Thursday, October 7, 2010

Tasik Paya Bungor terbiar, patut jadi kawasan pelancongan

Akhbar Sinar Harian hari ini (Khamis) menyiarkan berita besar mahu kerajaan negeri Pahang memajukan semula Tasik Paya Bungor yang telah terbengkalai sekitar 10 tahun, selepas SUKMA 1996 yang mana pada ketika itu gegak gempita dan mencuri perhatian ramai apabila MB Pahang Tan Seri (kini Tun) Khalil Yaakob berenang di tasik yang dikatakan ada buaya di dasarnya itu.

Banyak wang kerajaan (dibaca: wang rakyat) yang rugi dan melayang begitu sahaja akibat sikap tidak tidak cakna pihak kerajaan Umno BN itu.

Sinar Harian hari ini turut menyiarkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Shohaimi Jusoh (Tasik Paya Bungor dalam Dun Lepar)yang kesal kawasan berkenaan dibiarkan oleh kerajaan Umno/BN terbengkalai lalu beliau mahu dimajukan kembali sebagai tumpuan pelancongan.

Pahang Selamat sebenarnya pernah menyiarkan artikel berkaitan Tasik Paya Bungor pada satu ketika dulu. Justeru di atas permintaan ramai, kami siarkan kembali artikel berkenaan di sini untuk sajian yang meminatinya.

Di bawah ini disiarkan kembali:



KUANTAN:
Negeri Pahang sememangnya memiliki keistimewaan dan kekayaan alam semula jadi yang menarik sebagai produk pelancongan.

Daripada Gunung Tahan dan Gunung Senyum yang tersohor itu, hinggalah kepada tanah tinggi popular seperti Cameron Highlands dan Bukit Fraser, hutan tropika tertua seperti di Taman Negara dan Rimba Kenong, gua bersejarah di Kota Gelanggi dan Gua Charah di Kuantan, pesisir pantai indah menghadap ke Laut China Selatan dari Cherating, Teluk Chempedak hingga ke Rompin dan pulau kesepuluh tercantik di dunia iaitu Pulau Tioman.

Selain itu terdapat juga tasik yang termasuk dalam peta pelancongan dunia seperti Tasik Chini dan Tasik Bera. Namun begitu terdapat satu lagi tasik yang sering dikunjungi ramai dulu tetapi kini sudah terbiar iaitu Tasik Paya Bungor.

Lokasi Tasik Paya Bungor yang luas saujana mata memandang itu terletak di tepi jalan utama antara Maran ke Kuantan dan cuma memakan masa 10 minit jika berkereta dari jalan keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Gambang.

Tasik berair tenang itu juga tidak jauh dari Hutan Lipur Jerangkang yang sering menjadi kegilaan mereka yang gemarkan aktiviti perlumbaan lasak kenderaan pacuan empata roda.

Menurut penduduk, tasik tersebut dinamakan sempena kawasan sekitarnya ditumbuhi banyak pokok bungor yang cantik bunganya berwarna merah dan putih. Sementara menurut cerita mulut ke mulut di dasar tasik itu dipercayai terdapat buaya putih.

Pada satu ketika dulu Tasik Paya Bungor merupakan kawasan rekreasi yang popular sehingga menjadi kunjungan ramai pelancong domestik dan luar negara kerana dilengkapi pelbagai kemudahan. Malahan acara sukan air seperti berkayak dan lumba bot bagi Sukma 1996 yang mana Pahang menjadi tuan rumahnya ketika itu, diadakan di situ.

Yang menariknya dan masih menjadi ingatan ramai ialah adegan Menteri Besar Pahang ketika itu Tun Khalil Yaakob sendiri telah membuat demonstrasi terjun dan berenang ke dasar tasik ini untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa tiada buaya ganas di situ.

Selepas Sukma, kawasan tersebut tinggal terbiar tidak terurus lagi.

Kini kawasan rekreasi di tepi jalan yang menyimpan bnayak kenangan itu tinggal terbiar. Dalam tinjauan Selamatkan Pahang, didapati jeti dan chalet yang dibina sempena Sukma sudah reput sementara rumah-rumah persingahan dan gerai yang dahulunya meriah kini malap dan ‘menakutkan’.

Deretan rumah kedai, balai serba guna dan surau jeti yang pernah dibangunkan oleh Syarikat Jelai itu telah rosak dan langsung tidak diselenggarakan sehingga dilitupi belukar yang menggerunkan.

