri harta sendiri?Bayangkan betapa tak selamatnya lagi Malaysia..Rupanya anak peneroka tu dihukum denda RM2000 jika tak bayar denda dia akan dikenakan penjara 3 bulan.Kes yang berlaku pada tahun 2009 itu rupanya permasalahan antara anak peneroka itu dengan pengurusan felda sejak tahun 2007.Anak peneroka itu pernah menghantar surat kepejabat felda untuk menguruskan sendiri ladang sawit milik aruah ayahnya.Pernah kedua belah pehak buat repot yangmana anak peneroka itu buat repot pengurus felda mencuri lebih 10 tan sawit yang telah dituai dan dikumpulkan.Tapi Polis tak ambil tindakan pulak..
    Kes yang dituduh dan dihukum tu sebenarnya bukan kes jenayah,tapi kes sivil.Yang menjadikan aku tak percaya pada Hakim(Mejistret)adalah,duit barang kes(hasil jualan sawit barang kes)tidak didaftarkan diMahkamah.Mungkin pegawai penyiasat kes tu dah songlap.Bukan banyak sangat pun..sekitar RM700 je.Pengurus yang menuduh anak peneroka tu mencuri sebenarnya buat repot palsu kerana diketahui budak tu anak tuan tanah malah telah pernah meghantar surat untuk menguruskan semula ladang sawit aruah ayahnya.Malah ketika kes itu baru beberapa hari berjalan bicara kuasa telah pun selesai yangmana budak yang dituduh tu berhak 1/1 bahagian harta aruah ayahnya difelda tu.Sedangkan perbicaraan berjalan selama setahun.Banyak yang tak kena dengan kes tu..
    Semalam dalam berita,seorang menteri UMNO menyatakan 'jangan politkan hakim'.Habis pada siapa lagi nak mengadu?Nak ngadu kat Chin Peng,dia dah mati...
    Aku SOKONG SAMAN NI.

    ReplyDelete