Friday, December 9, 2011

FORCE 136: KENANGAN, KEJUTAN – PAK SHEIKH

“Pada 27 Oktober 2011 yang lalu, iaitu dalam usia 85 tahun ini, saya telah dijemput hadir ke majlis Perasmian Kem Force 136 di Sungai Miang, Pekan, Pahang. Yang istimewanya, majlis berkenaan turut dihadiri dan dirasmikan sendiri oleh ke bawah Duli Tuanku Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah.

Baginda begitu mengambil berat pasukan tersebut kerana ayahanda baginda sendiri, Almarhum Sultan Abu Bakar pernah terlibat dengan Force 136 sebagai Kolonel Pemerintah Kehormat (1945) peringkat negeri Pahang.

Majlis berkenaan turut meraikan kami daripada bekas anggota Force 136 iaitu pasukan yang diwujudkan penjajah British (pada mulanya ditubuhkan di India kemudiannya dibawa ke Malaya) untuk menentang Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Daripada lebih 200 anggota berkenaan bersama-sama saya dahulu, yang hadir pada hari tersebut hanya tinggal lima orang sahaja yang dapat serta dalam upacara tersebut. Dua orang menghantar wakil, sementara yang lain belum dapat dikesan.

Saya, Haji Sheikh Hussin Sheikh Jaafar, telah dilahirkan pada 12 Jun 1926 di Kampung Parit Tengah, Pekan. Kemudian memasuki sekolah Melayu Pekan pada 1935 ketika usia 9 tahun, selepas itu berhenti sekolah apabila Jepun masuk menjajah Tanah Melayu pada tahun 1941. Ketika itu, usia saya 15 tahun.

Apabila Jepun masuk menjajah saya dipaksa memasuki sekolah Jepun iaitu di sekolah Ketapang, Pekan hampir enam bulan. Kemudian saya lari dari sekolah itu kerana merasa tidak selesa dengan cara pembelajarannya. Contohnya, pagi-pagi hari apabila sesampai saja di sekolah, kami dipaksa berbaris lalu menyanyikan lagu memuja matahari.

Lepas itu saya ditangkap lalu dihantar untuk dimasukkan ke pusat latihan tentera Jepun Gai-Gun. Di situ saya berada selama antara empat ke lima bulan, kemudian saya lari lagi ke Kemaman, Terengganu.

Selepas berada di Kemaman selama beberapa minggu, saya ditangkap sekali lagi dan dibawa ke Bukit Besi, Dungun tempat tahanan tawanan askar-askar British termasuk berbangsa Melayu dan Punjabi untuk dijadikan pekerja-pekerja tebusan. Dalam pada itu saya dengar rakan-rakan saya iaitu Syed Omar, Bidin dan Yusuf sedang berpakat-pakat untuk melarikan diri.

Pada satu malam kira-kira jam tiga pagi, pada waktu itu hujan sangat lebat, kami merancang untuk lari menyusup keluar pagar kawat duri yang dikawal oleh tentera Jepun.

Tiba pada saat waktu yang baik, saya bersama dua orang rakan akhirnya dapat meloloskan diri melepasi kawalan askar Jepun. Hampir dua jam kami berjalan dalam hutan dengan kesejukan merentasi hujan lebat serta meraba-raba dalam kegelapan.

Dalam perjalanan saya terdengar bunyi anjing menyalak, rupa-rupanya kami berada berhampiran Sungai Paka, Dungun. Saya tahu serba sedikit kawasan jalan keluar itu kerana sebelum itu saya telah ditugaskan oleh tentera Jepun untuk menebang balak kecil di luar kawasan pagar, untuk digunakan membuat kayu arang keretapi.

Kami berjalan selama hampir dua minggu dan terpaksa tidur di atas pokok untuk mengelakkan daripada binatang buas. Untuk mengalas perut kami hanya memakan umbut-umbut bayas dan minum air dengan akar kayu saja. Mujurlah ketika melarikan diri kami membawa bersama parang dan kapak untuk menyelamatkan diri.

Kami berjalan tanpa mengetahui ke mana arah dituju. Dengan takdir Tuhan, kami dijumpai oleh satu pasukan (yang pada mulanya kami sangkakan pengganas komunis), terus ditangkap lalu dibawa pergi. Saya tidak tahu berada di mana pada masa itu dan siapa yang menangkap.

Sampai di satu tempat baru diberitahu mereka ialah daripada Force 136 (Wataniah) yang menangkap itu pula ialah Sarjan Haji Alias Endut bersama beberapa orang rakan sepasukannya. Selepas itu kami dibawa pula ke Raub lalu diperkenalkan dengan pagawai Force 136 negeri Pahang yang berbangsa Inggeris. Kami bertiga bersama beberapa orang lagi diarahkan untuk menyiasat di mana tentera Jepun berada untuk di serang. Kami berada di situ dalam beberapa bulan, sehinggalah kami mendapat arahan daripada ketua pasukan untuk keluar kerana pasukan tentera Jepun telah menyerah kalah dalam peperangan iaitu pada 2 September 1945.

Saya pun dibebaskan lalu pulang ke Pekan dan Kuantan.

Saya hampir melupai semua peristiwa yang saya lalui 60 tahun dahulu, sehinggalah saya menerima panggilan telefon daripada Mejar Mohd Abas Affendi yang mengundang saya ke majlis Perasmian Kem Force 136 di Sungai Miang, Pekan, Pahang.

Pada mulanya saya terpinga-pinga sehinggalah menerima panggilan telefon berulang kali untuk menghadiri majlis berkenaan dengan berpakaian kot atau berbaju Melayu. Akhirnya diwakilkan seorang sarjan menemui saya di rumah dan memberitahu surat jemputan akan dihantar secepat mungkin.

Saya agak merasa agak teruja dan terkejut apabila pada hari berkenaan saya diiring oleh dua orang koperal menemui Mejar Abas. Selepas itu Mejar Abas membawa saya ke perbarisan tetamu diraja. Selepas tamat, saya dibawa ke dewan jamuan diraja. Saya ditempatkan bersama wakil Force 136 di meja khas, dikelilingi oleh tetamu kehormat Yang Berhormat, Dato’-Dato’ dan kerabat diraja.

Apabila Baginda Sultan berangkat tiba di hadapan kami, Baginda terus bersalam dengan saya lalu bertanya khabar kerana Baginda merupakan kenalan saya semasa kecil. Majlis diakhiri dengan penyampaian sumbangan oleh ke bawah Duli Tuanku sempena ulang tahun keputeraan baginda.

Akhirnya saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan ribuan terima kasih ke bawah Duli Tuanku sempena hari keputeraan baginda. Juga kepada ketua Pasukan Force 136 Leftenan Kolonel Bakri Abd Majid, Mohd Abas Affendi serta para anggotanya.”


No comments:

Post a Comment