Saturday, October 30, 2010

LPT makan korban lagi

Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang agak sudah lama tidak kedengaran cerita ‘makan korban’ yang menggerunkan, semalam muncul semula apabila tujuh maut dan 21 cedera apabila berlaku kemalangan ngeri melibatkan bas ekspres.

Kali ini berlaku di pinggir bukit tempat letaknya pusat judi dan kawasan lipur tersohor di negeri Pahang.

Bas persiaran yang terbabit itu membawa 44 ahli Belia 4B dari Kampung Siong, Baling, Kedah yang dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di laluan bertentangan di Kilometer 36, Lebuhraya Karak, malam tadi.

Menurut media, tujuh mangsa meninggal di tempat kejadian iaitu Mohammad Yusof Akhit, 16; Mohamad Khairy Mohamad Marzuki, 14; Mohamad Firdaus Rosedi, 16; Mohd Ridzuan Husain, 17; Mohd Fahmi Abdul Mustaffa, 17, Mohamad Amirul Mohd Isa, 13, dan Mohd Zainal Mohd Sufian, 28, meninggal dalam perjalanan ke Hospital Selayang.
Semua mangsa meninggal akibat tersepit dan tercampak daripada kenderaan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam itu, apabila bas berkenaan menuruni bukit di susur Genting dan dikatakan mengalami kerosakan brek sebelum terbabas dan terbalik.

Akibat kejadian itu, empat penumpang tercampak keluar dan dua tersepit. Seramai 21 penumpang lagi cedera, kebanyakannya tersepit dibawa ke hospital dan seorang daripadanya meninggal dalam perjalanan. Penumpang lain termasuk dua pemandu dilaporkan selamat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Seorang mangsa yang cedera ringan, Abdul Hafiy Suhaimi, 20, berkata, mereka semua dalam rangka lawatan 3 hari 2 malam melibatkan lawatan ke Genting Highlands dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, bas yang disewa Gerakan Belia 4B itu bertolak dari Baling kira-kira jam 11 malam dan sampai di Genting Highlands kira-kira jam 4.00 pagi kelmarin.

“Selepas seharian bermain dan bergembira di sana, kami semua menaiki bas turun kira-kira jam 7.00 petang di mana menurut perancangannya kami akan singgah bersembahyang di Gombak.

“Semasa menuruni bukit, bas berada dalam keadaan laju dan secara tiba-tiba, pemandu bas memaklumkan, terdapat masalah brek,” katanya kepada media.

Abdul Hafiy berkata, selepas dimaklumkan mereka semua diminta berjaga-jaga dan dalam masa sama mengejutkan rakan-rakan yang tidur.

Menurutnya, keadaan bas yang laju menyebabkan keadaan terumbang-ambing sebelum merempuh pembahagi jalan lalu terbalik.

“Pada masa itu saya hanya mampu beristighfar dan dalam keadaan cemas itu, rakan-rakan cuba membantu antara satu sama lain.

“Ketika menyelamatkan diri saya nampak ada rakan-rakan yang tidak bernyawa dan saya ternampak salah seorang rakan tercabut kepalanya,” katanya.

Abdul Hafiy berkata, walaupun sedih melihat rakan-rakan yang tidak terselamat namun dia bersyukur kerana terselamat dan hanya cedera ringan.

Sementara itu, Saiful Idham, 14, berkata, ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidup kerana melihat enam rakan meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku di hadapan mata.

Menurutnya, walaupun pertama kali mengunjungi pusat peranginan Genting Highlands namun ia menjadikan dia fobia untuk berkunjung ke situ lagi akibat nahas yang berlaku.

“Rakan-rakan yang meninggal dunia tidak menunjukkan perubahan ketara semasa kami semua bergembira di Genting Highlands.

“Walaupun ketika kejadian saya cuba membantu rakan-rakan lain namun ada juga yang tidak dapat diselamatkan,” katanya sedih.





No comments:

Post a Comment