TEMERLOH: Di sebalik pendedahan keluarga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil memiliki banglo mewah di Singapura dan pelbagai isu melibatkan syarikat lembu National Feedlot Centre (NFC), dijangka lebih ramai tokoh Umno yang terpalit dalam kontroversi tersebut.
Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, yang ditugaskan untuk menyiasat dan membongkar skandal NFC bernilai RM250 juta dan tanah 5,000 ekar di Gemas itu mendakwa, ia disebabkan projek tersebut ‘dianugerah’ kepada syarikat yang langsung tiada pengalaman tetapi berkepentingan politik.
“Oleh kerana projek ini diberi bukan atas merit, kita sedang menyiasat lebih ramai pihak yang akan terpalit. Umpamanya Datuk Seri Najib adalah pengerusi kabinet bagi projek berimpak tinggi pada tahun 2006.
“Tan Sri Muhyiddin pula sebagai Menteri Pertanian pada masa itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri yang mempengerusikan kabinet manakala Khairy Jamaluddin dianggap ‘sangat berkuasa’ pada masa itu.
“Kita sedang meneliti peranan mereka semua dalam isu lembu. Satu lagi kita sedang menyiasat apabila jamaah mesyuarat memutuskan projek dianugerah kepada keluarga Shahrizat, apakah beliau ada atau tidak dalam majlis berkenaan pada masa itu,” katanya.
Tambah Rafizi, jika Ketua Wanita Umno itu ada di situ ia bersalahan dengan peraturan.
Berucap dalam majlis anjuran PKR Cabang Temerloh di Taman Saga Mentakab di sini, Rafizi berkata skandal lembu itu menunjukkan betapa hodoh dan rakusnya pemimpin Umno mengendalikan wang tabung petani itu dan rakyat sepatutnnya memberikan amanah kepada pemimpin yang lebih bertanggungjawab dalam pilihan raya akan.
Rafizi menceritakan, beliau sendiri pernah menyamar sebagai penjual lembu dari Kuala Lumpur dan masuk ke pejabat ladang syarikat tersebut di Gemas.
Beliau diberitahu oleh kakitangan syarikat, lembu tidak dipelihara di situ tapi diimport dari Australia hanya sekali pada tahun 2008 sebanyak 3,000 ekor dan stok yang ada pada masa itu hanyalah 1,000 ekor.
“Melalui maklumat yang kita dapat syarikat untuk mengendalikan lembu untuk keperluan bekalan seluruh negara itu telah membeli dua buah sendiri dengan kos RM480 ribu setahun.
“Wang RM250 juta yang sepatutnya membantu rakyat daripada tabung petani itu didapati membeli kereta mewah Mercedes Benz, dua lot tanah strategik di Presint 10 Putrajaya yang dibeli secara tunai dengan kos RM3.3 juta.
“Kami juga tengah siasat kaitan syarikat keluarga Shahrizat itu dengan tiga restoran mewah dan sebuah pusat beli belah di Singapura. Begitu juga bayaran secara tunai RM80 ribu kepada sebuah syarikat pelancongan Impian Global Network,” jelasnya.
Tegas Rafizi, menurut syor Ketua Audit Negara sepatutnya syarikat milik keluarga Shahrizat itu bukan sahaja pelihara lembu tetapi juga mesti melatih 300 orang penternak lembu.
“Bayangkan sebuah syarikat yang langsung tidak ada pengalaman tetapi diberi RM250 juta dan tanah 5,000 ekar dan gagal. Sebab itu jika pemimpin Umno ada maruah, mereka akan minta Shahrizat letak jawatan.”
Turut berceramah Exco Kerajaan Selangor Elizabeth Wong dan Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid.
No comments:
Post a Comment