Sunday, October 24, 2010

“Rundingan jalan terbaik atasi masalah Felda”

Terkedu mendengar buah fikiran Pengurus Zon Felda Bera/Mendi, Azemim Mamat yang berkata demikian dalam sebuah akhbar harian.

Beliau menasihati demikian kepada warga Felda supaya bersatu menyelesaikan segala masalah yang dihadapi untuk mengekalkan kehidupan ceria dan harmoni kerana katanya, perbalahan yang tercetus dalam Felda hanya akan meleraikan hubungan baik dalam kalangan peneroka sekali gus menyukarkannya untuk bertaut kembali.

Menurutnya, pertelingkahan tidak seharusnya berlaku dalam kalangan warga Felda kerana mereka sudah hidup bersama lebih 20 tahun dan jalan terbaik menyelesaikan masalah adalah melalui perbincangan serta perundingan.

“Keadaan ini memerlukan setiap individu mengamalkan sikap bertolak ansur dan bertimbang rasa supaya tidak wujud persengketaan antara warga Felda,” katanya.

Saya ‘angkat topi’ dan amat bersetuju dengannya bahawa perundingan adalah jalan terbaik. Namun beliau tidak seharusnya prejudis dan bias bahawa peneroka sahaja yang sepatutnya berbuat demikian.

Jika isu peneroka dengan peneroka, jalan penyelesaiannya ialah perundinga. Baiklah, kita setuju. Jika masalah peneroka dengan Felda?

Maksudnya, jika peneroka perlukan sesuatu seperti menuntut hak maka mereka harus berunding terlebih dahulu dengan Felda. Sebaliknya jika badan tersebut mahu melaksanakan sesuatu, maka terus disempurnakan tanpa terlebih dahulu berunding dengan peneroka.

Tidakkah selama ini pemimpin Umno selalu mengungkit bahawa peneroka menjadi senang lenang kerana mereka diberikan tanah rancangan dalam Felda (walaupun tanah itu bukan milik Umno)?

Datuk Tan Aminuddin umpamanya, terang-terang memberi amaran mahu peneroka yang tidak selari dengan Umno/Felda, disingkir dari tanah rancangan.

Tidakkah itu menggores perasan peneroka yang sudah berpuluh tahun memajukan tanah ladang dengan titisan air mata, keringat dan darah?

Saya mempunyai satu cadangan kepada pengurusan tertinggi Felda. Iaitu, bebaskan diri daripada cengkaman Umno! Jangan direlakan Felda dijadikan alat dan perkakas Umno.

Pendek kata, pengurusan Felda mesti bersikap profesional tanpa bertindak mengikut telunjuk Umno. Barulah peneroka boleh hidup aman tanpa sebarang gangguan.

Bolehkah Felda terus berdiri tanpa campurtangan Umno?







No comments:

Post a Comment