Banyak pihak yang ditinjau pendapat masing-masing, melahirkan rasa kesal kerana pihak kerajaan Pahang atau agensinya ternyata gagal memajukan aset yang sangat berharga ini. Sedangkan pada satu ketika dahulu, di pinggir tasik ini sudah tersedia pelbagai prasarana untuk kemudahan mereka yang melalui jalan tersebut.

Umpamanya dulu pemandu yang kepenatan boleh melepaskan lelahnya, berehat atau menunaikan kewajipan sembahyang dan makan-makan sambil menikmati pemandangan alam yang sangat menarik dan unik ini. Malangnya, semua itu tinggal nostalgia belaka dan prasarana yang dibina mungkin mencecah jutaan ringgit dulunya kina terbiar reput begitu sahaja dan menunggu masa menyembam bumi.

Seorang penduduk tempatan Kamizi Zainal, 42, ketika ditemui berkata sepatutnya kerajaan berusaha memajukan kawasan berkenaan dan tidak membiarkannya begitu kerana bangunan yang ditinggalkan membawa kesan buruk kerana menjadi sarang maksiat dan aktiviti penagih dadah melepaskan gian di situ.

“Saya hairan kenapa kerajaaan tak nampak jalan untuk majukan kawasan tersebut. Keistimewaan tasik Paya Bungor ini ialah dia ada pulau di tengah-tengah tasik jadi banyak benda boleh dibuat di situ boleh buat tempat rekreasi, trek jogging, jungle tracking dan sebagainya. Jika pihak kerajaan menggalakkan aktiviti perkhemahan sekarang, Tasik paya Bungor merupakan kawasan yang selamat kerana berada di pinggir jalan besar dan mudah ditangani jika berlaku sesuatu”.

“Jadi di sini boleh jadi tempat pelancongan yang sihat, boleh dapatkan hiburan semula jadi dan ketenangan untuk pelancong dalam dan luar negara. Kalau buat pusat ternakan air tawar juga boleh mendatangkan hasil lumayan. Sekarang orang mengail keli di sini tapi ikan yang berharga mahal seperti kelah pun sesuai diternak. Bila sudah menjadi tempat kunjungan ramai sudah tentu kawasan sekitar jadi maju dan boleh menjana pendapatan penduduk tempatan seperti kami, “ katanya.

Seorang petugas swasta yang selalu berulang-alik dari Temerloh ke Kuantan, Zukri Salleh, 30, mendakwa beliau sering singgah berehat dan sembahyang di surau yang disediakan berhampiran tasik berkenaan beberapa ketika dulu. Beliau yang sering membawa anak-anak berjalan, berharap pihak berkuasa tidak membiarkan keadaan itu berterusan sebaliknya membangunkannya semula.

“Jika lebuh raya menyediakan R&R untuk penggunanya, maka kemudahan berhampiran Tasik Paya Bungor ini wajar jadi tempat rehat dan rawat yang menarik bagi mereka yang menggunakan jalan alternatif untuk ke pantai timur”.

“Sayanglah tempat yang menarik dan bersejarah ini terbiar, saya sendiri sempat guna kemudahan surau di situ dulu dan lepas itu bawa anak-anak makan dan minum di gerai berdekatan. Sekarang ini bila tak ada kemudahan susahlah... kena terus ke Kuantan”.

“Sekarang ini jalan raya sudah dibina baru di sini jadi saya rasa elok dibangunkan kembali tempat ini dan sediakan juga tempat bermain kanak-kanak. Bagi saya kerajaan tak rugi sebab ini juga caranya boleh membantu ekonomi penduduk tempatan yang rata-rata merupakan petani yang ada dusun buah-buahan,” katanya.

Seorang ahli peniagaan dari Kuantan yang sering berulang alik ke Kuala Lumpur melalui kawasan tersebut, Nasrun Amir Abdullah, 46, ketika diminta pendapatnya berkata, keadaan terbiar itu melambangkan pembaziran dan tiadanya perancangan bersifat semasa pihak kerajaan.

Katanya, mungkin alasannya tidak komersil tapi kerajaan kena mencuba sebab tempat itu pernah dimajukan.

“Kenapa Gambang yang hanya 10 minit dari sini boleh dimajukan oleh syarikat dari Taiwan. Paya Bungor patut cuba dimajukan kembali oleh kerajaan atau jika tidak mampu boleh ditawarkan kepada syarikat swasta tempatan”.

