Tengahari tadi saya berkesempatan menjamu selera dengan seorang karyawan veteran. Dia sahabat saya dan bila terluang masa kami sering bertemu sambil makan-makan dan bersembang sehingga kadang-kadang berjam-jam lamanya. Kadang-kadang isu baru, kadang hal ehwal yang sudah berulang-ulang dan basi. Tapi kami boleh bersepakat kerana minat yang sama.
Beliau bukan sembarangan karyawan, tetapi punyai pengalaman dan pergaulan luas baik dalam kerjayanya mahupun dalam politik. Saya banyak belajar dan menggali ilmu daripadanya. Malah dalam banyak hal, saya minta pandangan daripadanya. Dia pernah punyai teman-teman yang berkedudukan tinggi dalam kepimpinan politik. Dengan lain-lain perkataan, sebahagian pimpinan Umno dari Pahang hari ini, kenal dan hormat kepadanya!
Sedang kami asyik bersembang-sembang tadi, datang seorang AJK Umno Bahagian Pekan (tempat Najib) yang baru balik daripada Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur. Bekas pengurus syarikat ladang Umno yang saya agak kurang lebih seusia dengan saya itu duduk di meja kami. Dia tidak mengenali saya tetapi akrab dengan karyawan pencen itu.
Sudah tentu pelbagai hal ehwal Umno yang dibacarakan mereka dengan sekali sekala menoleh kepada saya, sementara saya melongo sahaja mendengar isu yang saya tidak berminat sangat.
Pada satu ketika karyawan pencen kata beliau tidak puas hati tentang persidangan besar Umno kerana tidak langsung menyebut tentang perjuangan memartabatkan bahasa Melayu. Ujarnya, bahasa Melayu yang disebut bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini sudah hancur di tangan Umno.
Tiba-tiba AJK Umno Pekan itu pula melahirkan rasa tidak puas hati bagaimana begitu banyak anak-anak syarikat milik kerajaan negeri Pahang sudah terlepas ke tangan Cina, tetapi tidak pernah dibangkitkan Umno. Orang Najib itu bercerita tentang kegagalan syarikat-syarikat tersebut mencipta untung. Dia nampaknya mahir tentang percaturan ekonomi.
Mereka bercerita tentang Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang tidak banyak membawa kebaikan kerajaan negeri. Seakan-akan semua anak syarikat dipengerusikan Adnan. Malah, orang Najib yang pernah jadi pengurus ladang itu mendedahkan, ladang Umno seluas 20,000 ekar di Ulu Luit, Maran pun telah dijual kepada syarikat milik Cina. Perkara ini sudah didedahkan Ketua Bahagian Umno Paya Besar Datuk Tajudin Sulaiman dulu.
Mereka berdua bersepakat Adnan sepatutnya tidak menjadi MB lagi.
Saya pantas menyampuk: “ Abang ini (karyawan pencen) sudah pernah berkomplot “menjatuhkan” menteri besar. Jadi kalau tak puas hati, kenapa tak rancang betul-betul... sampai ke line think-tank Najib dan dedahkan perkara ini semua supaya Najib bertindak.”
Menurut mereka, Najib ini bukan orangnya yang suka menimbulkan kontroversi. Katanya, Umno dalam huru-hara sekarang dan tidak mungkin MB Pahang ditukarkan dalam masa terdekat kerana Najib tidak mahu mencipta kekecohan. Katanya, memang stail Najib tidak mahu mencipta kontroversi.
“Tapi PRU 13 ini penentu dan tempoh jawatan MB yang ada pada Adnan sekarang akan berakhir,” kata mereka serentak”.
Maksudnya, jika Umno-BN menang PRU 13 nanti, MB Pahang bukan lagi Adnan, tetapi orang lain!
No comments:
Post a Comment