Saturday, December 17, 2011

PAS mahu kerajaan selesai masalah bas

TEMERLOH: PAS Pahang mendesak Kerajaan Negeri Pahang campurtangan segera bagi menangani masalah bas City Liner di bandar ini yang menggantung perkhidmatannya sejak dua minggu lalu sehingga mengakibatkan ribuan pengguna terkandas.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang, Hassanuddin Salim, berkata pengangkutan awam itu amat penting kerana ia melibatkan pelajar sekolah, kakitangan awam, peniaga kecil dan orang kampung yang mahu ke hospital.

Tambahnya, kerajaan mesti proaktif menangani masalah tersebut tanpa mengambil kira terpaksa melibatkan kos kewangan kerana ia lebih daripada kebajikan dan keperluan rakyat yang tidak dapat tidak di samping pemandu bas kehilangan sumber pendapatan.

“Saya difahamkan bas City Lyner yang merupakan pengangkutan awam utama digunakan saban hari di daerah ini menggantung sementara operasi berikutan tidak mampu menampung kos yang semakin meningkat.

“Malangnya tindakan menghentikan operasi bas henti-henti itu telah menjejaskan ribuan pengguna termasuk mereka yang bekerja dan berurusan di bandar ini juga yang mahu pergi ke hospital Temerloh.

“Jadi kerajaan jangan ambil kira untung rugi sangat, demi keprluan dan kebajikan rakyat yang tidak mempunyai kenderaan segera pulihkan operasi pengangkutan awam berkenaan supaya perjalanan semua pihak dapat tidak terganggu,” katanya.

Tambah Hassanuddin, jika kerajaan boleh menghabiskan wang kepada urusan-urusan lain jadi kenapa tidak berusaha memulihkan pengangkutan utama ini kerana ia keperluan mendesak puluhan ribu rakyat di sini pada masa ini.

Hassanuddin berkata, beliau difahamkan beberapa negeri telah mengambil inisiatif menampung kos operasi bas di negeri masing-masing kepada syarikat pengangkutan yang tidak mampu lagi.

Bas City Liner menghubungkan daerah ini dengan Bera dan Maran dengan melalui bebrapa buah perkampungan, sekolah dan hospital. Dengan ketiadaan perkhidmatan bas berkenaan, penumpang terpaksa menggunakan teksi yang melibatkan perbelanjaan yang lebih besar.

Sementara itu lebih 30 pemandu bas berkenaan yang kehilangan sumber pendapatan utama mereka sejak operasi bas digantung, turut mengadakan demonstrasi (lihat gambar) meminta kerajaan campur tangan segera.

Pemandu bas, Ahmad Bila Adam 46, berkata, pemandu dan penumpang merayu kerajaan selesaikan masalah itu dengan segera memandangkan hampir setiap hari ratusan penumpang yang masih tidak tahu perkhidmatan bas digantung terkandas.

Menurutnya, sejak lebih 20 tahun bekerja dengan syarikat terbabit, masalah yang berlaku kali ini agak perit kerana kehilangan sumber pendapatan utama dalam keadaan harga barangan semakin mahal sekarang.

“Kami tidak ada punca pendapatan lain, sebab itu menggesa kerajaan negeri dan agensi berkaitan campur tangan dalam isu ini.

“Kerajaan kena turun sendiri selesaikan masalah kami, sekurang-kurangnya adakan perbincangan dan jenguk kami di sini yang semakin tertekan,” katanya ketika ditemui dalam demonstrasi aman di Stesen Bas Henti-Henti di Lurah Semantan semalam.

Pemandu bas, Mohd Safran Abdul Karim berkata, pendapatan mereka kini hanya bergantung pada gaji pokok di antara RM300 hingga RM600 sebulan.

Menurutnya, dia sendiri dibayar di bawah RM400 sebulan dan dengan pendapatan sebanyak itu sudah tentu tidak cukup untuk menyara keluarga dan anak-anak yang masih bersekolah.

“Perkhidmatan bas digantung bermakna kami tidak ada kerja, tidak ada kerja bermakna tidak ada gaji, macam mana nak sara keluarga,” katanya.


No comments:

Post a Comment