“Tempat begitu boleh dimajukan contohnya di Batu Gajah dan Lembah Kinta di Perak, yang dijadikan kawasan perikanan seperti pusat memancing dan kolam ternakan ikan air tawar sehingga boleh memberi manfaat kepada penduduk tempatan. Bayangkan jika ada restoran terapung dan perkhidmatan barbiku ikan air tawar segar dari tasik. Tentu jadi kunjungan pelancong dalam dan luar negara”.

“Boleh juga dijadikan kawasan pelancongan dan rekreasi dan aktiviti seperti berkayak. Saya fikir dalam keadaan iklim ekonomi dunia terus tidak menentu dan akaun kerajaan Pahang sendiri nampak menghadapi masalah kerana perolehan pendapatan serba tidak menentu, jadi eloklah melabur dalam industri pelancongan semulajadinya ini kerana ia menguntungkan dalam jangka masa panjang”.

“Pokoknya mesti ada inisiatif untuk memajukannya agar tidak terbiar dan kawasan sekitarnya pun akan maju, ujarnya lagi.

Bagi kakitangan kerajaan Zulkafley Abdul Hamid, 46, membiarkan kawasan menarik seperti Tasik paya Bungor merugikan kerana Pahang kaya dengan kecantikan alam semula jadi tetapi tidak dimanfaatkan.

“Kita ada kementerian pelancongan dan agensi-agensinya. kita ada portfolio pelancongan peringkat negeri jadi tak patut dibiarkan begitu saja kawasan menarik dan bersejarah itu kerana ia berada di pinggir jalan untuk ke ibu negeri,” katanya.

“Agensi pelancongan buat promosi pelancongan bernilai jutaan setahun ke luar negara. Sepatutnya kerajaan negeri kena ambil kesempatan”.

“Kalau kerajaan negeri tak mampu, elok diswastakan saja kawasan tersebut supaya dapat dibangunkan. Cuba tengok kawasan lain seperti Sungai Semuji Resort yang telah berjaya dibangunkan sebagai training centre oleh syarikat swasta”.

“Penduduk setempat juga boleh digalakkan membina homestay dan chalet bagi menambah pendapatan mereka”.


Gambar:

1. Tasik Paya Bungor yang pernah menjadi tempat berlangsung sukan air Sukma kini sudah dibiarkan semak.

2. Balai serbaguna dan rumah persinggaan kini terbiar dan mereput

3. Sebuah rumah tumpangan terperosok dalam semak

4. Laluan ini sudah dinaiki semak samun

5. Deretan gerai sudah berhutan

6. Surau juga sudah tidak digunakan lagi



6 comments:

  1. SAPA NAK NAIK PANGKAT BOLEH TERJUN KAT TASEK TU.
    DARI MENTERI JADI GABENOR.

    ReplyDelete
  2. aikkkk...? tak taku buaya putih ke...

    tapi kalau buaya yg terjun... buaya putih ta usik

    ReplyDelete
  3. Salam.. Sy nk tnye.. Ade sesiapa yg menawarkan khidmat menghantar dri pintu masuk jerangkang ke campsite?? Berminat utk ke jerangkang.. Pengangkutan utama kami adalah bas ekspress.. No tel sy 0172544370.. Hamdan.. Trima kasih..

    ReplyDelete
  4. Xsempat merasai keindahan tasik ni... hope dpt dibangunkan kembali...

    ReplyDelete
  5. Saya penduduk asal kg paya rambutan pn merasa terkilan atas kegagalan pihak berwajib dtg melihat, ketika tun khalid yaakob terjun di tasik, sy sdri melihatnye dari tebing.. dia ditengah2 tasik berenang disitu, ketika itu saya baru berusia 15thn, pernah menjadi Marshall ketika itu (sukma 1996). Ada satu lg tasik yg berdekatan juga hilang diliputi hutan tebal, dato Yusof Haslam pernah bikin filem kunci21 disitu.. semua pn menjadi sejarah..

    Arulmalik 2019

    ReplyDelete
  6. Saya penduduk asal kg paya rambutan pn merasa terkilan atas kegagalan pihak berwajib dtg melihat, ketika tun khalid yaakob terjun di tasik, sy sdri melihatnye dari tebing.. dia ditengah2 tasik berenang disitu, ketika itu saya baru berusia 15thn, pernah menjadi Marshall ketika itu (sukma 1996). Ada satu lg tasik yg berdekatan juga hilang diliputi hutan tebal, dato Yusof Haslam pernah bikin filem kunci21 disitu.. semua pn menjadi sejarah..

    Arulmalik 2019

    ReplyDelete