Hari demi hari peneroka semakin berani mendedahkan kepincangan Felda dalam pengurusannya yang selama ini acap kali melaungkan bahawa mereka adalah pembela peneroka.
Jika dahulu peneroka sering dianggap seperti kuli estet, tumpang mencari rezeki dan tidak layak untuk menuntut sesuatu daripada agensi pemaju itu, namun kini suasana telah berubah di mana peneroka telah berani bangkit memperjuangkan hak mereka yang selama ini diceroboh atau nasib mereka dizalimi Felda.
Terbaru, lebih 120 peneroka di Felda Kechau, Lipis telah mengadu tidak berpuas hati dengan pengurusan Felda gara-gara kelewatan pihak itu dalam menyegerakan projek tanam semula kelapa sawit.
Berita yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian 25 Oktober, memetik seorang peneroka, Abdul Razak Bisu berkata, tender untuk menebang kayu getah di kawasan ladang Felda itu sudah tamat tempoh namun sehingga kini kerja-kerja itu masih diteruskan kontraktor.
Menurutnya, tender itu sepatutnya berakhir beberapa bulan lalu dan kerja memindahkan anak pokok kelapa sawit sepatutnya dimulakan pada Mei namun sehingga kini, masih ada kawasan yang belum selesai dalam urusan menebang pokok kayu getah.
“Tempoh untuk kerja-kerja menebang pokok kayu getah telah lama tamat namun tarikh itu terpaksa dilanjutkan kerana masih ada kawasan yang belum selesai dalam urusan penebangan.
“Walaupun kontraktor membayar ganti rugi kepada Felda, namun peneroka terpaksa menanggung risiko lambakan hutang berikutan kelewatan mendapatkan hasil tanaman dan penambahan wang sara hidup.
Abdul Razak berkata, perkara itu menyebabkan urusan tender membina teres untuk menanam kelapa sawit terganggu dan usaha penanaman semula yang sepatutnya bermula beberapa bulan lalu turut terbantut.
Anak pokok capai usia matang
Abdul Razak berkata, kesulitan itu semakin bertambah apabila terdapat sebahagian anak pokok kelapa sawit yang ditanam di tapak semaian sudah mencapai usia matang dan perlu dipindah segera ke ladang.
“Jika ikut teknik tanaman kelapa sawit, anak pokok berusia enam bulan adalah paling sesuai untuk ditanam. Namun, benih sawit di tapak semaian sudah membesar, malah ada sebahagiannya melebihi usia setahun.
“Ia menyebabkan akar pokok menjalar ke dalam tanah. Sekiranya usaha membawa anak pokok ke ladang kelapa sawit dilakukan, kami terpaksa memotong sebahagian akar anak pokok kelapa sawit itu,” katanya.
Menurutnya, hal itu mampu menjejaskan potensi anak pokok dan menyebabkan peneroka terpaksa menanam pokok kelapa sawit yang kurang berkualiti.
“Sekiranya akar pokok itu dipotong, ia secara tidak langsung menjejaskan kualiti kelapa sawit untuk mengeluarkan hasil pada jangka masa ditetapkan.
“Kebiasaannya, peneroka akan mendapat hasil tanaman dalam tempoh dua tahun enam bulan, namun berikutan kualiti anak pokok yang terjejas dari peringkat awal di tapak semaian, memungkinkan kami tidak mendapat hasil pada waktu itu,” katanya.
Bangunan jadi stor baja
Seorang lagi peneroka, Mohd Saupi Bulat berkata, pengurusan Felda turut menjadikan kawasan luar dewan badminton sebagai stor meletak baja.
“Mereka menempah bertan-tan baja untuk ditabur di kawasan ladang kelapa sawit namun sehingga kini proses menanam semula anak pokok belum dijalankan.
“Ia menyebabkan berlakunya lambakan baja di kawasan dewan badminton dan tempat letak kenderaan di pejabat itu hingga mengundang bau yang kurang menyenangkan,” katanya.
Menurutnya, terdapat baja di stor itu sudah keras dan tidak sesuai untuk ditabur pada anak pokok.
Tidak mahu tanggung banyak hutang
Soffi berkata, peneroka di kawasan itu berharap supaya pengurusan Felda dapat membuka tender segera untuk membuat teres dan menanam semula kelapa sawit.
“Walaupun pengurusan Felda memberikan wang sara hidup sebanyak RM1,000 sebulan, namun kami berharap supaya proses penanaman semula kelapa sawit ini dapat disegerakan.
“Kami tidak mahu menanggung beban hutang terlalu banyak membabitkan kos sara hidup dan tanam semula melebihi hutang asal yang mencecah hampir RM60,000,” katanya.
Menurutnya, peneroka juga tidak mahu menanggung risiko kelewatan untuk mendapatkan hasil tanaman iaitu melebihi tempoh tiga tahun dan berharap supaya anak pokok yang ada di tapak semaian dapat segera dipindahkan ke kawasan ladang.
Apa yang kita harap daripada Felda ialah supaya mendengar rintihan peneroka ini. Peneroka sudah banyak sakit hati dengan telatah Timbalan Menteri yang menjaga Felda iaitu Datuk Ahmad Maslan yang menuduh peneroka yang bukan-bukan. Peneroka sudah banyak bersabar kerananya.
Selama ini Felda dan Umno sudah berkempen di mana-mana, mengungkit bahawa kerana Feldalah menyebabkan peneroka boleh terus hidup. Walhal timbunan masalah yang ditinggalkan Felda sudah cukup membuatkan peneroka menjeruk perasaan.
Jika ada pemimpin yang mahu mengetahui permasalahan peneroka sebenarnya, eloklah dibuat siri jelajah dialog ke tanah-tanah rancangan Felda dan bukalah cuping telinga luas-luas serta dengan hati terbuka. Jangan sekadar dengar kata-kata pengampu yang hanya membodek seolah-olah semuanya baik.
Ingat, peneroka juga adalah warga Malaysia dan mereka layak mengundi. Ertinya, mereka berhak menentukan kerajaan mana yang mereka pilih demi survival dan masa depan mereka!
Salam,
ReplyDeleteSyarikat kami membekal baja kelapa sawit, getah dan buah-buahan...
berminat boleh ke blog:
http://golden-rengat.blogspot.com/
Kami ada pekrja memotong sawit dan baja dan racun...blh whassPp kami 0149844059
ReplyDelete