Monday, October 4, 2010

Darul Hikmah perlu sumbangan



TEMERLOH: Balai Islam Darul Hikmah Kerdau adalah antara markas atau pusat kegiatan PAS yang awal di Pahang dan mula dibina pada awal era ‘Kepimpinan Ulamak’ PAS iaitu sekitar tahun 1982.

Letaknya di lokasi amat strategik di Simpang 4 Kerdau, iaitu di pinggir jalan besar ke Jerantut, Bandar Jengka dan hala ke sebelah Pahang Barat.

Tapak yang terletak 7 kilometer daripada susur keluar Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) itu telah diwakafkan oleh aktivis PAS pada masa itu, Allahyarham Khatib Haji Dahan, iaitu antara orang kuat Pesuruhjaya PAS Pahang yang pertama, Mohd Yasin Saleh.

Pada awal penubuhan Darul Hikmah, sentiasa diadakan program tarbiah ilmiah seperti tamrin. Antara tokoh yang acap datang memberi kuliah pada masa itu ialah bekas Naib Presiden PAS yang kemudiannya masuk Umno, Datuk Nakhaie Ahmad.

Kuliah mingguan juga tidak ketinggalan diadakan antaranya melibatkan bekas-bekas Pesuruhjaya PAS Pahang seperti Allahyarham Ustaz Ishak Abdullah, Allahyarham Ustaz Alwi Abdul Hamid dan Tuan Guru Mohd Baqi Osman.

Darul Hikmah yang terletak dalam Kawasan Kuala Krau, pada masa ini merupakan markas paling aktif di Pahang terutama menganjurkan ceramah-ceramah perdana, kuliah dhuha, ekspo dan karnival peringkat negeri kerana berhampiran dengannya, akan didirikan tapak Kompleks PAS Pahang.

Kini bangunan Pusat Tarbiah Islam Kerdau dua tingkat itu sedang dalam proses menjalani kerja-kerja tambahan, ubahsuai dan pembaikan bagi memenuhi tuntutan semasa.

Menurut Pengerusi markas berkenaan, Ahmad Mat Yaman, di situ sering dijalankan program PAS negeri Pahang, justeru pihak jawatankuasanya memutuskan perlu siapkan pra-sarananya.

“Dalam pembinaan sekarang kami sedang menyiapkan dewan serbaguna lengkap berhawa dingin yang boleh menampung 350 orang pada satu masa. Serentak dengan itu sedang dijalankan juga kerja-kerja menyiapkan kemudahan dapur, bilik khas mesyuarat, beranda beratap, wakaf bagi musafir serta menukar pendawaian dan paip lama.

“Setakat ini sekitar 40% kerja sudah siap dijalankan.
Kos anggaran yang masih diperlukan bagi menyempurnakan bangunan ini ialah RM100 ribu. Jadi kami amat mengharapkan sumbangan orang ramai bagi menjayakan khairat ini,” jelasnya.

Menurutnya, untuk sumbangan wang tunai boleh terus dimasukkan ke dalam akaun: 06028020443974 atas nama MTD Kerdau. Kemudian sila maklumkan kemasukan wang anda ke dalam akaun dengan sms ke nombor (013-9805757 - Zukri).


No comments:

Post a Comment