Friday, October 8, 2010

Cerita benar di sebalik kecoh mesyuarat PKR

Pemilihan kepimpinan cabang-cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) telahpun berakhir minggu lalu. Namun ada beberapa cabang terpaksa digantung mesyuaratnya oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti itu berikutan dicemari kekecohan.

Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution, sebelum ini mendedahkan terdapat individu luar yang mempunyai hubungan dengan BN, terbabit mengganggu, menimbulkan keributan atau cuba mensabotaj pemilihan tersebut terutamanya di Selangor.

Ketua pengawas pemilihan PKR dari Pahang, Yahya Abdul Rahman, mengesahkan memang terdapat unsur luar yang mencemarkan perjalanan pemilihan tersebut sebagaimana yang dialaminya sendiri dalam pemilihan di cabang Kuala Langat.

Beliau yang dilantik ketua pengawas pemilihan bagi cabang-cabang Jerantut, Paya Besar, Kuala Krai, Kemaman, Kuala Langat dan Hulu Langat mendedahkan mereka yang terlibat mencetuskan insiden kekecohan itu ialah bekas ahli PKR yang keluar parti itu dulu tetapi mahu bertanding semula setelah Selangor diperintah Pakatan Rakyat.

“Individu yang mencemar dan menimbulkan kekecohan dalam pemilihan di Kuala Langat itu ialah bekas ketua cabang PKR yang telah keluar parti bersama Ezam dulu bersama penyokongnya. Dia mahu masuk PKR balik untuk bertanding dalam pemilihan, tetapi namanya telah disenaraihitam oleh pusat. Itu yang dia marah,” ujarnya.

Yahya yang merupakan Setiausaha PKR Cabang Temerloh menceritakan, insiden memalukan itu berlaku pada 26 September lalu di mana proses pemilihan dijalankan di dewan Orang Ramai Batu 9 Kampung Medan, Teluk Panglima Garang.

Menurut Yahya, pada pagi tersebut perjalanan mesyuarat untuk pemilihan berjalan seperti biasa di mana ahli-ahli beratur di luar pagar untuk proses bayar yuran keahlian dan semakan.

“Ketika proses pengundian sudah berjalan, kira-kira jam 12 tengahari ada pihak tiba-tiba ada orang memekik mengatakan pemilihan hari itu tidak sah dan dibatalkan. Pada masa itu dianggarkan tidak kurang 1,000 orang di situ.

“Saya ketua pasukan pengawas pemilih sedang menyediakanpra-sarana pemilihan dalam dewan. Bila saya dapat tahu, saya keluar dan terpaksa memanjat pintu pagar bagi mendapatkan orang ramai dan umumkan bahawa pemilihan berjalan seperti biasa.

“Pada ketika itu ada seorang yang saya tidak kenali menjerit ke arah saya meminta supaya dihentikan proses pemilihan dan mengancam keselamatan saya. Saya tidak mempedulikannya tapi masuk semula ke dalam dewan dan teruskan pengundian.”

Kemudian barulah saya diberitahu beliau merupakan bekas ketua PKR cabang tersebut yang keluar bersama-sama Ketua Pemuda PKR pada tahun 2007.

Tambah Yahya, walaupun suasana dalam keadaan panas tetapi suasana dapat dikawal dan masing-masing beratur dengan sabar danberdisiplin sehinggalah jam 3 petang.

“Orang tadi telah datang semula lalu menceroboh masuk ke dalam dewan melalui pintu belakang. Ketika itu saya sedang mengawal pintu masuk utama. Beliau meluru ke arah pintu dan menjerit mengatakan pengundian dibatalkan dan tidak sah!

“Tidak cukup dengan itu, dia yang berbadan agak gempal terus membuat kecoh dengan menyepak dan memecahkan peti undi dan meja sehingga menjadi tunggang-langgang.

“Saya sebagai ketua pengawas kemudian mengambil pembesar suara dan berucap sesiapa pengundi yang tak selamat sila keluar dewan dan saya memanggil semua petugas naik ke atas pentas untuk tujuan keselamatan. Semua memerhatikan bekas ketua cabang itu menyelerakkan kertas undi dalam keadaan tiada siapa yang menghalang.”

Menurut Yahya, di atas pentas beliau berucap bahawa dengan keadaan kekecohan ini menjadi tanggungjawab cabang untuk menjaga keselamatan pengundi dan pengawas. Namun beliau sekali lagi diancam supaya memberhentikan ucapan dan memaksanya mengisytiharkan pemilihan tidak sah.

Beliau memberanikan diri memberitahu bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan pemilihan cabang pada hari tersebut.

Tambahnya suasana semakin tegang dan beberapa orang menasihatkannya supaya mendiamkan diri sehinggalah beliau dilarikan oleh ahli PKR dan dibawa ke keretanya demi keselamatan.

“Lebih kurang setengah jam selepas itu saya hampiri ke pagar untuk meninjau keadaan dalam dewan bagi membolehkan saya masuk semula ke dewan bagi memantau dan mengambil gambar. Tetapi memandangkan suasana masih panas, saya dinasihatkan tidak masuk ke dewan.

“Peristiwa tersebut telah saya maklumkan kepada ibu pejabat Kuala Lumpur pada pukul 8 malam apabila saya ke sana dan mereka arahkan untuk buat laporan penuh iaitu. Setiausaha Agung meminta semua petugas pemilihan berkumpul untuk mesyuarat bagi cabang-cabang yang bermasalah iaitu Kuala Langat, Kapar, Kelang pada hari itu.

“Jadi saya sahkan memang terdapat gangguan daripada unsur luar iaitu ahli yang telah isytihar keluar parti yang buat kecoh. Apabila Pakatan Rakyat memenangi PRU di Selangor mereka ini ingin rujuk kembali, mahu masuk semula ke dalam PKR dan merebut jawatan,” jelasnya.

Tetapi kemungkinan PKR Pusat telah menyenaraihitamkan atau menolak kemasukan semula mereka ke dalam PKR. Ini yang menyebabkan mereka tidak puas hati, marah dan melakukan perbuatan liar dalam dewan pemilihan.

“Saya juga tidak menolak kebarangkalian ada unsur diupah untuk sabotaj pemilihan PKR kerana dianjurkan oleh pihak berkepentingan dan modus operandinya sama di semua cabang yang kecoh iaitu ceroboh, buat kecoh dan pecahkan peti undi bagi membolehkan proses pengundian itu dihenti dan dibatalkan dengan sendirinya.”


Gambar:

Yahya menceritakan detik-detik cemas dalam pemilihan PKR sehingga mengancam keselamatannya.



Artikel ini dsiarkan dengan ihsan akhbar SIASAH






No comments:

Post a Comment